اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 289: SAHIHKAH HADIS DOA BERBUKA PUASA DAN BILA MASA YANG TEPAT UNTUK DIBACA?

SAHIHKAH_HADIS_DOA_BERBUKA_PUASA_DAN_BILA_MASA_YANG_TEPAT_UNTUK_DIBACA.jpg

Soalan

Salam, sebenarnya doa berbuka yang dibaca kebiasaan masyarakat kita ini benarkah ada sandarannya daripada hadis Nabi SAW?

Ringkasan Jawapan

Lafaz doa berbuka puasa yang sering diamalkan dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia berasaskan hadis mursal, dan ia boleh diamalkan kerana para ulama sependapat bahawa hadis daif dibolehkan untuk beramal dalam bab kelebihan beramal (fada’il al-a‘mal). Oleh itu, doa ini boleh diamalkan sebagai anjuran berdoa, yang termasuk dalam kategori galakan beramal. Selain itu, penambahan kalimah “وَبِكَ آمَنتُ” dalam doa tersebut tidak menjadi suatu kesalahan kerana maknanya benar dan termasuk dalam kategori bidaah yang hasanah. Manakala waktu terbaik untuk membaca doa ini adalah selepas berbuka sebagaimana yang disebutkan oleh ulama. Namun, tidaklah menjadi suatu kesalahan jika hendak membaca doa ini sebelum berbuka puasa.

Huraian Jawapan

Doa berbuka puasa adalah amalan yang biasa dilakukan oleh umat Islam setiap kali menjelang waktu berbuka. Doa ini sering kali dibaca sebelum kita menikmati hidangan berbuka, sebagai tanda syukur kepada Allah SWT atas segala nikmat yang diberikan sepanjang hari berpuasa. Namun, persoalannya adalah, sejauh mana kesahihan hadis doa berbuka puasa dan bila waktu yang tepat untuk membacanya? Artikel ini akan membincangkan hal tersebut dari segi hukum syarak.

Di Malaysia, doa berbuka puasa yang paling popular ialah:

اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ، وَبِكَ آمَنْتُ، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ، بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ

Maksudnya: Ya Allah Ya Tuhan kami, kerana-Mu kami berpuasa dan kepada-Mu jualah kami beriman serta dengan rezeki-Mu kami berbuka puasa, dengan rahmat-Mu Ya Allah Tuhan Maha Pengasih.

Doa ini bersumberkan daripada hadis Nabi SAW yang menyebut:

‌اللَّهُمَّ ‌لَكَ ‌صُمْتُ، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ

Doa ini diriwayatkan dalam beberapa kitab hadis dan ia mempunyai beberapa versi jalur periwayatan iaitu melalui jalur Muaz bin Zuhrah, Abu Hurairah RA dan Anas bin Malik RA. Antara kitab yang meriwayatkan doa ini ialah kitab al-Zuhdi wa al-Raqa’iq oleh Ibn al-Mubarak[1], al-Duʻa’ oleh al-Dhabbi[2], al-Musannaf oleh Ibn Abi Syaibah[3], Sunan Abi Daud oleh Imam Abu Daud[4], al-Muʻjam al-Awsat oleh Imam al-Tabarani[5], al-Sunan al-Kubra oleh Imam al-Baihaqi[6] dan lain-lain.

Hadis dengan jalur daripada Muʻaz bin Zuhrah adalah mursal. Hal ini kerana, beliau berada pada generasi tabiin dan meriwayatkan satu hadis daripada Nabi SAW berkenaan doa berbuka puasa secara mursal.[7] Selain itu, dalam sanad tersebut murid yang mengambil hadis daripadanya ialah Husain bin Abd al-Rahman al-Sulami, di mana Imam al-Bukhari menyebutkan bahawa jika Husain yang meriwayatkan daripadanya maka hukumnya adalah mursal.[8]

Husain bin Abd al-Rahman juga meriwayatkan doa ini daripada Abu Hurairah RA tetapi setelah diteliti Husain bin Abd al-Rahman tidak pernah meriwayatkan hadis daripada Abu Hurairah RA dan dalam biografinya tidak dijumpai senarai gurunya Abu Hurairah RA.[9]

Bagi jalur Anas bin Malik pula, Imam al-Tabarani menyebutkan bahawa tiada yang meriwayatkan hadis ini daripada Syuʻbah kecuali Daud bin Al-Zibriqan, yang mana Ismail bin Amr bersendiri (tafarrud) dalam meriwayatkan hadis ini dengan jalur ini.[10]

‌‌Walaupun hadis ini sanadnya mursal dan tergolong dalam kategori hadis daif tetapi ia boleh diamalkan kerana anjuran berdoa termasuk dalam bab galakan beramal. Hal ini kerana, hadis daif boleh diamalkan dengan syarat-syarat tertentu, antaranya ia tidak berkaitan dengan hukum hakam dan akidah. Ia hanya dibenarkan dalam perkara kelebihan beramal (fada’il al-a‘mal), galakan dan ancaman.[11] Meskipun dalam kebiasaan masyarakat terdapat pertambahan kalimah “وَبِكَ آمَنتُ” maka ia tidak menjadi suatu kesalahan kerana maknanya benar dan termasuk dalam kategori bidaah yang hasanah.[12]

Bahkan, dalam mazhab al-Syafie[13] disunatkan untuk membaca doa ini selepas berbuka puasa dan ditambah dengan doa yang lain jika berbuka puasa dengan air terlebih dahulu, sebagaimana yang disebutkan oleh Abu Bakar al-Dimyati dalam Iʻanah al-Talibin:

ويسن أن يقول عقب الفطر: ‌اللهم ‌لك ‌صمت، وعلى رزقك أفطرت ويزيد - من أفطر بالماء -: ذهب الظمأ، وابتلت العروق، وثبت الاجر إن شاء الله تعالى

Maksudnya: “Disunatkan membaca selepas berbuka puasa “اللهم لك صمت، وعلى رزقك أفطرت” (Ya Allah, kepada-Mu aku berpuasa dan dengan rezeki-Mu aku berbuka) dan ditambah oleh mereka yang berbuka dengan air: “ذهب الظمأ، وابتلت العروق، وثبت الأجر إن شاء الله تعالى” (Telah hilang dahaga, telah basah urat-urat, dan telah ditetapkan pahala, InsyaAllah).”[14]

Namun, jika hendak membaca doa ini sebelum berbuka puasa sekalipun, tidaklah menjadi suatu kesalahan.

Kesimpulan

Lafaz doa berbuka puasa yang sering diamalkan dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia berasaskan hadis mursal, dan ia boleh diamalkan kerana para ulama sependapat bahawa hadis daif dibolehkan untuk beramal dalam bab kelebihan beramal (fada’il al-a‘mal). Oleh itu, doa ini boleh diamalkan sebagai anjuran berdoa, yang termasuk dalam kategori galakan beramal. Selain itu, penambahan kalimah “وَبِكَ آمَنتُ” dalam doa tersebut tidak menjadi suatu kesalahan kerana maknanya benar dan termasuk dalam kategori bidaah yang hasanah. Manakala waktu terbaik untuk membaca doa ini adalah selepas berbuka sebagaimana yang disebutkan oleh ulama. Namun, tidaklah menjadi suatu kesalahan jika hendak membaca doa ini sebelum berbuka puasa.

Wallahuaʻlam.

Rujukan

[1] Abdullah bin al-Mubarak, al-Zuhd wa al-Raqa’iq, ed. Habiburrahman al-Aʻzami (India: Muhammad Afif al-Zaʻbi, t.t.), hadis no. 1410, hlm. 495.

[2] Muhammad bin Fudail al-Dhabbi, al-Duʻa’, ed. Abdul Aziz bin Sulaiman (Riyadh: Maktabah al-Rusyd, 1999), hadis no. 66, hlm. 237.

[3] Abu Bakr bin Abi Syaibah, al-Musannaf fi al-Ahadith wa al-Athar, ed. Kamal Yusuf al-Hut (Riyadh: Maktabah al-Rusyd, 1409H), hadis no, 9744, jld. 2: hlm. 344.

[4] Abu Daud Sulaiman bin al-Asyʻath, Sunan Abi Daud, ed. Syuʻaib al-Arna’ut (t.tp.: Dar al-Risalah al-‘Alamiyyah, 2009), hadis no. 2358, jld. 4: hlm. 40.

[5] Abu al-Qasim al-Tabarani, al-Muʻjam al-Awsat, ed. Tariq ‘Iwadullah (Kaherah: Dar al-Haramain, t.t.), hadis no. 7549, jld. 7: hlm. 298.

[6] Abu Bakar al-Baihaqi, al-Sunan al-Kubra, ed. Muhammad ‘abd al-Qadir ‘Ata (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 2003), hadis no. 8134, jld. 4: hlm. 403.

[7] Yusuf bin Abd al-Rahman al-Mizzi, Tahzib al-Kamal fi Asma’ al-Rijal, ed. Basyar ‘Awwad Maʻruf (Beirut: Mu’assasah al-Risalah, 1980), jld. 28: hlm. 122.

معاذ بن زهرة ويُقال: معاذ أَبُو زهرة الضبي تابعي.

رَوَى عَن: النَّبِيّ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلم مُرْسلاً فِي القول عند الإفطار.

[8] Muhammad bin Ismail al-Bukhari, al-Tarikh al-Kabir (Hayderabad: Da’irah al-Maʻarif al-‘Uthmaniyyah, t.t.), jld. 7: hlm. 364.

مُعَاذ أَبُو زهرة قَالَ حصين، مرسل،

[9] Yusuf bin Abd al-Rahman al-Mizzi, Tahzib al-Kamal fi Asma’ al-Rijal, jld. 6: hlm. 519.

[10] Abu al-Qasim al-Tabarani, al-Muʻjam al-Awsat, ed. Tariq ‘Iwadullah, jld. 7: hlm. 298.

لَمْ يَرْوِ هَذَا الْحَدِيثَ عَنْ شُعْبَةَ إِلَّا دَاوُدُ بْنُ الزِّبْرِقَانِ، تَفَرَّدَ بِهِ: إِسْمَاعِيلُ بْنُ عَمْرٍو

[11] Nur al-Din ‘Itr, Manhaj al-Naqd fi ‘Ulum al-Hadith (Dimasyq: Dar al-Fikr, 1981), hlm. 293.

قد اتفق العلماء على جواز العمل بالحديث الضعيف في فضائل الأعمال لأنه إن كان صحيحا في نفس الأمر فقد أعطي حقه من العمل به. والألم يترتب على العمل به مفسدة تحليل ولا تحريم ولا ضياع حق للغير

[12] ‘Ali bin Muhammad al-Harawi, Mirqah al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih (Beirut: Dar al-Fikr, 2002), jld. 4: hlm. 1387.

وَأَمَّا مَا اشْتُهِرَ عَلَى الْأَلْسِنَةِ " ‌اللَّهُمَّ ‌لَكَ ‌صُمْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ " فَزِيَادَةٌ، (وَبِكَ آمَنْتُ) لَا أَصْلَ لَهَا وَإِنْ كَانَ مَعْنَاهَا صَحِيحًا، وَكَذَا زِيَادَةُ (وَعَلَيْكَ تَوَكَّلْتُ وَلِصَوْمِ غَدٍ نَوَيْتُ) بَلِ النِّيَّةُ بِاللِّسَانِ مِنَ الْبِدْعَةِ الْحَسَنَةِ

[13] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Majmuʻ Syarh al-Muhazzab (t.tp.: Dar al-Fikr, t.t.), jld. 6: hlm. 363.

يستحب ان يدعوا عِنْدَ إفْطَارِهِ ‌اللَّهُمَّ ‌لَكَ ‌صُمْتُ وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ وَفِي سُنَنِ أَبِي دَاوُد وَالنَّسَائِيِّ عَنْ ابْنِ عُمَرَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إذَا أَفْطَرَ قَالَ ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتْ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الْأَجْرُ إنْ شَاءَ اللَّهُ تَعَالَى

[14] Abu Bakar al-Dimyati, Iʻanah al-Talibin ‘ala Halli ALfaz Fath al-Muʻin (t.tp: Dar al-Fikr, 1997), jld. 2: hlm. 279.