SOALAN
Assalammualaikum, Saya ada melihat video luar negara berkaitan olahan menu daging yang berasaskan bulu ayam yang dikatakan penganti daging pada masa hadapan. Dikatakan ia sumber protein yang tinggi dengan melalui beberapa proses seperti dihancurkan hingga menjadi cecair dan dicampur dengan pemekat kemudian dibakar dan berubah menjadi daging. Apakah hukum memakan makanan berasaskan bulu haiwan. Mohon pencerahan SS Mufti.
RINGKASAN JAWAPAN
Status bulu haiwan yang dagingnya halal dimakan adalah suci sama ada bulunya terpisah semasa hidup mahupun terpisah selepas kematian haiwan yang disembelih mengikut hukum syarak. Oleh itu, bulu ayam adalah suci dan boleh dimakan sekiranya bulu ayam yang dijadikan bahan makanan alternatif mampu memberi protein serta tidak memberi kesan mudarat. Di samping itu, bulu ayam yang diproses perlu dipastikan tidak tercemar daripada najis.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat
Bulu daripada haiwan yang halal dimakan boleh dimanfaatkan untuk kegunaan manusia seperti perhiasan dan perkakas berdasarkan firman Allah SWT.
وَمِنْ أَصْوَافِهَا وَأَوْبَارِهَا وَأَشْعَارِهَا أَثَاثًا وَمَتَاعًا إِلَىٰ حِينٍ
Maksudnya: “Dan (Ia juga menjadikan bagi kamu) dari berjenis-jenis bulu binatang-binatang ternak itu, berbagai barang perkakas rumah dan perhiasan, (untuk kamu menggunakannya) hingga ke suatu masa.”
Surah an-Nahl (80)
Bulu-bulu haiwan ternak yang halal dimakan juga boleh dimanfaatkan untuk dijadikan pakaian berdasarkan firmanNya:
وَالْأَنْعَامَ خَلَقَهَا ۗ لَكُمْ فِيهَا دِفْءٌ وَمَنَافِعُ وَمِنْهَا تَأْكُلُونَ
Maksudnya: “Dan binatang-binatang ternak itu, Ia juga menciptakannya untuk kamu; terdapat padanya benda-benda yang memanaskan tubuh dari sejuk dan beberapa faedah yang lain; dan daripadanya juga kamu makan
Surah an-Nahl (5)
Makna ayat benda-benda yang memanaskan (دِفْءٌ) adalah bulu-bulu atau rambut haiwan yang boleh dijadikan pakaian mahupun selimut. Sementara “manafi’ (مَنَافِعُ) merujuk kepada manfaat untuk makanan dan minuman.[1]
(Rujuk Tafsir al-Tabari, 17/168, Tafsir al-Qurtubi, 10/ 69)
Selain itu, ulama mazhab Syafie berpandangan bulu haiwan yang terpisah dari binatang yang halal dimakan hukumnya suci sama ada terpisah ketika hidup atau pun setelah mati. Perkara ini dijelaskan oleh al-Nawawi:
فِي أَجْزَاءِ الْحَيَوَانِ: الْأَصْلُ أَنَّ مَا انْفَصَلَ مِنْ حَيٍّ فَهُوَ نَجِسٌ، وَيُسْتَثْنَى الشَّعْرُ الْمَجْزُوزُ مِنْ مَأْكُولِ اللَّحْمِ فِي الْحَيَاةِ، وَالصُّوفُ، وَالْوَبَرُ، وَالرِّيشُ، فَكُلُّهَا طَاهِرَةٌ بِالْإِجْمَاعِ
Maksudnya:“Hukum asal pada apa sahaja yang terpisah dari yang hidup (haiwan) adalah najis kecuali rambut binatang yang boleh dimakan yang dicukur ketika hidup dan termasuk bulu tebal, bulu roma tipis dan bulu kepak dan semuanya adalah suci menurut ijmak ulama. [2]
(Rujuk Raudah al-Tolibin wa Umdatun Muftin 1/15)
Sementara, Imam Khatib al Syirbini menjelaskan bulu haiwan yang terpisah adalah suci daripada haiwan yang halal dimakan walaupun selepas kematian. Kata beliau:
أما المنفصل منه بعد موته فحكمه حكم ميتته بلا شك (إلا شعر) أو صوف أو ريش أو وبر (المأكول فطاهر) بالإجماع
Maksudnya:“Adapun anggota yang terpisah daripada haiwan selepas matinya maka hukumnya adalah hukum bangkai haiwan tersebut (disembelih ataupun tidak) tanpa syak melainkan rambut dan bulu tebal, bulu halus atau bulu kepak binatang yang boleh dimakan hukumnya suci menurut ijmak ulama.[3]
(Rujuk Mughni Al-Muhtaj 1/235)
Oleh itu, ayam adalah haiwan ternak yang halal dimakan serta bulunya yang terpisah adalah suci. Justeru, bulu ayam yang dikatakan mempunyai sumber protein boleh dijadikan makanan alternatif kerana status bulunya adalah suci menurut pandangan fuqaha mazhab Syafie.
Konsep makanan yang halal mestilah suci dan bersih daripada najis. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا
Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa-apa yang ada di bumi yang halal lagi baik”
Surah al-Baqarah (168)
Jelas dalam ayat tersebut perkataan halal dikuti dengan perkataan toyyib. Imam al-Tabari menyatakan definisi toyyiban ialah suci dan bersih daripada najis dan perkara yang haram[4].
(Rujuk Tafsir al-Tabari, 3/301)
Sementara itu, keputusan fatwa berkaitan bulu haiwan untuk penggunaan vitamin D3 adalah harus:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Penggunaan Bulu Binatang Yang Halal Dimakan Sebagai Ramuan Makanan. Muzakarah telah memutuskan bahawa penggunaan vitamin D3 yang terhasil daripada bulu binatang (kambing) yang halal dimakan adalah harus sama ada ia diambil semasa hidup atau selepas disembelih mengikut hukum syarak.
Sementara Sheik Muhammad Soleh al-Munajjid berpandangan boleh makan makanan yang terkandung ekstrak bulu kambing biri-biri ketika menjawab persoalan berkaitan minuman “lanolin” iaitu bahan lemak kuning yang diekstrak dari bulu kambing biri-biri.
PENUTUP
Kesimpulannya, berdasarkan hujah fuqaha mazhab syafie yang dikemukakan, bulu haiwan adalah suci sama ada yang bulu yang terpisah semasa hidup atau selepas mati yang disembelih mengikut hukum syarak. Justeru itu, bulu ayam bukan sahaja boleh dimanfaatkan untuk kegunaan luaran bahkan ia boleh dimakan sekiranya bulu ayam yang dijadikan bahan makanan alternatif mampu memberi protein serta tiada kesan mudarat. Oleh itu, bulu ayam yang dijadikan bahan mentah makanan perlu dipastikan melalui proses pengeluaran, penyediaan, pengendalian, penyimpanan, pemprosesan, pembungkusan sehinggalah penghantaran agar tidak tercemar daripada najis.
[1] Al-Thabari, Muhammad bin Jarir bin Yazid (2000), Tafsir al-Thabari, Jami’ Bayan fi Ta’wil al-Quran, Muassasah al-Risalah. Jld. 17 p: 168, Al-Qurtubi, Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad (1964), al-Jami’ li-Ahkam al-Quran Tafsir al-Qurtubi, al Qaherah: Dar al-Kitab Misriyah Jld. 10 p: 69.
[2] Al-Nawawi, Muḥyī al-Dīn Yahyā bin Sharf (1991), Raudhah al-Tolibin, Wa Umdatun Muftin, Beirut: Maktabah Islami. Jld. 1 p: 15.
[3] Al-Khatib as-Syirbini as-Syafie, Shamsuddin, Muhammad Bin Ahmad, (1994) Mughni al Muhtaj Ila Ma’rifat Ma’ani Alfaz al-Minhaj, Dar al-Kutub al-‘Ilmia Jld. 1 p: 235.
[4] Al-Thabari, Muhammad bin Jarir bin Yazid (2000), Tafsir al-Thabari, Jami’ Bayan fi Ta’wil al-Quran, Muassasah al-Risalah. Jld. 3 p: 303.