Soalan
Assalamualaikum, Bulan Ramadan akan tiba tidak lama lagi. Saya mengalami darah istihadah dan sebagai persediaan, bagaimana cara solat ketika di bulan Ramadan kerana untuk bulan-bulan yang biasa ketika solat, saya boleh la masukkan kapas bagi menahan darah dari mengalir, tapi ketika berpuasa bagaimana pula ya? Mohon pencerahan SS Mufti. Terima kasih
Ringkasan Jawapan
Wanita istihadah wajib membasuh farajnya serta membalutnya dengan tuala wanita, selain itu sumbat dengan kapas seperti tampon sekiranya ia tidak menyakitkan sebelum mengambil wuduk. Walau bagaimanapun wanita mustahadah (mengalami istihadah) yang sedang berpuasa tidak perlu menyumbat farajnya dengan kapas kerana ia boleh membatalkan puasa kerana sumbatan tersebut melepasi had batin rongga yang terbuka (faraj). Bahkan, memadai bagi mereka untuk membalut faraj dengan tuala wanita atau seumpamanya.
Berikut tatacara bersuci bagi wanita mustahadah ketika Ramadan mengikut tertib sebelum mendirikan solat:
- Membasuh faraj
- Wajib menukar balutan tuala wanita (pads) bagi menahan darah keluar tanpa menyumbat kapas seperti tampon dalam faraj ketika sedang puasa.
- Berwuduk setelah masuk waktu (satu wuduk untuk satu solat fardu)
- Niat wuduk untuk mengharuskan solat bukan mengangkat hadas.
- Menyegerakan solat kecuali disebabkan kemaslahatan solat seperti menutup aurat dan menunggu jemaah.
Huraian Jawapan
Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga,sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian.
Wanita mustahadah (yang mengalami istihadah) dihukumkan seperti wanita suci, maka mereka wajib melaksanakan ibadah fardu seperti solat dan puasa. Perkara ini dinyatakan oleh Imam al-Nawawi:
الْمُسْتَحَاضَةَ كَالطَّاهِرِ فِي الصَّلَاةِ وَالصَّوْمِ وَالِاعْتِكَافِ وَالْقِرَاءَةِ وَغَيْرِهَا
Maksudnya: “Orang mustahadah seperti orang yang suci dalam (hukum) solat, puasa, iktikaf, membaca al-quran dan lain-lain.”[1]
Hukum mustahadah seperti hukum daimul hadas (orang yang sentiasa berhadas) seperti mengalami kencing tidak lawas, mereka wajib membersihkan bahagian kemaluannya dan menyumbatnya dengan kapas sebelum mengambil wuduk. Perkara ini dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam Minhaj al-Talibin:
والاستحاضة حدث دائم كالسلس فلا تمنع الصوم والصلاة فتغسل المستحاضة فرجها وتعصبه وتتوضأ وقت الصلاة وتبادر بها فلو أخرت لمصلحة الصلاة كستر وانتظار جماعة لم يضر وإلا فيضر على الصحيح ويجب الوضوء لكل فرض وكذا تجديد العصابة في الأصح
Maksudnya: “Hukum wanita mustahadah sama hukumnya dengan mereka yang sentiasa berhadas seperti kencing tidak lawas yang tidak terhalang untuk melaksanakan ibadah solat dan puasa. Wanita mustahadah wajib membasuh faraj serta membalutnya. Seterusnya mengambil wuduk setelah masuk waktu dan segera menunaikan solat. Walau bagaimanapun wanita istihadah hanya melambatkan solat pada perkara-perkara persediaan sebelum solat (kemaslahatan berkaitan solat) seperti menutup aurat, menanti jemaah dan seumpamanya. Semua perkara yang melibatkan persediaan untuk solat tidak membatalkan wuduknya. Sekiranya dilewatkan solat tanpa ada keperluan, maka wuduknya terbatal menurut pendapat yang sahih. Wanita mustahadah wajib mengambil wuduk setiap kali solat fardu dan memperbaharui balutan kapas (tuala wanita) menurut pendapat paling sahih. [2]
Oleh itu, wanita istihadah wajib menahan darah yang sentiasa mengalir keluar dengan memasukkan kapas atau tampon ke bahagian dalam faraj sebelum berwuduk. Namun begitu, faraj merupakan salah satu daripada rongga yang terbuka, iaitu jika sesuatu objek melepasi had batin faraj, maka puasanya dikira batal. [3] Malahan, sekiranya yang masuk itu ialah jirim yang sedikit seperti bijian ia tetap membatalkan puasa.[4]
Penentuan Had Zahir dan Batin Faraj
Fuqaha mazhab al-Syafi’i menetapkan parameter had faraj yang boleh membatalkan puasa dengan membahagikan kepada had zahir dan had batin:
- Had zahir bagi faraj wanita ialah kawasan yang terlihat sekiranya wanita duduk dalam keadaan mencangkung. Ia juga merupakan kawasan zahir faraj yang wajib dibasuh ketika istinjak. Apabila memasukan sesuatu jirim ke dalam ruang tersebut ia tidak membatalkan puasa.
- Had batin faraj ialah kawasan dalam faraj yang tidak wajib dibasuh ketika istinjak yang mana tidak kelihatan ketika duduk dalam keadaan mencangkung. Status puasa seseorang wanita akan terbatal sekiranya dia memasukkan sesuatu ke dalam faraj (had batin). Ini berdasarkan kenyataan dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab:
فالذي يظهر من فرجها إذا قعدت لقضاء الحاجة له حكم الظاهر فيلزمها تطهيره ولا يلزمها مجاورته
فإن جاوزته بإدخال أصبعها زيادة عليه بطل صومها
Maksudnya: “Maka bahagian zahir faraj adalah bahagian yang dapat dilihat apabila dia duduk (mencangkung) ketika membuang air. Justeru hukum bahagian zahir tersebut adalah dia (wanita) wajib membersihkannya dan tidak wajib baginya melampaui bahagian tersebut. Sekiranya dia melepasi had tersebut dengan memasukkan jarinya lebih dalam daripada bahagian zahir (untuk membersihkan), maka puasanya terbatal.”[5]
Selain itu, Imam Ibnu Hajar al-Haithami menyatakan bahawa wanita mustahadah yang berpuasa hanya memadai membalut farajnya dengan kain atau seumpamanya tanpa perlu menyumbat kapas dalam faraj. Hal ini kerana istihadah merupakan penyakit yang berpanjangan, dan jika wanita tersebut lebih mengutamakan kemaslahatan solatnya, dikhuatiri ia akan menyukarkan dirinya untuk mengqada puasa.[6]
Kesimpulan
- Status puasa seorang wanita akan terbatal sekiranya dia memasukkan sesuatu ke dalam had batin faraj, iaitu bahagian dalam faraj yang tidak wajib dibasuh ketika istinjak.
- Justeru, wanita yang mengalami istihadah dan sedang berpuasa tidak wajib menyumbat kapas pada had batin faraj, sebaliknya memadai bagi mereka membalut faraj dengan tuala wanita atau seumpamanya agar puasanya tidak terbatal.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1]Al-Nawawi, Abu Zakariyya Mahya Ad-Din bin Syarh,. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Beirut: Dar al-Fikr, t.t). Jld 2. Hlmn 372.
[2] Al-Nawawi, Abu Zakariyya Mahya Ad-Din bin Syarh, Minhaj al-Thalibin wa Umdatun Muftin fi al-Fiqh ( t.t Dar al-Fikr, 2005) J: 1 P : 204
[3] Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha & ‘Ali al-Syirbiji. al-Fiqh al-Manhaji. (Damsyiq: Dar al-Qalam, 1992). Jld 2. Hlm 451.
وصول عين إلى الجوف من منفذ مفتوح: والمقصود بالعين: أي شيء تراه العين. والجوف: هو الدماغ أو ما وراء الحلق إلى المعدة والأمعاء. والمنفذ المفتوح: هو الفم والأذن والقبل والدبر من الذكر والأنثى.
[4] Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah (1994), jld. 2, hlm. 155.
(وَ) الْإِمْسَاكِ (عَنْ وُصُولِ الْعَيْنِ) وَإِنْ قَلَّتْ كَسِمْسِمَةٍ أَوْ لَمْ تُؤْكَلْ كَحَصَاةٍ. (إلَى مَا يُسَمَّى جَوْفًا)
[5] Ibnu Hajar al-Haitami, Ahmad bin Muhammad bin Ali. Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj. (Mesir: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 1983H). Jld 1. Hlmn 394-395.
وإن كانت صائمة تركت الحشو نهارا واقتصرت على العصب محافظة على الصوم لا الصلاة ... لأن الاستحاضة علة مزمنة الظاهر دوامها فلو روعيت الصلاة ربما تعذر قضاء الصوم ولا كذلك
[6] Ibnu Hajar al-Haitami, Ahmad bin Muhammad bin Ali. Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj. (Mesir: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 1983H). Jld 1. Hlmn 394-395.
وإن كانت صائمة تركت الحشو نهارا واقتصرت على العصب محافظة على الصوم لا الصلاة ... لأن الاستحاضة علة مزمنة الظاهر دوامها فلو روعيت الصلاة ربما تعذر قضاء الصوم ولا كذلك