اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-347 : FADILAT MEMAKAN TUJUH BIJI KURMA, ADAKAH KHUSUS BUAT KURMA AJWAH MADINAH SAHAJA ATAU UMUM BUAT SEMUA JENIS KURMA?

IF 347 kurma

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t.

Saya ada satu persoalan. Saya ada mendengar satu hadis yang menyebut mengenai kelebihan makan kurma ajwah sebanyak 7 biji pada setiap pagi, akan terselamat daripada racun dan sihir. Soalan saya, adakah fadilat tersebut hanya khusus kepada kurma ajwah Madinah sahaja atau sebenarnya umum buat semua jenis kurma? Harap Dato’ dapat memberi pencerahan.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi kurma (Phoenix dactylifera)

Sebelum kami bahaskan lebih lanjut kepada persoalan di atas, kami ingin mulakan dengan melihat terlebih dahulu makna kurma itu sendiri. Menurut Kamus Dewan Edisi keempat kurma ialah sejenis tumbuhan (palma) yang buahnya manis dan boleh dimakan.[1] Kurma merupakan tumbuhan daripada dari genus Phoenix. Perkataan phoenix berasal dari perkataan Phoenicia yang bermaksud pokok kurma, dan dactylifera berasal dari perkataan Greek daktulos bermaksud jejari yang menggambarkan bentuk buahnya. Pokok kurma dalam bahasa Arab disebut sebagai nakhl, manakala buahnya yang matang dipanggil tamar. Penanaman pokok kurma bermula sejak sebelum Masihi iaitu 6000 hingga 8000 tahun yang lalu di Mesopotamia.[2] Imam al-Nawawi telah menyebutkan bahawa terdapat sebanyak 120 jenis kurma Madinah. [Lihat : al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (12/50)]

Adapun Ajwah adalah merupakan salah satu jenis daripada jenis-jenis tamar (kurma). Al-Jauhari telah menyatakan bahawa kurma Ajwah merupakan antara jenis kurma yang terbaik di Madinah. [Lihat : al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (36/284)] Begitu juga Imam al-Nawawi menyatakan perkara yang sama iaitu Ajwah adalah daripada jenis kurma yang baik. [Lihat : al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (14/3)] Manakala Ibnu Hajar al-Asqalani pula menyatakan bahawa kurma Ajwah adalah kurma yang terbaik dan paling lembut di Madinah. Kemudian, beliau menukilkan pendapat al-Dawudi yang menyatakan bahawa kurma Ajwah termasuk di dalam kategori kurma yang sederhana saiznya. Dan Ibnu al-Athir pula menyatakan di dalam kitabnya al-Nihayah bahawa kurma Ajwah merupakan sejenis kurma daripada Madinah, saiznya lebih besar daripada kurma (al-Soyhani) dan warnanya kehitam-hitaman. [Lihat : Fath al-Bari (10/238), dan Mirqah al-Mafatih (7/2705)] Ibnu Qayyim al-Jauziyyah menyebutkan bahawa Ajwah Madinah adalah merupakan kurma yang paling bermanfaat di Tanah Hijaz secara umumnya, bentuknya baik, isinya padat dan kuat, termasuk antara kurma yang paling lazat (sedap), lembut dan harum. [Lihat : al-Tibb al-Nabawi, hal. 258]

Oleh itu, kita boleh simpulkan bahawa kurma Ajwah adalah kurma yang terbaik dan paling lembut di Madinah, warnanya kehitam-hitaman, saiznya sederhana dan isinya padat.

Kelebihan makan kurma Ajwah

Terdapat hadis-hadis yang menyebutkan mengenai kelebihan memakan 7 biji kurma Ajwah pada waktu pagi. Di antaranya daripada Saad bin Abi Waqqas bahawa Nabi SAW bersabda :

مَنْ تَصَبَّحَ بِسَبْعِ تَمَرَاتٍ عَجْوَةً، لَمْ يَضُرَّهُ ذَلِكَ الْيَوْمَ سُمٌّ، وَلَا سِحْرٌ

Maksudnya : “Sesiapa yang memakan tujuh biji kurma Ajwah pada waktu pagi, tidak akan memberi mudarat sebarang racun mahupun sihir kepadanya pada hari tersebut.” [HR al-Bukhari (5445) dan Muslim (2047)]

Begitu juga, daripada Aisyah R.Anha bahawa Nabi SAW bersabda :

إِنَّ فِي عَجْوَةِ الْعَالِيَةِ شِفَاءً - أَوْ إِنَّهَا تِرْيَاقٌ - أَوَّلَ الْبُكْرَةِ

Maksudnya : “Sesungguhnya pada kurma Ajwah ‘Aliyah itu ada ubat penyembuh atau ia merupakan ubat penawar bagi racun, apabila dimakan pada awal pagi.” [HR Muslim (2048)]

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa ‘Aliyah ialah kawasan yang terdiri daripada kebun-kebun, perkampungan dan pekan dari dataran tinggi Madinah yang menuju ke arah Najd. Atau dataran rendah dari arah yang lain yang menuju ke Tihamah. Kawasan ‘Aliyah yang paling dekat dari Madinah adalah pada jarak 3 batu (mil) dan yang paling jauh adalah pada jarak 8 batu. [Lihat : al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (14/3) dan Ikmāl al-Mu’lim bi fawāid Muslim]

Dalam satu riwayat lain daripada Saad bin Abi Waqqas datang dengan lafaz tanpa menyebut kurma Ajwah :

مَنْ أَكَلَ سَبْعَ تَمَرَاتٍ مِمَّا بَيْنَ لَابَتَيْهَا حِينَ يُصْبِحُ، لَمْ يَضُرَّهُ سُمٌّ حَتَّى يُمْسِيَ

Maksudnya : “Sesiapa yang memakan pada waktu pagi tujuh biji kurma, yang ditanam antara dua bebatuan hitam, tidak akan memberi mudarat kepadanya sebarang racun sehinggalah petang.” [HR Muslim (2047)]

Akan tetapi di dalam Mustakhraj Abi Awanah, selepas disebutkan hadis di atas, dinukilkan pula kata-kata daripada Abu Tuwalah yang menyebut bahawa dia mendengar orang ramai menyebut kurma yang dimaksudkan adalah kurma Ajwah. Begitu juga, Ibnu Wahb menyatakan perkara yang serupa. [Lihat : Mustakhraj Abi Awanah, no. 8341, (5/189)]

Manakala daripada riwayat Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda :

والعَجوةُ مِنَ الجَنَّةِ، وهي شِفاءٌ مِنَ السُّمِّ

Maksudnya : “Kurma Ajwah itu berasal daripada syurga, dan ia merupakan penawar daripada racun.” [HR Ahmad (8037), al-Tirmizi (2066) dan Ibnu Majah (3455). Ahmad Syakir menyatakan bahawa sanadnya sahih]

Daripada hadis-hadis ini, secara zahirnya dapat kita fahami bahawa sesiapa yang memakan tujuh biji kurma Ajwah pada waktu pagi akan mendapat fadilat sebagaimana yang telah disebutkan iaitu terselamat daripada sebarang racun dan sihir.

Adakah fadilat ini khusus buat kurma Ajwah Madinah sahaja, atau umum buat semua jenis kurma?

Ibnu Hajar al-Asqalani menukilkan beberapa pendapat ulama mengenai hal ini. Antaranya daripada al-Khattabi yang menyatakan bahawa :

كَوْنُ الْعَجْوَةِ تَنْفَعُ مِنَ السُّمِّ وَالسِّحْرِ إِنَّمَا هُوَ بِبَرَكَةِ دَعْوَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِتَمْرِ الْمَدِينَة لَا لخاصية فِي التَّمْر

Maksudnya : “Kurma Ajwah bermanfaat bagi mengubati racun dan sihir disebabkan oleh keberkatan doa Nabi SAW kepada kurma Madinah, dan bukan kerana khasiat kurma itu sendiri.”

Manakala Ibnu al-Tin pula berpendapat bahawa :

يُحْتَمَلُ أَنْ يَكُونَ الْمُرَادُ نَخْلًا خَاصًّا بِالْمَدِينَةِ لَا يُعْرَفُ الْآنَ

Maksudnya : “Berkemungkinan yang dimaksudkan di sini ialah kurma yang secara khususnya terdapat di Madinah, yang tidak diketahui lagi pada masa sekarang”

Al-Maziri berpendapat bahawa perkara ini antara perkara yang tidak dapat difikirkan munasabahnya (logiknya) melalui ilmu perubatan kerana kalaulah manfaat kurma sebagai penawar kepada racun dapat dibuktikan melalui ilmu perubatan, maka tiada keperluan lagi untuk meletakan had pada bilangan iaitu tujuh biji dan juga jenis iaitu kurma Ajwah. Dan boleh jadi ia adalah khusus bagi penduduk pada zaman Nabi SAW atau kebanyakan orang daripada mereka. Sekiranya tidak sabit penyembuhan tersebut berterusan berlaku sehingga kepada zaman kita pada kebanyakan orang, sekalipun ia berlaku pada ramai orang, maka kita boleh simpulkan bahawa ia bermaksud memberi penyembuhan dalam kebanyakan keadaan.

Qadi ‘Iyad pula berpendapat fadilat tersebut adalah khusus buat kurma Ajwa ‘Aliyah dan kurma-kurma yang ditanam di dalam Madinah (antara dua bebatuan hitam) sepertimana penawar yang hanya didapati dalam sebahagian ubat yang terdapat pada sebahagian kawasan dalam sebuah negeri dan bukan daripada jenis selainnya disebabkan oleh tanah dan udara (kawasan tertentu) yang memberi kesan.

Sebahagian ulama yang lain pula menyatakan bahawa mengkhususkan kurma Madinah bagi fadilat tersebut, jelas dapat dilihat melalui lafaz-lafaz pada matan hadis berkenaan, adapun mengkhususkannya hanya pada zaman (Nabi SAW) sangat jauh (menyimpang).

Al-Qurtuby menyatakan bahawa secara zahirnya hadis-hadis tersebut menunjukkan kepada pengkhususan kurma Ajwah Madinah bagi menyembuhkan racun dan membatalkan sihir.

[Lihat : Fathu al-Bari (10/239-240)]

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis di dalam bab kelebihan tamar Madinah menyatakan bahawa hadis-hadis ini menunjukkan kelebihan tamar Madinah dan Kurma Ajwah. Juga kelebihan memakan tujuh biji kurma pada waktu pagi. Dan kelebihan ini hanya buat kurma Ajwah Madinah sahaja, serta bukan pada kurma-kurma yang lain. Manakala, bilangan 7 biji termasuk di dalam perkara yang hanya diketahui oleh Allah SWT akan hikmahnya. Adapun kita wajib beriman dan menerimanya, serta meyakini akan fadilatnya (adalah benar) dan ada hikmahnya (akan perkara tersebut), sebagaimana ketetapan terhadap bilangan solat, kadar nisab di dalam zakat dan lain-lain. [Lihat : al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (14/3)] Ibnu Qayyim al-Jauziyyah juga ada menukilkan pendapat yang mengatakan bahawa fadilat tersebut adalah pada kurma Ajwah Madinah. [Lihat : al-Tibb al-Nabawi, hal. 258]

Pandangan ulama kontemporari

Syeikh Ibn Baz pernah menyatakan bahawa sesiapa yang mengamalkan memakan kurma sebanyak tujuh biji adalah merupakan salah satu cara rawatan. Nabi SAW bersabda : “Sesiapa yang memakan tujuh biji kurma Ajwah Madinah pada waktu pagi, tidak akan memberi mudarat sebarang racun mahupun sihir kepadanya.” Dalam riwayat lain dengan lafaz : “yang ditanam antara dua bebatuan hitam” iaitu kurma Madinah keseluruhannya. Dan diharapkan kurma-kurma lain (selain Madinah) termasuk juga di dalam fadilat tersebut iaitu mudah-mudahan Allah akan memberi manfaat buat pengamalnya, yang memakan tujuh biji kurma pada waktu pagi (sekalipun bukan kurma Madinah). [Lihat : Fatwa Nur ‘ala al-Darb (3/297)]

Syeikh Ibn Soleh al-Uthaimin menyatakan bahawa hadis tersebut sahih akan tetapi berbeza pada lafaz-lafaz yang mengikatnya (mengkhususkannya) sebagaimana yag terdapat dalam sesetengah riwayat. Ada lafaz yang mengikatnya dengan kurma Ajwah. Dan ada yang mengikatnya dengan kurma Ajwah ‘Aliyah. Sebahagian ulama mengatakan bahawa fadilat tersebut adalah khusus buat kurma ini sahaja (yang mengikatnya), dan bukannya sabit pada semua jenis kurma. Sementara sebahagian ulama yang lain memahami hadis tersebut sebagai bersifat mutlak (tidak diikat dengan sesuatu apa pun). Oleh itu, sesiapa yang memakan apa sahaja jenis kurma pada waktu pagi sebanyak tujuh biji, dia terselamat daripada sebarang racun dan sihir pada hari tersebut… Dan lafaz yang muqayyad (diikat dengan sesuatu), sekiranya ia bertepatan sebagaimana lafaz yang umum pada hukumnya, maka lafaz tersebut tidak boleh menjadi pengikat (yang mengikat lafaz umum), akan tetapi ia hanyalah sekadar menyebut sebahagian daripada jenis-jenisnya sahaja… Kesimpulannya, kami katakan selagi mana nas tersebut muhtamal (ada kemungkinan), sekiranya seseorang itu memakan tujuh biji kurma dan ia menepati sebagaimana yang dikehendaki oleh Rasulullah SAW, maka dia memperoleh fadilat tersebut. Dan sekiranya ia tidak menepati, perkara tersebut langsung tidak memudaratkannya. [Lihat : Fatawa Nur ‘ala al-Darb li al-Uthaimin (6/2)]

Kajian berkenaan kandungan kurma[3]

Kurma sangat kaya dengan kandungan nutrien yang pelbagai. Oleh yang demikian, banyak kajian telah dijalankan bagi mengkaji kandungan yang terdapat di dalam kurma. Antaranya ialah :

  1. Selenium

Kajian telah mendapati bahawa selenium yang terdapat di dalam buah kurma penting dalam sistem imunisasi badan.

  1. Agen aktioksida

Selain itu, kurma juga mengandungi agen antioksida. Satu kajian telah dijalankan ke atas hati tikus yang telah diaruh menjadi toksik, kemudian dirawat dengan ekstrak buah kurma. Hasil menunjukkan bahawa buah kurma berpotensi sebagai agen antioksida. Begitu juga, satu kajian lain telah dijalankan ke atas 11 jenis kurma dari Iran bagi melihat aktiviti antioksida dan kandungan fenolik di dalam kurma-kurma tersebut. Hasil menunjukkan jenis kurma dari Iran ini berpotensi sebagai bahan antioksida.

  1. Flavonoid

Hasil kajian mendapati kurma Deglet-Noor mengandungi 13 jenis flavonoid. Selain daripada itu, ia juga mengandungi flavonoid sulfat yang jarang dijumpai dalam tumbuhan. Flavonoid mempunyai potensi yang baik sebagai antioksida dan baik untuk pencegahan penyakit terutamanya seperti penyakit kanser dan penyakit kardiovaskular.

Kesimpulannya

Setelah kami melihat kepada pendapat-pendapat ulama serta dalil-dalil mereka, disamping mengambil kira kajian moden yang telah dijalankan, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :

  • Kami cenderung kepada pendapat bahawa kurma yang dimaksudkan di dalam hadis Nabi SAW, yang mana mempunyai kelebihan bagi menghindari racun dan sihir, adalah khusus buat kurma Ajwah Madinah sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dan al-Qurtuby. Adapun kurma Ajwah ‘Aliyah adalah termasuk di dalam kategori kurma Ajwah Madinah.
  • Sekalipun begitu, sekiranya tidak ada kurma Ajwah Madinah, maka dia boleh beramal dengan apa sahaja jenis kurma yang ada, dengan mengharapkan mudah-mudahan dia mendapat fadilat sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadis. Kami menasihati semua agar jangan sekali-kali kita membiarkan diri kosong daripada mendapat manfaat (fadilat) dan kebaikan dalam mengamalkannya sekalipun bukan dengan kurma Ajwah Madinah. Sebagaimana kata Syeikh al-Uthaimin selagi mana nas tersebut muhtamal (ada kemungkinan), sekiranya seseorang itu memakan tujuh biji kurma (tidak kira jenis apa pun) dan ia menepati sebagaimana yang dikehendaki oleh Rasulullah SAW, maka dia memperoleh fadilat tersebut. Dan sekiranya ia tidak menepati apa yang dikehendaki oleh Baginda SAW, perkara tersebut langsung tidak memudaratkannya.

Semoga Allah SWT memberikan kita kekuatan bagi mengamalkan syariatNya serta sunnah nabiNya dengan sebaik mungkin.

 

[1] Lihat : http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=kurma. Telah diakses pada 12 Disember 2019.

[2] Lihat : Disertasi bertajuk : Tumbuhan Terpilih Menurut Perspektif Islam dan Sains Kesihatan, oleh Sumaiyah binti Mohd. Tamizi, Disertasi ini dikemukakan untuk memenuhi keperluan bagi Ijazah Sarjana Falsafah, Institut Pengajian Siswazah Universiti Malaya Kuala Lumpur 2015, hal. 142.

[3] Ibid, hal. 144-147