اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 272: HUKUM TERTELAN SISA MAKANAN DALAM MULUT KETIKA BERPUASA

APAKAH_HUKUM_TERTELAN_SISA_MAKANAN_DALAM_MULUT_KETIKA_BERPUASA.jpg

Soalan

Assalamualaikum. Jika saya sedang puasa, sedang solat Asar, tengah baca al-Fatihah, saya rasa ada benda pada lelangit. Saya tahu jika ada benda perlu buang terus, tetapi saya ada sedikit lagi bacaan al-Fatihah dan saya habiskan dahulu. Bila saya check balik benda itu dah hilang. Batalkah puasa saya?

Mohon penjelasan. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Tidak batal puasa jika dia tidak mampu untuk membezakannya dengan air liurnya serta tidak disengajakan.

Waallahu a’lam.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Dalam situasi ini, jika ia tertelan bersama dengan air liur dan sukar untuk membezakannya dengan perkara lain, serta tidak dapat meludahkannya kerana sebab halangan tertentu seperti berada dalam solat dan sebagainya, maka puasanya tersebut sah dan tidak terbatal. Hal ini sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Khatib al-Syirbini:

(وَلَوْ بَقِيَ طَعَامٌ ‌بَيْنَ ‌أَسْنَانِهِ فَجَرَى بِهِ رِيقُهُ) مِنْ غَيْرِ قَصْدٍ (‌لَمْ ‌يُفْطِرْ إنْ عَجَزَ عَنْ تَمْيِيزِهِ وَمَجِّهِ) ؛ لِأَنَّهُ مَعْذُورٌ فِيهِ غَيْرُ مُقَصِّرٍ، فَإِنْ لَمْ يَعْجِزْ أَفْطَرَ لِتَقْصِيرِهِ

Maksudnya: Jika ada makan tersisa di gigi-giginya kemudian dia menggerakkannya dengan air liurnya kemudian tertelan dengan tidak sengaja, maka tidak membatalkan puasa sekiranya dia sukar untuk membezakannya dengan air liur. Hal ini kerana ia dikira diberikan keuzuran dan bukan disebabkan kecuaiannya. Jika tiada kesulitan demikian, maka batal puasanya disebabkan kecuaiannya.

(Rujuk Mughni al-Muhtaj, 2:158)

Oleh yang demikian, perbuatan yang disebutkan di dalam soalan tidak membatalkan puasa pelakunya dan dia boleh terus berpuasa pada hari tersebut tanpa perlu mengqadanya.

Waallahu a’lam.