اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-562: ADAKAH PERLU MENYUCIKAN WANG KWSP SELEPAS BERTUKAR KE AKAUN SIMPANAN SYARIAH?

IF 562

 

Soalan

Assalamualaikum. Saya ada soalan… Saya ada memohon untuk i-sinar, selepas daripada itu baru saya tahu mengenai akaun simpanan Syariah tapi belum sempat saya tukar ke akaun Syariah permohonan saya telah pun diluluskan dan duit tersebut telah masuk ke akaun saya. Jadi macam mana caranya untuk saya membersihkan duit saya dari duit yang haram?

 

Ringkasan Jawapan

Setelah meneliti keputusan Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam, wang dividen yang diperoleh daripada akaun simpanan konvensional KWSP sebelum bertukar ke akaun simpanan Syariah tidak perlu dibersihkan kerana ahli tiada hak tasarruf (hak mengurus) dalam urusan simpanan mereka dan akan menjadi hak milik mereka apabila telah mencapai had umur yang ditetapkan. Namun begitu, sekiranya ahli tersebut ingin menyucikan juga, maka kaedah penyuciannya boleh dilakukan dengan mengira kadar peratus wang tidak patuh syariah bermula daripada tahun 2017 dan wang yang ingin disucikan tersebut perlu disalurkan untuk kepentingan umum umat Islam atau disalurkan pada Baitulmal negeri masing-masing.

 

Kami juga ingin menasihatkan agar ahli-ahli yang masih menggunakan akaun simpanan konvensional untuk segera bertukar kepada akaun simpanan syariah. Pertukaran tersebut boleh dilakukan melalui kaunter KWSP, Kiosk KWSP atau i-Akaun atau Mengemukakan permohonan bertulis kepada KWSP dengan menyatakan sebab permohonan (iaitu melakukan penyucian dividen) beserta sesalinan dokumen pengenalan diri (MyKad / Pasport). Moga-moga sumber pendapatan kita terjaga daripada sumber-sumber yang tidak patuh syariah.

 

Huraian Jawapan

Keterlibatan dalam perkara yang haram boleh dianggap sebagai tolong-menolong dalam perkara kemungkaran. Ini adalah berdasarkan firman Allah s.w.t dalam Surah al-Maidah ayat 2.

وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِ

Maksudnya: dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Surah al-Maidah (2)

 

Oleh kerana itu, harta yang diperoleh daripada sumber yang haram perlu dibersihkan. Sebagai contoh, wang yang dilaburkan di tempat yang tidak patuh syariah, wang yang diperoleh hasil daripada judi dan riba dan lain-lain. Ini dapat dilihat melalui firman Allah s.w.t dalam Surah al-Baqarah yang memerintahkan untuk membuang hasil keuntungan daripada riba dan boleh mengambil pokok asal harta.

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَذَرُواْ مَا بَقِيَ مِنَ ٱلرِّبَوٰٓاْ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ. فَإِن لَّمۡ تَفۡعَلُواْ فَأۡذَنُواْ بِحَرۡبٖ مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦۖ وَإِن تُبۡتُمۡ فَلَكُمۡ رُءُوسُ أَمۡوَٰلِكُمۡ لَا تَظۡلِمُونَ وَلَا تُظۡلَمُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. 

Surah al-Baqarah (278-279)

 

Imam al-Thabari pula mentafsirkan bahawa ayat ini menunjukkan pengharaman kepada riba dan segala perkara yang berkaitan dengan riba seperti bekerja dengannya, memakannya, mengambilnya dan memberi atau membayar riba. (Rujuk Tafsir al-Thabari 12/6)

 

Manakala Imam Syafie ketika mentafsirkan ayat ini menyatakan bahawa ayat ini diturunkan kepada kaum musyrikin yang telah masuk Islam yang mungkin telah melakukan transaksi berasaskan riba seperti memberi pinjaman dan mengambil keuntungan daripadanya. Maka ayat ini memerintahkan mereka untuk tidak lagi mengambil saki baki keuntungan yang belum diterima (riba/interest) selepas mereka dah memeluk agama Islam. Mereka hanya berhak pada pokok asal harta mereka sahaja. (Rujuk al-Umm 223/4; Tafsir al-Imam al-Syafie 435/1)

 

Tambahan lagi, orang Islam dituntut untuk sentiasa memastikan pendapatannya daripada sumber yang halal kerana ianya mempunyai kesan secara langsung antara seorang hamba dengan Allah s.w.t. Hal ini dapat dilihat daripada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:

إنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إلَّا طَيِّبًا، وَإِنَّ اللَّهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ فَقَالَ تَعَالَى: "يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنْ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا"، وَقَالَ تَعَالَى: "يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ" ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلَى السَّمَاءِ: يَا رَبِّ! يَا رَبِّ! وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِّيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لَهُ؟"

Maksudnya: Sesungguhnya Allah Ta'ala Maha Baik dan hanya menerima yang baik. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang yang beriman untuk (melakukan) perintah yang disampaikan kepada para nabi. Kemudian beliau membaca firman Allah, ‘Wahai rasul-rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amalan yang soleh.’ Dan firman-Nya, ‘Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari makanan yang baik baik yang telah Kami anugerahkan kepadamu. ’Kemudian beliau menceritakan seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan?

(Sahih Muslim No.1015)

 

Tambahan lagi, terdapat juga hadis lain yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi yang mana setiap manusia akan dipersoalkan daripada mana sumber harta yang diperolehinya. Ini menguatkan lagi mengenai kewajipan untuk memastikan sumber pendapatan yang diperoleh mestilah daripada sumber yang halal.

اَ تَزُولُ قَدَمَا ابْنِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عِنْدِ رَبِّهِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ خَمْسٍ عَنْ عُمْرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ شَبَابِهِ فِيمَا أَبْلاَهُ وَمَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ وَمَاذَا عَمِلَ فِيمَا عَلِمَ

Maksudnya: Kaki anak Adam akan tetap tegak berdiri di sisi Tuhannya pada hari Kiamat, hingga dia ditanya tentang lima perkara (iaitu): tentang umurnya untuk apa dia habiskan, tentang masa mudanya untuk apa dia gunakan, tentang hartanya dari mana dia dapatkan, dan dalam hal apa (hartanya tersebut) dia belanjakan dan apa sahaja yang telah dia lakukan dari ilmu yang dimilikinya.

(Riwayat al-Tirmizi No.2416)

 

Oleh kerana itu, seorang muslim perlu cakna tentang kewajipan memastikan sumber yang diperoleh daripada sumber yang halal. Namun begitu, dalam hal berkaitan dividen daripada akaun simpanan KWSP Konvensional, terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti seperti hak tasarruf (hak mengurus) harta tersebut dan juga bentuk keuntungan yang diperoleh tersebut. Oleh kerana itu, kami lampirkan Keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia berkenaan isu ini.

 

Keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) Bil. 2/2015 yang bersidang pada 18 Ogos 2015 telah membincangkan mengenai isu Penyucian Dividen Simpanan Ahli KWSP Sedia Ada Sebelum Bertukar Ke Akaun KWSP Yang Diuruskan Mengikut Prinsip Syariah (KWSP-Islamik).

“bagi menjaga kepentingan dan maslahah ahli KWSP yang beragama Islam, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa KWSP tidak diwajibkan untuk melakukan penyucian terhadap dividen simpanan semua ahli KWSP yang bersetuju untuk bertukar ke akaun KWSP-Islamik.”

 

Antara hujah-hujah dan alasan yang disandarkan kepada hukum tersebut adalah sebagaimana berikut:

1. Selaku pemegang amanah ke atas simpanan ahli KWSP, keuntungan yang diperolehi oleh KWSP adalah berbentuk takassub (usaha) dan bukan secara ghasab (pengambilan harta tanpa hak atau secara zalim). Dividen yang diterima oleh ahli KWSP diperolehi melalui transaksi simpanan yang dilakukan mengikut lunas undang-undang dan berdasarkan kontrak yang dipersetujui bersama.

 

2. KWSP merupakan pemegang amanah yang diberi mandat untuk menguruskan simpanan ahli-ahli di bawah Akta KWSP 1991, di mana majikan diwajibkan untuk mencarum dengan KWSP bagi pihak ahli dan setakat ini tiada sebarang pilihan diberikan kepada ahli dan mereka tiada hak tasarruf (mengurus) dalam urusan simpanan mereka sejak dari awal mencarum dalam KWSP. Simpanan tersebut akan menjadi hak dan milik ahli KWSP setelah mencapai had umur yang ditetapkan.

 

Kadar Dividen Simpanan KWSP Konvensional Dan Peratus Yang Perlu Dibersihkan Mengikut Tahun

 

Kami lampirkan kadar dividen simpanan konvensional serta peratusan tidak patuh syariah daripada keseluruhan dividen tersebut sebagai rujukan. Sekiranya penyimpan ingin melakukan pembersihan dividen daripada simpanan konvensional maka dividen pada tahun yang dinyatakan perlu ditolak dengan peratusan wang tidak patuh syariah. Sebagai contoh, sekiranya dividen yang diperoleh pada tahun tersebut adalah RM1000 dan peratusan tidak patuh syariah adalah 50%, maka RM500 perlu dibersihkan daripada dividen yang diperoleh.

Tahun 2017

Dividen: 6.9%

Peratus Wang Tidak Patuh Syariah: 64%

Tahun 2018

Dividen: 6.15%

Peratus Wang Tidak Patuh Syariah: 68%

Tahun 2019

Dividen: 5.45

Peratus Wang Tidak Patuh Syariah: 71%

Tahun 2020

Dividen: 5.2%

Peratus Wang Tidak Patuh Syariah: 69%

 

Kesimpulan

Setelah meneliti keputusan Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam, wang dividen yang diperoleh daripada akaun simpanan konvensional KWSP sebelum bertukar ke akaun simpanan Syariah tidak perlu dibersihkan kerana ahli tiada hak tasarruf (hak mengurus) dalam urusan simpanan mereka dan akan menjadi hak milik mereka apabila telah mencapai had umur yang ditetapkan. Namun begitu, sekiranya ahli tersebut ingin menyucikan juga, maka kaedah penyuciannya boleh dilakukan dengan mengira kadar peratus wang tidak patuh syariah bermula daripada tahun 2017 dan wang yang ingin disucikan tersebut perlu disalurkan untuk kepentingan umum umat Islam atau disalurkan pada Baitulmal negeri masing-masing.

 

Kami juga ingin menasihatkan agar ahli-ahli yang masih menggunakan akaun simpanan konvensional untuk segera bertukar kepada akaun simpanan syariah. Pertukaran tersebut boleh dilakukan melalui kaunter KWSP, Kiosk KWSP atau i-Akaun atau Mengemukakan permohonan bertulis kepada KWSP dengan menyatakan sebab permohonan (iaitu melakukan penyucian dividen) beserta sesalinan dokumen pengenalan diri (MyKad / Pasport). Moga-moga sumber pendapatan kita terjaga daripada sumber-sumber yang tidak patuh syariah.

 

Wallahualam.

 

Bibliografi

Al-Thabari. T.t. Tafsir al-Thabari. Terbitan Dar al-Tarbiyyah wa al-Turath

Imam Syafie. 1990. Al-Umm. Terbitan Dar al-Ma’rifah: Beirut

Imam Syafie. 2006. Tafsir al-Imam al-Syafie. Terbitan Dar al-Tadmiriyyah