Soalan:
Assalamulaikum wrm. Wbt.
Datuk Dr. Hj Zulkifli, saya ingin bertanya. Kandungan isteri saya telah disahkan keguguran di mana tiada degupan jantung pada minggu ke -9. Doktor memberi masa 2 minggu untuk tunggu ketulan darah keluar. Pada minggu ini darah sedikit demi sedikit dah keluar. Jadi pertanyaan, adakah itu darah nifas atau darah istihadah dan bagaimana solatnya?
Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam wrm. Wbt.
Mukadimah
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah ﷻ, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Darah yang keluar daripada faraj wanita yang mengandung boleh jadi darah haid, istihadah, wiladah dan nifas. Berikut kami nyatakan situasi bagi kes-kes yang disebutkan:
Darah haid
Para pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji mentakrifkan haid sebagai berikut: “Erti haid pada bahasa ialah mengalir. Manakala erti haid di sisi Syara’ ialah darah semulajadi yang normal, keluar dari pangkal rahim perempuan yang telah baligh dalam keadaan sihat pada waktu tertentu.” Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (1/77)
Waktu tertentu bermaksud, darah yang keluar daripada rahim dalam tempoh 15 hari pada waktu kebiasaan haid, yakni bukan waktu suci, adalah dianggap sebagai darah haid. Ini sekalipun jika darah itu keluar terputus-putus, dengan syarat darah itu keluar selama sehari dan semalam, atau 24 jam. Ini kerana tempoh sepanjang-panjang haid ialah 15 hari. Rujuk Sabila al-Muhtadin (1/139).
Berkata Imam al-Nawawi:
“Dan tentang darah yang seorang wanita hamil itu lihat (keluar daripa farajnya) ada dua pendapat; pendapat pertama yang lebih sahih ialah itu sesungguhnya adalah darah haid. Pendapat kedua, itu adalah darah istihadah, dan ini digunapakai oleh al-Jurjani dan ulama selainnya. Allah lebih mengetahui.”
Rujuk Al-Majmu` Syarh al-Muhadzdzab (2/347)
Ini berbeza dengan mazhab Hanafi seperti yang disebut oleh Syeikh al-Imrani dalam al-Bayan fi Mazhab Imam al-Syafie (1/348):
“Adapun darah yang seorang wanita hamil itu lihat maka padanya ada dua qaul; pertamanya ialah itu bukan haid bahkan adalah darah rosak dan inilah yang menjadi pendapat Abu Hanifah, kerana wanita haid tidak mengandung, maka tidak juga berhaid seperti hukum budak perempuan, ini kerana jika jika dia berhaid nescaya haramlah ke atasnya talak, dan nescaya iddah akan selesai dengan tiga kali suci. Pendapat kedua bahawa itu adalah haid dan pendapat ini adalah sahih.”
Justeru, sekiranya darah berkenaan keluar pada waktu kebiasaan haid yakni bukan waktu suci maka darah yang keluar itu adalah darah haid sekalipun semasa mengandung.
Darah istihadah
Tentang darah istihadah, ia adalah darah yang tidak menepati definisi darah haid, wiladah atau nifas. Daripada Fatimah binti Abu Hubaish R.Anha, bahawa dia kedatangan darah istihadhah, lantas Rasulullah ﷺ bersabda:
إِذَا كَانَ دَمُ الْحَيْضَةِ فَإِنَّهُ دَمٌ أَسْوَدُ يُعْرَفُ فَإِذَا كَانَ ذَلِكَ فَأَمْسِكِى عَنِ الصَّلاَةِ فَإِذَا كَانَ الآخَرُ فَتَوَضَّئِى وَصَلِّى فَإِنَّمَا هُوَ عِرْقٌ
Maksudnya: “Jika darah haid, maka sesungguhnya ia adalah darah berwarna hitam yang dikenali. Jika ia bersifat demikian janganlah bersolat dan jika selainnya berwudhu’lah dan dirikan solat, kerana darah itu ialah darah penyakit.”
Riwayat Abu Daud (286)
Maka jika darah berkenaan keluar pada waktu suci daripada haid, maka darah itu adalah darah istihadah. Begitu juga jika darah itu keluar tidak cukup sehari semalam, maka itu adalah darah rosak dan bukan haid atau pun nifas.
Darah wiladah
Pada asalnya, wiladah bukanlah sejenis darah, sebaliknya ia merujuk kepada kelahiran anak itu sendiri sebagai sebab untuk mandi wajib. Para pengarang al-Fiqh al-Manhaji (1/82) ada menyebut:
“Wiladah bermaksud melahirkan anak. Perempuan yang bersalin adakalanya tidak keluar darah. Oleh yang demikian, hukumnya sama dengan janabah. Ini kerana anak tersebut terjadi daripada air mani lelaki dan perempuan. Hukumnya tetap sama walaupun berbeza anak yang dilahirkan atau cara melahirkannya.”
Namun begitu, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama berkenaan sifat anak yang keguguran; apakah wajib mandi jika yang lahir itu adalah ‘alaqah (segumpal darah) dan mudghah (segumpal daging) yang diyakini sebenarnya adalah janin manusia? Umum mengetahui bahawa tumbesaran janin dalam rahim adalah berperingkat. Firman Allah ﷻ:
ثُمَّ خَلَقْنَا النُّطْفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقْنَا الْعَلَقَةَ مُضْغَةً فَخَلَقْنَا الْمُضْغَةَ عِظَامًا فَكَسَوْنَا الْعِظَامَ لَحْمًا ثُمَّ أَنشَأْنَاهُ خَلْقًا آخَرَ ۚ فَتَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ
Maksudnya: “Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.”
(Surah al-Mu’minun: 14)
Daripada Abdullah bin Mas’ud RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلقُهُ في بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا، ثُمَّ يَكُونُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثمَّ يَكونُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ الْمَلَكُ، فَيَنفُخ فِيهِ الرُّوحَ،
Maksudnya: “Sesungguhnya setiap kalian dikumpulkan penciptaannya di perut ibunya sebagai setitis mani (nutfah) selama empat puluh hari, kemudian berubah menjadi segumpal darah (‘alaqah) selama empat puluh hari, kemudian menjadi seketul daging (mudhgah) selama empat puluh hari. Kemudian diutus kepadanya seorang malaikat lalu ditiupkan padanya roh.”
Riwayat al-Bukhari (6894) dan Muslim (2643)
Berkata Imam al-Nawawi dalam al-Majmu` (2/150): “Dan jika seorang wanita keguguran dalam bentuk gumpalan darah, atau ketulan daging, maka tentang kewajipan mandi itu ada dua wajah (pendapat dalam kalangan ashab); pendapat yang lebih sahih ialah wajib.”
Beliau menyebutkan dalam Raudhah al-Tolibin (1/174):
Maksudnya: “Dalam hukum nifas, sama ada anak yang lahir itu dalam bentuk penciptaan yang sempurna, atau yang tidak sempurna, atau mati, atau gugur dalam bentuk ketulan daging atau segumpal darah, dan apabila berkata para bidan: ‘Sesungguhnya ini adalah permulaan penciptaan manusia.’ Maka darah yang wujud selepas itu adalah nifas.”
Justeru, sekiranya bidan atau doktor pakar mengatakan bahawa ketulan darah yang keluar itu adalah janin, atau sebahagiannya, maka darah yang keluar selepasnya itu adalah nifas.
Darah nifas
Darah nifas ialah darah yang keluar selepas bersalin. Tempoh minimum nifas ialah sekelip mata (لحظة). Kadang-kadang ia berterusan hingga beberapa hari dan biasanya hingga 40 hari. Manakala tempoh maksimumnya pula ialah 60 hari. Berdasarkan kajian Imam al-Syafie, darah yang keluar melebihi tempoh tersebut adalah darah penyakit. Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (1/82)
Justeru, selari dengan keterangan di atas berkenaan darah wiladah, darah yang keluar selepas bersalin, sama ada keguguran atau normal, maka itu adalah darah nifas, setelah dipastikan oleh pakar perubatan.
Penutup
Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, tergambar dalam minda kita bahawa darah yang keluar semasa keguguran mempunyai perbezaan hukum mengikut tabiat dan cara darah itu keluar. Kami simpulkan seperti berikut:
- Sekiranya darah itu keluar bukan pada waktu suci daripada haid, dan darah itu telah dikenalpasti sebagai bukan janin yang gugur, maka itu adalah darah haid. Begitu jugalah jika darah itu keluar sebelum janin yang gugur.
- Sekiranya darah itu keluar pada waktu suci daripada haid, atau tidak cukup sehari semalam atau lebih 15 hari, dan darah itu telah dikenalpasti sebagai bukan janin yang gugur, maka itu adalah darah rosak atau istihadah.
- Sekiranya darah itu telah dikenalpasti sebagai janin yang gugur dalam fasa `alaqah, maka itu adalah darah wiladah.
- Sekiranya darah itu keluar bukan pada waktu suci daripada haid, dan darah itu telah dikenalpasti sebagai janin yang gugur dalam fasa `alaqah, maka itu darah yang keluar selepas itu adalah darah nifas.
Justeru, jika sudah dipastikan oleh pakar perubatan bahawa darah yang keluar itu adalah janin, maka boleh dipegang bahawa darah yang keluar itu adalah `alaqah yang mewajibkan mandi, dan darah yang keluar selepas itu sehingga 60 hari adalah darah nifas yang mengharamkan ke atas wanita apa-apa yang diharamkan ke atas wanita berhaid seperti solat dan puasa. Wallahua’lam.
Semoga Allah ﷻ memberikan kita kefahaman dan kudrat untuk melaksanakan Syariat sebaik mungkin. Amin.