اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-829: RUQYAH MENGGUNAKAN AIR RENDAMAN KERTAS YANG MENGANDUNGI AYAT SUCI AL-QURAN 

HUKUM_RUQYAH_MENGGUNAKAN_AIR_RENDAMAN_KERTAS_YANG_MENGANDUNGI_AYAT_SUCI_AL-QURAN .jpg

 

Soalan: 

Assalamualaikum Datuk Mufti. Saya ingin bertanya, bolehkah sekiranya kita meminum air yang telah dilarutkan dengan kertas mengandungi ayat al-Quran? Adakah bentuk ruqyah sebegini dibenarkan dalam Islam? Mohon penjelasan daripada pihak Datuk. Terima kasih.

 

Ringkasan Jawapan:

Penulisan ayat al-Quran pada al-Quran bagi tujuan merawat dan mengubati pesakit adalah diharuskan. Oleh itu, harus untuk menggunakan kertas yang ditulis ayat al-Quran dan dilarutkan dengan air sebagai kaedah untuk merawat pesakit dengan syarat kesucian ayat al-Quran itu terpelihara dari sebarang kekotoran dan penghinaan. Namun begitu, seorang perawat mestilah menggunakan alternatif ini untuk merawat sahaja bukan untuk tujuan komersial supaya tidak berlaku penyalahgunaan ayat suci al-Quran serta tidak membuka pintu fitnah terhadap agama Islam itu sendiri.

 

Huraian Jawapan

Kesakitan merupakan sebahagian daripada fitrah yang berlaku ke atas diri manusia samada melibatkan fizikal atau minda yang menjejaskan bahagian yang sakit berkenaan untuk berfungsi dengan baik.

Dalam Islam, unsur-unsur yang mengakibatkan gangguan atau kesakitan sehingga menjejaskan aspek kerohanian manusia turut termasuk dalam kategori penyakit yang perlu dirawat. Namun berbeza dengan kaedah rawatan penyakit fizikal, pesakit yang mengalami kesakitan rohani memerlukan kepada kaedah khusus yang bersesuaian dan bertepatan dengan syariat Islam. Antara bentuk pengubatan menurut Islam adalah dengan menggunakan ayat-ayat suci al-Quran, zikir dan doa yang diamalkan oleh Rasulullah SAW.

Secara asasnya, syariat Islam mengiktiraf kaedah pengubatan atau rawatan dengan menggunakan ayat suci al-Quran. Allah SWT telah berfirman:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا

Maksudnya: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.”

Surah al-Isra’ (82)

Menurut al-Baghawi, ayat ini menunjukkan bahawa ayat al-Quran berperanan sebagai penawar yang boleh menyembuhkan penyakit-penyakit seperti kesesatan, kejahilan, perasaan ragu-ragu, berbolak-balik dan penawar bagi hati.[1] Sementara al-Razi menjelaskan bahawa peranan al-Quran sebagai penawar bersifat menyeluruh iaitu keseluruhan ayat di dalam al-Quran mempunyai kelebihan yang tersendiri dalam merawat penyakit-penyakit rohani dan jasmani[2].

Penghujahan ulama tafsir mengenai ayat berkenaan menjelaskan bahawa masalah kerohanian ataupun masalah yang melibatkan hati atau dalaman turut termasuk dalam kategori penyakit dalam Islam yang perlu dirawat. Oleh itu, antara kaedah merawat penyakit berkenaan adalah dengan menggunakan ayat-ayat suci al-Quran.

Penulisan ayat al-Quran Pada Kertas:

Terdapat pelbagai kaedah yang diamalkan sebagai alternatif dan ikhtiar untuk mengubati pesakit termasuklah dengan menulis ayat al-Quran pada objek seperti kertas dan seumpamanya. Menurut al-Nawawi, ulama berbeza pandangan berhubung penulisan ayat al-Quran pada bekas kemudiannya memberikan air basuhan daripada bekas tersebut untuk diminum oleh pesakit. Beliau menukilkan pandangan daripada al-Hasan, Mujahid, Abu Qilabah dan al-Auza’ie yang mengatakan bahawa hukumnya adalah harus. Begitu juga pandangan daripada Husayn, al-Baghawi dan ulama mazhab Syafi’i selain daripada mereka yang berpendapat bahawa hukum menulis ayat al-Quran pada manisan atau makanan lalu memakannya juga adalah harus[3].

Selain itu, Imam Ibn Qayyim turut menyatakan bahawa ramai ulama salaf yang menulis ayat al-Quran kemudian meminumnya. Beliau turut menukilkan padangan Mujahid Rhm:

لا بأس أن يكتب القرآن ويغسله ويسقيه المريض

Maksudnya: “Tidak mengapa untuk menulis al-Quran dan membasuh dengannya serta meminumnya bagi orang yang sakit.”

(Rujuk Zadd al-Ma‘ad fi Hadi al-Khair al-’Ibad: 4/344)

Oleh yang demikian, hukum menulis ayat al-Quran pada helaian kertas lalu membasuh atau merendam kertas tersebut kemudian meminum air daripada larutan yang terhasil daripadanya adalah harus kerana ia termasuk dalam kategori ruqyah yang tidak diharamkan oleh syarak. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa garis panduan yang perlu dipatuhi supaya pelaksanaan kaedah sedemikian tidak bercanggah dengan ketetapan syarak dan tidak mendatangkan mudarat kepada pesakit.

 

Penjagaan Kesucian Al-Quran Dalam Rawatan Islam

Meskipun terdapat keharusan dalam menggunakan ayat suci al-Quran dalam amalan perubatan dan rawatan Islam, namun ia perlulah seiring dengan tuntutan syarak khususnya dalam menjaga kesucian ayat al-Quran. Antaranya ialah:

  1. Tidak bercampur dengan unsur yang mencemarkan

Kesucian ayat al-Quran perlu dijaga daripada unsur yang boleh mencemarkannya seperti menggunakan dakwat yang bernajis untuk ditulis pada kertas, menulis pada tempat yang bernajis, ditulis dalam keadaan ayat yang tidak lengkap atau bercampur dengan mantera-mantera yang sesat. Hal ini kerana ia bercanggah dengan firman Allah SWT yang berbunyi:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”

Surah al-Hijr (9)

  1. Tidak dijadikan alat komersial

Penggunaan ayat al-Quran amat sinonim dengan pengamalan rawatan Islam khususnya ketika merawat dan menyembuhkan pesakit yang terlibat. Malah, pengamalan ini diaplikasi dalam pelbagai alternatif seperti bacaan ayat suci al-Quran pada air, makanan dan sebagainya. Namun begitu, mestilah dilakukan untuk tujuan perubatan serta bukan bermatlamatkan komersial supaya tidak berlaku penyalahgunaan ayat suci al-Quran sebagaimana yang termaktub dalam keputusan muzakarah MKI berkenaan ‘Hukum Penjualan Produk Menggunakan Ayat Ruqyah (Ayat Al-Quran) Untuk Tujuan Komersial’.[4]  

 

 

Kesimpulan

Penulisan ayat al-Quran pada al-Quran bagi tujuan merawat dan mengubati pesakit adalah diharuskan. Oleh itu, harus untuk menggunakan kertas yang ditulis ayat al-Quran dan dilarutkan dengan air sebagai kaedah untuk merawat pesakit dengan syarat kesucian ayat al-Quran itu terpelihara dari sebarang kekotoran dan penghinaan. Namun begitu, seorang perawat mestilah menggunakan alternatif ini untuk merawat sahaja dan bukan tujuan komersial supaya tidak berlaku penyalahgunaan ayat suci al-Quran serta tidak membuka pintu fitnah terhadap agama Islam itu sendiri.

Wallhu A’lam

[1] Abu Muhammad al-Baghawi, Tafsir al-Baghawi (Beirut:Dar al-Ihya’ wa al-Turath al-’Arabiy,1420H), 3:158.

بَيَانٌ مِنَ الضَّلَالَةِ وَالْجَهَالَةِ يُتَبَيَّنُ بِهِ الْمُخْتَلَفُ وَيَتَّضِحُ بِهِ الْمُشْكِلُ وَيُسْتَشْفَى بِهِ مِنَ الشُّبْهَةِ وَيُهْتَدَى بِهِ مِنَ الحيرة، هو شفاء للقلوب

[2] Fakhr al-Din al-Razi, Mafatih al-Ghayb, ed. ke-3 (Beirut:Dar al-Ihya’ al-Turath al-’Arabiy,1420H), 21:390.

وَالْمَعْنَى وَنُنَزِّلُ مِنْ هَذَا الْجِنْسِ الَّذِي هُوَ قُرْآنٌ مَا هُوَ شِفَاءٌ. فَجَمِيعُ الْقُرْآنِ شِفَاءٌ لِلْمُؤْمِنِينَ، وَاعْلَمْ أَنَّ الْقُرْآنَ شِفَاءٌ مِنَ الْأَمْرَاضِ الرُّوحَانِيَّةِ، وَشِفَاءٌ أَيْضًا مِنَ الْأَمْرَاضِ الْجُسْمَانِيَّةِ،

[3] Abu Zakariyya Yahya bin Syarf al-Nawawi, Al-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran, ed. ke-3 (Beirut:Dar Ibn Hazm,1994),171.

اختلف العلماء في كتابة القرآن في إناء ثم يغسل ويسقى المريض فقال الحسن ومجاهد وأبو قلابة والأوزاعي لا بأس به وكرهه النخعي * قال القاضي حسين والبغوي وغيرهما من أصحابنا ولو كتب القرآن على الحلوى وغيرها من الأطعمة فلا بأس باكلها قال القاضي ولو كان خشبة كره إحراقها

[4] Rujuk Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) Kali Ke-108.

http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/10334