اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 282: WANITA HAID MAKAN MAKANAN YANG DISEDIAKAN DI MASJID KETIKA BULAN RAMADAN

WANITA_HAID_MAKAN_MAKANAN_YANG_DISEDIAKAN_DI_MASJID_KETIKA_BULAN_RAMADAN.jpg

Soalan

Bolehkah wanita haid makan makanan yang disediakan di masjid ketika bulan Ramadan?

Ringkasan Jawapan

Wanita haid dilarang memakan makanan yang khusus disediakan oleh masjid untuk orang berbuka puasa. Sekiranya wanita haid tidak tahu kepada siapa makanan tersebut dikhususkan, maka wajib kembali kepada hukum asal iaitu, niat penderma hanya untuk orang yang berpuasa. Oleh itu orang yang tidak berpuasa tidak dibenarkan mengambil makanan yang disediakan. Walau bagaimanapun, diharuskan wanita haid mengambil makanan yang disediakan di masjid jika makanan tersebut diyakini disediakan untuk setiap orang tanpa mengehadkan sesiapa pun dan ada lebihan makanan.

Sebaiknya wanita haid bertanya dengan penganjur iftar tersebut atau pihak masjid sebelum mengambil makanan yang disediakan. Dalam keadaan tersebut, orang yang tidak berpuasa dinasihatkan agar memberi laluan orang yang berpuasa untuk mengambil makanan terlebih dahulu. Begitu juga, wanita haid wajib menjaga adab-adab ketika di masjid dengan tidak memasuki kawasan masjid yang dilarang bagi wanita haid bagi menjaga kesucian masjid. Wallahu a’lam.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam, selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang meninggalkan kita di atas agama yang suci ini, seterusnya buat ahli keluarga baginda, isteri-isteri baginda, serta mereka yang berpegang dengan ajaran baginda hingga hari akhirat.

Wanita Haid di Masjid

Antara perkara yang diharamkan bagi orang dalam keadaan junub atau wanita haid adalah berada di dalam masjid berdasarkan firman Allah SWT berikut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا ۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi bersuci.

Surah al-Nisa’ (43)

Imam Khatib al-Syirbini menjelaskan bahawa haid dianggap lebih berat daripada junub kerana ia melibatkan larangan-larangan yang lebih banyak termasuk larangan melintasi masjid jika ada kemungkinan darah haid akan mencemari tempat tersebut. Jika tiada risiko pencemaran, wanita yang sedang haid boleh melintasi masjid, namun hukumnya makruh, sama seperti bagi orang junub.[1]

Jika kawasan iftar tersebut adalah kawasan masjid yang dilarang untuk wanita haid atau orang yang berjunub, maka diharamkan bagi golongan tersebut untuk duduk di dalam masjid dalam apa jua keadaan meskipun mampu menjaga kesucian masjid. Namun, jika kawasan tempat berbuka puasa itu bukan termasuk kawasan yang dilarang untuk wanita haid seperti kawasan tempat meletakkan kenderaan masjid atau dewan jamuan yang berasingan dengan masjid, maka ia diharuskan.

Pemberian atau Sedekah yang Telah Dikhususkan

Makanan yang disediakan untuk berbuka puasa secara umumnya adalah khusus untuk orang yang berpuasa. Imam Zakaria al-Ansari membahaskan pemberian yang disyaratkan oleh pemberi hendaklah dipenuhi syarat tersebut sebagaimana nukilan berikut:

(وَلَوْ أَعْطَاهُ دَرَاهِمَ وَقَالَ اشْتَرِ لَك) بِهَا (عِمَامَةً أَوْ اُدْخُلْ بِهَا الْحَمَّامَ) أَوْ نَحْوَ ذَلِكَ (تَعَيَّنَتْ) لِذَلِكَ مُرَاعَاةً لِغَرَضِ الدَّافِعِ هَذَا (إنْ قَصَدَ سَتْرَ رَأْسِهِ) بِالْعِمَامَةِ (وَتَنْظِيفَهُ) بِدُخُولِهِ الْحَمَّامَ لِمَا رَأَى بِهِ مِنْ كَشْفِ الرَّأْسِ وَشَعَثِ الْبَدَنِ وَوَسَخِهِ (وَإِلَّا) أَيْ وَإِنْ لَمْ يَقْصِدْ ذَلِكَ بِأَنْ قَالَهُ عَلَى سَبِيلِ التَّبَسُّطِ الْمُعْتَادِ (فَلَا) تَتَعَيَّنُ لِذَلِكَ بَلْ يَمْلِكُهَا أَوْ يَتَصَرَّفُ فِيهَا كَيْفَ شَاءَ.

Maksudnya: Dan jika seseorang memberinya wang (dirham) dan berkata, 'belilah dengan wang ini serban untukmu' atau 'masuklah dengan wang ini ke dalam tempat mandi' atau seumpamanya, maka ia menjadi khusus untuk tujuan tersebut, berdasarkan niat pemberi yang mahu melindungi kepala penerima dengan serban atau membersihkan diri penerima dengan memintanya masuk ke dalam tempat mandi kerana dia ingin menutup kepala serta menghilangkan kekusutan dan kotoran di badan penerima. Namun, jika tujuan pemberian tersebut bukan seperti itu seperti berkata dalam bentuk kebiasaan, maka tujuan tersebut tidak menjadi khusus dan penerima boleh memiliknya atau menggunakannya mengikut kehendaknya.[2]

Dalam konteks ini, jika seseorang memberi wang dengan tujuan tertentu seperti berbuka puasa, maka pemberian itu dianggap khusus untuk tujuan yang disebutkan. Namun, jika pemberian itu hanya dilakukan secara biasa tanpa tujuan khusus, maka penerima wang tersebut bebas untuk menggunakannya mengikut kehendaknya.

Walau bagaimanapun, pengarang kitab Nihayah al-Zain menyatakan bahawa:

مَا ‌إِذا ‌أَبَاحَ ‌لَهُ ‌غَيره ‌طَعَاما ‌ليأكله ‌لَا ‌يجوز ‌أَن ‌يحمل ‌مِنْهُ ‌شَيْئا ‌وَلَا ‌أَن ‌يطعم ‌غَيره ‌إِلَّا ‌إِذا ‌علم ‌أَن ‌مُبِيح ‌الطَّعَام ‌يسمح ‌بذلك فَإِن شكّ حكم الْعرف والقرينة

Maksudnya: Apabila seseorang membenarkan orang lain untuk makan makanan yang diberikan kepadanya, maka tidak dibenarkan untuk membawa sebahagian daripadanya atau memberi makanan tersebut kepada orang lain, kecuali jika dia tahu bahawa pemberi makanan tersebut membenarkannya. Jika terdapat keraguan, hukum akan ditentukan berdasarkan adat kebiasaan atau petunjuk yang ada.[3]

Oleh itu, sekiranya tidak dapat dipastikan penderma akan meredai makanannya dimakan oleh orang yang tidak berpuasa, maka orang yang tidak berpuasa tidak dibenarkan mengambilnya.

Kesimpulan

Menjawab kepada persoalan yang diajukan, sekiranya wanita haid tidak tahu kepada siapa makanan tersebut dikhususkan, maka wajib kembali kepada hukum asal iaitu, niat penderma hanya untuk orang yang berpuasa. Oleh itu orang yang tidak berpuasa tidak dibenarkan mengambil makanan yang disediakan. Sebaiknya wanita haid bertanya dengan penganjur iftar tersebut atau pihak masjid sebelum mengambil makanan yang disediakan. Hal ini kerana berkemungkinan makanan yang disediakan melebihi kapasiti jemaah yang akan berbuka puasa dan menjadi uruf setempat untuk menggalakkan orang ramai ke masjid seperti kanak-kanak yang masih lagi tidak berpuasa serta wanita haid. Wallahu a’lam.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Al-Khatib al-Syirbini, Muhammad bin Muhammad. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Alfaz al-Minhaj. (T.tp: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, 1994).1:279.

(وَيَحْرُمُ بِهِ) أَيْ بِالْحَيْضِ (مَا حَرُمَ بِالْجَنَابَةِ) مِنْ صَلَاةٍ وَغَيْرِهَا؛ لِأَنَّهُ أَغْلَظُ، وَيَدُلُّ عَلَى أَنَّهُ أَغْلَظُ مِنْهَا أَنَّهُ يَحْرُمُ بِهِ مَا يَحْرُمُ بِهَا (وَ) أَشْيَاءُ أُخَرُ: أَحَدُهَا (عُبُورُ الْمَسْجِدِ إنْ خَافَتْ تَلْوِيثَهُ) صِيَانَةً لِلْمَسْجِدِ عَنْ النَّجَاسَةِ، فَإِنْ أَمِنَتْهُ جَازَ لَهَا الْعُبُورُ كَالْجُنُبِ لَكِنْ مَعَ الْكَرَاهَةِ كَمَا فِي الْمَجْمُوعِ

[2] Al-Ansari, Zakariya bin Muhammad. Asna al-Matalib fi Syarh Raudh al-Talib. (T.tp: Dar al-Kutub al-Islami, t.t.) 2:479-480.

[3] Nawawi al-Jawi, Muhammad bin Umar. Nihayah al-Zain fi Irsyad al-Mubtadi’in. (Beirut: Dar al-Fikr, t.t.). 36.