اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-390 : HUKUM MEMAKAN DAGING BABI TIRUAN (SINTETIK)

IF 390 daging babi

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan. Baru-baru ini telah tersebar mengenai daging babi tiruan (fake pork) yang dihasilkan daripada kacang soya serta bahan bukan daripada babi, tetapi rasa dan baunya seperti daging babi asal (real pork). Soalan saya, apakah hukum kita memakan daging tiruan babi tersebut?

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah SWT mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah.”

(Surah al-Baqarah : 173)

Ayat di atas telah menyatakan bahawa Allah SWT telah mengharamkan kepada kamu semua apa yang memudaratkan seperti bangkai iaitu yang tidak disembelih sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak, juga darah yang mengalir, daging khinzir dan sembelihan yang disembelih bukan kerana Allah. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 26) Syeikh al-Sa’di menyebutkan bahawa larangan memakan bangkai kerana ia adalah buruk lagi memudaratkan dan kebiasaannya juga ia mati (menjadi bangkai) disebabkan oleh penyakit. Maka, semakin bertambah lagi kemudaratannya. (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 81)

Pengharaman daging khinzir

Begitu juga dengan daging khinzir. Para fuqaha telah sepakat (Ijma’) akan kenajisan daging khinzir sekalipun disembelih. Hal ini berdasarkan nas al-Quran yang telah menyebutkan bahawa khinzir adalah najis secara zatnya. Maka dagingnya dan kesemua bahagiannya sama ada bulu, tulang dan kulit adalah najis sekalipun disembelih. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/302)

Syihabuddin al-Alusi menyebut di dalam tafsirnya, dikhususkan penggunakan lafaz daging, dalam masa yang sama bahagian-bahagiannya yang lain juga hukumnya haram kerana kebanyakkan bahagian yang dimakan daripada haiwan adalah daging. Dan seluruh bahagiannya yang lain mengikut hukum pada daging tersebut. (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 1/439)

Makanan Halal dan Haram

Mengenai perkara ini, Allah SWT telah berfirman di dalam al-Quran :

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya : “dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A’raf : 157)

Maksud ( الطَّيِّبَاتِ - baik-baik ) ialah perkara yang disukai dan diingini oleh jiwa manusia yang bersih. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/67)

Begitu juga firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya : “Wahai sekalian manusia, makanlah kamu dari (hasil) yang terdapat di atas muka bumi (makanan) yang halal lagi baik.”

(Surah al-Baqarah : 168)

Syeikh al-Sa’di telah mengulas ayat ini dengan mengatakan bahawa ianya ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang-orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi ini, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan binatang-binatang yang telah dihalalkan buat mereka mengambilnya (memakan dan mengambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, atau mencuri atau dengan hasil muamalat (jual beli) yang diharamkan atau perkara-perkara yang diharamkan. Manakala toyyiban pula ialah bukan daripada perkara yang buruk (kotor dan jijik) seperti bangkai, darah, daging khinzir dan lain-lain. Ayat ini adalah merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/80)

Ayat di atas juga menunjukkan bahawa makanan yang hendak dimakan oleh kita hendaklah memenuhi dua kriteria tersebut iaitu, halal dan baik.

Daging babi tiruan (sintetik)

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, asal kepada sesuatu sumber makanan itu sama ada daripada haiwan atau tumbuh-tumbuhan atau lain-lain adalah halal melainkan ada nas yang jelas terhadap pengharamannya. Perkara ini adalah bertepatan dengan kaedah :

الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم

Maksudnya : Asal sesuatu hukum itu adalah diharuskan, sehingga terdapat dalil yang menunjukkan pengharamannya”

Justeru, kami katakan bahawa asal hukum daging tiruan yang diasaskan daripada sumber tumbuh-tumbuhan dan bahan-bahan tambahan yang dibenarkan adalah halal dimakan seperti daging tiruan yang dibuat daripada kacang soya atau kacang hijau. Lebih-lebih lagi, daging tiruan tersebut dihasilkan bagi memenuhi permintaan vegetarian yang ingin merasai bagaimana rasa daging yang sebenar.

Akan tetapi, kami berpendapat daging babi tiruan (fake pork) adalah haram dimakan sekalipun bahan-bahan yang digunakan dalam penghasilannya adalah halal. Hal ini adalah kerana mengambil langkah Sadd al-Zarai’ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada galakkan mendekati produk berasaskan babi iaitu dengan merasa daging babi tiruan halal. Perkara ini seterusnya boleh membawa kepada kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam dan dikhuatiri mereka akan terjebak memakan daging babi yang sebenar (real pork) dengan sangkaan ia adalah daging babi tiruan (fake pork).

Begitu juga, daging babi tiruan tersebut berkemungkinan besar bertujuan sebagai strategi pemasaran untuk mempromosikan daging babi yang sebenar, memakan daging tersebut secara tidak langsung menyebabkan umat Islam terjebak dalam bersubahat menggalakkan memakan daging babi atau perkara-perkara yang diharamkan di dalam agama.

Ketika membahaskan senarai perkara-perkara yang tidak boleh dizahirkan kepada orang-orang Islam oleh orang-orang kafir zimmi, Ibnu Hajar al-Haitami mengatakan :

ومن إظهار منكر بيننا نحو خمر وخنزير وناقوس

Maksudnya : “(Termasuk yang ditegah) ialah menzahirkan mungkar dalam kalangan kita orang-orang Islam, seperti arak, babi dan loceng gereja.”

Menurut beliau lagi, di antara sebab ia ditegah itu ialah kerana ia boleh membawa kepada pelbagai kemungkaran. Selain daripada itu, perkara yang turut dilarang sama sekali tidak boleh dizahirkan ialah syiar atau lambang kekufuran dan kemungkaran.

(Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 9/301)

Larangan menyerupai orang kafir dan fasiq.

Selain itu juga, umat Islam telah diperintah supaya berpegang dengan prinsip tidak melakukan sesuatu perbuatan yang menyerupai orang kafir pada sesuatu yang kita dilarang melakukannya. Lantaran itu, kita dilarang oleh Rasulullah SAW menyerupai golongan kafir dalam hal yang merupakan amalan dan tradisi dalam agama mereka. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya : “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia adalah dari kalangan mereka.”

[HR Abu Daud (4031)]

Sheikh al-‘Azim Abadi menukilkan pandangan al-Munawi dan ‘Alqami. Kata mereka : “Yang dimaksudkan dengan hadis ini ialah berpakaian dengan pakaian mereka, juga menyerupai cara mereka serta menyerupai perlakuan dan perbuatan mereka.” (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 9/54)

Al-Imam al-San’ani menyebut : “Hadis ini menunjukkan sesiapa yang menyerupai atau meniru orang yang fasiq, orang kafir, atau pembuat bidaah maka dia adalah dari kalangan mereka (sama seperti mereka). Di mana dia meniru apa yang khusus bagi mereka seperti pakaian, tunggangan atau gerak-geri mereka.” (Lihat Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, 4/175)

Oleh itu, perbuatan memakan daging khinzir adalah merupakan perbuatan dan makanan biasa bagi orang kafir. Sedangkan ia jelas terlarang dalam agama Islam. Maka umat Islam dilarang sama sekali meniru walaupun sekadar gaya perbuatan mereka yang memakan daging khinzir.

Kesimpulannya

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami simpulkan kepada beberapa perkara :

  • Hukum asal daging tiruan yang dibuat daripada bahan-bahan halal seperti tumbuh-tumbuhan dan lain-lain yang dibenarkan adalah halal. Akan tetapi, kami berpendapat daging babi tiruan (fake pork) adalah haram dimakan sebagai langkah Sadd al-Zarai’ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada galakkan mendekati produk berasaskan babi iaitu dengan merasa daging babi tiruan halal.
  • Perkara ini juga, seterusnya boleh membawa kepada kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam dan dikhuatiri mereka akan terjebak memakan daging babi yang sebenar (real pork) dengan sangkaan ia adalah daging babi tiruan (fake pork).      
  • Selain itu, kita perlu menjadi pengguna muslim yang bijak untuk menjauhkan diri daripada apa jua bentuk produk yang meragukan. Apatah lagi produk yang jelas mempunyai hubungan dengan perkara yang dilarang syarak seperti daging babi. Rasulullah SAW bersabda :

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ

Maksudnya : “Tinggallah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan. Maka sesungguhnya kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu keraguan.”

[HR al-Tirmizi (2708)]

  • Begitu juga, tidak boleh sekali-kali melakukan sebarang usaha untuk mempromosi atau menormalisasikan daging babi khususnya kepada umat Islam. Perbuatan tersebut hanya akan menimbulkan kekeliruan di samping menyentuh sensitiviti umat Islam.
  • Kami juga ingin mengingatkan, bagi menyemak status sebarang produk makanan ataupun minuman yang dikeluarkan atau yang terdapat di dalam Negara, hendaklah terus merujuk terlebih dahulu kepada badan berautoriti seperti Bahagian Hab Halal, JAKIM.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.