اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-767: HUKUM PERKAHWINAN PADA BULAN SYAWAL

HUKUM PERKAHWINAN PADA BULAN SYAWAL

 

Soalan:

Asalamualaikum saya ingin bertanya, saya selalu mendengar bahawa berkahwin di bulan Syawal adalah merupakan sunah Nabi SAW. Adakah perkara ini benar dan apakah hukum berkahwin di bulan Syawal?

Ringkasan Jawapan:

Hukum perkahwinan di bulan Syawal adalah disunatkan jika diniatkan untuk mengikut dan mengambil keberkatan dari perkahwinan Nabi SAW dan Aisyah RA. Namun jika seseorang itu tidak mampu untuk berkahwin pada bulan Syawal maka dia boleh memilih mana-mana bulan yang sesuai untuk dia berkahwin.

Huraian Jawapan:

Mengikut tradisi bangsa arab bulan Syawal dianggap sebagai bulan yang membawa malapetaka kepada rumah tangga yang dibina pada bulan tersebut. Untuk meruntuhkan tradisi ini Rasulullah SAW berkahwin dengan Aisyah RA pada bulan Syawal. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Aisyah RA berkata:

تَزَوَّجَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي شَوَّالٍ وَبَنَى بِي فِي شَوَّالٍ فَأَيُّ نِسَاءِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ أَحْظَى عِنْدَهُ مِنِّي

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah mengahwini ku pada bulan Syawal dan Rasulullah bersama dengan ku juga pada Syawal. Isteri Rasulullah mana yang lebih beruntung di sisi Rasulullah SAW dari pada ku?”

(Riwayat Muslim)

Tujuan Aisyah RA menggambarkan keberuntungan dirinya yang berkahwin dengan Rasulullah SAW di bulan Syawal sebagai menandakan bahawa perkahwinan di bulan Syawal tidak membawa apa-apa kemudaratan seperti sial yang disangka oleh masyarakat jahiliah[1]. Ini menunjukkan kepercayaan bahawa bulan Syawal boleh membawa malapetaka kepada rumah tangga adalah dan tidak benar.

Daripada hadis ini dapat difahami bahawa disunatkan untuk berkahwin pada bulan Syawal. Imam al-Nawawi berkata:

فِيهِ اسْتِحْبَابُ التَّزْوِيجِ وَالتَّزَوُّجِ وَالدُّخُولِ فِي شَوَّالٍ وَقَدْ نَصَّ أَصْحَابُنَا عَلَى اسْتِحْبَابِهِ

Maksudnya: “Hadis ini menunjukkan bahawa berkahwin dan bersama pada bulan Syawal adalah sunat. Para Ashab Syafii telah menyebut dengan jelas mengenai kesunatannya[2].”

Dalam mazhab Syafii disebutkan bahawa antara perkara yang disunatkan dalam perkahwinan ialah melakukannya pada bulan Syawal. Imam al-Ramli berkata:

وَيُسَنُّ أَنْ يَتَزَوَّجَ فِي شَوَّالٍ، وَأَنْ يَدْخُلَ فِيهِ، وَأَنْ يَعْقِدَ فِي الْمَسْجِدِ، وَأَنْ يَكُونَ مَعَ جَمْعٍ وَأَوَّلَ النَّهَارِ.

Maksudnya: “Disunatkan untuk berkahwin dan bersama pada bulan Syawal, diadakan di masjid, dalam khalayak ramai dan pada waktu siang[3].”

Alasan mengapa disunatkan untuk berkahwin pada bulan tersebut ialah kerana mengikut amalan Nabi SAW[4]. Oleh itu diriwayatkan juga bahawa Aisyah gemar supaya para wanita dari keluarganya juga berkahwin pada bulan Syawal sebagai mengambil keberkatan kepada perkahwinan beliau dengan Nabi SAW[5].

Walau bagaimanapun Imam al-Syaukani mengkritik pendapat ini kerana menurut beliau tidak ada riwayat yang khusus menceritakan bahawa Nabi sengaja memilih Syawal untuk dilakukan perkahwinan. Menurut beliau lagi perkahwinan tersebut hanyalah terjadi secara kebetulan sebagaimana Nabi juga berkahwin pada bulan-bulan yang lain[6].  

Meskipun begitu, pandangan Imam al-Syaukani ini tidak tepat kerana jika perkahwinan tersebut berlaku secara kebetulan lalu mengapa Aisyah RA mengkaitkan perkahwinan di bulan Syawal untuk mendidik masyarakat ketika itu agar tidak mempercayai sial di bulan Syawal

Mengenai masalah ini kami berpandangan bahawa perkahwinan pada bulan Syawal disunatkan jika diniatkan untuk mengikut kepada Nabi SAW. Meskipun tidak ada dalil yang jelas menyebut berkenaan sunat berkahwin ketika bulan Syawal namun ulama memahami kesunatannya daripada kenyataan Aisyah RA. Selain itu, perkahwinan di bulan Syawal disunatkan ketika dia boleh memilih sama ada ingin melakukannya pada bulan Syawal ataupun pada bulan-bulan yang lain. Manakala jika ada keperluan untuk berkahwin pada selain bulan Syawal maka ketika itu tidak lagi disunatkan untuk berkahwin pada bulan tersebut. Imam al-Syirwani dalam hasyiahnya kepada kitab Tuhfah al-muhtaj berkata:

وَقَوْلُهُ وَيُسَنُّ أَنْ يَتَزَوَّجَ فِي شَوَّالٍ أَيْ حَيْثُ كَانَ يُمْكِنُهُ فِيهِ وَفِي غَيْرِهِ عَلَى السَّوَاءِ فَإِنْ وُجِدَ سَبَبٌ لِلنِّكَاحِ فِي غَيْرِهِ فَعَلَهُ

Maksudnya: “Perkataan pengarang – disunatkan berkahwin pada bulan Syawal – ialah jika dia boleh memilih sama ada ingin berkahwin pada bulan Syawal atau lainnya. Jika dia mendapati sebab yang kuat untuk bernikah di bulan yang lain dia boleh melakukannya.”

Kesimpulannya, Hukum perkahwinan di bulan Syawal adalah disunatkan jika diniatkan untuk mengikut dan mengambil keberkatan dari perkahwinan Nabi SAW dan Aisyah RA. Namun jika seseorang itu tidak mampu untuk berkahwin pada bulan Syawal maka dia boleh memilih mana-mana bulan yang sesuai untuk dia berkahwin.

Wallahu A'lam

 

Rujukan:

[1] Amin al-Harari, al-Kaukab al-Wahhaj Syarah Sahih Muslim bin Hajjaj,  Makah: Dar al-Minhaj (2009), jld. 15, Hlm. 298.

قال القرطبي: قولها: (تزوجني رسول الله صلى الله عليه وسلم في شوال) الحديث إنما قالت عائشة هذا الكلام لترد به قول من كان يكره عقد النكاح في شوال ويتشاءم به من جهة أن شوالًا من الشول وهو الرفع، ومنه شالت الناقة بذنبها، وقد جعلوه كناية عن الهلاك إذ قالوا: شالت نعامتهم أي هلكوا، فشوال معناه كثير الشول فإنه للمبالغة فكانهم يتوهمون أن كل من تزوج في شوال منهن شال الشنآن بينها وبين الزوج، أو شالت نفرته فلم تحصل لها حظوة عنده، ولذلك قالت عائشة رادة الوهم

[2] Imam al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim, Beirut: Dar al-Ihya a-Thurast al-Arabi (1392H), jld. 9, hlm. 209.

[3] Imam al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj, Beirut: Dar al-Fikr (1984), jld. 6, hlm. 185.

[4] Al-Sindi, Hasyiah al-Sindi ala Sunan Ibn Majah, Beirut: Dar al-Jil (t.t),jld. 1, hlm. 514.

(تُسْتَحَبُّ) ذَلِكَ لِلِاتِّبَاعِ لَا لِاعْتِقَادِ سُعُودٍ فِيهِ (أَنْ تُدْخَلَ) عَلَى بِنَاءِ الْمَفْعُولِ أَوِ الْفَاعِلِ مِنَ الْإِدْخَالِ وَالضَّمِيرُ لِعَائِشَةَ أَوْ مِنَ الدُّخُولِ أَيْ عَلَى زَوْجِهَا وَاللَّهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى أَعْلَمُ

[5] Al-Asyubi, Zakhirah al-Uqba fi Syarah al-Mujtaba, Beirut: Dar al-Mikraj (1996),jld. 27, hlm. 130.

 (وَكَانَتْ عَائِشَةُ) - رضي اللَّه تعالى عنها - (تُحِبُّ أَنْ تُدْخِلَ نِسَاءَهَا) أي نساء قومها على أزواجهنّ (في شَوّالٍ) تبرّكًا بما حصل لها فيه من الخير برسول اللَّه - صلى اللَّه عليه وسلم -، ومن الحظوة عنه، ولمخالفة ما يقوله الجهّال من ذلك

[6] Imam al-Syaukani, Nail al-Autar, Mesir: Dar al-Hadis (1993), jld. 6, hlm. 225

اسْتَدَلَّ الْمُصَنِّفُ بِحَدِيثِ عَائِشَةَ عَلَى اسْتِحْبَابِ الْبِنَاءِ بِالْمَرْأَةِ فِي شَوَّالٍ وَهُوَ إنَّمَا يَدُلُّ عَلَى ذَلِكَ إذَا تَبَيَّنَ أَنَّ النَّبِيَّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - قَصَدَ ذَلِكَ الْوَقْتَ لِخُصُوصِيَّةٍ لَهُ لَا تُوجَدُ فِي غَيْرِهِ، لَا إذَا كَانَ وُقُوعُ ذَلِكَ مِنْهُ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - عَلَى طَرِيقِ الِاتِّفَاقِ، وَكَوْنُهُ بَعْضَ أَجْزَاءِ الزَّمَانِ، فَإِنَّهُ لَا يَدُلُّ عَلَى الِاسْتِحْبَابِ لِأَنَّهُ حُكْمٌ شَرْعِيٌّ يَحْتَاجُ إلَى دَلِيلٍ وَقَدْ تَزَوَّجَ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - بِنِسَائِهِ فِي أَوْقَاتٍ مُخْتَلِفَةٍ عَلَى حَسَبِ الِاتِّفَاقِ وَلَمْ يَتَحَرَّ وَقْتًا مَخْصُوصًا، وَلَوْ كَانَ مُجَرَّدُ الْوُقُوعِ يُفِيدُ الِاسْتِحْبَابَ لَكَانَ كُلُّ وَقْتٍ مِنْ الْأَوْقَاتِ الَّتِي تَزَوَّجَ فِيهَا النَّبِيُّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - يُسْتَحَبُّ الْبِنَاءُ فِيهِ وَهُوَ غَيْرُ مُسَلَّمٍ.