اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 251: ADAKAH BATAL PUASA MEMASUKKAN JARI PADA DUBUR DISEBABKAN BUASIR TERKELUAR?

ADAKAH_BATAL_PUASA_MEMASUKKAN_JARI_PADA_DUBUR_DISEBABKAN_BUASIR_TERKELUAR.jpg

 

Soalan:

Assalammualaikum, Saya mengalami sakit buasir tahap 3 yang mana usus buasir boleh terkeluar jikalau meneran, Namun, ia masih boleh dimasukkan semula apabila ditolak dengan jari tangan. Apa yang menjadi kerisauan saya ialah kadar jari yang dimasukkan itu termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa. Mohon pencerahan Mufti. Terima Kasih.

Ringkasan Jawapan:

Status puasa bagi pesakit buasir tahap 3 yang melibatkan proses memasukkan jari ke dalam dubur adalah tidak membatalkan puasa. Hal ini kerana ia dilakukan dalam keadaan hajat yang mendesak.

Sementara itu, situasi ketika istinjak pula hanya memadai membasuh kawasan yang terzahir daripada dubur dan ia perlu dilakukan dengan berhati-hati agar jari tidak melepasi had dubur yang boleh membatalkan puasa. Piawaian had dubur yang membatalkan puasa adalah seperti berikut:

  • Memasukkan sesuatu pada rongga terbuka dubur pada kawasan dalam yang tidak wajib dibasuh adalah membatalkan puasa.
  • Memasukkan sesuatu pada rongga terbuka dubur pada kawasan yang wajib dibasuh untuk tujuan istinjak adalah tidak membatalkan puasa.

Huraian Jawapan:

Buasir

Buasir atau hemoroid boleh terjadi apabila sekumpulan urat pada rektum membengkak. Ini bermakna apabila pembuluh darah vena yang terletak di bahagian bawah rektum (bahagian terakhir usus besar) dan anus (dubur) berkembang dan membesar, berlakulah buasir. [1]

Tahap buasir yang dialami terbahagi kepada 4:

Tahap 1: Buasir dalaman ini menonjol tetapi ia tidak terkeluar dari lubang dubur.

Tahap 2: Benjolan buasir terkeluar dari lubang dubur selepas buang air besar/meneran dan menarik semula jadi (spontan) ke dalam dubur begitu sahaja.

Tahap 3: Benjolan buasir terkeluar dari lubang dubur tetapi perlu ditolak masuk oleh jari ke dalam dubur.

Tahap 4: Benjolan buasir sentiasa menonjol keluar yang tidak dapat ditolak masuk ke dubur.[2]

Had Dubur yang Membatalkan Puasa

Antara perkara yang membatalkan puasa adalah masuknya sesuatu ain (jirim) ke dalam rongga melalui ruang yang sedia terbuka (manfaz maftuh). Ain bermaksud sesuatu yang dapat dilihat, manakala rongga bermaksud ruang selepas halkum hingga usus dan tali perut. Sementara al-manfaz al-maftuh (ruang yang sedia terbuka) ialah mulut, telinga, kemaluan dan dubur bagi lelaki dan perempuan.[3]

Imam al-Nawawi dalam Majmuk menyatakan bahawa memasukkan sebahagian jari atau selainnya ke dalam dubur membatalkan puasa :

لو أدخل الرجل إصبعه، أو غيرها دبره، أو أدخلت المرأة إصبعها، أو غيرها دبرها، أو قُبُلها، وبقي البعض خارجاً: بطل الصوم باتفاق أصحابنا

“Sekiranya sesesorang lelaki memasukkan jari tangannya atau selainnya ke bahagian duburnya atau seorang perempuan memasukkan jarinya atau selainnya ke dalam dubur atau qubul (faraj), dan berbaki sebahagian tangan di luar, maka perbuatan itu membatalkan puasa berdasarkan kesepakatan ulama mazhab Syafi'i. [4]

Oleh itu, fuqaha mazhab menentukan piawaian had rongga terbuka dubur yang boleh membatalkan puasa seperti berikut:

  1. Memasukkan sesuatu pada rongga terbuka dubur pada kawasan dalam yang tidak wajib dibasuh adalah membatalkan puasa.
  2. Memasukkan sesuatu pada rongga terbuka dubur pada kawasan yang wajib dibasuh untuk tujuan istinjak adalah tidak membatalkan puasa.

Oleh yang demikian, setiap individu yang berpuasa hendaklah berhati - hati ketika beristinjak kerana apabila memasukkan jari pada bahagian bawah dubur boleh membatalkan puasa sama ada ia dilakukan oleh sendiri atau orang lain.[5] Justeru, memadai membasuh kawasan yang terzahir dari dubur ketika istinjak tanpa perlu memasukkan hujung jari dalam dubur. Terbatal puasa dengan memasukkan hujung mahupun sebahagian jarinya pada dubur atau qubul sekiranya melepasi had yang wajib dibasuh ketika istinjak.

Puasa Pesakit Buasir Tahap 3

Pesakit buasir tahap 3 yang mana benjolan daging terkeluar dan perlu ditolak dengan jari ke dalam dubur tidak membatalkan puasa berdasarkan pandangan fuqaha mazhab dalam karya Tuhfah al-Muhtaj:

وَلَوْ ‌خَرَجَتْ ‌مَقْعَدَةُ ‌مَبْسُورٍ لَمْ يُفْطِرْ بِعَوْدِهَا،

“Apabila usus membengkak menonjol keluar daripada dubur (buasir), maka ia tidak membatalkan puasa dengan masuknya kembali benjolan tersebut[6]

Hal tersebut jelas dimaafkan kerana keterpaksaan melakukannnya.[7] Begitu juga kenyataan Al-Bujairimi dalam kitabnya:

دُخُولُ طَرَفِ أُصْبُعٍ فِي الدُّبُرِ حَالَةَ الِاسْتِنْجَاءِ فَيُفْطِرُ بِهِ إلَّا إنْ أَدْخَلَ الْمَبْسُورُ مَقْعَدَتَهُ بِأُصْبُعِهِ فَلَا يُفْطِرُ بِهِ كَمَا صَحَّحَهُ الْبَغَوِيّ لِاضْطِرَارِهِ إلَيْهِ

Hujung jari yang dimasukkan ke dalam dubur ketika beristinjak membatalkan puasa melainkan sekiranya memasukkan benjolan buasir yang membengkak dengan jarinya, maka tindakan itu tidak membatalkan puasa sebagaimana disahihkan oleh Al-Baghawi disebabkan terpaksa melakukannya [8]

Kesimpulan

Status puasa bagi pesakit buasir tahap tiga yang mana benjolan membengkak terkeluar dari lubang dubur tetapi perlu ditolak masuk oleh jari ke dalam dubur tidak membatalkan puasa. Hal ini dimaafkan kerana ia dilakukan dalam keadaan terpaksa. Sementara itu, ia berbeza dengan situasi memasukan jari dalam dubur ketika istinjak yang boleh membatalkan puasa.

[1] https://hellodoktor.com/penyakit-perut-gastrousus/buasir/jenis-buasir-perbezaan/

[2] https://ecentral.my/punca-buasir/

[3] Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha & ‘Ali al-Syirbiji. al-Fiqh al-Manhaji. (Damsyiq: Dar al-Qalam, 1992). Jld 2. Hlm 451.

وصول عين إلى الجوف من منفذ مفتوح: والمقصود بالعين: أي شيء تراه العين. والجوف: هو الدماغ أو ما وراء الحلق إلى المعدة والأمعاء. والمنفذ المفتوح: هو الفم والأذن والقبل والدبر من الذكر والأنثى.

[4] al-Nawawi,Abu Zakariyya Mahya Ad-din, al-Majmuk al-Syarh al-Muhadzzab,( Dar al-Fikr) 6/322.

[5] Nihayah al-Zain fi Irsyad al-Mubtadiin, Muhammad bin Umar Nawawi al-Bantani, (Beirut: Dar Fikr,1431), 187.

وَضَابِط دُخُول الْمُفطر أَن يصل الدَّاخِل إِلَى ‌مَا ‌لَا ‌يجب ‌غسله ‌فِي ‌الِاسْتِنْجَاء بِخِلَاف مَا يجب غسله فِيهِ فَلَا يفْطر إِذا أَدخل أُصْبُعه ليغسل   أُصْبُعه ليغسل الطيات الَّتِي فِيهِ وَمثل الْأصْبع غَائِط خرج مِنْهُ

 

وَيَنْبَغِي الِاحْتِرَاز حَالَة الِاسْتِنْجَاء لِأَنَّهُ مَتى أَدخل من أُصْبُعه أدنى شَيْء فِي دبره أفطر وَكَذَا لَو فعل بِهِ غَيره ذَلِك بِاخْتِيَارِهِ مَا لم يتَوَقَّف خُرُوج الْخَارِج على إِدْخَال أُصْبُعه فِي دبره وَإِلَّا أدخلهُ وَلَا فطر

[6] Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj Fi Syarah al-Minhaj wa Hawasyi al-Syarwani wa Ubadi (Beirut: Dar Ihya’ Turath, 1983) Jilid 3: 404

Zakariyya al-Ansari, Asna al-Matalib Fi Syarh Raud al-Talib, (Dar al-Kutub al-Islami. 1431) Jilid 1: 416

«لَوْ أَدْخَلَ أُصْبُعَهُ فِي ‌دُبُرِهِ ‌أَفْطَرَ وَكَذَا لَوْ فَعَلَ ذَلِكَ بِهِ غَيْرُهُ بِإِذْنِهِ فَلْيَتَحَفَّظْ حَالَةَ الِاسْتِنْجَاءِ مِنْ رَأْسِ الْأُنْمُلَةِ فَإِنَّهُ لَوْ دَخَلَ فِيهِ مِنْهَا أَدْنَى

[7] Ibid

«(بِأُصْبُعِهِ) وَلَوْ بِإِدْخَالِ أُصْبُعِهِ مَعَهَا إنْ اضْطَرَّ إلَى ذَلِكَ ح ل. وَيَظْهَرُ الْعَفْوُ عَمَّنْ اُبْتُلِيَ بِدَمِ لِثَتِهِ قِيَاسًا عَلَى مَقْعَدَةِ الْمَبْسُورِ، حَجّ

[8] Al-Bujairimi, Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Kahtib, Tuhfah al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib (Dar al-Fikr 1995) Jilid 2: 380