Soalan:
Kalau saya berpuasa, tapi dalam hati saya ada niat juga untuk kuruskan badan, boleh ke?
Ringkasan Jawapan:
Secara asasnya, ibadah puasa yang dilakukan mestilah diniatkan kerana Allah SWT semata-mata. Namun begitu, sekiranya niat untuk menguruskan badan itu hanyalah sebagai niat sampingan sahaja, dan niat utama puasa itu kerana Allah SWT, maka ibadah puasa yang dilakukan itu tidak terjejas dan dikira sah.
Huraian Jawapan:
Tidak dapat dinafikan bahawa di sebalik setiap pensyariatan di dalam Islam, pastinya terdapat pelbagai hikmah dan kelebihannya yang tersendiri. Begitu juga dengan ibadah puasa yang disyariatkan, sudah tentu ibadah yang istimewa di sisi Allah SWT ini mempunyai pelbagai kelebihannya yang tersendiri.
Justeru itu, timbul kekeliruan seperti yang ditanyakan, iaitu mengenai hukum menggabungkan niat ibadah dengan niat untuk mendapatkan sesuatu manfaat daripadanya. Sejauh manakah seseorang itu dibolehkan untuk berniat demikian?
Keperluan Niat Dalam Ibadah
Niat merupakan elemen terpenting di dalam sesuatu ibadah, kerana niat berfungsi untuk membezakan sama ada perkara yang dilakukan itu dikira sebagai ibadah, atau perbuatan tersebut dikira sebagai satu perbuatan biasa sahaja. Selain itu, niat juga turut berfungsi untuk membezakan antara tahap-tahap ibadah, dan juga turut membezakan antara bentuk-bentuk ibadah yang pelbagai.[1]
Kewajipan niat dalam setiap ibadah ini adalah bersandarkan kepada banyak dalil-dalil, antaranya hadis yang diriwayatkan oleh 'Umar al-Khattab bahawa Rasulullah SAW bersabda:[2]
إنَّما الأعْمالُ بالنِّيَّةِ، وإنَّما لاِمْرِئٍ ما نَوَى، فمَن كانَتْ هِجْرَتُهُ إلى اللهِ ورَسولِهِ، فَهِجْرَتُهُ إلى اللهِ ورَسولِهِ، ومَن كانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيا يُصِيبُها أوِ امْرَأَةٍ يَتَزَوَّجُها، فَهِجْرَتُهُ إلى ما هاجَرَ إلَيْهِ
Terjemahan: "Seungguhnya setiap amalan hanya berdasarkan niat. Sesungguhnya setiap orang hanya memperolehi apa yang dia niatkan. Sesiapa yang hijrahnya diniatkan kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijranya untuk Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang hijrahnya untuk dunia yang dicarinya, atau wanita untuk dikahwininya, maka hijrahnya adalah untuk apa yang dia niatkan".
(Riwayat Muslim]
Hadis di atas ini menunjukkan bahawa hanya amalan yang diniatkan kerana Allah SWT sahaja yang akan diterima oleh Allah. Sebaliknya sesiapa yang melakukan sesuatu amalan dengan meniatkan kepada perkara duniawi, maka dia hanya mendapatkan perkara yang duniawi itu sahaja.[3]
Begitu juga halnya dengan ibadah puasa, yang memerlukan kepada niat yang betul dalam memastikan ibadah tersebut dikira sah di sisi syarak, seperti sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:
من صام رمضان إيمانا ً واحتساباً غفر له ما تقدم من ذنبه
Terjemahan: "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka diampunkan baginya dosa-dosa yang terdahulu".
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Imam Ibn Hajar ketika menghuraikan hadis ini menjelaskan bahawa berpuasa dengan penuh keimanan di dalam hadis ini bermaksud seseorang itu berpuasa dengan meyakini kewajipan puasa tersebut. Manakala berpuasa dengan penuh pengharapan pula adalah apabila seseorang itu berpuasa dengan mengharapkan pahala daripada Allah SWT.[4]
Secara dasarnya, sesuatu ibadah mestilah diniatkan hanya semata-mata kerana Allah SWT, bagi mencapai maksud “ikhlas” seperti yang dituntut oleh Allah SWT menerusi firman-Nya:
وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ ۚ وَذَٰلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ
Terjemahan: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Agama yang benar”.
(Surah al-Bayyinah: 5)
Dalam menafsirkan ayat di atas, Imam al-Qurtubiy menukilkan pandangan Ibn al-'Arabiy bahawa ayat ini menjadi dalil yang menunjukkan bahawa wajibnya niat yang ikhlas kerana Allah SWT pada setiap amalan.[5] Justeru setiap perbuatan yang dilakukan tanpa niat yang ikhlas akan menyebabkan amalan tersebut ditolak dan tidak diterima.
Penggabungan Niat Dengan Sesuatu Yang Bukan Ibadah
Dalam keadaan tertentu, adakalanya penggabungan niat ibadah dengan sesuatu yang bukan ibadah boleh menyebabkan ibadah tersebut terbatal, misalnya seperti seseorang yang melakukan sembelihan ibadah korban dengan niat kerana Allah SWT dan pada masa yang sama juga meniatkan sembelihan tersebut kepada sesuatu yang lain.[6]
Begitu juga fuqaha dalam kalangan Mazhab Syafi'i berbeza pandangan mengenai penggabungan niat antara sesuatu ibadah dengan perkara lain yang boleh terhasil daripada ibadah tersebut, sama ada perkara itu diniatkan ataupun tidak. Misalnya seperti penggabungan niat berwuduk dengan niat untuk menyejukkan badan. Pandangan yang paling kuat dalam Mazhab Syafi'i ialah pandangan yang membenarkan penggabungan dalam kategori ini.[7]
Justeru itu, penggabungan niat dalam ibadah puasa antara niat kerana Allah SWT dengan niat untuk kesihatan tubuh badan adalah termasuk dalam kategori gabungan yang dibenarkan.[8]
Dalam hal ini, tujuan berpuasa dengan niat sampingan untuk mengurangkan berat badan juga boleh disamakan seperti seseorang yang berpuasa dan mempunyai niat sampingan untuk kesihatan tubuh badan. Penggabungan niat ini juga tidak termasuk sebagai perbuatan yang bertentangan dengan keikhlasan ibadat.
Sungguhpun begitu, Imam al-Ghazali menegaskan bahawa perlu juga dilihat pada tahap kekuatan antara kedua-dua niat tersebut, sekiranya niat untuk mendapatkan kemaslahatan duniawi itu lebih kuat, maka orang yang berniat demikian tidak akan mendapat ganjaran.[9]
Imam al-Qarafiy juga turut menjelaskan perbezaan antara riyak yang menyebabkan sesuatu amalan itu tidak diterima, dan antara penggabungan niat yang dibenarkan ini, iaitu perbuatan riyak membawa kepada memuliakan dan membesarkan sesuatu selain Allah SWT, berbeza dengan penggabungan niat yang hanya untuk mendapatkan kemaslahatan dan tiada sama sekali aspek-aspek membesarkan sesuatu selain Allah SWT.[10]
Fatwa-Fatwa Kontemporari Yang Berkaitan
Fatwa yang dikeluarkan oleh Jabatan Fatwa Mesir juga turut membenarkan gabungan niat puasa, antara niat ibadah dengan niat untuk mengurangkan berat badan. Jabatan Fatwa Mesir juga turut menjelaskan bahawa sekiranya seseorang itu berpuasa dengan niat untuk menguruskan badan semata-mata, maka puasa tersebut tidak dikira sebagai ibadah.[11]
Selain itu, Ensiklopedia Fiqh (Kuwait) juga turut membenarkan penggabungan niat puasa antara niat ibadah dan niat untuk kesihatan tubuh badan, kerana niat untuk kesihatan tubuh badan melalui ibadah puasa itu akan terhasil dengan sendirinya, sama ada diniatkan ataupun tidak.[12]
Kesimpulan
Perbuatan menggabungkan niat ini dibenarkan oleh syarak mengikut kriteria yang telah dijelaskan tadi, namun begitu adalah lebih baik untuk kita memfokuskan niat sesuatu amalan ibadah itu kerana Allah SWT semata-mata.
Dengan memfokuskan niat kerana ibadah, kita akan lebih khusyuk dan menghayati setiap ibadah yang dilaksanakan, dan dalam masa yang sama akan tercapai juga kelebihan-kelebihan daripada sesuatu ibadah tersebut.
Wallahu A'lam.
Rujukan:
[1] Al-Qarafiy (1994), al-Dhakhirah, Beirut: Dar al-Gharb al-Islamiy, 3:136.
حِكمة إيجاب النية إنما هو تمييز العبادات عن العادات، وتمييز مراتب العبادات، فتفتقر للنية؛ لتمييزها عن الهبات والكفارات والتطوعات
[2] Muslim bin al-Hajjaj al-Naysaburi (1955), Sahih Muslim, Bab Qawlih Innama al-A’mal bi al-Niyyah, no. 1907, Jil. 3, Kaherah: Matba’ah al-Babiy al-Halabiy, h. 1515.
[3] Muhyi al-Din Nawawi (1392H), al-Minhaj Sharh Sahih Muslim bin al-Hajjaj, Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy, 13:48.
معناه: من قصد بهجرته وجه الله، وقع أجره على الله، ومن قصد دنيَا أو امرأة فهي حظه، ولا نصيب له في الآخرة بسبب هذه الهجرة
[4] Ibn Hajar al-'Asqalaniy (1380H), Fath al-Bari bi Sharh al-Bukhariy, Kaherah: al-Maktabah al-Salafiyyah, 4:115.
وَالْمُرَادُ بِالْإِيمَانِ الِاعْتِقَادُ بِحَقِّ فَرْضِيَّةِ صَوْمِهِ وَبِالِاحْتِسَابِ طَلَبُ الثَّوَابِ مِنَ اللَّهِ تَعَالَى
[5] Shams al-Din al-Qurtubiy, Tafsir al-Qurtubiy: al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah, 20:144.
وَفِي هَذَا دَلِيلٌ عَلَى وُجُوبِ النِّيَّةِ فِي الْعِبَادَاتِ فَإِنَّ الْإِخْلَاصَ مِنْ عَمَلِ الْقَلْبِ وَهُوَ الَّذِي يُرَادُ بِهِ وَجْهُ اللَّهِ تَعَالَى لَا غَيْرِهِ
[6] Jalal al-Din ‘Abd al-Rahman al-Sayutiy (1983), al-Ashbah wa al-Nazair fi Qawa’id wa Furu’ Fiqh al-Shafi’iyyah, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 20.
أَنْ يُنْوَى مَعَ الْعِبَادَةِ مَا لَيْسَ بِعِبَادَةٍ فَقَدْ يُبْطِلُهَا، وَيَحْضُرُنِي مِنْهُ صُورَةٌ وَهِيَ مَا إذَا ذَبَحَ الْأُضْحِيَّة لِلَّهِ وَلِغَيْرِهِ
[7] Ibid, 20-21
مِنْهَا: مَا لَوْ نَوَى الْوُضُوء أَوْ الْغُسْل وَالتَّبَرُّد، فَفِي وَجْه لَا يَصِحّ لِلتَّشْرِيكِ ; وَالْأَصَحّ الصِّحَّة ; لِأَنَّ التَّبَرُّد حَاصِل: قَصَدَهُ أَمْ لَا، فَلَمْ يَجْعَل قَصْده تَشْرِيكًا وَتَرْكًا لِلْإِخْلَاصِ بَلْ هُوَ قَصْد لِلْعِبَادَةِ عَلَى حَسَب وُقُوعهَا ; لِأَنَّ مِنْ ضَرُورَتهَا حُصُول التَّبَرُّد.
[8] Ibid, 21
وَمِنْهَا: مَا لَوْ نَوَى الصَّوْم، أَوْ الْحَمِيَّة أَوْ التَّدَاوِي، وَفِيهِ الْخِلَاف الْمَذْكُور.
[9] Ibid, 21
وَاخْتَارَ الْغَزَالِيُّ اعْتِبَار الْبَاعِث عَلَى الْعَمَل، فَإِنْ كَانَ الْقَصْد الدُّنْيَوِيّ هُوَ الْأَغْلَب لَمْ يَكُنْ فِيهِ أَجْر، وَإِنْ كَانَ الدِّينِيّ أَغْلَب كَانَ لَهُ الْأَجْر بِقَدْرِهِ
[10] al-Qarafiy, al-Furuq:
وجميع هذه الأغراض لا يدخل فيها تعظيم الخلق ، بل هي لتشريك أمور من المصالح ليس لها إدراك ، ولا تصلح للإدراك ولا للتعظيم ، ذلك لا يقدح في العبادات ، فظهر الفرق بين قاعدة الرياء في العبادات وبين قاعدة التشريك فيها.
[11] Diakses pada 18 Mac 2024: https://bit.ly/darul-ifta-misriyyah-hukm-siyam.
فإنَّ على مَن يصوم للحمية أن ينوي الصيام للعبادة وتحصيل الثواب مع مقصد التخسيس أو إنقاص الوزن، فإنَّ مَن صام مريدًا القُرْبَة والحمية أو التداوي صحَّ صومه ورجي له الثواب.
وعلى المكلف أن ينوي القربة مع الحمية وإنقاص الوزن رجاء تحقيق الأثر والثواب جميعًا.
[12] Wizarah al-Awqaf li al-Shu’un al-Islamiyyah - Kuwait (1427H), al-Mawsu'ah al-Fiqhiyyah, Kuwait: Dar al-Salasil, 12:22-23.
لا نعلم خلافا بين الفقهاء في جواز تشريك ما لا يحتاج إلى نية في نية العبادة، كالتجارة مع الحج ..... والصوم مع قصد الصحة، والوضوء مع نية التبرد، والصلاة مع نية دفع الغريم؛ لأن هذه الأشياء تحصل بغير نية فلم يؤثر تشريكها في نية العبادة، وكالجهاد مع قصد حصول الغنيمة.