اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE- 489 : HUJAH-HUJAH YANG MENYEBUT BAHAWA DILAKUKAN SOLAT ZOHOR BAGI MENGGANTIKAN SOLAT JUMAAT JIKA ADA KEUZURAN

IF489

Soalan :

Assalamu’alaikum ustaz, seperti yang kita maklum dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini, kita juga terhalang menghadirkan diri ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat sejak beberapa minggu. Soalan saya, apakah hujah dan nas yang digunakan untuk menggantikan solat Jumaat dengan solat Zohor di rumah ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapakan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Solat Jumaat merupakan salah satu tuntutan syarak yang wajib hukumnya ke atas setiap lelaki muslim yang mukallaf serta salah satu daripada syiar agama Islam. Begitu banyak nas syarak yang menunjukkan kepada pensyariatan solat Jumaat serta larangan yang tegas ke atas mereka yang meninggalkannya dengan sengaja. Allah S.W.T berfirman :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya : Wahai orang yang beriman, apabila diserukan azan untuk solat pada hari Jumaat hendaklah kamu bersegera ke arah mengingati Allah dan meninggalkan jual beli. Yang demikian itu adalah baik buat kamu sekiranya kamu mengetahuinya.

Surah Al-Jumaah (9)

Ayat di atas ini jelas menunjukkan bahawa menghadiri solat Jumaat merupakan suatu kewajpan bagi seorang mukmin. Demikian golongan beriman itu dituntut untuk mengutamakan kepentingan akhirat dengan mendirikan kewajipan solat Jumaat mengatasi kepentingan duniawi seperti jual beli.

Imam Al-Hafiz Ibn Katsir berkata : ‘’(Golongan yang beriman itu adalah mereka) yang tidak disibukkan oleh dunia dan segala kesenangannya, perhiasannya, serta keseronokan berjual beli dari mengingati Allah yang merupakan pencipta mereka serta pemberi rezeki kepada mereja. Dan mereka juga (adalah) golongan yang mengetahui bahawa apa yang ada di sisi-Nya lebih baik dan lebih bermanfaat buat mereka berbanding dengan apa yang ada di sisi mereka. Ini kerana, apa yang ada di sisi mereka itu akan binasa sedangkan apa yang ada di sisi Allah itu bersifat kekal. (Justeru mereka pasti) akan mendahulukan ketaatan kepada-Nya, kehendak-Nya serta apa yang disukai-Nya mengatasi kehendak mereka serta apa yang mereka sukai’’. Rujuk Tafsir Al-Quran Al-Azhim, Ibn Katsir (6/68)

Meskipun begitu, tuntutan menghadiri solat Jumaat secara berjemaah ini diberikan keringanan kepada mereka yang mempunyai keuzuran yang diambil kira di sisi syarak untuk tidak menghadirinya. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

مَنْ سَمِعَ النِّدَاءَ فَلَمْ يَأْتِهِ فَلاَ صَلاَةَ لَهُ إِلاَّ مِنْ عُذْرٍ

Maksudnya : Sesiapa yang mendengar seruan azan kemudian tidak mendatanginya (pergi ke masjid) maka tidak sempurna solatnya, melainkan disebabkan keuzuran.

Riwayat Ibn Majah (793)

Menurut hadis di atas, secara asasnya seseorang itu dituntut untuk menghadiri solat berjemaah sekiranya dia mendengar panggilan azan. Meskipun begitu, jika ada keuzuran tertentu maka dia diberi pengecualian untuk hadir menyahut seruan tersebut. Manakala dalam sebuah riwayat yang lain, para sahabat bertanya kepada Rasulullah S.A.W apakah yang dimaksudkan dengan keuzuran ? Maka Rasulullah S.A.W. menjawab :

خَوْفٌ أَوْ مَرَضٌ

Maksudnya : Perasaan takut ataupun sakit.

Riwayat Abu Daud (551)

Maka jelas daripada hadis di atas bahawa perasaan takut atau sakit termasuk dalam kategori uzur yang membolehkan seseorang itu untuk tidak hadir ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat secara berjamaah. Bahkan Syeikhul Islam Zakaria Al-Ansari yang merupakan tokoh besar dalam mazhab Imam Al-Syafi’e berkata :

وَقَدْ نَقَلَ الْقَاضِي عِيَاضٌ عَنْ الْعُلَمَاءِ أَنَّ الْمَجْذُومَ وَالْأَبْرَصَ يُمْنَعَانِ مِنْ الْمَسْجِدِ وَمِنْ صَلَاةِ الْجُمُعَةِ وَمِنْ اخْتِلَاطِهِمَا بِالنَّاسِ

Maksudnya : Al-Qadhi ‘Iyadh telah menukilkan pendapat dari para ulama yang menyatakan bahawa seseorang yang menghidap penyakit kusta dan sopak dihalang dari masuk ke dalam masjid dan (dihalang) mendirikan solat Jumaat serta tidak dibenarkan bercampur dengan orang ramai. Rujuk Asna Al-Mathalib, Zakaria Al-Ansari (1/215).

Imam Ibn Hajar Al-Haitami dalam menjelaskan sebab larangan tersebut adalah kerana takutkan kemudaratan darinya (penyakit yang berjangkit) maka ketika ini perbuatan menghalang tersebut menjadi wajib. Rujuk Al-Fatawa al-Fiqhiyyah Al-Kubra, Ibn Hajar Al-Haitami (1/212).

Maka bertitik tolak dari hal ini, tindakan pihak berkuasa mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan wabak Covid- 19 yang turut meliputi larangan menghadiri solat berjemaah dan juga solat Jumaat merupakan suatu langkah yang tidak bercanggah dengan maqasid syara’.

Selain dari perasaan takut atau sakit, permusafiran juga termasuk salah satu keuzuran yang membolehkan seseorang itu meninggalkan solat Jumaat. Justeru, golongan yang menghadapi beberapa keuzuran seperti yang telah disebutkan di atas, yang menghalang mereka dari melaksanakan solat Jumaat, mereka tetap diwajibkan untuk melakukan solat Zohor bagi menggantikan solat Jumaat. Berikut kami kongsikan beberapa nas dan hujahan yang disebutkan oleh para ulama berkenaan isu ini :

Pertama : Solat Jumaat tidak wajib ke atas mereka yang bermusafir dan telah berlaku ijma’ para ulama dalam isu ini seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn Abd Al-Bar : ‘’Tidak ada solat Jumaat ke atas orang bermusafir dan ini merupakan ijma’ yang tidak ada khilaf padanya’’. Rujuk Al-Istizkar, Ibn Abd Al-Bar (2/36).

Imam Al-Nawawi berkata :

لَا تَجِبُ الْجُمُعَةُ عَلَى الْمُسَافِرِ هَذَا مَذْهَبُنَا لَا خِلَافَ فِيهِ عِنْدَنَا

Maksudnya : Tidak wajib melakukan solat Jumaat ke atas orang yang bermusafir, ini adalah pendapat mazhab kami dan tidak ada khilaf padanya di sisi kami. Rujuk Al-Majmu’, Al-Nawawi (4/485).

Oleh yang demikian, seseorang yang bermusafir dituntut untuk melakukan solat Zohor semasa permusafirannya. Ini tsabit berdasarkan perbuatan Rasulullah S.A.W yang menunaikan solat Zohor dan Asar secara jamak taqdim di ‘Arafah pada hari Jumaat.

Kedua : Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Mas’ud R.A beliau berkata :

وَمَنْ فَاتَتْهُ الرَّكْعَتَانِ فَلْيُصَلِّ أَرْبَعًا

Maksudnya : Sesiapa yang terlepas dua rakaat (solat Jumaat) maka hendaklah dia melakukan solat sebanyak empat rakaat (Zohor).

  • Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Al-Thabrani di dalam kitabnya Al-Mu’jam Al-Kabir (9545).
  • Begitu juga ia diriwayatkan oleh Imam Abd al-Razzaq Al-Son’ani di dalam kitab beliau Musannaf Abd al-Razzaq Al-Son’ani (5479) daripada Ibn Mas’ud beliau berkata :

مَنْ فَاتَتْهُ الرَّكْعَةُ الْآخِرَةُ فَلْيُصَلِّ أَرْبَعًا

Maksudnya : Sesiapa yang terlepas rakaat yang terakhir (dari solat Jumaat) hendaklah dia melakukan solat empat rakaat (solat Zohor).

  • Begitu juga Imam Ibn Abi Syaibah meriwayatkan daripada Abdullah Ibn Mas’ud beliau berkata :

مَنْ أَدْرَكَ الْجُمُعَةَ فَهِيَ رَكْعَتَانِ، وَمَنْ لَمْ يُدْرِكْ فَلْيُصَلِّ أَرْبَعًا

Maksudnya : Sesiapa yang sempat mendapatkan Jumaat maka ia adalah (solat) dua rakaat. Manakala sesiapa yang tidak sempat hendaklah dia mengerjakan solat empat rakaat (solat Zohor).

Rujuk Musannaf Ibn Abi Syaibah (5333)

Imam Al-Haitsami dalam menjelaskan status hadis di atas menyatakan bahawa isnadnya adalah hasan. Rujuk Majma’ al-Zawa’id, Al-Haitsami (2/192).

Ketiga : Begitu juga terdapat sebuah riwayat daripada Abdullah bin Ma’dan, beliau meriwayatkan dari neneknya yang berkata : ‘’Abdullah Ibn Mas’ud R.A telah berkata kepada kami (orang perempuan)’’ :

إِذَا صَلَّيْتُنَّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ مَعَ الْإِمَامِ فَصَلِّينَ بِصَلَاتِهِ، وَاذَا صَلَّيْتُنَّ فِي بُيُوتِكُنَّ فَصَلِّينَ أَرْبَعًا

Maksudnya : Apabila kamu menunaikan solat pada hari Jumaat bersama imam, hendaklah kamu solat dengan solatnya (sebanyak dua rakaat). Dan apabila kamu solat di rumah kamu, hendaklah kamu menunaikan solat empat rakaat (Zohor).

Riwayat Ibn Abi Syaibah, Musannaf (5154)

Justeru, berdasarkan beberapa nas dan riwayat di atas, jelas kepada kita bahawa seseorang yang terlepas solat Jumaat, sama ada tertidur atau terlewat, uzur syar’ie seperti sakit, perasaan takut, musafir, atau tidak diwajibkan ke atas mereka solat Jumaat seperti orang perempuan, maka hendaklah mereka itu mendirikan solat Zohor sebanyak empat rakaat.

Imam Al-Son’ani dalam mengulas isu ini beliau berkata :

الْقَوْلُ بِأَنَّ الْأَصْلَ فِي يَوْمِ الْجُمُعَةِ صَلَاةُ الْجُمُعَةِ، وَالظُّهْرُ بَدَلٌ عَنْهَا قَوْلٌ مَرْجُوحٌ بَلْ الظُّهْرُ هُوَ الْفَرْضُ الْأَصْلِيُّ الْمَفْرُوضُ لَيْلَةَ الْإِسْرَاءِ، وَالْجُمُعَةُ مُتَأَخِّرٌ فَرْضُهَا، ثُمَّ إذَا فَاتَتْ وَجَبَ الظُّهْرُ إجْمَاعًا فَهِيَ الْبَدَلُ عَنْهُ

Maksudnya : Pendapat yang menyatakan bahawa asal bagi hari Jumaat adalah solat Jumaat dan Zohor sebagai ganti kepadanya adalah pendapat yang marjuh. Bahkan solat Zohor itu merupakan kefardhuan yang asal yang difardhukan pada malam Isra’, sedangkan solat Jumaat itu kefardhuannya datang kemudian. Apabila ia (solat Jumaat) terlepas, maka wajib melakukan solat Zohor secara ijma’ dan ia (solat Jumaat) adalah ganti kepada solat Zohor. Rujuk Subul Al-Salam, Al-Son’ani (1/409).

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa keseluruhan nas dan hujahan yang dikongsikan di atas jelas menunjukkan bahawa hukum asal bagi hari Jumaat adalah melakukan solat Zohor. Kemudian datang perintah dari syarak yang mewajibkan solat Jumaat sebagai gantian kepada solat Zohor. Justeru, sekiranya seseorang itu terlepas solat Jumaat, maka dia kembali kepada hukum asal bagi hari Jumaat iaitu mendirikan solat Zohor.

Maka sesiapa sahaja yang terlepas solat Jumaat sama ada disebabkan musafir, sakit, perasaan takut, tertidur, dan sebagainya, hendaklah dia mendirikan solat Zohor sebagai ganti kepada solat Jumaat tersebut.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.