اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 292: TATACARA MENGGANTI SOLAT FARDU DALAM SOLAT TARAWIH BERJEMAAH

TATACARA_MENGGANTI_SOLAT_FARDU_DALAM_SOLAT_TARAWIH_BERJEMAAH.jpg

Soalan

Assalamualaikum wbt, saya mempunyai sejumlah bilangan solat fardu yang ditinggalkan bertahun-tahun sebelum ini. Saya mendapat tahu orang yang mempunyai solat qada boleh mengantikan solat fardu dalam Solat Tarawih secara berjemaah. Bagaimana tatacara melakukan solat qada dalam solat Tarawih ini. Mohon pencerahan. sekian Terima kasih

Ringkasan Jawapan:

1-Seseorang yang mempunyai hutang solat fardu boleh mengqadanya di belakang imam solat Tarawih untuk mendapat pahala berjemaah.

2-Semua solat yang ditinggalkan, sama ada kerana uzur syarie (terlupa atau tertidur) atau bukan uzur syarie (maksiat), wajib diqada dan sunat menggantikannya mengikut susunan dan turutan waktu solat.

3- Solat qada dalam Tarawih boleh dilakukan bagi solat dua rakaat (Subuh), tiga (Maghrib) dan empat rakaat (Zohor, Asar dan Isyak). Jika solat qada yang dilakukan dalam Solat Tarawih melebihi 2 rakaat makmum lebih utama bangun dan menyempurnakannya secara bersendirian selepas imam memberi salam.

 

Huraian Jawapan

Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga, sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian.

Secara umumnya, menurut mazhab Syafi’i harus seseorang mengerjakan solat sunat dan solat fardu di belakang orang yang solat sunat dan solat fardu dalam fardu yang lain[1]. Hal ini juga dijelaskan oleh Imam al-Nawawi[2]:

وتصح قدوة المؤدي بالقاضي والمفترض بالمتنفل وفي الظهر بالعصر وبالعكوس

Maksudnya: sah mengikut imam orang yang mendirikan solat secara tunai dengan orang yang menqadakan solatnya, dan orang yang solat fardu dengan orang yang mengerjakan solat sunat, dan solat pada waktu zohor dengan mendirikan solat asar dan sebaliknya.

Maka, dapat difahami meskipun terdapat perbezaan niat antara imam mengerjakan solat dan makmum, sah solat jemaah bagi orang yang solat qada dengan orang yang solat fardu begitu juga orang yang solat qada berimamkan orang yang solat sunat. Menurut Syeikh Hassan Bin Ahmad al-Kaf, perbuatan solat ini juga sah kerana menepati syarat sah solat berjemaah dari segi qudwah (mengikuti imam) dan terdapat persamaan pada perbuatan zahir solat antara makmum dan imam[3].

Walau bagaimanapun, tidak sah pula orang yang solat fardu, sunat atau qada berimamkan orang yang mengerjakan solat gerhana dan solat jenazah kerana dari sudut tatacara kedua-dua solat ini berbeza tatacara dan bentuknya berbanding solat fardu. Perkara ini dijelaskan oleh syeikh Khatib Syirbini:

(فَإِنْ اخْتَلَفَ فِعْلُهُمَا) أَيْ الصَّلَاتَيْنِ (كَمَكْتُوبَةٍ وَكُسُوفٍ أَوْ) مَكْتُوبَةٍ، وَ (جِنَازَةٍ لَمْ تَصِحَّ) الْقُدْوَةُ فِيهِمَا

Maksudnya: “(Sekiranya berbeza perbuatan kedua-duanya) iaitu kedua-dua solat seperti solat fardu dengan solat gerhana atau solat fardu dengan solat jenazah, maka tidak sah mengikuti imam pada keduanya.”[4]

Tatacara Menggantikan Solat Fardu dalam Solat Tarawih Berjemaah

Antara ibadah yang dilakukan untuk menghidupkan malam Ramadan ialah solat Tarawih[5]. Hal ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda[6]:

‎مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang melakukan qiyam Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan (ganjaran serta keampunan), akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu.

(Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi dalam menjelaskan hadis ini menyatakan bahawa jumhur fukaha bersepakat solat Tarawih ini adalah sunat. Solat Tarawih ini boleh dilakukan secara bersendirian dan yang paling afdal dilakukan secara berjemaah[7]. Menurut pandangan jumhur ulama serta pandangan mazhab al-Syafie, bilangan rakaat solat sunat tarawih adalah dua puluh rakaat beserta sepuluh salam.[8] Solat Tarawih ini perlu dilakukan secara dua rakaat satu salam[9]. Hal ini berdasarkan satu riwayat daripada bahawa Rasulullah SAW bersabda[10]:

صَلاَةُ اللَّيْلِ مَثْنَى مَثْنَى

Maksudnya: Solat malam itu dua rakaat, dua rakaat (satu salam)

Berdasarkan persoalan tentang tatacara menggantikan solat fardu dalam solat Tarawih secara berjemaah, perbuatan qada solat ini diharuskan sama ada menggantikan solat 2 rakaat seperti solat subuh yang sama seperti pelaksanaan solat tarawih (2 rakaat satu salam) atau solat 3 rakaat seperti maghrib atau solat 4 rakaat seperti zohor, asar dan isyak.

وَتَصِحُّ صَلَاةُ الْعِشَاءِ خَلْفَ مَنْ يُصَلِّي التَّرَاوِيحَ كَمَا لَوْ اقْتَدَى فِي الظُّهْرِ بِالصُّبْحِ. فَإِذَا سَلَّمَ الْإِمَامُ قَامَ إلَى بَاقِي صَلَاتِهِ وَالْأَوْلَى أَنْ يُتِمَّهَا مُنْفَرِدًا، فَإِنْ اقْتَدَى بِهِ ثَانِيًا فِي رَكْعَتَيْنِ أُخْرَيَيْنِ مِنْ التَّرَاوِيحِ جَازَ كَمُنْفَرِدٍ اقْتَدَى فِي أَثْنَاءِ صَلَاتِهِ بِغَيْرِهِ

Maksudnya: “sah mengerjakan solat Isyak di belakang (imam) yang solat Tarawih sebagaimana sah jika seseorang makmum solat Zohor (di belakang imam) yang (solat) Subuh. Apabila imam memberi salam, (makmum) hendaklah bangun (semula) untuk menyempurnakan baki (rakaat) solat isyaknya. Namun, yang lebih utama dia menyempurnakan solat itu secara bersendirian. Jika dia kembali mengikuti imam untuk dua rakaat lagi daripada solat Tarawih, (perbuatan itu) dibolehkan sama seperti seseorang yang solat sendirian lalu mengikuti imam ketika solatnya”.[11]

Dari segi susunan penggantian solat, jika seseorang meninggalkan beberapa waktu solat sama ada ditinggalkan disebabkan uzur syarie (terlupa atau tertidur) atau bukan uzur syarie (maksiat) maka wajib dia menggantikan kesemua solat itu dan sunat menggantikannya mengikut susunan dan turutan waktu solat bermula dengan Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak.[12] Oleh yang demikian itu, dapat difahami bahawa orang yang ingin menggantikan solat fardu dalam solat tarawih boleh memilih solat yang hendak digantikan dalam solat Tarawih mengikut pembahagian dan tatacara seperti berikut:

1- Solat 2 rakaat (Subuh): makmum berniat solat qada di belakang imam yang mendirikan solat Tarawih 2 rakaat.

2-Solat 3 rakaat (Maghrib): makmum berniat solat qada di belakang imam yang mendirikan solat Tarawih 2 rakaat. Apabila imam memberi salam, makmum hendaklah bangun dan menambah satu lagi rakaat bagi solat qada maghrib.

3- Solat 4 rakaat (Zohor, Asar dan Isyak):makmum berniat solat qada di belakang imam yang mendirikan solat Tarawih 2 rakaat. Apabila imam memberi salam, makmum diberi dua pilihan untuk menyempurnakan 2 baki rakaat solat qada isyaknya iaitu:

  1. makmum bangun dan menambah dua rakaat bagi solat qada isyak secara sendirian
  2. makmum bangun dan kembali mengikuti imam untuk untuk menyempurnakan 2 baki rakaat solat qada isyaknya

Kesimpulan

i.          Seseorang yang mempunyai hutang solat fardu boleh mengqadanya di belakang imam solat Tarawih untuk mendapat pahala berjemaah.

ii.         Semua solat yang ditinggalkan, sama ada kerana uzur syarie (terlupa atau tertidur) atau bukan uzur syarie (maksiat), wajib diqada dan sunat menggantikannya mengikut susunan dan turutan waktu solat.

iii.        Solat qada dalam Tarawih boleh dilakukan bagi solat dua rakaat (Subuh), tiga (Maghrib) dan empat rakaat (Zohor, Asar dan Isyak). Jika solat qada yang dilakukan dalam Solat Tarawih melebihi 2 rakaat makmum lebih utama bangun dan menyempurnakannya secara bersendirian selepas imam memberi salam.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] al-Nawawi, al-Majmu’ Sharh al-Muhadzdzab, 4/271

فِي مَذَاهِبِ الْعُلَمَاءِ فِي اخْتِلَافِ نِيَّةِ الْإِمَامِ وَالْمَأْمُومِ: قَدْ ذَكَرْنَا أَنَّ مَذْهَبَنَا جَوَازُ صَلَاةِ الْمُتَنَفِّلِ وَالْمُفْتَرِضِ خَلْفَ مُتَنَفِّلٍ وَمُفْتَرِضٍ فِي فَرْضٍ آخَرَ وَحَكَاهُ ابْنُ الْمُنْذِرِ عَنْ طَاوُسٍ وَعَطَاءٍ وَالْأَوْزَاعِيِّ وَأَحْمَدَ وَأَبِي ثَوْرٍ وَسُلَيْمَانَ بْنِ حَرْبٍ: قَالَ وَبِهِ أَقُولُ وَهُوَ مَذْهَبُ دَاوُد وَقَالَتْ طَائِفَةٌ لَا يَجُوزُ نَفْلٌ خَلْفَ فَرْضٍ وَلَا فَرْضٌ خَلْفَ نَفْلٍ وَلَا خَلْفَ فَرْضٍ آخَرَ قَالَهُ الْحَسَنُ الْبَصْرِيُّ وَالزُّهْرِيُّ وَيَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ الْأَنْصَارِيُّ وَرَبِيعَةُ وَأَبُو قِلَابَةَ وَهُوَ رِوَايَةٌ عَنْ مَالِكٍ: وَقَالَ الثَّوْرِيُّ وَأَبُو حَنِيفَةَ لَا يجوز الفرض خلف نفل وَلَا فَرْضٍ آخَرَ وَيَجُوزُ النَّفَلُ خَلْفَ فَرْضٍ

[2] Abū Zakariyyā Muhyi al-Din bin Sharaf al-Nawawi. Minhaj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin fi al-Fiqh.(Amman, Jordan: Dār al-Fikr, 2005). Ms. 42.

[3] Hassan Bin Ahmad al-Kaf, Al-Taqrirat al-Sadidah fi Masa’il al-Mufidah, (Jazirah: Dar al-Mirath al-Nabawiyyah, 2022), Jil.1, hlm. 296.

أن يتوافَقَ نظم صلاتَيْهما ، أي : أن يَتَّقِقا في الأفعال الظاهرة وإن لم يتفقا في العدَدِ والنية ، فلا تَصِحُ مكتوبةٌ خلف جنازة أو كسوف(۱)، وتَصِحُ الظهر خلف العصر ، والمَغرِبُ خلفَ العِشاء، والقضاء خلف الأداء، والفرْضُ خلفَ النّفْل ، وكذلك عكسُ كُلِّ ذلك

[4] Al-Shirbini, Mughni Al-Muhtaj ila Al-Maʿrifati Maʿani Al-Alfaz Al-Minhaj , Jil. 1, hlm. 504.

[5] Al-Nawawi, al-Majmu’ Sharh al-Muhadzdzab, Jil. 4, hlm. 30-31

حديث ابي هريرة رواه مسلم يلفظه وَرَوَاهُ الْبُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ جَمِيعًا مُخْتَصَرًا إنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ " مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ " وَأَمَّا حَدِيثُ جَمَعَ عُمَرُ النَّاسَ عَلَى أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا فَصَحِيحٌ رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ فِي صَحِيحِهِ وَهُوَ حَدِيثٌ طَوِيلٌ وَأَمَّا الْحَدِيثَانِ الْآخَرَانِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّاهَا لَيَالِيَ فَصَلَّوْهَا مَعَهُ ثم تأخروا لحديث الْآخَرُ " خَشِيتُ أَنْ تُفْرَضَ عَلَيْكُمْ فَتَعْجِزُوا عَنْهَا " فَرَوَاهُمَا الْبُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ مِنْ رِوَايَةِ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا (قَوْلُهُ) مِنْ غَيْرِ أَنْ يَأْمُرَهُمْ بِعَزِيمَةٍ مَعْنَاهُ لَا يَأْمُرُهُمْ بِهِ أَمْرَ تَحْتِيمٍ وَإِلْزَامٍ وَهُوَ الْعَزِيمَةُ بَلْ أَمْرُ نَدْبٍ وَتَرْغِيبٍ فِيهِ بِذِكْرِ فَضْلِهِ وَقَوْلُهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إيمَانًا أَيْ تَصْدِيقًا بِأَنَّهُ حَقٌّ وَاحْتِسَابًا أَيْ يَفْعَلُهُ لِلَّهِ تَعَالَى لَا رِيَاءً وَلَا نَحْوَهُ: أَمَّا حُكْمُ الْمَسْأَلَةِ فَصَلَاةُ التَّرَاوِيحِ سُنَّةٌ بِإِجْمَاعِ الْعُلَمَاءِ وَمَذْهَبُنَا أَنَّهَا عِشْرُونَ رَكْعَةً بِعَشْرِ تَسْلِيمَاتٍ وَتَجُوزُ مُنْفَرِدًا وَجَمَاعَةً

[6] Muslim, Sahih Muslim, Jil.1, hlm. 523

[7] Abu Zakariyya Muhyi al-Din Yahya bin Sharaf al-Nawawi, al-Minhaj Sharh Sahih Muslim bin Hajjaj (Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabī: Beirut, Lubnan, 1972), Jil.6, hal. 39

وَاخْتَلَفُوا فِي أَنَّ الْأَفْضَلَ صَلَاتُهَا مُنْفَرِدًا فِي بَيْتِهِ أَمْ فِي جَمَاعَةٍ فِي الْمَسْجِدِ فَقَالَ الشَّافِعِيُّ وَجُمْهُورُ أَصْحَابِهِ وَأَبُو حَنِيفَةَ وَأَحْمَدُ وَبَعْضُ الْمَالِكِيَّةِ وَغَيْرُهُمْ الْأَفْضَلُ صَلَاتُهَا جَمَاعَةً كَمَا فَعَلَهُ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ وَالصَّحَابَةُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَاسْتَمَرَّ عَمَلُ الْمُسْلِمِينَ عَلَيْهِ لِأَنَّهُ مِنَ الشَّعَائِرِ الظَّاهِرَةِ فَأَشْبَهَ صَلَاةَ الْعِيدِ

[8] Al-Nawawi, al-Majmu’ Sharh al-Muhadzdzab, Jil.4, hlm. 32

مذهبنا أنها عشرون ركعة بعشر تسليمات غير الوتر وذلك خمس ترويحات والترويحة أربع ركعات بتسليمتين هذا مذهبنا وبه قال أبو حنيفة وأصحابه وأحمد وداود وغيرهم ونقله القاضي عياض عن جمهور العلماء

[9] Al-Nawawi, al-Majmu’ Sharh al-Muhadzdzab, Jil.4, hlm. 32

وَلْيُصَلِّهَا رَكْعَتَيْنِ رَكْعَتَيْنِ كَمَا هُوَ الْعَادَةُ فَلَوْ صَلَّى أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ بِتَسْلِيمَةٍ لَمْ يَصِحَّ ذَكَرَهُ الْقَاضِي حُسَيْنٌ فِي فَتَاوِيهِ لِأَنَّهُ خِلَافُ الْمَشْرُوعِ

[10] Muslim, Sahih Muslim, 1/516

[11] Al-Shirbini, Mughni Al-Muhtaj ila Al-Maʿrifati Maʿani Al-Alfaz Al-Minhaj, Jil. 1, hlm. 504.

[12] Abu al-Husayn Yahya bin Abi Khair bin Salim al-Umrani, Al-Bayan fi Mazhab al-Imam al-Syafie, (Dar al-Minhaj: Jeddah, 2000), Jil. 2, hlm. 51.

‌وإن ‌فاتته ‌صلوات، فالمستحب: أن يقضيهن على الترتيب؛ لـ: أن النبي - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - ترك أربع صلوات يوم الخندق، حتى خرج وقتها، فقضاها على الترتيب