Soalan :
Assalamualaikum w.b.t
Saya ada satu persoalan. Adakah babi air (capybara) dihukumkan najis seperti babi (pig) yang biasa kita kenali?
Jawapan :
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara umumnya kita mengetahui bahawa anjing dan babi termasuk di dalam kategori najis mughallazah dan wajib dicuci mengikut kaedah yang ditetapkan oleh syarak. Firman Allah SWT :
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ
Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya)”
(Surah al-Maidah : 3)
Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan di dalam tafsirnya bahawa pengharamkan babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya kerana ia adalah merupakan tujuan yang terpenting (iaitu untuk dimakan). Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi berdasarkan firman Allah SWT :
أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ
Maksudnya : “atau daging babi kerana sesungguhnya ia adalah kotor.”
(Surah al-An’am : 145)
Begitu juga, Rasulullah SAW ada bersabda :
مَن لَعِبَ بالنَّرْدَشِيرِ، فَكَأنَّما صَبَغَ يَدَهُ في لَحْمِ خِنْزِيرٍ ودَمِهِ
Maksudnya : “Sesiapa yang bermain dengan dadu, maka seolah-olah dia telah melumuri tangannya dengan daging dan darah babi.” Riwayat Muslim (2260)
Sekiranya melalui sentuhan (pegang) itu pun dilarang, maka memakannya adalah lebih-lebih lagi keras dilarang.
(Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77)
Capybara adalah berbeza dengan babi (pig)
Bagi menjawab soalan di atas, terlebih dahulu kita perlu melihat adakah capybara merupakan haiwan yang berasal dari famili dan spesies yang sama dengan babi (pig) atau bukan?
Capybara atau nama saintifiknya Hydrochoerus hydrochaeris ialah rodensia yang paling besar daripada kesemua rodensia. Ia kelihatan seperti babi kecil atau tikus belanda besar. Ia boleh berenang dengan baik. Sesetengah orang menamakannya babi air. (Lihat Ensiklopedia Dunia, Terj. DBP, 5/95) Capybara adalah satu-satunya spesies dari famili Hydrochoeridae. Rupanya mirip cavy dan tikus belanda (guinea pig) dari famili Caviidae.[1]
Manakala babi pula sama ada liar mahupun domestik adalah merupakan haiwan mamalia omnivor dari famili Suidae. Ia mempunyai badan yang berat, kaki pendek, dan kulit tebal yang dilapisi dengan bulu-bulu yang nipis.[2]
Oleh itu, jelas bahawa capybara bukanlah dari spesies dan famili yang sama dengan babi (pig). Ia adalah dari famili Hydrochoeridae sedangkan babi dari famili Suidae.
Hukum menyentuh capybara
Asal setiap haiwan itu adalah suci (bukan najis) melainkan ada nas yang menunjukan sebaliknya. Perkara ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh al-Khatib al-Syirbini di dalam kitabnya :
الْحَيَوَانُ كُلُّهُ طَاهِرٌ لِمَا مَرَّ إلَّا مَا اسْتَثْنَاهُ الشَّارِعُ
Maksudnya : “Setiap haiwan itu adalah suci melainkan apa yang dikecualikan oleh syarak.”(Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/226)
Syeikh Ibrahim al-Baijuri juga ada menyatakan di dalam hasyiahnya (1/201) bahawa :
“Setiap haiwan yang hidup adalah suci melainkan anjing dan babi serta apa yang dilahirkan oleh kedua-duanya (sekalipun ia anjing yang dilatih)”.
Oleh itu, kami cenderung kepada pendapat bahawa capybara adalah suci serta bangkainya tergolong dalam najis sederhana dan bukannya seperti babi yang mana dihukumkan sebagai najis berat sama ada ketika masih hidup ataupun setelah mati.
Hal ini kerana tiada dalil khusus yang menyatakan bahawa capybara atau babi air itu adalah najis sepertimana babi (pig). Selain itu, capybara atau babi air itu juga bukan dari keturunan dan keluarga yang sama dengan babi yang kita kenali iaitu Suidae. Akan tetapi ia adalah dari keluarga Hydrochoeridae yang mirip dengan keluarga Caviidae.
Adapun sekadar memanggilnya dengan nama babi, tidaklah memberi sebarang kesan (hukum) ke atasnya kerana kaedah ada menyebutkan :
العبرة بحقائق الأشياء لا بأسمائها
Maksudnya : “Hukum sesuatu itu diambilkira berdasarkan kepada hakikatnya dan bukan pada namanya.”
Perkara ini dikuatkan lagi dengan kenyataan Ibn Rusyd al-Hafid yang menyebutkan bahawa kaum Muslimin telah bersepakat akan pengharaman khinzir (babi) dan lafaz khinzir membawa erti seluruh jenis babi (secara zat) selagimana bukan hanya sekadar berkongsi nama atau disebut babi akan tetapi hakikatnya bukan daripada jenis babi (secara zatnya) seperti babi air. (Lihat Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid, 1/10)
Imam al-Mawardi menolak hujah mereka yang mengharamkannya disebabkan oleh namanya yang sama iaitu babi sebagaimana katanya bahawa keldai liar dan keldai peliharaan (domestik), berhimpun pada kedua-duanya nama yang sama serta rupa bentuk yang serupa. Namun, berbeza pada hukum kedua-duanya iaitu dihalalkan keldai liar (untuk dimakan) dan diharamkan keldai peliharaan kerana kedua-duanya tinggal di tempat yang berbeza sekalipun sama di atas daratan. Oleh itu, mana-mana haiwan yang berbeza tempat tinggal iaitu satu hidup di dalam air dan satu lagi hidup di atas darat adalah lebih utama untuk dibezakan hukum ke atas kedua-duanya, sekalipun mereka berkongsi nama dan mempunyai rupa bentuk yang serupa. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 15/62)
Maka, kami katakan sekiranya haiwan tersebut berbeza dari sudut rupa bentuk, habitat dan keluarga (familinya) adalah lebih utama untuk dibezakan dari segi hukum sekalipun diberi nama yang sama.
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa hukum bagi capybara atau babi air ini tidak sama seperti hukum babi (pig) dan keturunannya. Oleh itu, kami cenderung kepada pendapat bahawa capybara adalah suci serta bangkainya tergolong dalam najis sederhana dan bukannya seperti babi yang mana dihukumkan sebagai najis berat sama ada ketika masih hidup ataupun setelah mati.
Akhir kalam kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
[1] Lihat Encyclopedia Britannica, https://www.britannica.com/animal/capybara. Telah diakses pada 26 Mac 2020.
[2] Lihat Encyclopedia Britannica, https://www.britannica.com/animal/pig-mammal-group. Telah diakses pada 26 Mac 2020.