اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 288: ADAKAH DOSANYA MEMBATALKAN PUASA DAN DIGANDAKAN DOSA?

ADAKAH_DOSANYA_MEMBATALKAN_PUASA_DAN_DIGANDAKAN_DOSA.jpg

Soalan

Apakah benar dosa digandakan dalam bulan Ramadan sebagaimana pahala digandakan?

Ringkasan Jawapan

Dosa atau maksiat tidak digandakan dari segi jumlahnya, namun kesalahannya menjadi lebih berat dan besar apabila dilakukan pada bulan Ramadan.

Huraian Jawapan

Tidak syak lagi bahawa bulan Ramadan mempunyai kehormatan yang sangat besar. Nabi Muhammad SAW telah memberi amaran keras terhadap orang yang melanggar kesucian bulan ini. Dalam satu hadis riwayat Abu Umamah al-Bahili RA, beliau meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

بَيْنَا أَنَا نَائِمٌ إِذْ أَتَانِي رَجُلَانِ، فَأَخَذَا بِضَبْعَيَّ، فَأَتَيَا بِي جَبَلًا وَعْرًا، فَقَالَا: اصْعَدْ، فَقُلْتُ: إِنِّي لَا أُطِيقُهُ، فَقَالَا: إِنَّا سَنُسَهِّلُهُ لَكَ، فَصَعِدْتُ حَتَّى إِذَا كُنْتُ فِي سَوَاءِ الْجَبَلِ إِذَا بِأَصْوَاتٍ شَدِيدَةٍ، قُلْتُ: مَا هَذِهِ الْأَصْوَاتُ؟ قَالُوا: هَذَا عُوَاءُ أَهْلِ النَّارِ، ثُمَّ انْطُلِقَ بِي، فَإِذَا أَنَا بِقَوْمٍ مُعَلَّقِينَ بِعَرَاقِيبِهِمْ، مُشَقَّقَةٍ أَشْدَاقُهُمْ، تَسِيلُ أَشْدَاقُهُمْ دَمًا قَالَ: قُلْتُ: مَنْ هَؤُلَاءِ؟ قَالَ: هَؤُلَاءِ الَّذِينَ يُفْطِرُونَ قَبْلَ تَحِلَّةِ صَوْمِهِمْ

Maksudnya: “Ketika aku sedang tidur, tiba-tiba datang kepadaku dua orang lelaki. Mereka memegang kedua-dua lenganku, lalu membawaku ke sebuah gunung yang sukar didaki. Mereka berkata: Naiklah. Aku berkata: Sesungguhnya aku tidak mampu. Mereka berkata: Kami akan memudahkannya untukmu. Maka aku pun naik, sehingga apabila aku berada di puncak gunung itu, tiba-tiba terdengar suara jeritan yang sangat kuat. Aku bertanya: Apakah suara-suara ini? Mereka menjawab: Itulah pekikan penghuni Neraka. Kemudian aku dibawa lagi, lalu aku melihat satu kaum yang digantung pada urat tumit mereka, pipi mereka terkoyak dan mengalir darah daripada mulut mereka. Aku bertanya: Siapakah mereka ini? Mereka menjawab: Mereka ialah orang-orang yang berbuka puasa sebelum tiba waktunya.”

(Riwayat Ibn Khuzaimah)

Namun begitu, para ulama menjelaskan bahawa walaupun Ramadan mempunyai kehormatan yang besar, dosa tidak digandakan dari segi bilangannya, sama ada dalam Ramadan atau selainnya. Justeru ia bermaksud yang digandakan hanyalah pahala.

Hal ini berdasarkan firman Allah Taala:

مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا ۖ وَمَن جَاءَ بِالسَّيِّئَةِ فَلَا يُجْزَىٰ إِلَّا مِثْلَهَا وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

Maksudnya: “Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (daripada kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).”

Surah al-An‘am (160)

Al-Tabari dalam mentafsirkan ayat ini menyebutkan situasi dosa syirik, iaitu:

وكذلك ذلك فيمن جاء بالسيئة التي هي الشرك، إلا أنه لا يجازى صاحبها عليها إلا ما يستحقه عليها من غير إضعافه عليه.

Maksudnya: “Demikian juga bagi orang yang datang dengan kejahatan, iaitu syirik (mempersekutukan Allah). Namun, pelakunya tidak akan dibalas melainkan setimpal dengan apa yang layak baginya atas perbuatan itu, tanpa digandakan balasannya ke atasnya.”[1]

Bahkan, banyak lagi ayat-ayat lain yang menyebutkan perihal yang sama dengan ayat 160 surah al-Anʻam di atas.

Begitu juga disebutkan dalam satu hadis Qudsi bahawa Allah SWT mencatatkan kebaikan dan keburukan. Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka ditulis baginya satu dosa sahaja, bukan digandakan. Lafaznya seperti berikut:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ، فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ، وَمَنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan kebaikan dan keburukan, kemudian menjelaskannya. Maka barangsiapa yang hendak mengerjakan suatu kebaikan tetapi dia tidak jadi melaksanakannya, maka Allah menetapkan niatnya itu baginya satu kebaikan yang sempurna di sisi-Nya, dan jika dia hendak mengerjakannya lalu melaksanakannya, maka Allah menuliskan itu baginya sepuluh kebaikan sehingga tujuh ratus kali ganda, bahkan berkali-kali ganda banyaknya di sisi-Nya. Adapun sesiapa yang merancang untuk melakukan mana-mana keburukan dan dia tidak melaksanakannya, maka Allah menuliskan itu baginya sebagai satu kebaikan yang sempurna di sisi-Nya, dan jika dia berniat untuk mengerjakannya lalu melaksanakannya, maka Allah menetapkannya sebagai satu keburukan di sisi-Nya.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali menjelaskan bahawa dosa tidak digandakan dari sudut bilangannya, tetapi ia boleh menjadi lebih berat atau diperbesar dosanya kerana kemuliaan masa atau tempat.[2] Sebagai contoh, dosa dalam bulan-bulan haram atau di Tanah Haram adalah lebih besar kesalahannya berbanding tempat dan waktu biasa.

Meskipun terdapat riwayat yang menyebut bahawa dosa digandakan dalam Ramadan, namun para ulama seperti Ibn Rajab dan Ibn al-Jawzi menegaskan bahawa hadis tersebut tidak sahih.[3]

Sebaliknya, pahala memang digandakan, lebih-lebih lagi dalam Ramadan. Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ، الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعمِائَة ضِعْفٍ، قَالَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ: إِلَّا الصَّوْمَ، فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ،

Maksudnya: “Setiap amalan anak Adam digandakan, satu kebaikan dengan sepuluh kali ganda hingga tujuh ratus kali ganda. Allah berfirman: Kecuali puasa, sesungguhnya ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya.”

(Riwayat Muslim)

Ini menunjukkan bahawa pahala, khususnya puasa akan berlipat ganda tanpa had tertentu yang diketahui manusia.

Para ulama seperti Ibn al-Qayyim rhm menegaskan bahawa yang dimaksudkan dengan dosa menjadi besar di tempat atau waktu mulia ialah dari sudut kualiti dan beratnya dosa, bukan dari segi bilangannya. Maksudnya, satu dosa tetap dibalas dengan satu dosa, tetapi kesalahannya lebih berat dan akibatnya lebih besar kerana dilakukan pada masa atau tempat yang mulia.[4]

Kesimpulan

  • Pahala digandakan dalam Ramadan dan juga pada waktu serta tempat yang mulia.
  • Dosa tidak digandakan dari segi bilangan tetapi menjadi lebih berat dan lebih besar kesalahannya apabila dilakukan dalam bulan Ramadan.
  • Oleh itu, seorang Muslim hendaklah bersungguh-sungguh memperbanyakkan amal soleh dan menjauhi maksiat, kerana melanggar kesucian Ramadan adalah dosa yang sangat berat.

Semoga Allah memberi kita kekuatan untuk memuliakan Ramadan dengan ketaatan dan menjauhi segala bentuk maksiat.

Wallahuaʻlam.

 

Rujukan: 

[1] Muhammad bin Jarir al-Tabari, Jamiʻ al-Bayan fi Ta’wil al-Quran, ed. Ahmad Muhammad Syakir (Beirut: Mu’assasah al-Risalah, 2000), jld. 12: hlm. 276.

[2] Ibn Rajab al-Hanbali, Jamiʻ al-ʻUlum wa al-Hikam, ed. Syuʻaib al-Arna’ut (Beirut: Mu’assasah al-Risalah, 2001), jld. 2: hlm. 316.

عَمَلُ السَّيِّئَاتِ، فَتُكْتَبُ السَّيِّئَةُ بِمِثْلِهَا، مِنْ غَيْرِ مُضَاعَفَةٍ، كَمَا قَالَ تَعَالَى: {وَمَنْ جَاءَ بِالسَّيِّئَةِ فَلَا يُجْزَى إِلَّا مِثْلَهَا وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ}. وَقَوْلُهُ: «كُتِبَتْ لَهُ سَيِّئَةٌ وَاحِدَةٌ» إِشَارَةٌ إِلَى أَنَّهَا غَيْرُ مُضَاعَفَةٍ، مَا صَرَّحَ بِهِ فِي حَدِيثٍ آخَرَ، لَكِنَّ السَّيِّئَةَ تَعْظُمُ أَحْيَانًا بِشَرَفِ الزَّمَانِ أَوِ الْمَكَانِ، كَمَا قَالَ تَعَالَى: {إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ}

[3] Ibid.

وَقَدْ رُوِيَ فِي حَدِيثَيْنِ مَرْفُوعَيْنِ «أَنَّ السَّيِّئَاتِ تُضَاعَفُ فِي رَمَضَانَ» ، وَلَكِنَّ إِسْنَادَهُمَا لَا يَصِحُّ

[4] Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Zad al-Maʻad fi Hady Khair al-‘Ibad (Beirut: Mu’assasah al-Risalah, 1994), jld. 1: hlm. 52.

وَمِنْ هَذَا تَضَاعُفُ مَقَادِيرِ السَّيِّئَاتِ فِيهِ لَا كَمِّيَّاتِهَا، فَإِنَّ السَّيِّئَةَ جَزَاؤُهَا سَيِّئَةٌ، لَكِنْ سَيِّئَةٌ كَبِيرَةٌ جَزَاؤُهَا مِثْلُهَا، وَصَغِيرَةٌ جَزَاؤُهَا مِثْلُهَا، فَالسَّيِّئَةُ فِي حَرَمِ اللَّهِ وَبَلَدِهِ وَعَلَى بِسَاطِهِ آكَدُ وَأَعْظَمُ مِنْهَا فِي طَرَفٍ مِنْ أَطْرَافِ الْأَرْضِ، وَلِهَذَا لَيْسَ مَنْ عَصَى الْمَلِكَ عَلَى بِسَاطِ مُلْكِهِ كَمَنْ عَصَاهُ فِي الْمَوْضِعِ الْبَعِيدِ مِنْ دَارِهِ وَبِسَاطِهِ، فَهَذَا فَصْلُ النِّزَاعِ فِي تَضْعِيفِ السَّيِّئَاتِ، وَاللَّهُ أَعْلَمُ.