اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KE-132: ADAKAH SAH SOLAT SEORANG WANITA TANPA MEMAKAI TELEKUNG?

 

Soalan:
Adakah sah solat seorang wanita sekiranya dia solat tanpa memakai telekung?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Persoalan di atas berkait rapat dengan syarat sah solat yang banyak dibahaskan di dalam kitab-kitab fiqh dan diantara syarat sah solat itu mestilah dengan menutup aurat, baik lelaki mahupun perempuan. Adapun pada kali ini, kita akan lebih fokus kepada aurat wanita di dalam solat.

 

Aurat Wanita Di Dalam Solat

Di sebutkan di dalam kitab al-Majmu’ karangan al-Imam al-Nawawi Rahimahullah bahawa menutup aurat di dalam solat adalah wajib dengan ijma’ sama ada solat di hadapan hadirin dan solat secara sendirian pada satu pendapat yang sahih.

Adapun aurat wanita di dalam solat, para ulama’ mazhab Syafi’e menyebutkan ianya adalah keseluruhan jasad wanita itu sendiri kecuali muka dan kedua tapak tangan zahir dan batin iaitu dari hujung jari sehinggalah ke pergelangan tangan.[1] Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَاۖ

Maksudnya: dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya

(An-Nur: 31)

 

Telah berkata Ibn Abbas R.Anhuma dan ‘Aisyah R.Anha bahawa yang dimaksudkan dengan إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَاۖ adalah muka dan juga kedua tapak tangan.[2]

Ianya juga adalah aurat bagi wanita di luar solat ketika berhadapan dengan lelaki-lelaki ajanib baik yang muslim ataupun non-muslim iaitu keseluruhan tubuh badan kecuali muka dan kedua tapak tangan.

‘Aisyah R.Anha pernah meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda:

لاَ تُقْبَلُ صَلاَةُ الْحَائِضِ إِلاَّ بِخِمَارٍ

Maksudnya: Tidak sah solat perempuan yang baligh kecuali menutup kepalanya.”

Riwayat al-Tirmizi (277) dan beliau mengatakannya sebagai hadith hasan.

 

Hadith ini menunjukkan bahawa orang perempuan wajib menutup kepala ketika bersolat. Justeru, wajib menutup seluruh badannya adalah lebih utama.

 

Dalam sebuah hadith juga ada menceritakan bagaimana keadaannya para wanita di zaman Nabi SAW ketika keluar untuk solat seperti mana yang terdapat di dalam hadith ‘Aisyah R.Anha:

لَقَدْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّى الْفَجْرَ، فَيَشْهَدُ مَعَهُ نِسَاءٌ مِنَ الْمُؤْمِنَاتِ مُتَلَفِّعَاتٍ فِى مُرُوطِهِنَّ ثُمَّ يَرْجِعْنَ إِلَى بُيُوتِهِنَّ مَا يَعْرِفُهُنَّ أَحَدٌ

Maksudnya: Rasulullah SAW bersolat Subuh, beberapa orang wanita yang berpakaian menutup seluruh tubuh juga bersolat bersama-sama Baginda. Selepas itu, mereka balik ke rumah masing-masing tanpa dikenali oleh sesiapa pun.

Riwayat al-Bukhari (365)

 

Hadith secara tidak langsung menunjukkan kepada kita akan keadaan berpakaian para wanita di zaman Rasulullah SAW ketika ingin menunaikan solat dan begitulah juga keadaannya ketika selesai solat, pulang ke rumah tanpa dikenali oleh sesiapa pun.

 

Hukum Solat Tanpa Mengenakan Telekung

Berdasarkan hujah-hujah yang telah diberikan, hukum bagi wanita yang solat tanpa mengenakan telekung adalah sah sekiranya pakaian sedia adanya itu telah menutupi aurat.

Tanpa menafikan bahawa penggunaan telekung juga menepati kaedah penutupan aurat secara syar’ie, namun sekiranya terdapat wanita yang pakaian sedia adanya telah cukup syarat penutupan aurat, maka pakaiannya yang sedia ada itu boleh di bawa solat meskipun tanpa mengenakan telekung.

Permasalahan mula timbul bilamana mengganggap bahawa telekung merupakan syarat sah solat sedangkan yang menjadikan solat itu sah sebenarnya adalah dengan menutup aurat.

Perlu diingatkan juga bahawa yang dimaksudkan dengan menutup aurat itu adalah dengan melabuhkan tudung sehingga menutupi bahagian dada, pakaian yang longgar tidak menampakkan bentuk tubuh dan juga tidak nipis sehingga boleh menampakkan warna kulit serta labuh hingga boleh menutupi bahagian kaki. Ketahuilah juga bahawa aurat wanita di dalam solat itu adalah auratnya juga ketika di luar solat.

Semoga dengan pencerahan ini, menjadikan kita beramal mengikut neraca syara’ yang sebenarnya.  Wallahu a’lam.

 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

6 Oktober 2016 bersamaan 5 Muharram 1438 H.

 

 

[1] Lihat al-Majmu’. Dar al-Fikr, 3/166.

[2] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim (Ibn Kathir). Dar al-Tayyibah, 6/45.