اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-437 : HUKUM ISTERI MEMBAYAR ZAKAT KEPADA SUAMINYA

هب437

SOALAN

Assalamualaikum Sahibus Samahah Mufti. Saya ingin bertanya, apakah hukum isteri membayar zakat kepada suaminya?

Mohon pencerahan daripada Tuan Mufti. Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Allah SWT telah menetapkan lapan golongan asnaf yang diberikan zakat kepada mereka di dalam al-Quran. Allah SWT berfirman:

إِنَّمَا ٱلصَّدَقَٰتُ لِلۡفُقَرَآءِ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱلۡعَٰمِلِينَ عَلَيۡهَا وَٱلۡمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمۡ وَفِي ٱلرِّقَابِ وَٱلۡغَٰرِمِينَ وَفِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِۖ فَرِيضَةٗ مِّنَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٞ

Maksudnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

(Surah al-Taubah: 60)

Secara asasnya, zakat hendaklah diberikan kepada golongan asnaf yang telah ditentukan oleh Allah SWT dalam ayat di atas. Jika zakat diberikan kepada golongan yang tidak berhak memilikinya, maka ia tidak sah. Justeru, tidak boleh untuk diberikan zakat kepada seseorang kecuali setelah diketahui bahawa dia berhak menerimanya dengan tergolong dalam salah satu asnaf yang telah disebutkan.

Isu yang timbul adalah dalam situasi di mana isteri diwajibkan ke atasnya untuk membayar zakat, manakala suami pula termasuk dalam golongan yang berhak menerima zakat. Oleh itu, adakah dibolehkan isteri membayar zakat kepada suaminya tersebut?

Terdapat khilaf dalam pandangan ulama’ berkaitan perkara ini. Bagi para ulama’ yang tidak membenarkannya seperti Imam Abu Hanifah dan sebahagian daripada ulama mazhab Maliki, mereka berhujahkan bahawa zakat tersebut tidak mencapai tujuannya kerana isteri itu sendiri yang akan mendapat manfaat daripada zakat yang diberikannya tersebut. Ini kerana suami wajib memberi nafkah ke atas dirinya. (Rujuk al-Mabsuth, 2:149, al-Kafi Li Ibn Qudamah, 1:429)

Walau bagaimanapun, sebahagiannya pula mengharuskannya dengan meletakkan syarat bahawa hendaklah wang zakat tersebut tidak digunakan untuk memberi nafkah kepada isteri. Bahkan, ia digunakan pada perkara lain seperti keperluan sendiri. Hal ini seperti yang disebutkan oleh Ibn Abi Zaid al-Qayrawani al-Maliki dalam al-Nawadhir wa al-Ziyaadat, bahawa:

إنْ كان يستعين به في النفقة عليها فلا يجزئها. وإن كان بيده ما ينفق عليها وهو فقيرٌ ويصرف هذا في كسوته ومصالحه فذلك يجزئها

Maksudnya: Jika sekiranya wang zakat tersebut digunakan untuk membantunya memberi nafkah terhadap isteri (yang memberi zakat tersebut), maka tidak sah. Manakala jika sekiranya dia mempunyai harta untuk memberi nafkah kepada isterinya -dalam keadaan seorang yang fakir, dan dia menggunakan wang zakat tersebut untuk membeli pakaian atau untuk keperluan dirinya, maka sah hukumnya. (Rujuk al-Nawadhir wa al-Ziyaadat, 2:295)

Jumhur ulama’ pula menyatakan keharusan bagi isteri untuk membayar zakat kepada suaminya. Bahkan, para ulama’ Syafi’iyyah menyatakan sunat untuk isteri melakukannya. Pandangan mereka bersandarkan kepada satu hadith sahih yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Zainab RAnha bertanya kepada Rasulullah SAW;

يَا نَبِيَّ اللَّهِ ، إِنَّكَ أَمَرْتَ الْيَوْمَ بِالصَّدَقَةِ وَكَانَ عِنْدِي حُلِيٌّ لِي ، فَأَرَدْتُ أَنْ أَتَصَدَّقَ بِهِ ، فَزَعَمَ ابْنُ مَسْعُودٍ أَنَّهُ وَوَلَدَهُ أَحَقُّ مَنْ تَصَدَّقْتُ بِهِ عَلَيْهِمْ

Maksudnya: Wahai Nabi Allah, sesungguhnya pada hari ini kamu telah menyuruh kami untuk membayar zakat, dan aku memiliki barang perhiasan yang aku ingin bayarkan zakatnya. Lalu Ibn Mas’ud mendakwa bahawa dia dan anaknya lebih berhak aku berikan zakat kepada mereka.

Lalu Rasulullah SAW bersabda;

صَدَقَ ابْنُ مَسْعُودٍ ، زَوْجُكِ وَوَلَدُكِ أَحَقُّ مَنْ تَصَدَّقْتِ بِهِ عَلَيْهِم

Maksudnya: Benarlah Ibn Mas’ud. Suami dan anak engkau lebih berhak menerima sedekah yang ingin engkau lakukan itu.

Hadith riwayat al-Bukhari (1462) dan Muslim (1000)

Dalam hadith di atas menunjukan keizinan yang diberikan oleh Rasulullah SAW untuk isteri membayarkan zakat kepada suaminya dan galakkan untuk diberikan kepada suami dan anak kerana mereka berhak atas dasar ikatan kekeluargaan.

Begitu juga, dalam satu hadith yang lain menujukkan galakan bersedekah kepada keluarga dan kaum kerabat, bahawa Rasulullah SAW juga bersabda:

الصَّدَقَةُ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ، وَهِيَ عَلَى ذِي الرَّحِمِ اثْنَتَانِ: صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ

Maksudnya: Zakat yang diberikan kepada orang miskin adalah sedekah. Zakat yang diberikan kepada orang yang mempunyai hubungan silaturrahim mempunyai dua keistimewaan, iaitu ia adalah sedekah dan pengikat hubungan tali silaturrahim.

Riwayat Ibn Mulaqqin dalam al-Badr al-Munir, (7:411)

Walaubagaimanapun, hendaklah difahami bahawa zakat tersebut disyaratkan supaya tidak diberikan kepada orang yang di bawah tanggungannya dan yang diwajibkan nafkah ke atasnya. Hal ini seperti yang disebutkan oleh Ibn Munzir al-Naisaburi dalam kitabnya, al-Ijma’ bahawa:

وأجمعوا على أن الزكاة لا يجوز دفعها إلى الوالدين والولد في الحال التي يجبر الدافع إليهم على النفقة عليهم

Maksudnya: Dan para ulama’ bersepakat bahawa zakat tidak boleh diberikan kepada kedua-dua ibu bapa dan anak dalam keadaan pembayar zakat tersebut wajib memberikan nafkah kepada mereka. (Rujuk al-‘Ijma: 48)

Oleh itu, seseorang itu tidak boleh memberikan zakat kepada ibu bapa dan anak jika sekiranya di bawah tanggungannya dan diwajibkan nafkah mereka ke atasnya. Jika diperhatikan, isteri tidak wajib memberi nafkah kepada suami dan suami pula bukanlah di bawah tanggungannya, maka isteri dibolehkan untuk memberi zakat kepada suaminya.

Pandangan ini juga dipegang oleh kebanyakan para ulama’ kontemporari dan institusi-institusi fatwa antarabangsa Antaranya ialah Darul Ifta’ Misriyyah, yang mengeluarkan fatwa berkaitan perkara ini, dengan menyatakan bahawa:

يجوز شرعًا للزوجة أن تدفع زكاة مالها إلى زوجها إن كان فقيرًا مستحقًّا للزكاة؛ سواء أكان سينفق عليها منها أم لا، وذلك بشرط تمليكها للزوج وإن لم تعلمه أنها زكاة مالها

Maksudnya: Harus hukumnya bagi isteri untuk membayar zakat harta kepada suaminya jika sekiranya suaminya tersebut seorang fakir yang berhak menerima zakat, tidak kira sama ada dia akan menggunakannya untuk memberi nafkah kepada isteri ataupun tidak. Hal itu dengan bersyaratkan bahawa ia diserahkan pemilikannya kepada suami, walaupun dia tidak memberitahu bahawa wang tersebut adalah zakat harta. [1]

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, kami menyatakan bahawa hukum isteri membayar zakat kepada suaminya adalah harus dan sah jika sekiranya suaminya daripada golongan yang berhak menerima zakat, dengan bersandarkan kepada pandangan jumhur ulama’. Bahkan, ia lebih diutamakan dan disunatkan berbanding diberikan kepada orang lain yang tiada pertalian keluarga dan silaturrahim di sisi ulama’ Syafi’iyyah.

Namun begitu, kami ingin mengambil kesempatan ini untuk menasihati bahawa dalam usaha membina keluarga dan rumahtangga yang harmoni tenteram hendaklah ada sikap saling membantu dan berkongsi susah-senang antara pasangan. Dalam situasi dunia hari ini, terdapat situasi dimana isteri mendapat pendapatan yang lebih besar berbanding suaminya. Walaupun isteri tidak wajib untuk memberi nafkah dan menyara keluarga, namun perlulah ada sikap toleransi dan bertimbang-rasa supaya tidak hanya suami yang berhempas-pulas mencari nafkah. Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.

Rujukan

[1] https://www.dar-alifta.org/AR/ViewFatwa.aspx?ID=14905&LangID=1