اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 291: HUKUM SUNTIKAN UBAT RAWATAN OBESITI PADA SIANG RAMADAN

HUKUM_SUNTIKAN_UBAT_RAWATAN_OBESITI_PADA_SIANG_RAMADAN.jpg

SOALAN

Assalamualaikum w.b.t, apakah hukum pengambilan suntikan ubat kurus seperti Mounjaro (tirzepatide) semasa berpuasa kerana ubat ini memberi kesan kenyang yang lebih lama. Adakah ia hanya boleh diambil selepas berbuka puasa? Mohon pandangan SS Mufti

RINGKASAN JAWAPAN

Suntikan ubat kurus (liraglutide/tirzepatide/semaglutide) yang dicucuk di bawah kulit bagi tujuan rawatan obesiti adalah tidak membatalkan puasa. Hal ini kerana, suntikan tersebut tidak melalui rongga terbuka dan tidak mengandungi unsur nutrisi, sebaliknya hanya mengandungi hormon yang menghantar isyarat kenyang kepada otak serta membantu mengawal selera makan.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

SUNTIKAN UBAT KURUS

Suntikan ubat kurus peptide-1 GLP-1 telah menjadi komponen utama untuk merawat obesiti dan penyakit diabetes jenis 2 yang bertindak menurunkan paras gula dalam darah. Suntikan ini juga terbukti secara klinikal mampu untuk menurunkan berat badan dengan cara mengurangkan selera makan serta melambatkan proses penghadaman. Kaedah pengambilan suntikan adalah sebanyak sekali seminggu dan boleh disuntik secara sendiri.[1] Hormon agonis reseptor GLP-1 (GLP-1 RA) bertindak pada sistem saraf pusat untuk menyekat selera makan, meningkatkan rasa kenyang. Ia juga melambatkan penghadaman, merangsang rembesan insulin yang seterusnya membawa kepada pengurangan pengambilan kalori dan penurunan berat badan.[2]

Rawatan obesiti yang sama fungsinya seperti suntikan (liraglutide/tirzepatide/semaglutide) juga mengandungi hormon Glucagon like Peptide 1 (GLP-1) yang memberi isyarat kenyang kepada otak serta membantu mengawal selera. Akibatnya, pesakit akan merasai kesan rasa kenyang yang lebih lama serta mampu menurunkan berat badan bagi pesakit obesiti.[3] Suntikan dicucuk di bawah kulit pada bahagian paha, abdomen (perut), atau lengan atas.

Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa suntikan ubat kurus tidak mengandungi nutrisi dan gizi yang mengenyangkan. Malahan ia, adalah semata-mata suntikan hormon yang memberi isyarat kenyang kepada otak dan mengawal selera makan.

HUKUM SUNTIKAN BAWAH KULIT KETIKA BERPUASA

Hukum suntikan perubatan ketika siang Ramadan adalah harus dalam keadaan darurat. Sementara status puasa individu yang menerima suntikan bawah kulit sama ada suntikan melalui saluran darah mahupun otot adalah tidak membatalkan puasa berdasarkan beberapa pandangan ulama kontemporari.

Antaranya, Dr. Muhammad al-Zuhaili dalam kitabnya menyatakan bahawa suntikan yang dilakukan pada kulit tetapi tidak melalui bahagian rongga adalah tidak membatalkan puasa:[4]

وكذا الحقنة تحت الجلد, والحقنة الوريدية لا تفطران, لأن الجلد والوريد منفذ غير مفتوح

Maksudnya: “Begitu juga suntikan ke bawah kulit dan suntikan ke dalam salur darah tidak membatalkan puasa kerana kulit dan salur darah merupakan rongga tidak terbuka.”

Selain itu, Habib Hassan al-Kaff juga menyatakan bahawa suntikan yang dilakukan pada otot-otot badan atau anggota badan yang lain seperti peha atau lengan adalah tidak membatalkan puasa. Ini merupakan pandangan yang muktamad dan dipegang oleh kebanyakan ulama kontemporari. [5]

Adapun menurut Syeikh al-Qaradawi, meskipun suntikan itu boleh memberikan tenaga, namun ia tetap tidak membatalkan puasa kerana ia bukan masuk melalui rongga yang terbuka. Pandangan ini juga dipilih oleh Syeikh Syauqi ‘Allam iaitu mantan Mufti Badan Fatwa Mesir (Dar al-Ifta’ al-Misriyyah). Beliau dalam penjelasannya menyebut:

أما بالنسبة إلى حُقَن الوريد سواء كانت تحتوي على مادة الجلوكوز أو غيرها من المواد المغذية والأدوية الطبية فلا حرج إذا أخذها الصائم، فهي لا تفسد الصوم؛ وذلك لأنها لا تدخل الجوف عن طريق منفذ طبعي معتاد مفتوحٍ ظاهر حِسًّا -كالفم والأنف-، وهو ما نص عليه الفقهاء من كون ما دخل من المسام أو الجلد ولم يصل إلى الجوف فهو غير مفطر.

Maksudnya: “Berkaitan dengan suntikan ke dalam salur darah, sama ada ia mengandungi bahan glukosa atau bahan-bahan pemakanan mahupun ubat-ubatan yang lain, maka tidaklah menjadi suatu kesalahan jika ia diambil oleh orang yang berpuasa oleh kerana ia tidak membatalkan puasa. Hal yang demikian kerana suntikan itu tidak memasuki rongga badan melalui saluran terbuka semula jadi dan zahir kepada pancaindera seperti mulut dan hidung. Inilah yang dinyatakan oleh para fuqaha bahawa apa yang masuk melalui liang roma atau kulit tetapi tidak sampai ke dalam rongga badan (jauf), maka ia tidak membatalkan puasa. [6]

Tambahan lagi, Syeikh Bakhit al-Muti’e berfatwa bahawa suntikan intramuskular (ke dalam otot) dan suntikan bawah kulit tidak membatalkan puasa kerana ia tidak sampai ke dalam rongga (jauf) melalui saluran yang biasa. Bahkan ia hanya masuk melalui liang-liang roma sahaja, dan apa yang sampai itu bukanlah rongga dan tidak dihukum sebagai rongga.[7]

Begitu juga dengan pendapat Syeikh Mahmood Syaltut, Syeikh Said Sabiq dan Sheikh Mahmud Abdul Latiff yang menyatakan bahawa suntikan intravena ke pembuluh darah melalui urat dan bertujuan rawatan adalah tidak membatalkan puasa. [8]

Akademi Fiqh Islam Antarabangsa

Berdasarkan resolusi yang dikeluarkan oleh Majma’ al-Fiqh al-Islami 93 (1/10) pada 28 Jun sehingga 3 julai 1997 juga memutuskan bahawa suntikan yang bersifat perubatan tidak akan membatalkan puasa sekiranya dilakukan secara suntikan ke bawah kulit , suntikan ke dalam otot atau suntikan ke dalam salur darah.[9]

Kesimpulan

Suntikan intramuskular (saluran otot) atau intravena (saluran darah) pada siang Ramadan bagi tujuan perubatan tidak membatalkan puasa. Harus hukumnya bagi pesakit diabetes yang berisiko untuk menerima suntikan ubat kurus berdasarkan nasihat pakar dan puasanya tidak terbatal.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] https://my.clevelandclinic.org/health/drugs/23789-tirzepatide-injection

[2] https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S0002934325000592

[3] Temubual bersama Pakar Perubatan Keluarga (Dr. Mohamad ‘Ariff Fahmi bin Ahmad Zawawi) Kementerian Kesihatan Malaysia.

[4] Dr. Muhammad al-Zuhaili. al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i. (Damsyiq: Dar al-Qalam, 2018). Jld 2. Hlm 182.

[5] Hassan bin Ahmad al-Kaff. Al-Taqrirat Al-Sadidah Qism Al-‘Ibadah. (Tarim: Dar al-Mirath al-Nabawi, 2003). hlm 452.

وإذا كان في العضل - وهي العروق غير المجوفة - فلا تبطل

[6] Yusuf al-Qaradawi, Fiqh al-Siyam, (Beirut: Muasasah al-Risalah, 1993). Hlm 100.

[7] https://fiqh.islamonline.net/%

-أما حُقَن العَضل والتي تحت الجلد فقد أفتى الشيخ محمد بخيت المطيعي في مايو 1919م بأنّها لا تُفطر بناءً على أنها لم تصلْ إلى الجوف من منفذٍ معتاد، وعلى فرض الوصول فإنها تصلُ من المسامِّ فقط وما تصلُ إليه ليس جوفًا ولا في حكم الجوف. الفتاوى الإسلامية ـ المجلد الأول ص 89

[8] Abd al-Razzaq bin Abdullah. Al-Muftirat al-Tibbiyyah al-Mu’asarah. (t.tp: Dar al-Haqiqah al-Kauniyah, 2014). Hlm 283.

القول الثاني: أن الحقن الوريدية المغذية والعلاجية لا تفسد الصوم. وهو قول الشيخ محمد بخيت المطيعي (٣)، والشيخ محمود شلتوت (٤)، والشيخ سيد سابق (٥)، والشيخ يوسف القرضاوي (٦)، والشيخ محمود عبد

[9] https://iifa-aifi.org/ar/2009.html