اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-485 :PATAH BALIK KE RUMAH KERANA TERTINGGAL BARANG SELEPAS SOLAT JAMAK QASAR

if485 compressed

 

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.,

Saya bermusafir ke Kuala Lumpur dari rumah saya di Melaka, yang jarak antara kedua-duanya melebihi dua marhalah. Sebelum sampai ke tol Pedas, saya sempat doa jamak taqdim Zohor dan Asar di masjid berdekatan, dan saya sedar bahawa saya tertinggal barang penting di Melaka. Jarak antara Pedas dan rumah saya di Melaka tidak sampai 2 marhalah. Saya kemudiannya patah balik ke rumah untuk mengambil barang tersebut. Adakah solat jamak qasar saya tadi batal kerana saya pulang semula ke rumah dan perlu diulang semula?

Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.,

Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, Ahli Bayt dan Para Sahabat baginda, serta mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.

 

Musafir berlaku selepas keluar sempadan mukim

Salah satu daripada syarat sah solat musafir yang merangkumi qasar dan jamak solat ialah mesti dilakukan dalam keadaan musafir. Para ulama mengatakan status musafir tidak berlaku kecuali seseorang itu telah melepasi sempadan watan atau mukimnya seperti kampung, kota atau desa. Dalil mereka ialah firman Allah ﷻ:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang…”

(Surah al-Nisa’ : 101)

Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah:

“Maka ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut. Jika pagar kebun-kebun bersambung dengan pagar bandar maka dengan berpisah dari bangunan bandar sudah mengharuskan qasar, kerana kebun-kebun itu bukan daripada bandar, dan jika ada dua kampung bersebelahan maka seseorang yang keluar dari kampungnya (masuk ke kampung sebelah) sudah boleh qasar.”

Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhadzzab (4/346)

Contohnya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA:

صَلَّيْتُ الظُّهْرَ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْمَدِينَةِ أَرْبَعًا، وَبِذِي الحُلَيْفَةِ رَكْعَتَيْنِ

Maksudnya: “Aku solat Zohor bersama Nabi di Madinah empat rakaat, tetapi di Dzul Hulaifah dua rakaat.”

Riwayat al-Bukhari (1089)

Sebagai catatan, jarak antara Masjid Nabi ﷺ dengan Dzul Hulaifah adalah kira-kira 7 kilometer.

Justeru, apabila seseorang telah melepasi sempadan mukimnya, untuk bermusafir ke destinasi tertentu, sejauh 2 marhalah (kira-kira 82 kilometer) daripada rumahnya, dia dibenarkan untuk menggaqasarkan dan menjamakkan solat sejurus dia keluar daripada sempadan mukimnya.

 

Niat kembali membatalkan musafir

Dalam masa yang sama, seseorang yang berniat pulang semula ke rumahnya, atau masuk semula ke sempadan mukimnya, dianggap bukan lagi seorang yang bermusafir dan tidak boleh mengqasarkan dan menjamakkan solatnya.

Berkata Imam Yahya al-Imrani dalam al-Bayan fi Madzhab al-Imam al-Syafie (2/464):

“Apabila seseorang itu keluar melepasi bangunan-bangunan kotanya, maka dibenarkan baginya untuk mengqasarkan solat. Jika dia teringat bahawa dia tertinggal suatu keperluan dalam bangunan-bangunan tadi, kemudia dia kembali maka dia tidak lagi dibenarkan untuk mengqasarkan solat di dalamnya, kerana tempat tersebut ialah tempat dia bermukim maka tidak boleh mengqasarkan solat sehingga dia melepasinya (kembali).

Berkata (Imam al-Syafie) dalam al-Imla’ dan (qoul) qadim (lama): “Apabila seseorang melepasi bangunan-bangunan, kemudian memulakan solat, lalu hidung berdarah, kemudian dia beredar masuk kembali ke kawasan bangunan-bangunan tadi, dan membasuh darahnya, ketika itu tidak diharuskan baginya untuk menyempurnakan solat dengan cara qasar, dan wajib untuk disempurnakan (yakni empat rakaat), kerana dia menyempurnakannya ketika dalam kawasan bangunan.”

Manakala dalam qaul jadid (baru): “solatnya batal (kerana berdarah hidung), justeru jika dia ingin memulakan semula solatnya, hendaklah dia sempurnan (empat rakaat) semasa dalam kawasan bangunan-bangunan, namun dia keluar daripada kawasan tersebut, dia boleh memulakan solat dalam keadaan qasar.”

Jika dia keluar kemudian bermukim di suatu kawasan di luar kota, untuk menunggu kafilah; seandainya dia berniat menunggu kurang empat hari supaya dapat berkumpul, jika tidak sempat, nescaya dia akan teruskan musafir, maka dia dibenarkan untuk mengqasarkan solat, kerana dia sudah memutuskan dirinya akan musafir (ke destinasi yang melebihi 2 marhalah). Akan tetapi jika dia berniat tidak akan meneruskan musafir sehingga kafilah dapat berkumpul bersama, jika tidak dia akan membatalkan musafir, maka dia sudah tidak boleh qasar, kerana dia sebenarnya tidak membuat keputusan untuk bermusafir.”

Berkata Syeikh al-Khatib al-Syarbini:

[Apabila] seseorang berpisah daripada kawasan yang menjadi syarat untuk melepasinya kemudian [pulang semula] sedangkan jaraknya kurang daripada jarak musafir, kerana suatu keperluan, seperti bersuci, atau dia berniat, semasa singgah di suatu kawasan bukan untuk mengikut siapa-siapa, untuk pulang ke kawasan permulaannya, sekalipun kawasan itu tidak sesuai untuk bermukim. Jika dia ingin kembali ke watannya, maka dengan bermulanya tindakannya untuk pulang, atau niatnya pulangnya tadi itu, maka jadilah statusnya sebagai bermukim. Justeru dia tidak lagi boleh mengambil rukhsah semasa dia bermukim, dan tidak juga semasa dalam perjalannya pulang, melainkan setelah dia keluar kembali melepasi watannya.”

Rujuk Mughni al-Muhtaj (1/519)

Tidak batal solat jamak qasar sebelum bermukim

Hukum di atas hanya bagi kes orang yang belum menunaikan solat jamak qasar. Adapun seseorang yang sudah melaksanakan solat jamak qasar kemudian pulang kembali ke rumah kerana suatu hajat, maka solatnya tadi sudah sah dan tidak batal.

Dalam Minhaj al-Tolibin, Imam al-Nawawi menyebut:

“dan apabila seseorang yang melakukan jamak taqdim, menjadi mukim di antara dua solat, maka batallah jamak. Tetapi sekiranya permukiman itu berlaku semasa solat kedua, atau selepas selesai menunaikannya, maka itu tidak membatalkan solat jamak, berdasarkan pendapat yang asoh.”

Syeikh al-Khatib al-Syarbini syarahkan dalam Mughni al-Muhtaj (1/533):

“[tetapi sekiranya permukiman itu berlaku semasa solat kedua, atau selepas selesai menunaikannya] jika dia menjadi mukim [maka itu tidak membatalkan solat jamak, berdasarkan pendapat yang asoh] kerana solat itu berkumpul dengan uzur, atau sempurna sebelum hilangnya uzur.”

 

Kesimpulan

Berdasarkan fakta dan kenyataan di atas, kami cenderung menyatakan bahawa solat jamak dan qasar yang dilakukan oleh pihak yang bertanya adalah sah, dan tidak perlu diulangi kembali, kerana dia telah melaksanakannya semasa dia musafir, apabila dia sudah mufaraqah bunyan al-balad, yakni keluar daripada sempadan mukimnya.

Wallahua`lam.

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada pihak yang bertanya. Kita berdoa agar Allah ﷻ memberikan kita hidayah dan inayah dalam memandu kehidupan kita menjadi muslim yang bertaqwa. Amin.