اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-505 : ISTERI SOLAT DI SEBELAH KIRI SUAMI DALAM RUMAH YANG SEMPIT

if505 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.,

Sekarang tersebar di mesia sosial infografik yang menunjukkan isteri tidak boleh solat di sebelah kiri suami, tetapi tempatnya adalah di belakang imam. Soalan saya, bagaimana jika rumah itu sempit dan ruang solat yang ada tidak memungkinkan untuk isteri solat di belakang suami?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ, selawat serta salam ke atas Junjungan Mulia, Nabi Muhammad ﷺ, ke atas Ahli Bait, serta Para Sahabat baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.

 

Susunan saf lelaki dan perempuan ketika solat

Kami telah membahaskan isu susunan saf isteri ketika solat bersama suami dalam artikel Al-Kafi #640 : Kedudukan Saf Isteri Ketika Solat Dengan Suami; Al-Kafi #641 : Sahkah Solat Orang Lelaki Apabila Bersebelahan Dengan Saf Orang Perempuan. Ringkasannya ialah terdapat hadis riwayat daripada Anas bin Malik RA yang menyatakan:

‎ أَنَّ جَدَّتَهُ مُلَيْكَةَ دَعَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِطَعَامٍ صَنَعَتْهُ لَهُ فَأَكَلَ مِنْهُ ثُمَّ قَالَ قُومُوا فَلِأُصَلِّ لَكُمْ ، فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَصَفَفْتُ وَالْيَتِيمَ وَرَاءَهُ ، وَالْعَجُوزُ مِنْ وَرَائِنَا ، فَصَلَّى لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ انْصَرَفَ

Maksudnya: “Bahawa neneknya yang bernama Mulaikah menjemput Rasulullah memakan makanan yang telah dimasaknya. Maka baginda pun menjamu makanan tersebut lalu bersabda : “Bangunlah untuk aku bersolat bersama kamu semua.” Kemudian Rasulullah berdiri untuk solat, lalu baginda meletakkan aku dan seorang anak yatim di belakangnya, dan perempuan tua (nenek) di belakang kami. Kemudian baginda solat dua rakaat bersama kami dan seterusnya beredar.”

Riwayat Al-Bukhari (380)

Kata Imam al-Nawawi Rahimahullah:

 "Sekiranya yang hadir mengerjakan solat itu terdiri daripada orang lelaki, kanak-kanak, golongan khunsa, serta orang perempuan, maka didahulukan orang lelaki, kemudian kanak-kanak, kemudian golongan khunsa, kemudian orang perempuan."

Rujuk Al-Majmu' Syarah Al-Muhadzzab (4/293)

Kemudian beliau menyebut hukum hakam berkaitan posisi makmum dan berkata:

“Konklusinya, sesungguhnya posisi-posisi yang disebutkan semuanya adalah berdasarkan perintah istihbab (galakan atau sunat). Jika para makmum menyelisihinya maka hukumnya makruh tetapi solat itu sah, seperti mana yang disebutkan oleh penyusun kitab (yakn Imam al-Syirazi). Begitu juga jika imam solat di posisi lebih tinggi daripada makmum, atau makmum tinggi daripada imam, tanpa ada keperluan. Begitu juga jika makmum wanita terkehadapan berbanding saf lelaki selagi mana tidak terkehadapan mengatasi imam, atau makmum wanita solat bersebelahan imam atau sebelah makmum lelaki, maka sah solat wanita itu, dan juga solat orang lelaki, tanpa ada khilaf di sisi kami.”

Rujuk Al-Majmu' Syarah Al-Muhadzzab (4/297)

 

Perbuatan yang dimakruhkan ketika solat hilang kemakruhan apabila wujud keperluan

Dalam artikel Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-480 : Susunan Saf Solat Jenazah Semasa Berlakunya Wabak, kami ada membahaskan kaedah fiqh:

الكَرَاهَة تَزُولُ بالحَاجَة

Maksudnya: “Hukum makruh itu hilang apabila wujud keperluan

Rujuk Ma`lamah Zayed (no.267)

Perkara-perkara yang dimakruhkan di dalam solat tidak menjadi makruh apabila terdapat keperluan untuk melakukannya.

Berkata Imam Abu Ishak al-Syirazi dalam al-Muhadzzab:

“Dimakruhkan untuk meninggalkan perkara sunat dalam solat dan dimakruhkan untuk memalingkan muka tanpa ada keperluan, berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Abu Dzar RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

لَا يَزَالُ اللَّهُ تَعَالَى مُقْبِلًا عَلَى عَبْدِهِ فِي الصَّلَاةِ مَا لَمْ يَلْتَفِتْ فَإِذَا الْتَفَتْ صَرَفَ عَنْهُ وَجْهُهُ

Maksudnya: “Allah sentiasa menghadap hamba-Nya semasa solat selama mana hamba itu tidak memalingkan muka, maka jika hamba-Nya memalingkan muka, maka Dia juga mengalingkan Muka-Nya darinya.”

Riwayat Abu Daud (no.909)

[maksudnya Allah sentiasa menurunkan rahmat dan keredhaan-Nya selama mana orang yang solat itu menjaga pandangan di dalam solat. Rujuk Tuhfah al-Muhtaj (2/161).oleh Ibn Hajar al-Haitami.]

adapun jika terdapat keperluan maka tidak dimakruhkan berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Ibn `Abbas R.Anhuma bahawa Nabi ﷺ:

كَانَ يَلْتَفِتُ فِي صَلَاتِهِ يَمِينًا وَشِمَالًا وَلَا يَلْوِي عُنُقَهُ خَلْفَ ظَهْرِهِ

Maksudnya: “pernah memalingkan mukanya ke kiri dan ke kanan ketika solat tetapi tidak memusingkan tengkoknya memandang belakangnya.”

Riwayat al-Tirmidzi (no.587)

[Disebut dalam Tuhfah al-Ahwadzi (3/159) oleh Syeikh Abu al-`Ala al-Mubarakfuri, Ibn Malak berkata: dikatakan bahawa Rasulullah ﷺ memalingkan wajah sekali atau beberapa kali yang sedikit bagi tujuan menerangkan bahawa perbuatan itu tidak membatalkan solat, atau boleh dilakukan atas suatu keperluan mendesak.]

Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhadzzab (4/95)

Contoh lain, dalam hadis riwayat Abu Qatadah, bahawa Rasulullah ﷺ:

كَانَ يُصَلِّي وَهُوَ حَامِلٌ أُمَامَةَ بِنْتَ زَيْنَبَ بِنْتِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلِأَبِي الْعَاصِ بْنِ الرَّبِيعِ، فَإِذَا قَامَ حَمَلَهَا وَإِذَا سَجَدَ وَضَعَهَا

Maksudnya: “Pernah bersolat dalam keadaan mendokong Umamah bin Zainab binti Rasulullah ﷺ, anak Abu al-Aas bin al-Rabi`. Apabila baginda berdiri, baginda mendokongnya, dan apabila baginda sujud, baginda meletakkannya.”

Riwayat Muslim (543)

Berkata Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj Syarh Muslim (5/34):

“Diharuskan untuk melakukan perbuatan yang sedikit di dalam solat, maka jika langkah dua kali itu tidak membatalkan solat tetapi lebih utama tinggalkan melainkan ada keperluan, sesungguhnya pergerakan kerana keperluan itu tidak dimakruhkan seperti mana yang dilakukan oleh Nabi ﷺ. Hadis ini juga menunjukkan bahawa dibenarkan untuk imam solat di atas tempat yang lebih tinggi daripada tempat makmum-makmum, tetapi hukumnya adalah dimakruhkan apabila tempat imam lebih tinggi atau tempat makmum lebih tinggi, melainkan kerana hajat. Maka jika ada hajat keperluan seperti tujuannya untuk mengajar perbuatan-perbuatan solat maka tidak dimakruhkan bahkan sunat berdasarkan hadis ini. Begitu juga apabila seorang makmum bertujuan mengajar makmum lain perbuatan solat imam yang memerlukan tempat yang tinggi.”

 

Kesimpulan

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami cenderung kepada pendapat tidak batal solat, tidak diharamkan bahkan tidak dimakruhkan seorang isteri bersolat di sebelah kiri suami sekiranya ruang di rumah itu sempit kerana ada keperluan. Wallahua`lam.

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada penanya. Kita berdoa agar Allah ﷻ menerima amalan kita dan menjadikan kita hamba-Nya yang bersyukur.

Disediakan oleh,

Unit Buhuth,
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.