اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 246: HUKUM SOLAT SUNAT HARI RAYA SECARA BERSENDIRIAN

HUKUM SOLAT HARI RAYA SECARA BERSENDIRIAN

 

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya, bolehkah seseorang itu mengerjakan solat sunat hari raya secara bersendirian? Apakah hukumnya? Terima kasih Datuk.  

Ringkasan Jawapan

Hukum mengerjakan solat sunat hari raya secara bersendirian adalah sunat, begitu juga mengerjakannya secara berjemaah, namun mendirikan solat sunat hari raya secara berjemaah adalah lebih afdal.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Pada setiap 1 Syawal, seluruh umat Islam akan berhimpun bagi meraikan hari yang berbahagia ini iaitu Hari Raya Aidilfitri. Mereka akan keluar menuju ke tempat solat atau kawasan lapang bagi menunaikan solat sunat hari raya secara berjemaah. Perkara ini ada dinukilkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri R.A, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى، فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاَةُ، ثُمَّ يَنْصَرِفُ، فَيَقُومُ مُقَابِلَ النَّاسِ، وَالنَّاسُ جُلُوسٌ عَلَى صُفُوفِهِمْ فَيَعِظُهُمْ، وَيُوصِيهِمْ، وَيَأْمُرُهُمْ، فَإِنْ كَانَ يُرِيدُ أَنْ يَقْطَعَ بَعْثًا قَطَعَهُ، أَوْ يَأْمُرَ بِشَيْءٍ أَمَرَ بِهِ، ثُمَّ يَنْصَرِفُ

Maksudnya:Kebiasaannya Rasulullah SAW pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha keluar menuju ke tempat solat. Perkara pertama yang Baginda mulakan ialah solat (sunat hari raya), kemudian Baginda berpaling dan berdiri menghadap orang ramai yang sedang duduk di saf-saf mereka lalu Baginda memberikan peringatan, wasiat dan perintah kepada mereka. Sekiranya Baginda ingin mengutuskan pasukan, maka Baginda akan mengutusnya, atau Baginda ingin memerintahkan sesuatu, maka Baginda akan memerintahkannya.”

Riwayat al-Bukhari (956)

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada hadis ini, perkara pertama yang dimulakan oleh Rasulullah SAW pada pagi hari raya sama ada Aidilfitri mahupun Aidiladha ialah solat, dan mengerjakannya adalah sunat muakkad (sunat yang dituntut)[1]. Seterusnya, ia juga disyariatkan untuk dikerjakan secara berjemaah berdasarkan kepada sunnah Nabi SAW. Namun, berbalik kepada persoalan yang diutarakan, bagaimana sekiranya ia dilakukan secara berseorangan? Apakah hukumnya?

Imam al-Syirbini ada menukilkan bahawa disunatkan juga untuk mengerjakannya secara bersendirian. Meskipun begitu, mengerjakan solat sunat hari raya secara berjemaah adalah lebih baik dan lebih afdhal[2].

Syeikh Muhammad al-Zuhaili turut menyebut hal yang sama dengan lafaz[3]:

وتشرع صلاة العيد جماعة كما فعلها رسول الله صلى الله عليه وسلم، على كل رجل مكلف بصلاة الجماعة، وتشرع للمنفرد ندبًا، والجماعة أفضل

Maksudnya: “Dan disyariatkan juga solat hari raya (agar dilaksanakan) secara berjemaah sebagaimana yang Rasulullah SAW lakukan, ke atas setiap lelaki yang dituntut untuk mengerjakan solat berjemaah, dan juga disyariatkan ke atas orang yang solat secara bersendirian dengan hukum sunat, namun mengerjakan solat sunat hari raya secara berjemaah adalah lebih afdhal.”

Adapun, bagi jemaah haji yang mengerjakan solat sunat hari raya Aidiladha di Mina, tidak disunatkan ke atasnya untuk mengerjakan solat sunat hari raya tersebut secara berjemaah, sebaliknya disunatkan untuk dikerjakan secara bersendirian. Sekiranya, ia dilaksanakan secara berjemaah, ia telah menyalahi sunnah Nabi SAW. Hal ini kerana, Rasulullah SAW meninggalkannya atas sebab urusan manasik haji dan juga mengajar manusia tentang hukum-hakamnya, dan kesemua ini adalah lebih penting daripada perayaan[4]. Di samping itu, hikmahnya di sini adalah bagi meringankan para jemaah haji untuk menguruskan hal ehwal tahallul mereka dan bergerak menuju ke Mekah berbanding mendirikan solat sunat hari raya secara berjemaah dan juga mendengar khutbah[5].

Kesimpulannya, hukum mengerjakan solat sunat hari raya secara bersendirian adalah sunat, begitu juga mengerjakannya secara berjemaah, namun mendirikan solat sunat hari raya secara berjemaah adalah lebih afdhal. Akhir kalam, kami berharap agar kita semua dapat bersama-sama hadir menyertai solat hari raya ini secara berjemaah, agar dapat meraih pahala sebanyak mungkin dan juga memupuk hubungan silaturahim sesama masyarakat.

Wallahu A‘lam.

 

Rujukan:

[1] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, (t.tp: Dar al-Fikr, t.c, t.t), 5/3.

قَدْ ذَكَرْنَا أَنَّهَا سُنَّةٌ مُتَأَكِّدَةٌ عِنْدَنَا وَبِهِ قَالَ مَالِكٌ وَأَبُو حَنِيفَةَ وَدَاوُد وَجَمَاهِيرُ الْعُلَمَاءِ

[2] Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj Ila Ma‘rifat Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, (t.tp: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, cetakan pertama, 1415H), 1/587.

(وَتُشْرَعُ جَمَاعَةً) لِفِعْلِهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - وَهِيَ أَفْضَلُ فِي حَقِّ غَيْرِ الْحَاجِّ بِمِنًى مِنْ تَرْكِهَا بِالْإِجْمَاعِ. أَمَّا هُوَ فَلَا يُسَنُّ لَهُ صَلَاتُهَا جَمَاعَةً وَتُسَنُّ لَهُ مُنْفَرِدًا (وَ) تُشْرَعُ أَيْضًا (لِلْمُنْفَرِدِ وَالْعَبْدِ وَالْمَرْأَةِ وَالْمُسَافِرِ) وَالْخُنْثَى وَالصَّغِيرِ فَلَا تَتَوَقَّفُ عَلَى شُرُوطِ الْجُمُعَةِ مِنْ اعْتِبَارِ الْجَمَاعَةِ وَالْعَدَدِ وَغَيْرِهِمَا، وَيُسَنُّ الِاجْتِمَاعُ لَهَا فِي مَوْضِعٍ وَاحِدٍ، وَيُكْرَهُ تَعَدُّدُهُ بِلَا حَاجَةٍ وَلِلْإِمَامِ الْمَنْعُ مِنْهُ

Lihat juga: Ahmad bin Muhammad bin ‘Ali bin Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, (Mesir: Al-Maktabah al-Tijariyah al-Kubra, t.c, 1357H), 3/40.

(وَتُشْرَعُ) أَيْ تُسَنُّ (جَمَاعَةً) وَهُوَ أَفْضَلُ إلَّا لِلْحَاجِّ بِمِنًى، فَإِنَّ الْأَفْضَلَ لَهُ صَلَاةُ عِيدِ النَّحْرِ فُرَادَى لِكَثْرَةِ مَا عَلَيْهِ مِنْ الْأَشْغَالِ فِي ذَلِكَ الْيَوْمِ، قَالَ فِي الْأَنْوَارِ وَيُكْرَهُ تَعَدُّدُ جَمَاعَتِهَا بِلَا حَاجَةٍ وَلِلْإِمَامِ الْمَنْعُ مِنْهُ. (وَ) تُسَنُّ (لِلْمُنْفَرِدِ) وَلَا خُطْبَةَ لَه

[3] Muhammad al-Zuhaili, al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1434H), 1/551.

[4] Al-Nawawi, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/26.

* أَمَّا الْأَحْكَامُ فَهَلْ تُشْرَعُ صَلَاةُ الْعِيدِ لِلْعَبْدِ وَالْمُسَافِرِ وَالْمَرْأَةِ وَالْمُنْفَرِدِ فِي بَيْتِهِ أَوْ فِي غَيْرِهِ فِيهِ طَرِيقَانِ (أَصَحُّهُمَا وَأَشْهُرُهُمَا) الْقَطْعُ بِأَنَّهَا تُشْرَعُ لَهُمْ وَدَلِيلُهُ مَا ذَكَرَهُ الْمُصَنِّفُ وَأَجَابُوا عَنْ تَرْكِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وسلم صلاة العيد بمنى بانه تركها لا شتغاله بِالْمَنَاسِكِ وَتَعْلِيمِ النَّاسِ أَحْكَامَهَا وَكَانَ ذَلِكَ أَهَمَّ مِنْ الْعِيدِ

[5] Sulaiman bin Muhammad bin Umar al-Bujairami, Tuhfat al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, (t.tp: Dar al-Fikr, t.c, 1415H), 2/219.

بِمَكَّةَ لَمْ تُسَنَّ لَهُمْ الْجَمَاعَةُ أَيْضًا، فَإِنْ صَلَّوْهَا جَمَاعَةً كَانَ خِلَافَ السُّنَّةِ. وَحِكْمَتُهُ التَّخْفِيفُ عَلَيْهِمْ لِاشْتِغَالِهِمْ بِأَعْمَالِ التَّحَلُّلِ وَالتَّوَجُّهِ إلَى مَكَّةَ عَنْ إقَامَةِ الْجَمَاعَةِ وَالْخُطْبَةِ اهـ.