اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 290: SIAPAKAH YANG WAJIB MEMBAYARKAN ZAKAT FITRAH BAGI PEREMPUAN DEWASA YANG BERKERJAYA DAN BELUM BERKAHWIN

HUKUM_MEMBAYARKAN_ZAKAT_FITRAH_BAGI_PEREMPUAN_DEWASA_YANG_BERKERJAYA_DAN_BELUM_BERKAHWIN.jpg

Soalan:

Saya seorang wanita yang berkerjaya, belum berkahwin dan masih tinggal bersama kedua ibu bapa di kampung. Saya ingin bertanya, siapakah yang bertanggungjawab untuk membayar zakat fitrah saya?

Ringkasan Jawapan:

Seorang perempuan yang belum berkahwin, jika telah baligh dan berkemampuan, wajib membayar zakat fitrah untuk dirinya sendiri. Sekiranya zakat fitrah tersebut dibayar oleh bapanya, ia hendaklah dilakukan dengan izin atau persetujuan terlebih dahulu daripada anaknya.

Huraian Jawapan:

Zakat fitrah diwajibkan kepada seseorang beragama Islam, merdeka dan memiliki lebihan makanan untuk dirinya dan keluarganya pada waktu malam hari raya dan keesokannya[1]. Menurut ulama mazhab Syafi’i, mereka yang diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah adalah bertanggungjawab untuk membayar zakat bagi individu yang berada di bawah tanggungan nafkahnya. Ini berasaskan kaedah yang disebutkan oleh ulama mazhab Syafi’i:

ومنْ ‌لزمتهُ ‌فطرتُهُ ‌لزمتهُ فطرةُ كلِّ منْ تلزمُهُ ‌نفقتهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang diwajibkan membayar zakat fitrah, maka diwajibkan juga untuk membayar zakat fitrah untuk setiap individu yang wajib diberi nafkah (di bawah tanggungannya)[2].”

Seseorang bapa diwajibkan untuk menanggung keluarganya berdasarkan 3 syarat yang utama iaitu:

  1. Faqir dan kenak-kanak.
  2. Kanak-kanak dan tidak berkemampuan.
  3. Faqir dan gila[3].

Oleh itu, anak-anak yang telah dewasa, berkemampuan dan mempunyai pendapatan sendiri tidak diwajibkan untuk menerima nafkah daripada bapanya, kecuali jika anak tersebut sedang menuntut ilmu dan tidak mempunyai masa untuk bekerja bagi menyara dirinya. Dalam keadaan tersebut, wajib bagi bapanya untuk menanggung keperluan anak tersebut[4].

Berdasarkan penjelasan di atas seorang wanita yang mempunyai kemampuan dan memiliki pendapatan sendiri, bapanya tidak wajib membayar zakat fitrah untuk anaknya. Dalam hal ini Imam Ibn Qasim al-Abbadi berkata:

لَا تَجِبُ عَلَى الْأَبِ فِطْرَةُ وَلَدٍ لَهُ مَلَكَ قُوتَ يَوْمِ الْعِيدِ وَلَيْلَتِهِ فَقَطْ أَوْ قَدَرَ عَلَى كَسْبِهِ وَلَوْ صَغِيرًا لِسُقُوطِ نَفَقَتِهِ عَنْهُ

Maksudnya: “Tidak wajib bagi seorang bapa untuk membayar zakat fitrah untuk anaknya yang mempunyai makanan asasi yang mencukupi untuk siang hari raya dan malamnya sahaja atau dia mampu untuk mencari sumber pendapatan sendiri walaupun masih kecil kerana situasi itu menyebabkan terputusnya tanggungjawab nafkah bapa terhadap anaknya itu[5].” 

Selain itu, menurut ulama mazhab Syafi'i, zakat fitrah yang dikeluarkan oleh bapa bagi anak perempuan yang telah baligh dan berkemampuan adalah tidak sah kecuali setelah mendapat izin atau diwakilkan oleh anak perempuan tersebut[6].

Kesimpulannya, seorang perempuan yang belum berkahwin, jika telah baligh dan berkemampuan, wajib membayar zakat fitrah untuk dirinya sendiri. Sekiranya zakat fitrah tersebut dibayar oleh bapanya, ia hendaklah dilakukan dengan izin atau persetujuan terlebih dahulu daripada anaknya.

Wallahu a'lam

 

Rujukan:

[1] Hassan bin Ahmad al-Kaff, al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah, (Hadramaut: Dar al-Miras al-Nabawiyyah, t.t), 419.

[2] Syihabuddin Ibn Naqib al-Syafi’i, Umdah al-Salik wa Uddah al-Nasik, (Qatar: al-Syu’un al-Diniyyah, 1982), 107.

[3] Ibrahim al-Baijuri, Hasyiah al-Baijuri ala Syarh Ibn Qasim al-Ghazzi, (Beirut: Dar al-Fikr, 2009), 2:272.

(وأما المولودون) وإن سفلوا (فتجب نفقتهم) على الوالدين (بثلاث شرائط) أحدها: (الفقر والصغر) فالغني الكبير لا تجب نفقته (أو الفقر والزمانة)، فالغني القوي لا تجب نفقته، (أو الفقر والجنون) فالغني العاقل لا تجب نفقته

[4] Ibid.

ويستثنى ما لو كان مشتغلا بعلم شرعي، ويرجى منه النجابة والكسب يمنعه منه فتجب نفقته حينئذ ولا يكلف الكسب

[5] Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj fi Syar hal-Minhaj wa Hawasyai al-Syarwani wa al-Abbadi, (Beirut: Dar Ihya’ al-Thurast al-Arabiy, 1983), 3:313.

[6] Al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Maani Alfaz al-Minhaj, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994), 2:119.

(بِخِلَافِ) وَلَدِهِ (الْكَبِيرِ) الرَّشِيدِ كَمَا قَيَّدَهُ فِي الْمَجْمُوعِ، فَلَا يَجُوزُ بِغَيْرِ إذْنِهِ؛ لِأَنَّ الْأَبَ لَا يَسْتَقِلُّ بِتَمْلِيكِهِ فَصَارَ كَالْأَجْنَبِيِّ بِخِلَافِ الصَّغِيرِ وَنَحْوِهِ.