اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATAWI SIRI KE 268 : HUKUM MEMINUM AIR KENCING UNTA BERCAMPUR DENGAN SUSU UNTA

 

 

Screen Shot 2018 11 14 at 5.28.27 PM

Soalan


Mohon pencerahan berkenaan dengan hukum meminum air kencing unta bercampur dengan susu unta

 

Jawapan

 

 Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam, selawat serta salam ke atas junjungan yang mulia Nabi Muhammad SAW, seterusnya ahli keluarga baginda, isteri-isteri, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke hari akhirat.

Pertama, persoalan ini timbul kerana adanya sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas RA, beliau berkata:

قَدِمَ أَعْرَابٌ مِنْ عُرَيْنَةَ إِلَى نَبِيِّ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَأَسْلَمُوا فَاجْتَوَوُا الْمَدِينَةَ حَتَّى اصْفَرَّتْ أَلْوَانُهُمْ وَعَظُمَتْ بُطُونُهُمْ فَبَعَثَ بِهِمْ نَبِيُّ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِلَى لِقَاحٍ لَهُ فَأَمَرَهُمْ أَنْ يَشْرَبُوا مِنْ أَلْبَانِهَا وَأَبْوَالِهَا حَتَّى صَحُّوا

Maksudnya: Bahawa datang sekumpulan badawi dari puak ‘Urainah kepada Nabi SAW dan memeluk islam. Kemudian kerana terkesan dengan suhu madinah, kulit mereka menjadi kekuningan dan kembung perut mereka. Lalu Nabi mengirimkan kepada mereka susu unta dan mengarahkan mereka untuk minum susu dan air kencing unta sehingga mereka sembuh.

Riwayat al-Nasa’i (4035)

Berdasarkan hadis ini, para fuqaha mengeluarkan pendapat tentang hukum berubat dengan air kencing unta.

 

Adakah Air Kencing Unta Dikira Najis

 

Terdapat dua pandangan ulama’ dalam hal ini. Pendapat yang pertama, bahawa air kencing unta bukanlah najis di sisi Imam Malik, Imam Ahmad dan sebahagian salaf. Pendapat ini juga disokong sebahagian ulama mazhab al-Syafie seperti Ibn Munzir, Ibn Hibban dan lain-lain.

Pendapat yang kedua mengatakan air kencing unta adalah najis. Ini adalah pendapat Imam al-Syafie sendiri dan jumhur ulama’. Lihat Fath al-Bari (1/338).

Hukum Berubat Dengan Najis

 

Yang pertama, para Fuqaha’ bersepakat bahawa haram berubat dengan najis seperti arak. Ini bertepatan dengan hadis yang masyhur, diriwayatkan oleh Ummu Salamah, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اَللَّهَ لَمْ يَجْعَلْ شِفَاءَكُمْ فِيمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak menjadikan penyembuh buat kamu dari apa yang diharamkan ke atas kamu”

Riwayat al-Baihaqi (1209)

 

Ketika berlaku keadaan yang tidak ada minuman lain selain arak, dan sekiranya tidak minum akan menyebabkan kematian, maka dibolehkan dalam kadar mengelakkan kematian, lihat Majmu’ah al-Fawaid al-Bahiyyah (1/60). Hal ini berasaskan kaedah fiqh:

الضرورات تبيح المحظورات

Maksudnya: “ Perkara-perkara darurat (menyebabkan) harusnya perkara-perkara haram”

 

Yang Kedua, pendapat mazhab al-Syafie membenarkan perubatan yang menggunakan najis selain daripada perkara yang memabukkan. Pendapat ini juga dipegang oleh jumhur ulama’. Lihat al-Majmu’ (9/50)

 

Hukum Berubat Dengan Air Kencing Unta

 

Imam Nawawi menyebutkan hukum berubat dengan air kencing unta adalah dibolehkan berdasarkan perintah Nabi SAW kepada puak ‘Urainah dalam hadis yang telah kami sebutkan. Lihat al- Majmu’ (9/51)

Terdapat juga pendapat-pendapat lain yang mengatakan tidak boleh berubat dengan air kencing unta. Namun ini adalah pendapat-pendapat yang lemah. Lihat Raudhah al-Thalibin (3/285).

 

Syarat berubat dengan air kencing unta

 

Imam Nawawi meletakkan syarat sekiranya ingin menggunakan air kencing unta sebagai ubat. Lihat al- Majmu’ (9/51)

  • Hendaklah yang mengambil air kencing unta sebagai ubat itu arif tentang ubat-ubatan
  • Sekiranya yang ingin berubat tidak tahu tentang ubat-ubatan, hendaklah dia mendapat nasihat daripada pengamal perubatan muslim yang adil.
  • Imam Baghawi menambah, cukup seorang pengamal perubatan sahaja

Kelebihan Air Kencing Unta

 

Air kencing unta ini dipercayai mempunyai kelebihan yang banyak sepertimana dibuktikan dalam kisah kumpulan arab badwi berdasarkan hadis yang dinyatakan.

Selain daripada bukti yang disebut di dalam hadith, terdapat banyak kes-kes yang membuktikan air kencing unta ini mampu merawat penyakit. Air kencing unta ini dikatakan mengandungi kalsium yang tinggi. Lihat al-sunnah al-Muthaharah (79), al-Tib al-arabi (1/278) al-I’jaz al-Ilmi fi Sunnah Nabawiyah (833).

 

Arahan Kementerian Kesihatan Malaysia Berkaitan Air Kencing Unta

 

Kementerian Kesihatan Malaysia seiring dengan Badan Kesihatan Dunia (WHO) mengarahkan Jemaah haji dan umrah untuk tidak meminum air kencing, susu unta dan mengahmpiri lading-ladang ternakan unta kerana dikhuatiri akan dijangkiti Virus Mers-Cov. Sehingga 15 Oktober 2018, Pihak Berkuasa Kesihatan Saudi Arabia melaporkan peningkatan kes jangkitan virus ini[1]. Terbaru, tiga kematian dilaporkan akibat daripada virus ini.

 

Kesimpulan

 

Berdasarkan hujah-hujah di atas, kami berpendapat air kencing unta ini mempunyai kelebihan sepertimana yang disebutkan di dalam hadis dan kelebihan yang disebutkan. Berikut beberapa kesimpulan yang dapat dsimpulkan beberapa perkara:

  • Hukum asal meminum air kencing unta tanpa tujuan perubatan adalah haram
  • Perubatan menggunakan air kencing unta sahaja kami tarjihkan sebagai harus
  • Sebarang aktiviti perubatan menggunakan air kencing unta ini hanya boleh dibuat setelah mendapat nasihat pakar perubatan dan pakar farmasi yang bertauliah sahaja
  • Meminum susu yang bercampur dengan air kencing unta tanpa tujuan perubatan dengan syarat yang di atas juga adalah Haram kerana bimbang dijangkiti penyakit yang disebutkan.

Semoga kita sentiasa diberi hidayah untuk mengikut syariat yang sahih. Amin

 

 

 

[1] http://www.who.int/csr/don/01-november-2018-mers-saudi-arabia/en/