اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE 403 : HUKUM MAKAN KUTU BERAS DAN KUTU TEPUNG

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.,

Apakah hukum memakan kutu yang terdapat dalam beras dan tepung gandum. Adakah hukumnya haram sama seperti bangkai atau dimaafkan? Mohon penjelasan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah ﷻ, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya hukum memakan serangga seperti kutu dan kumbang adalah diharamkan kerana ia termasuk dalam kategori haiwan hasyarat yang menjijikkan, dengan dikecualikan hukum belalang kerana terdapat nas yang menghalalkan.

Allah ﷻ berfirman:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dan baginda (Rasulullah ﷺ) menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A`raf : 157)

Menurut Imam Fakhruddin al-Razi dalam Mafatih al-Ghayb (15/381), dalam ayat ini Allah ﷻ menyifatkan Nabi Muhammaf ﷺ dengan sembilan sifat, antaranya, menghalalkan bagi manusia akan benda-benda yang dihukum oleh Allah sebagai halal yakni dihalalkan segala benda-benda yang berasa elok pada jiwa dan enak pada tabiat manusia, melainkan terdapat dalil lain yang mengatakan ia haram. Begitu juga Rasulullah ﷺ mengharamkan segala apa yang jijik pada jiwa seperti bangkai dan darah, dan orang yang memakannya dianggap fasik.  Dalam kata lain, semua benda yang ditanggap kotor pada tabiat manusia dan dirasakan jijik pada jiwa adalah diharamkan kerana ia menjadi sebab kepada sakit, sedangkan apa sahaja yang memudaratkan hukum asalnya adalah haram. Maka setiap yang jijik pada tabiat manusia pada asalnya adalah haram, melainkan terdapat dalil yang menyatakan hukum berbeza.

Namun begitu, ulat atau kutu yang lahir pada makanan seperti buah, beras dan tepung gandum adalah dimaafkan untuk dimakan bersama makanan itu. Ini kerana sukar untuk diasing, dikawal daripada kemasukan, dan tabiat serta rasanya sama seperti makanan sehingga tidak dipandang jijik. Namun jika diasingkan lalu dimakan, maka tidak dimaafkan, mengikut pendapat yang asah.

Berkata Imam al-Nawawi: “Ulat yang lahir daripada buah-buahan, keju, cuka dan kacang hijau, dan yang seumpamanya, jika ia mati dalam benda yang dia dilahirkan daripadanya maka dia menjadi najis disebabkan kematiannya, mengikut mazhab, namun tentang memakannya terdapat tiga aujuh (pendapat ashab); [pendapat yang paling sahih] ialah halal memakannya bersama benda yang dia dilahirkan daripadanya, bukan secara terasing;[dan pendapat kedua] halal memakannya secara mutlak [dan pendapat ketiga] haram secara mutlak, maka mengikut pendapat yang sahih ia adalah najis tetapi tidak memudaratkan pada memakannya secara bersama.”

Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab (9/36-37)

Imam al-Nawawi berkata: “dan disebutkan (oleh beberapa orang ulama) bahawa ulat tidak diciptakan daripada bangkai itu sendiri, atau tahi baja itu, akan tetapi ia semata-mata dilahirkan di dalamnya, seperti ulat cuka, yang tidak dicipta daripada cuka itu sendiri tetapi dilahirkan di dalamnya.”

Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhadzzab (2/568)

Berkata Syeikh Jamal dalam Hasyiah Jamal: Imam al-Ramli bersetuju bahawa diharuskan memakan kacang ful dan kurma yang diserang kutu, bersama dengan kutunya, sama ada hidup atau mati…Diqiyas juga dengan kurma yang diserang kutu dan kacang fulu apabila kedua-duanya dimasak dan kutu itu mati di dalamnya, sekalipun cara makan kurma berbeza dengan kacang ful. Kurma pada adatnya dibelah kemudian dibuah apa dalamnya, tak sama seperti kacang ful, nescaya inilah pendapat yang lebih tepat.”

Rujuk Hasyiah al-Jamal (5/268)

Berkata Syeikh Abu Bakar al-Dimyati dalam I`anah al-Tolibin (9/458-459): “[begitu juga ulat yang lahir daripada makanan seperti cuka dan buah; jika dimakan bersama mengikut pendapat yang asah] kerana sukar mengasingkannya, dan kerana ulat itu umpama sebahagian daripada buah itu pada tabiat dan rasanya. Adapun jika ulat itu dimakan secara terasing maka mengikut pendapat yang asah ialah diharamkan…dan diqiyaskan makan yang berulat dengan kurma atau kacang baqila` yang diserang kutu, apabila dimasak.”

Berkata Imam al-Khatib al-Syirbini: “[Begitu juga hukum ulat yang dilahirkan dari makanan seperti cuka] dan keju [dan buah-buahan, hanya jika di makan secara bersama] apabila ia mati [mengikut pendapat yang asah] kerana sukar diasingkan. Sebahagian ulama muta’akhkhirin melampirkan hukum hukum daging yang berulat dengan hukum buah-buahan. Berdasarkan penta`lilan ini, maka jika perkara itu mampu diasingkan, ulat dalam epal, maka haram memakannya secara bersama. Berkata Ibn Syahbah: itulah pendapat yang zahir, yakni apabila tidak sukar untuk membezakan. Terkeluar daripada pendapatnya [secara bersama] bagi kes memakan ulat secara berasingan maka itu haram sebab najisnya bangkai dan kejijikannya. Sama jugalah jika ulat itu diangkat ke tempat lain, seperti kata al-Bulqini, atau ulat itu pergi sendiri, kemudian ia dikembalikan ke sarangnya (dalam buah) seperti mana yang disebutkan oleh sebahagian muta`akhkhirin. Pendapat kedua mengatakan halal secara mutlak, kerana ulat itu dianggap sebahagian daripada buah. Pendapat ketiga mengatakan haram secara mutlak kerana ulat itu adalah bangkai."

Rujuk Mughni al-Muhtaj (6/99)

Hadis Tentang Adab Memeriksa Buah Kurma Daripada Ulat dan Kutu

Terdapat hadis daripada Anas bin Malik RA yang berkata:

أُتِىَ النَّبِىُّ ﷺ بِتَمْرٍ عَتِيقٍ فَجَعَلَ يُفَتِّشُهُ يُخْرِجُ السُّوسَ مِنْهُ

Nabidiberi kurma yang sudah lama, lalu baginda mengorek-ngorek kurma tersebut dan mengeluarkan kutu dari kurma itu.”

Riwayat Abu Daud (3832) dan al-Baihaqi (14634) dalam Sunan al-Kubra. Menurut Syeikh Syuaib al-Arnaut, sanadnya sahih.

Berkata Imam al-Baihaqi: “Diriwayatkan daripada Ibn Umar daripada Nabi ﷺ tentang baginda melarang daripada membelah tamar untuk mengeluarkan apa yang ada di dalam rongganya. Jika sahih riwayat ini, maka pendapat yang tepat ialah maksud yang dikehendaki dalam hadis tersebut ialah – hanya Allah lebih mengetahui – jika kurma itu masih baru. Adapun yang kami riwayatkan di sini adalah apa yang warid tentang kurma yang sudah lama.”

Berkata Imam Zainuddin al-Munawi dalam al-Taysir (2/267):  “Baginda memakan kurma selepas membersihkannya daripada seumpama ulat yang tidak dilarang memakannya. Para ulama Syafieyyah mengharuskan memakan ulat buah bersekali dengan buah kerana sukar mengasingkannya.”

Manakala dalam Faidh al-Qodir (5/192), al-Munawi menambah: “Riwayat ini tidak bertentangan dengan hadis seterusnya (riwayat Ibn Umar) yang melarang membuka kurma, kerana kurma itu tiada ulat di dalamnya… Para ulama Syafieyyah mengharuskan memakan ulat bersama dengan buah, sama ada mati atau hidup, jika sukar diasingkan. Tidak wajib membasuh mulut selepas makan. Zahir hadis ini juga menunjukkan kutu disebut secara mutlak bersama nama ulat dan sebaliknya.”

Manakala menurut Imam Syihabuddin Ibn Ruslan dalam Syarah Sunan Abi Daud (15/487): “Perkara yang disebut dalam hadis itu berkenaan perbuatan mengeluarkan kutu daripada kurma. Kutu ialah sama jenis dengan ulat. Para ashab kami (Syafieyyah) berpendapat tentang ulat yang lahir daripada buah-buahan, keju, cuka, kacang Baqila’, betik, dan bijirin, dan seumpamanya, bahawa jika ia mati dalam apa yang ia dilahirkan di dalamnya maka ia menjadi najis mengikut mazhab. Adapun hukum halal pada memakannya terdapat tiga pendapat. Pendapat yang asah bahawa halal memakannya bersama apa yang ia dilahirkan daripadanya, bukan secara berasingan. Kedua: Halal secara mutlak. Ketiga: Haram secara mutlak. Maka mengikut pendapat yang sahih, ianya adalah najis tetapi tidak ada mudarat pada memakannya. Dihalalkan untuk dimakan bersama dengan makanan yang ia dilahirkan daripadanya, seperti mana dihalalkan untuk memakan madu sedangkan di dalamnya terdapat firakh (anak haiwan seperti lebah atau tebuan); kerana untuk mengawal dan menjaganya adalah sukar. Namun begitu, adalah lebih baik jika seseorang itu mengeluarkan ulat itu, sama ada hidup atau sudah mati, seperti mana yang zahir pada hadis. Apatahlagi dirinya berasa jelik dan kotor untuk memakannya, maka boleh membawa kepada pengharaman! Hukumnya juga boleh menjadi diharuskan kerana waridnya larangan untuk memeriksanya (yakni hadis Ibn Umar).”

Berkata Syeikh Muhammad al-Azim Aabadi dalam Aun al-Ma`bud (10/220): “Dalam hadis ini terdapat pemakruhan memakan apa-apa yang disangka di dalamnya ada ulat, tanpa pemeriksaan. Disebut oleh pengarang Fath al-Wadud: Dalam hadis ini terdapat faedah bahawa makanan tidak bernajis apabila wujud di dalamnya ulat dan tidak haram memakannya. Berkata al-Qari`: al-Tabarani meriwayatkan dengan sanad yang hasan daripada Ibn Umar secara marfu’ bahawa Baginda melarang memeriksa kurma daripada apa yang berada di dalamnya. Maka larangan itu ditanggung dengan kemungkinan jika kurma tersebut masih baru supaya dapat mengelakkan daripada was-was, ataupun dengan kemungkinan bahawa perbuatan baginda itu menunjukkan keharusan memakan dan adapun larangan itu hanya untuk (adab) membersihkan.”

Diriwayatkan daripada Imam Ahmad bahawa beliau mendapati sayuran yang terdapat ulat di dalamnya. Beliau lantas berkata: “Menjauhi sayuran seperti itu lebih aku sukai. Namun jika tidak menjijikkan, maka aku pun mahu.”

Rujuk Syarah Muntaqa al-Iradat (3/409) oleh Imam al-Buhuti

Kesimpulan

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa hukum memakan kutu beras dan kutu tepung adalah diharuskan, tertakluk dengan syarat-syarat berikut:

  • Hendaklah dimakan bersama dengan makanan yang ia dilahirkan daripadanya seperti nasi dan roti, sama ada dalam keadaan hidup atau mati.
  • Tidak boleh dimakan secara berasingan seperti dikutip daripada nasi atau roti kemudian dimakan.
  • Hendaklah kutu tersebut tidak mempengaruhi dan mengubah secara ketara rasa, bau dan warna makanan itu sekiranya makanan itu cair.

Kami juga berpendapat lebih aula agar kutu tersebut tidak dimakan jika ia kelitan dan dapat diasingkan daripada makanan kerana mengikut Sunnah Rasulullah ﷺ. Adapun jika memakannya bersama dengan nasi dan tidak menjijikkan maka hal itu dimaafkan dan tidak wajib mencucikan mulut, pakaian dan pekakas yang digunakan. Wallahua’lam.

Semoga Allah ﷻ memberikan kefahaman yang jelas kepada penanya dan bermanfaat kepada kita semua.