اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-701 : BENARKAH WANITA YANG PALING MALANG ADALAH WANITA YANG SALAH PILIH SUAMI?

 

BENARKAH WANITA YANG PALING MALANG ADALAH WANITA YANG SALAH PILIH SUAMI

SOALAN

Assalamualaikum ustaz, benarkah wanita yang malang adalah wanita yang salah pilih suami? Sedangkan tidak ada orang yang nak suami yang berperangai buruk. Mohon pencerahan dari pejabat mufti. Terima kasih

 

RINGKASAN JAWAPAN

Jodoh merupakan sebahagian ketentuan Allah SWT terhadap hamba-hamba-Nya. Pada masa yang sama, kita diajar supaya sentiasa berdoa dan berusaha mencari pasangan yang baik akhlaknya, bertanggungjawab dan mentaati perintah Allah. Nabi SAW memberi garis panduan yang jelas dalam memilih pasangan sama ada di pihak suami mahupun isteri. Isteri yang baik untuk lelaki yang baik, manakala isteri yang tidak baik untuk lelaki yang tidak baik. Islam melihat sifat malang itu dari sudut kebaikan di sisi Allah SWT. Secara asasnya, Islam telah meletakkan dasar pegangan yang kuat bahawa segala sial, malang, mudarat dan manfaat adalah milik Allah SWT. Namun, Islam mendidik umatnya memperbaiki diri, reda dengan ketentuan Allah. Ini kerana pada hakikatnya sama ada kesenangan dan kesusahan yang menimpa hidup kita kesemuanya adalah ujian dari Allah SWT. Dalam konteks perkahwinan itu sendiri, Islam juga telah menyediakan solusi yang baik jika pasangan tidak mampu meneruskan kehidupan sebagai pasangan suami isteri.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkah Baginda hingga Hari Kesudahan.

Jodoh merupakan perkara yang terdapat di dalam ilmu Allah SWT, sebuah ketetapan dan ketentuan-Nya, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibnu Mas’ud R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

‌إِنَّ ‌أَحَدَكُمْ ‌يُجْمَعُ ‌خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا، ثُمَّ يَكُونُ فِي ذَلِكَ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُونُ فِي ذَلِكَ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيهِ الرُّوحَ، وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ: بِكَتْبِ رِزْقِهِ، وَأَجَلِهِ، وَعَمَلِهِ، وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ

Maksudnya: "Sesungguhnya setiap kamu dikumpulkan penciptaannya di perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian berubah menjadi seketul darah dalam tempoh yang sama, kemudian menjadi segumpal daging dalam tempoh yang sama, kemudian diutuskan kepadanya seorang malaikat lalu ditiupkan ruh dan dia diperintahkan (malaikat tersebut) untuk menetapkan empat perkara. Menetapkan rezekinya, ajalnya, amalnya dan kesudahannya sama ada kecelakaan atau kebahagiaan..”

Riwayat Muslim (2643)

 

Syarak memandang bahawa perkahwinan itu merupakan suatu ibadah yang sangat penting. Oleh hal yang demikian, syarak sangat menitikberatkan soal pemilihan pasangan yang tepat. Meskipun manusia ada kecenderungan pada kecantikan, harta dan keturunan dalam memilih pasangan, namun pemilihan pasangan berpandukan agama dan akhlaknya yang baik lebih menjaminkan kebahagiaan hidup berumahtangga. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW pernah bersabda:

تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَلِجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

Maksudnya: “Dinikahi perempuan itu kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana kedudukannya (status), kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah yang beragama nescaya beruntunglah kamu.”

Riwayat Al-Bukhari (5090)

 

Islam mengajar umatnya agar sentiasa berdoa dan berusaha mencari pasangan yang baik akhlaknya dan memiliki agama serta bertanggungjawab. Antara nasihat Nabi SAW dalam urusan mencari jodoh sebagaimana sabda Nabi SAW dalam sebuah hadis:

إِذَا أَتَاكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِينَهُ وَخُلُقَهُ فَزَوِّجُوهُ، إِلا تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الأَرْضِ وَفَسَادٌ عَرِيضٌ

Maksudnya :”Jika datang kepada kamu sesiapa yang kamu reda akan agama dan akhlaknya maka kahwinkanlah dia. Jika kamu tidak melakukannya maka ia akan menjadi fitnah di bumi dan juga akan berlaku keburukan.”

Riwayat al-Tabarani (280)

 

Allah SWT juga ada menyatakan bahawa, wanita yang baik akan memiliki suami yang baik, wanita yang tidak baik akhlaknya akan memiliki suami yang tidak baik, namun perkara ini sama sekali tidak menafikan usaha untuk mencari pasangan yang terbaik, bukan hanya menyerah kepada takdir. Firman Allah SWT:

ٱلۡخَبِيثَٰتُ لِلۡخَبِيثِينَ وَٱلۡخَبِيثُونَ لِلۡخَبِيثَٰتِۖ وَٱلطَّيِّبَٰتُ لِلطَّيِّبِينَ وَٱلطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَٰتِۚ أُوْلَٰٓئِكَ مُبَرَّءُونَ مِمَّا يَقُولُونَۖ لَهُم مَّغۡفِرَةٞ وَرِزۡقٞ كَرِيمٞ

Maksudnya: “(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.”

Surah an-Nur (26)

 

Imam Ibnu ‘Asimin memberi penjelasan di dalam tafsirnya tentang ayat ini bahawa di antara hikmah Allah SWT adalah menjadikan setiap pasangan itu dalam keadaan yang serasi dan sesuai antara satu sama yang lain, bahkan setiap perkara tersebut diserasikan oleh Allah SWT ketika di dunia dan di akhirat.

(Rujuk: Tafsir Ibnu ‘Asimin,  hlm 143) [1]

 

Allah SWT menghimpunkan dalam kalangan mereka bukan hanya di dunia, bahkan juga di akhirat seperti mana firman Allah  SWT: 

۞ٱحۡشُرُواْ ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ وَأَزۡوَٰجَهُمۡ وَمَا كَانُواْ يَعۡبُدُونَ

Maksudnya: (Allah berfirman kepada malaikat):" Himpunkanlah orang-orang yang zalim itu, dan orang-orang yang berkeadaan seperti mereka, serta benda-benda yang mereka sembah.”

Surah al-Saffat (22)

 

Di samping itu, Islam melihat sifat malang itu  dari sudut kebaikan di sisi Allah SWT. Secara dasarnya, Islam telah meletakkan sandaran pegangan yang kuat bahawa segala sial, malang, mudarat dan manfaat adalah dari Allah SWT.

وَإِن يَمۡسَسۡكَ ٱللَّهُ بِضُرّٖ فَلَا كَاشِفَ لَهُۥٓ إِلَّا هُوَۖ وَإِن يُرِدۡكَ بِخَيۡرٖ فَلَا رَآدَّ لِفَضۡلِهِۦۚ يُصِيبُ بِهِۦ مَن يَشَآءُ مِنۡ عِبَادِهِۦۚ وَهُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ

Maksudnya: “Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurnia-Nya. Allah melimpahkan kurnia-Nya itu kepada sesiapa yang dikendaki-Nya dari hamba-hamba-Nya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Surah Yunus (107)

 

Imam Fakhruddin al-Razi menjelaskan ayat di atas bahawa jika seseorang itu ditimpa keadaan yang malang, sial, mudarat dan seumpamanya, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghilangkannya melainkan Allah SWT, dan jika seseorang mendapat kebaikan, manfaat, kesenangan dan seumpamanya , maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaan-Nya itu secara serta merta.

(Rujuk: Tafsir al-Razi, 17/310)[2]

Islam mendidik umatnya memperbaiki diri, reda dengan ketentuan Allah, sabar menghadapi cabaran kehidupan, berusaha ke arah kebaikan dan meyakini setiap aturan Allah SWT itu mempunyai ganjaran pahala di sisi Allah SWT. Hal ini sebagaimana sabda Nabi SAW dalam sebuah hadis:

إِنَّ الرَّجُلَ لِتَكُونَ لَهُ عِنْدَ اللَّهِ الْمَنْزِلَةُ فَمَا يَبْلُغُهَا بِعَمَلٍ فَلَا يَزَالُ اللَّهُ يَبْتَلِيهِ بِمَا يَكْرَهُ ‌حَتَّى ‌يُبَلِّغَهُ ‌إِيَّاهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya seseorang itu memiliki suatu kedudukan yang tidak akan dicapai dengan amal perbuatannya di sisi Allah SWT, maka Allah SWT akan sentiasa mengujinya dengan sesuatu yang tidak disukai sehingga dengan (ujian itu) Allah SWT menjadikan dia sampai kepada kedudukannya tersebut.”

Riwayat Ibnu Hibban (2908)

 

Dr. Abdul Muhdi Abdul Qadir menyebut di dalam risalahnya bahawa sebahagian manusia sebenarnya telah ditetapkan oleh Allah SWT dengan kedudukannya yang tinggi di syurga. Jika dia bermalas-malas beramal soleh, maka Allah akan menimpakan ujian kepadanya bagi membolehkan ia sampai ke darjat yang telah ditetapkan untuknya.

(Rujuk: Risalah ila kulli Marid wa Salim, ms/14)[3]

 

Selain itu, dalam menjalani kehidupan rumahtangga, Islam menyediakan solusi yang terbaik jika pasangan tersebut tidak mampu meneruskan kehidupan dengan pasangan mereka setelah melalui beberapa peringkat.

 

KESIMPULAN

Islam melihat sifat malang itu  dari sudut kebaikan di sisi Allah SWT. Secara asasnya, Islam telah meletakkan dasar pegangan yang kukuh bahawa segala sial, malang, mudarat dan manfaat adalah dari Allah SWT. Namun, Islam mendidik umatnya memperbaiki diri, reda dengan ketentuan Allah, sabar menghadapi cabaran kehidupan, berusaha ke arah kebaikan dan meyakini setiap aturan Allah SWT itu mempunyai ganjaran pahala di sisi Allah SWT. Bahkan, dalam perkahwinan Islam menyediakan solusi yang baik jika pasangan tersebut tidak mampu meneruskan kehidupan mereka. والله أعلم

 

[1] من حكمة الله سبحانه وتعالى أنه جعل الأشياء متناسبة متشاكلة، كل شيء وما يناسبه في الدنيا وفي الآخرة أيضًا

[2] فَبَيَّنَ سُبْحانَهُ وتَعالى أنَّهُ إنْ قَضى لِأحَدٍ شَرًّا فَلا كاشِفَ لَهُ إلّا هو، وإنْ قَضى لِأحَدٍ خَيْرًا فَلا رادَّ لِفَضْلِهِ البَتَّةَ.

[3] إن بعض الناس قد قدر الله له منزلة عالية في الجنة، إلا أنه يتكاسل في الصالحات ، فيبتليه الله ليصل للدرجة التي قد قدرها الله له.