اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KE-38: ADAKAH DIKENAKAN ZAKAT PERHIASAN WANITA?

Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata dalam Fatawa al-Mu’asirah (Fatwa Masa Kini): “Perkara yang telah sedia maklum, bahawa para fuqaha berselisih pendapat tentang kewajipan zakat terhadap perhiasan wanita jika ia terdiri daripada emas dan perak.”

Mazhab Abu Hanifah mengatakan wajib zakat ke atasnya apabila telah cukup nisab, sama ada cukup nisab itu tanpa dicampurkan dengan harta lain ataupun dicampurkan dengan harta lain.

Adapun bagi mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali, perhiasan yang harus dan digunakan untuk kegunaan biasa, mereka mengatakan bahawa tidak diwajibkan zakat ke atasnya.

Pendapat inilah yang saya tarjih (benarkan) dan fatwakan, berdasarkan dalil-dalil yang telah saya huraikan dengan panjang lebar di dalam buku Fiqh al-Zakah.

Dalam masalah kita ini, saya nampak bahawa barang kemas itu terbahagi kepada dua jenis:

  • Barang perhiasan yang terdiri daripada permata dan batu-batu berharga seperti permata dan lain-lainnya. Jenis ini pada asalnya adalah terkecuali daripada zakat melainkan jika pemilikannya itu adalah untuk disimpan.
  • Perhiasan yang terdiri daripada emas, di sini kita lihat sebagaimana yang dijelaskan di dalam soalan, ia adalah tersimpan dan tidak digunakan. Maka ia adalah harta yang disimpan seperti sejumlah wang yang tidak digunakan.

Ia juga adalah milik para waris, antaranya ialah si suami. Apabila bahagian (habuan) setiap waris mencukupi nisab, sama ada ia mencukupi nisab tanpa dicampur dengan harta lain atau dicampur dengan harta lain, dan nisabnya yang masyhur ialah 85 gram emas, maka adalah wajib ke atas setiap waris itu untuk mengeluarkan zakat daripada bahagian mereka. Tidak diragukan lagi bahawa zakat di sini adalah mengikut haul. Maka pada tiap-tiap tahun qamariah (bulan Islam), hendaklah dinilai perhiasan emas tersebut. Berapakah nilainya kalau hendak dijual dan dikeluarkan zakatnya sebanyak 2.5% daripada harga tersebut. Keadaan tersebut berterusan untuk setiap haul, sehinggalah ke suatu keadaan yang dikehendaki Allah.

Ini bermakna, setiap waris hendaklah membayar zakat barang kemas yang tidak digunakan itu dengan harta mereka sendiri, sehinggalah ia (barang kemas) itu digunakan. Adalah lebih utama dan bermanfaat ke atas barang kemas serta si mati jika ia dijual dan harganya itu dijadikan sebagai sedekah jariah untuk si mati. Ini kerana ganjaran pahala ke atasnya akan terus berkekalan selama mana ia dimanfaatkan oleh orang ramai hinggalah ke hari kiamat. Suami serta para waris yang melaksanakan sedekah atau wakaf tersebut juga akan diganjari serta beroleh pahala terhadap segala kebaikan yang mereka lakukan. Allah sekali-kali tidak akan mensia-siakan sesiapa yang mengerjakan kebaikan.