اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE- 477 : BOLEHKAH DANA MASJID DIGUNAKAN BAGI MEMBANTU UMAT ISLAM YANG TERKESAN EKORAN COVID-19 ?

IF477

Soalan :

Assalamu’alaikum tuan, dalam tempoh Perintah Kawalah Pergerakan (PKP) sekarang ini ramai yang terkesan dari sudut terjejas atau kehilangan sumber pendapatan dan lain-lain masalah lagi. Persoalan saya, adakah boleh untuk pihak masjid menggunakan dana masjid hasil dari kutipan sedekah atau dari sumber-sumber lain untuk membantu anak kariah dan juga pihak-pihak yang terkesan ini ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapakan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Secara umumnya Islam amat menggalakkan sebarang usaha saling membantu meringankan beban antara satu sama lain. Ini jelas seperti yang disebutkan dalam firman Allah S.W.T :

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ

Maksudnya : Dan saling membantulah kamu dalam perkara kebajikan dan ketakwaan.

Surah Al-Ma’idah (2)

Perkataan التعاون  seperti yang diketahui membawa erti saling membantu dari sudut setiap pihak mengambil peranan memberi bantuan antara satu sama lain. Dalam masa yang sama Islam meletakkan syarat bahawa bantuan tersebut mestilah berlaku dalam kerangka kebajikan dan ketakwaan.

Kebajikan dan ketakwaan itu pula merupakan perkara-perkara yang disukai dan diredhai oleh Allah S.W.T lalu syarak memerintahkan kepada orang beriman untuk melaksanakannya. Antara kebajikan yang dianjurkan oleh syarak adalah membantu golongan susah yang memerlukan. Ini seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

‏ مَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ

Maksudnya : Sesiapa yang mempermudahkan ke atas orang yang susah maka Allah akan mempermudahkan urusan dirinya di dunia dan juga di akhirat.

Riwayat Ibn Majah (2417)

Demikian juga sifat kesatuan umat Islam yang pasti akan turut terkesan saat melihat saudara-saudara seagamanya berada dalam kesusahan dan memerlukan. Ini seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Bashir R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

 مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى 

Maksudnya : Perumpamaan golongan yang beriman dari sudut kecintaan, saling berkasih sayang, dan saling membantu sesama mereka adalah seperti satu batang tubuh. Apabila ada satu anggota badan yang sakit maka keseluruhan tubuh badan akan turut berasa tidak boleh tidur serta demam.

Riwayat Muslim (2586)

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami menyatakan bahawa sumbangan derma yang disalurkan kepada pihak masjid menerusi apa sahaja saluran seperti tabung masjid atau secara atas talian (online) hakikatnya termasuk dalam kategori tabarru’ seperti yang dinyatakan oleh para fuqaha’.

Pengertian tabarru’ adalah ‘’Usaha seorang mukallaf mengeluarkan harta atau manfaat kepada selainnya pada masa sekarang atau di masa akan datang tanpa sebarang balasan, dengan niat berbuat kebajikan dan kemakrufan.’’

Rujuk Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah (10/65).

Justeru, difahami dari takrifan di atas bahawa seseorang yang menderma itu tidak mengharapkan sebarang balasan duniawi secara khusus buat dirinya melainkan semata mengharapkan ganjaran dan pahala. Bahkan dalam masa yang sama dia menderma dengan tujuan untuk memberi manfaat kepada orang lain sama ada di masa sekarang atau masa akan datang.

Maka pihak pentadbiran dan pengurusan masjid dalam hal ini bertindak selaku pihak yang mengawalselia aturan dan saluran duit-duit tersebut dengan memastikan ia digunakan untuk kemaslahatan dan kebajikan umat Islam setempat khususnya dan umat Islam sejagat umumnya.

Dalam isu pengurusan wang tabung masjid, kami telah menjelaskan secara panjang lebar dalam Bayan Linnas Siri Ke- 218 : Pandangan Mengenai Isu Pengurusan Wang Tabung Masjid yang boleh dibaca menerusi pautan berikut https://bit.ly/2WJuxas Meskipun begitu, kami menyatakan bahawa dalam isu menggunakan dana masjid bagi membantu golongan yang terkesan sepanjang tempoh PKP ini maka kami kongsikan kata-kata Syeikh Zakariyya Al-Ansari berikut :

 (وَلَوْ أَعْطَاهُ دَرَاهِمَ وَقَالَ اشْتَرِ لَك) بِهَا (عِمَامَةً أَوْ اُدْخُلْ بِهَا الْحَمَّامَ) أَوْ نَحْوَ ذَلِكَ (تَعَيَّنَتْ) لِذَلِكَ مُرَاعَاةً لِغَرَضِ الدَّافِعِ هَذَا

Maksudnya : Sekiranya seseorang itu memberikan beberapa dirham kepadanya dan berkata : ‘’Belilah buat diri kamu serban dengan wang ini atau bawalah serban ini ke dalam tempat mandi’’, atau (ucapan) seumpamanya, maka menjadi tuntutan kepadanya melakukan perkara tersebut bagi meraikan tujuan individu yang menyumbangkan (wang tersebut).

Rujuk Asna al-Mathalib, Zakariya Al-Ansari (2/479)

Beliau menambah lagi :

(إنْ قَصَدَ سَتْرَ رَأْسِهِ) بِالْعِمَامَةِ (وَتَنْظِيفَهُ) بِدُخُولِهِ الْحَمَّامَ لِمَا رَأَى بِهِ مِنْ كَشْفِ الرَّأْسِ وَشَعَثِ الْبَدَنِ وَوَسَخِهِ (وَإِلَّا) أَيْ وَإِنْ لَمْ يَقْصِدْ ذَلِكَ بِأَنْ قَالَهُ عَلَى سَبِيلِ التَّبَسُّطِ الْمُعْتَادِ (فَلَا) تَتَعَيَّنُ لِذَلِكَ بَلْ يَمْلِكُهَا أَوْ يَتَصَرَّفُ فِيهَا كَيْفَ شَاءَ.

Maksudnya : Sekiranya seseorang (yang memberi duit) bertujuan supaya (orang yang diberikan wang tersebut) menutup kepalanya dengan serban dan membersihkannya, dengan cara membawanya masuk ke dalam bilik air, berdasarkan apa yang dia lihat dari orang tersebut dari sudut kepala terdedah (tidak tertutup) dan juga kekusutan serta kotoran yang terdapat pada badan orang tersebut (maka menjadi tuntutan untuk penerima itu melakukan seperti yang disuruh). Sekiranya tidak, iaitu jika dia tidak menyertakan tujuannya (niat sedekah umum), seperti dia menyebut (gunakanlah wang) dalam bentuk yang penuh keluasan dengan mengikut adat kebiasaan, maka tidak ditentukan wang tersebut untuk diguna pada perkara (yang ditetapkan itu). Bahkan dia (yang menerima wang) memilikinya atau boleh dia menggunakan wang tersebut sebagaimana yang dia kehendaki.

Rujuk Asna al-Mathalib, Zakariya Al-Ansari (2/480)

Maka dalam bahasa mudahnya, sekiranya penderma menentukan derma tersebut hendaklah disalurkan kepada pihak sekian dan sekian, maka pihak pengurusan masjid hendaklah menyalurkannya pada tempat yang telah dinyatakan. Manakala, jika derma tersebut datang dalam bentuk umum, maka dibolehkan untuk pihak pengurusan masjid menggunakannya kepada mana-mana sudut dan pihak yang memerlukan dari kalangan umat Islam.

 

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami mengakhiri kenyataan kami dalam isu ini menerusi beberapa noktah berikut :

  • Dalam setiap kesulitan yang berlaku, pihak masjid dan juga surau-surau BOLEH menggunakan dana hasil sumbangan derma yang bersifat UMUM yang diperoleh dari pelbagai pihak untuk disalurkan kepada ahli-ahli kariah yang memerlukan.
  • Bentuk dan kadar bantuan pula adalah diserahkan kepada kebijaksanaan pengurusan masjid dengan mengambil kira beberapa faktor serta mengikut kemampuan pihak masjid.
  • Kami berharap, semua pihak berganding bahu bagi membantu sesama umat Islam dalam meringankan beban mereka yang terkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.

Berikut kami kongsikan bersama kenyataan Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan berkenaan isu ini :

  1. Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan, setelah mengadakan perbincangan khas berhubung penggunaan tabung masjid bagi membantu kesusahan ahli kariah susulan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diisytihar oleh kerajaan bagi menangani wabak Covid-19, telah BERSETUJU seperti berikut:
    1. Tabung masjid atau surau sekiranya bukan berbentuk tabung yang dikhususkan untuk tujuan tertentu, pada asasnya merupakan wang derma yang disumbangkan oleh umat Islam dengan niat untuk kemaslahatan masjid atau surau dan ahli kariah. Maka ia boleh digunakan untuk apa sahaja aktiviti atau kepada sesiapa sahaja golongan yang memerlukan selama mana terdapatnya maslahah kaum muslimin menerusi pemberian tersebut.
    1. Inilah yang difahami daripada kenyataan Syeikh Zakaria al-Ansari yang menyebut:

وَإِنْ لَمْ يَقْصدْ ذَلِكَ بِأَنْ قَالَهُ عَلَى سَبِيلِ التَّبَسُّطِ الْمُعْتَادِ (فَلَا) تَتَعَيَّنُ لِذَلِكَ بَلْ يَمْلِكُهَا أَوْ يَتَصَرَّفُ فِيهَا كَيْفَ شَاءَ

Sekiranya tidak, iaitu jika dia (orang yang memberikan duit) tidak menyertakan tujuannya, seperti dia menyebut (gunakanlah wang) dalam bentuk penuh keluasan yang mengikut adat kebiasaan, maka tidak ditentukan wang tersebut untuk diguna pada perkara (yang ditetapkan itu). Bahkan dia (yang menerima wang) memilikinya atau dia boleh menggunakan wang tersebut sebagaimana yang dia kehendaki. Rujuk Asna al-Mathalib, Zakariya Al-Ansari (2/480)

    1. Kaedah fiqh menyebut, (كل متصرف عن الغير فعليه أن يتصرف بالمصلحة) “Setiap yang bertindak bagi pihak orang lain, hendaklah bertindak berasaskan maslahah.”
  1. Sehubungan dengan itu, dalam suasana kesusahan dan kesempitan hidup yang berlaku dalam tempoh PKP yang sedang berkuatkuasa sehingga 14 April 2020, Ahli Jawatankuasa menetapkan bahawa penggunaan tabung masjid / surau adalah DIHARUSKAN dengan syarat-syarat berikut:
  • Dana kutipan itu bukan daripada tabung khas seperti tabung wakaf, tabung pembinaan masjid, tabung anak yatim dan sebagainya;
  • Sumbangan yang dikeluarkan adalah tertakluk kepada kemampuan masjid / surau; dan
  • Penyaluran sumbangan hendaklah dilaksanakan dengan kaedah dan pemantauan yang rapi oleh Pengurusan Masjid / Surau.
  1. Semoga Allah SWT mengurniakan ganjaran pahala yang besar untuk penyumbang dan penderma kepada tabung masjid dan surau seluruh Wilayah-Wilayah Persekutuan khasnya dan seluruh negara amnya. Mudah-mudahan usaha murni ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kesusahan ahli kariah masjid dan surau berkenaan. Sekaligus ia menjadi amal kebajikan seluruh umat Islam yang akan diganti oleh Allah SWT dengan melepaskan umat-Nya daripada ujian musibah Covid-19 yang sedang melanda negara ketika ini.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.