اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-834: HUKUM WANITA DALAM IDAH KELUAR RUMAH UNTUK BERAYA

HUKUM_WANITA_DALAM_IDAH_KELUAR_RUMAH_UNTUK_BERAYA.jpg

 

SOALAN

Assalamualaikum, Datuk Mufti, saya ada persoalan yang ingin diajukan kepada pihak Datuk mengenai wanita yang sedang dalam tempoh idah kematian suami. Adakah wanita tersebut dibenarkan untuk keluar beraya menziarahi anak beranak meskipun tempoh idah belum tamat?

Sekian terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Tempoh idah bagi wanita yang kematian suami ialah empat bulan 10 hari. Wanita tersebut wajib menetap di rumah perkahwinan dan tidak boleh meninggalkannya melainkan sekiranya terdapat keperluan dan darurat yang tidak dapat dielakkan. Sekiranya tiada apa-apa keperluan dan hajat, maka dia wajib menetap di rumah perkahwinannya. Keluar ziarah menziarahi sanak saudara pada hari raya tidak termasuk dalam kategori keperluan dan darurat yang mengizinkannya untuk meninggalkan rumah perkahwinan. Oleh itu, wanita tersebut tidak boleh keluar meninggalkan rumah perkahwinan semata-mata tujuan tersebut.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Idah ialah kata nama bagi tempoh tertentu bagi seseorang wanita untuk menunggu, semata-mata mematuhi perintah Allah SWT (ta’abbudi) atau sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami atau memastikan rahimnya bersih daripada kandungan.

(Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji, 3/77-85)

Tempoh idah bagi wanita kematian suami ialah empat bulan 10 hari. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:                

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنْكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Bermaksud: Dan orang-orang yang meninggal dunia antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari. 

Al-Baqarah (234)

Menurut Imam al-Tabari berkenaan ayat يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ di atas bermaksud mereka (wanita idah) mengurung (menahan) diri mereka daripada berkahwin, tidak memakai wangi-wangian dan barang perhiasan serta berpindah dari tempat kediaman yang mereka diami ketika alam perkahwinan untuk tempoh empat bulan 10 hari melainkan sekiranya wanita yang sedang hamil, maka mereka harus menunggu sehingga waktu bersalin. Sekiranya mereka sudah bersalin, maka tamat sudah tempoh idah ketika itu.[1]

(Rujuk: Jami’ al-Bayan, 79/5)

Manakala Imam al-Qurtubi juga menjelaskan perkataan يَتَرَبَّصْنَ yang terdapat dalam ayat di atas bermaksud berhati-hati dan bersabar (menahan diri) daripada bernikah dan tidak meninggalkan rumah yang didiami semasa perkahwinan dengan tidak meninggalkannya pada waktu malam.[2]

(Rujuk: Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 176/3)

Oleh itu, berdasarkan ayat di atas terdapat beberapa perkara yang perlu dipatuhi oleh wanita yang berada dalam tempoh idah seperti wanita tersebut wajib menetap di rumah yang dia tinggal bersama bekas suami sebelum ini. Mereka tidak boleh meninggalkan rumah perkahwinannya selagi tempoh idah belum tamat. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

لَا تُخْرِجُوهُنَّ مِن بُيُوتِهِنَّ وَلَا يَخْرُجْنَ

Bermaksud: Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai idahnya) dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata

Surah al-Talak (1)

Bahkan wajib juga ke atas wanita yang kematian suaminya untuk berkabung iaitu menahan diri daripada berhias-hias dan memakai wangi-wangian dan mereka diwajibkan untuk menetap di rumah perkahwinan melainkan jika terdapat hajat.[3]

(Rujuk: Matan Abi Syuja’, 35)

Namun begitu, sekiranya terdapat hajat atau keperluan yang perlu dipenuhi seperti keluar mencari makanan dan seumpamanya, maka dia boleh keluar rumah dan memenuhi keperluan hariannya. Sekiranya tiada keperluan, maka tidak boleh keluar dari rumah tersebut meskipun untuk tujuan menziarahi orang yang sakit, ziarah menziarahi, perniagaan atau mengurus pelaburan harta.[4]

(Rujuk: Hasyiah al-Qalyubi wa Umairah, 4/56)

 

KESIMPULAN

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan ulama di atas, maka dapat disimpulkan bahawa tempoh idah bagi wanita yang kematian suami adalah selama empat bulan 10 hari. Wanita tersebut perlu menetap di rumah perkahwinan dan tidak boleh meninggalkannya melainkan sekiranya terdapat keperluan dan darurat yang perlu dielakkan. Sekiranya tidak terdapat apa-apa keperluan dan hajat, maka dia wajib menetap di rumah perkahwinannya. Keluar ziarah menziarahi sanak saudara pada hari raya tidak termasuk dalam kategori keperluan dan darurat yang mengizinkannya untuk meninggalkan rumah perkahwinan.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] إنَّه يعني به: يحتبسن بأنفسهن معتدات عن الأزواج والطيب والزينة والنقلة عن المسكن الذي كن يسكنه في حياة أزواجهن أربعة أشهر وعشرًا، إلا أن يكن حوامل فيكون عليهن من التربص كذلك إلى حين وضع حملهن، فإذا وضعن حملهن، انقضت عددهن حينئذ.

[2] التربص: التأني والتصبر عن النكاح، وترك الخروج عن مسكن النكاح؛ وذلك بألا تفارقه ليلًا.

[3] ويجب على المتوفى عنها زوجها الإحداد وهو الامتناع من الزينة والطيب وعلى المتوفى عنها زوجها والمبتوتة ‌ملازمة ‌البيت إلا لحاجة.

[4] فلو احتاجت ليلا جاز كالنهار، قاله شيخنا وإذا لم تحتج لم تخرج أصلا ‌ولو ‌لعيادة ‌أو ‌زيارة ‌أو ‌تجارة ‌أو ‌تنمية ‌مال.