اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-308 : KADAR PANJANG BACAAN IMAM BAGI SOLAT FARDU

if 308 compressed

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Apa khabar. Semoga ustaz sihat wal afiat Saya ada satu kemusykilan. Ada seorang imam di surau saya ini suka baca ayat-ayat yang panjang khususnya ketika solat maghrib dan isyak. Kadang-kadang waktu maghrib dia baca surah pendek. Waktu isyak panjang pula. Pada waktu subuh lagi panjang bacaan surahnya. Adakah ini sunnah? Sebab kadang-kadang bila baca panjang kesian pada makmum yang tua-tua sampai terketar-ketar mereka. Mohon pandangan ustaz. Terima kasih.

Jawapan :

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Membaca surah dan ayat-ayat Al-Quran selepas membaca Al-Fatihah merupakan perkara sunat yang melengkapkan dan menyempurnakan solat. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id Al-Khudri. Nabi SAW bersabda :

كَانَ يَقْرَأُ فِى صَلاَةِ الظُّهْرِ فِى الرَّكْعَتَيْنِ الأُولَيَيْنِ فِى كُلِّ رَكْعَةٍ قَدْرَ ثَلاَثِينَ آيَةً ، وَفِى الأُخْرَيَيْنِ قَدْرَ خَمْسَ عَشَرَةَ آيَةً - أَوْ قَالَ نِصْفَ ذَلِكَ - وَفِى الْعَصْرِ فِى الرَّكْعَتَيْنِ الأُولَيَيْنِ فِى كُلِّ رَكْعَةٍ قَدْرَ خَمْسَ عَشْرَةَ آيَةً ، وَفِى الأُخْرَيَيْنِ قَدْرَ نِصْفِ ذَلِكَ

Maksudnya :” Nabi SAW membaca (Ayat selain Surah Al-Fatihah) di dalam solat Zohor pada dua rakaat yang awal. Pada setiap rakaat kadar (panjang bacaannya adalah sebanyak) tiga puluh ayat. Pada dua rakaat yang terakhir kadar (bacaannya adalah sebanyak) lima belas ayat. Atau kata Abu Sa’id Al-Khudri separuh daripada dua rakaat yang awal. Di dalam solat Asar pada dua rakaat yang awal, kadar (panjang bacaannya adalah sebanyak) lima belas ayat dan pada dua rakaat yang terakhir kadarnya adalah separuh daripada dua rakaat yang awal.”

Riwayat Al-Baihaqi (2578) di dalam Sunan Al-Kubra

Al-Khatib Al-Syarbini menyebut bahawa membaca surah selepas bacaan Al-Fatihah adalah sunat walaupun pendek. Disunatkan membaca surah pada dua rakaat yang awal. Sama ada solat secara jahriyah atau sirriyah. Adapun makmum tidak disunatkan membaca surah bahkan digalakkan untuk mendengar bacaan surah yang dibaca oleh imam. (Rujuk Al-‘Iqna’ Fi Hilli Alfaz Abi Syuja’,1/142)

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, di antara sunnah Nabi SAW adalah memanjangkan solat Subuh. Memanjangkan dua rakaat yang awal pada solat Zohor dan meringkaskan dua rakaat yang terakhir. Meringkaskan solat Maghrib serta solat secara pertengahan iaitu tidak panjang dan tidak pendek untuk solat Isyak dan asar.Ini berdasarkan kepada satu hadis yang diriwayatkan oleh Sulaiman Bin Yasar daripada Abu Hurairah. Kata Abu Hurairah :

مَا صَلَّيْتُ وَرَاءَ أَحَدٍ بَعْدَ رَسُولِ اللهِ صَلى الله عَليه وسَلم أَشْبَهَ صَلاَةً بِرَسُولِ اللهِ صَلى الله عَليه وسَلم مِنْ فُلاَنٍ قَالَ سُلَيْمَانُ كَانَ يُطِيلُ الرَّكْعَتَيْنِ الأُولَيَيْنِ مِنَ الظُّهْرِ وَيُخَفِّفُ الأُخْرَيَيْنِ وَيُخَفِّفُ الْعَصْرَ وَيَقْرَأُ فِي الْمَغْرِبِ بِقِصَارِ الْمُفَصَّلِ وَيَقْرَأُ فِي الْعِشَاءِ بِوَسَطِ الْمُفَصَّلِ وَيَقْرَأُ فِي الصُّبْحِ بِطِوَالِ الْمُفَصَّلِ

Maksudnya :”Aku tidak solat di belakang seorang selepas (kewafatan) Rasulullah SAW melainkan ada lelaki yang solatnya sama seperti solat Rasulullah SAW. Kata Sulaiman Bin Yasar : Rasulullah pernah memanjangkan dua rakaat yang awal pada solat Zohor dan memendekkan dua rakaat yang terakhir. Baginda meringkaskan solat Asar. Baginda juga membaca surah yang pendek daripada Al-Mufassal di dalam solat Maghrib.Di dalam solat Isyak Baginda membaca Al-Mufassal yang pertengahan dan membaca Al-Mufassal yang panjang di dalam solat Subuh.”

Riwayat Al-Nasaie (1054) di dalam Al-Sunan Al-Kubra

Sheikh Zakariyya Al-Ansari menyebut bahawa sunat membaca Al-Mufassal[1] yang panjang pada solat Subuh. Pada solat Zohor pula baca sepertimana solat Subuh. Di dalam solat Asar dan Isyak membaca Al-Mufassal yang pertengahan dan membaca surah-surah yang pendek pada solat Maghrib berdasarkan kepada riwayat Al-Nasaie. (Rujuk Asna’ Al-Matalib Fi Syarh Raudh Al-Tolib, 1/156).

Al-Khatib Al-Syarbini menyebut sunat bagi yang solat seorang mahupun yang menjadi imam untuk membaca Al-Mufassal yang panjang pada solat subuh. Di dalam solat Zohor pula tidaklah dipanjangkan sepertimana solat Subuh namun disunatkan juga membaca ayat-ayat daripada Al-Mufassal yang panjang.Di dalam solat Asar dan Isyak sunat membaca Al-Mufassal yang pertengahan. Di dalam solat Maghrib pula, disunatkan membaca Al-Mufassal yang pendek. Pada solat Subuh hari Jumaat,disunatkan pula membaca الم تنزيل[2] pada rakaat yang pertama dan هل أتى pada rakaat yang kedua. (Rujuk Al-Iqna’ Fi Hilli Alfaz Abi Syuja’,1/144)

Al-Bujairimi menjelaskan di dalam kitabnya bahawa disunatkan untuk membaca Al-Mufassal yang panjang di dalam solat subuh. Ini kerana solat subuh hanya dua rakaat. Oleh itu sangat sesuai untuk dipanjangkan. Solat Maghrib pula waktunya sempit oleh itu sangat sesuai untuk dipendekkan. Solat Zohor, Asar dan Isyak pula waktunya panjang. Ini menyebabkan solat akan menjadi panjang. Oleh kerana itu solat pada waktu ini dilakukan secara pertengahan iaitu tidak panjang dan tidak pendek kecuali solat Zohor. Panjangnya solat Zohor adalah seperti panjangnya solat Zohor. Akan tetapi tidaklah terlalu panjang seperti solat Subuh. Berkemungkinan waktu Zohor adalah waktu untuk qailulah. Oleh itu,ianya tidaklah terlalu dipanjangkan sepertimana solat Subuh. (Rujuk Tuhfah Al-Habib ‘Ala Syarh Al-Khatib,2/225).

Namun berapa ayat yang dibaca?. Adakah dibaca keseluruhan surah atau beberapa ayat. Perkara ini dapat dilihat melalui beberapa riwayat hadis. Di antaranya :

 -Daripada Abu Barzah. Beliau berkata :

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْرَأُ فِي صَلَاةِ الْغَدَاةِ بِالسِّتِّينَ إِلَى الْمِائَةِ

Maksudnya :” Sesungguhnya Rasulullah SAW membaca di dalam solat Subuh sebanyak enam puluh ke seratus ayat.”

Riwayat Al-Nasaie (939). Sheikh Syu’aib Al-Arnaut menyatakan bahawa sanad hadis ini adalah sanad yang sahih.

-Kadang-kadang pada waktu solat Subuh, Nabi akan membaca keseluruhan surah. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Jabir Bin Samurah :

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْرَأُ: فِي الصُّبْحِ بِـ {ق وَالْقُرْآنِ الْمَجِيدِ قَالَ: وَكَانَتْ صَلَاتُهُ بَعْدُ تَخْفِيفًا

Maksudnya :”Sesungguhnya Nabi SAW membaca di dalam solat Subuh dengan ق والقرآن المجيد (iaitu Surah Qaf). Kata Jabir : Solat Nabi selepas itu adalah ringkas.”

Riwayat Ibnu Hibban (1816)

 -Ada satu ketika di dalam solat Subuh, Nabi SAW membaca surah Al-Takwir. Daripada Amru Bin Huraith. Kata beliau :

سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الْفَجْرِ إِذَا الشَّمْسُ كُوِّرَتْ

Maksudnya :” Aku mendengar Nabi SAW membaca di dalam solat Subuh إذا الشمس كورت .”

Riwayat Al-Nasaie (942)

Kadang-kadang Nabi membaca Surah Al-Zalzalah di dalam kedua-dua rakaat Solat Subuh. Kata Muaz Bin Abdullah Al-Juhani bahawa dia mendengar seorang lelaki dari kabilah Juhainah mengkhabarkan kepadanya :

أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَقْرَأُ فِي الصُّبْحِ إِذَا زُلْزِلَتِ الأَرْضُ فِي الرَّكْعَتَيْنِ كِلْتَيْهِمَا فَلاَ أَدْرِي أَنَسِيَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم أَمْ قَرَأَ ذَلِكَ عَمْدًا

Maksudnya :” Dia mendengar Nabi SAW membaca di dalam solat Subuh إذا زلزلت الأرض pada kedua-dua rakaat. Aku tidak tahu sama ada Nabi terlupa ataupun sengaja membacanya di dalam kedua-dua rakaat.

Riwayat Abu Daud (816)

-Di dalam solat Zohor dan Asar, kadang-kadang Nabi SAW membaca Surah Al-Tariq dan Surah Al-Buruj. Ataupun yang panjangnya sama dengan kedua surah tersebut. Ini berdasarkan hadis riwayat Jabir Bin Samurah. Kata beliau :

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلى الله عَليه وسَلم كَانَ يَقْرَأُ فِي الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ بِـ السَّمَاءِ وَالطَّارِقِ وَ السَّمَاءِ ذَاتِ الْبُرُوجِ وَنَحْوِهِمَا مِنَ السُّوَرِ

Maksudnya :” Sesungguhnya Rasulullah SAW membaca di dalam solat Zohor dan Asar ayat السماء والطارق dan السماء ذات البروج atau mana-mana surah yang serupa dengan kedua surah tersebut.”

Riwayat Al-Tirmizi (307) & Abu Daud (782)

-Di dalam solat Maghrib pula, ada ketika Nabi membaca surah yang pendek daripada Al-Mufassal. Ada ketika Nabi membaca surah yang panjang daripada Al-Mufassal. Antaranya adalah surah Al-Tur. Ini berdasarkan riwayat hadis daripada Muhammad Bin Jubair Bin Mut’im daripada ayahnya. Kata beliau :

سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَرَأَ بِالطُّورِ فِي الْمَغْرِبِ

Maksudnya :” Aku mendengar Rasulullah SAW membaca surah Al-Tur di dalam solat Maghrib.”

Riwayat Imam Ahmad (16783) di dalam Al-Musnad

Walaubagaimanapun, imam seharusnya tahu akan keadaan makmum yang berada di belakangnya. Dia seharusnya meneliti dan mengambil perhatian terhadap kadar panjang solatnya agar tidak menyebabkan makmum berasa berat dan susah. Makmum terdiri dari pelabagai latar belakang yang harus diraikan. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Mas’ud. Kata beliau :

أَنَّ رَجُلًا قَالَ وَاللَّهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي لَأَتَأَخَّرُ عَنْ صَلَاةِ الْغَدَاةِ مِنْ أَجْلِ فُلَانٍ مِمَّا يُطِيلُ بِنَا فَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي مَوْعِظَةٍ أَشَدَّ غَضَبًا مِنْهُ يَوْمَئِذٍ ثُمَّ قَالَ إِنَّ مِنْكُمْ مُنَفِّرِينَ فَأَيُّكُمْ مَا صَلَّى بِالنَّاسِ فَلْيَتَجَوَّزْ فَإِنَّ فِيهِمْ الضَّعِيفَ وَالْكَبِيرَ وَذَا الْحَاجَةِ

Maksudnya :” Ada seorang lelaki berkata kepada Rasulullah SAW : Wahai Rasulullah Aku ini terlambat daripada solat disebabkan ada fulan yang memanjangkan solat ketika dia mengimami kami. Kata Abu Mas’ud : Aku tidak melihat Rasulullah marah pada hari Baginda memberi peringatan melainkan pada hari tersebut. Kemudian Nabi bersabda : Sesungguhnya ada di antara kalian yang akan lari. Sesiapa yang menjadi imam maka ringkaskan. Ada dalam kalangan makmum yang lemah, ada yang tua dan ada yang mempunyai hajat (untuk diselesaikan)."

Riwayat Al-Bukhari (702)

Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani menyebut bahawa meringkaskan solat di dalam hadis ini bukanlah bermaksud ringkas sehingga meninggalkan perkara-perkara yang wajib dilakukan di dalam solat. Ianya bukan bermaksud ringkas sehingga membawa kepada rosaknya solat. (Rujuk Fath Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari, 2/198)

Apa yang menariknya, Ibnu Hajar Al-Asqalani menukilkan satu kaedah yang dinyatakan oleh Fath Al-Din Al-Ya’mari yang dikenali sebagai Ibn Sayyid Al-Nas. Kata Al-Ya’mari :

الأحكام إنما تناط بالغالب لا بالصورة النادرة

Maksudnya :”Hukum-hakam secara adalah mengikut kebiaasaan bukannya mengikut kes yang terpencil.”

Kaedah inilah yang sepatutnya diaplikasikan di dalam solat berjemaah. Ini kerana bukan semua makmum mempunyai kemampuan yang sama untuk berdiri lama di solat. Berkemungkinan ada yang sakit, ada yang sudah beumur dan ada yang mempunyai tugas lain yang perlu diselesaikan serta pelbagai lagi keadaan makmum. Oleh itu, ketika menyebut berkenaan sabda Nabi yang menyebut ‘Ada dalam kalangan makmum yang lemah, ada yang tua dan ada yang mempunyai hajat (untuk diselesaikan)’ Ibnu Hajar Al-Asqalani menyebut ia adalah keadaan bagi kebanyakan orang. (Rujuk Fath Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari, 2/198)

Kata Ibnu Battal : Hadis ini menjadi dalil bahawa mereka yang menjadi imam solat perlu untuk meringankan solat kerana ianya merupakan perintah daripada Nabi SAW. (Rujuk Syarh Sahih Al-Bukhari Li Ibn Battal , 2/333)

Kesimpulannya, tidak ada masalah bagi imam untuk memanjangkan solat. Ini kerana, dalam beberapa keadaan, Nabi pernah memanjangkan beberapa solat fardhu khususnya solat Subuh. Namun, para imam perlulah melihat keadaan makmum yang solat dibelakangnya. Jangan disebabkan kita makmum lari daripada solat berjemaah. Raikanlah makmum yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman dalam memahami hukum hakam. Wallahu’alam.

[1] Al-Mufassal adalah nama bagi gabungan surah-surah. Sedia maklum bahawa surah-surah di dalam Al-Quran terbahagi kepada empat bahagian iaitu Al-Tiwal,Al-Mathani, Al-Miuun dan Al-Mufassal. Dinamakan dengan Al-Mufassal kerana banyaknya pemisah di antara surah-surahnya dengan Basmalah. Ada pandangan yang menyebut bahawa ianya dinamakan Al-Mufassal kerana tidak banyak ayat-ayat yang dimansukhkan. Ia bermula daripada surah Al-Qaf sehingga surah Al-Nas. Al-mufassal terbahagi pula kepada tiga. Ada yang panjang (Tiwal).Ianya bermula dari Surah Al-Hujurat sehingga Surah Al-Buruj.Ada juga yang pertengahan (Al-Awsat). Iaitu bermula dari Surah Al-Toriq sehingga surah Al-Bayyinah. Dan ada juga yang pendek (Qisar) iaitu bermula surah Al-Zalzalat sehingga akhir surah Al-Nas. (Rujuk Al-Itqan Fi Ulum Al-Quran Li Al-Sayuti , 2/374-376; Itqan Al-Burhan Fi Ulum Al-Quran oleh Dr Fadhl Hasan ‘Abbas, 1/449 )

[2] الم تنزيل adalah daripada Surah Al-Sajadah yang mempunyai 30 ayat dan هل أتى adalah daripada Surah Al-Insan yang mempunyai 31 ayat