اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-841: BILAKAH AZAN JUMAAT YANG PERTAMA DIKUMANDANGKAN KETIKA MASUK WAKTU ATAU SEBELUMNYA

BILAKAH_AZAN_JUMAAT_YANG_PERTAMA_DIKUMANDANGKAN_KETIKA_MASUK_WAKTU_ATAU_SEBELUMNYA.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya mengapakah azan solat jumaat di Wilayah tidak sama waktu seperti yang dilaungkan pada zaman Saidina Usman RA, bukankah pada zaman beliau azan dilaungkan kira-kira 30 minit sebelum masuk waktu dan azan kedua semasa masuk waktu. Di Wilayah dan kebanyakan negeri azan pertama dilaungkan pada masuk waktu dan azan kedua selepasnya dalam lebih kurang 10 minit. Mengapakah terdapat perbezaan dalam hal ini dan bolehkah ia diubah. Mohon pencerahan.

Ringkasan Jawapan

Azan solat Jumaat dilakukan sebanyak dua kali, pertama ketika masuk waktu dengan mengikut apa yang dilakukan oleh Saidina Usman bertujuan untuk memberitahu umat Islam tentang masuknya waktu solat. Manakala azan kedua dikumandangkan ketika khatib duduk di atas mimbar seperti yang dilakukan ketika zaman Nabi SAW, khalifah Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar. Hal ini sepertimana yang telah diamalkan di Malaysia dan ia tidak bercanggah dengan kehendak syarak.

Selain itu, terdapat juga pengamalan di sesetengah tempat yang mengumandangkan azan sebelum masuk waktu Jumaat dan terdapat juga yang hanya mengumandangkan azan sekali ketika khatib berada di atas mimbar dan ini merupakan ijtihad dan pandangan para ulama berlandaskan dalil syarak. Ini menunjukkan perbezaan pandangan dalam Islam merupakan Rahmat daripada Allah SWT.

Huraian Jawapan

Azan merupakan syiar dalam agama Islam berfungsi sebagai seruan untuk menunaikan solat dan menandakan telah masuknya waktu solat.[1] Pensyariatan seruan azan ini telah disepakati oleh para ulama berdasarkan dalil-dalil yang jelas menurut al-Quran dan sunnah[2]. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu).

(Surah al-Jumuah, 9)

Berkaitan azan Jumaat, pada zaman Nabi SAW azan dikumandangkan ketika khatib duduk di atas mimbar dan ia juga turut dilaksanakan pada zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar dan Umar R.Anhuma. Pada era khalifah Saidina Usman RA, azan Jumaat ditambah sebelum khatib duduk di atas mimbar bagi menyeru umat Islam supaya bersegera dalam persiapan menunaikan solat Jumaat. Hal ini kerana pada ketika itu bilangan umat Islam semakin ramai. Perkara ini sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saib bin Yazid RA, katanya:

كَانَ النِّدَاءُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَوَّلُهُ إِذَا جَلَسَ الإِمَامُ عَلَى الْمِنْبَرِ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم وَأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ رضى الله عنهما ـ فَلَمَّا كَانَ عُثْمَانُ ـ رضى الله عنه ـ وَكَثُرَ النَّاسُ زَادَ النِّدَاءَ الثَّالِثَ عَلَى الزَّوْرَاءِ

 

Maksudnya: Sebelum ini seruan (azan) pertama pada hari Jumaat dikumandangkan apabila imam duduk di atas mimbar ketika zaman Nabi SAW, Abu Bakar dan Umar R.Anhuma. Kemudian pada zaman Usman RA disebabkan terlalu ramainya manusia, maka beliau menambah seruan azan sehingga menjadi tiga kali (termasuk iqamah) di al-Zaura’ (atas atap rumah kecil di tengah pasar).

Riwayat al-Bukhari (912)

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa azan solat Jumaat pada zaman Nabi SAW dikumandangkan ketika khatib duduk di atas mimbar dan fakta ini disepakati oleh para ulama[3]. Manakala azan yang ditambah oleh Saidina Usman pada waktu sebelum khatib duduk di atas mimbar adalah ijtihad beliau sendiri dan diperakui oleh para sahabat yang lain tanpa mengingkarinya. Menurut Imam Badruddin al-‘Aini, azan tambahan tersebut dikumandangkan ketika masuknya waktu zuhur.[4]

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan bahawa, penambahan azan Jumaat oleh Saidina Usman bertujuan untuk memberi tahu umat Islam tentang masuknya waktu solat dengan mengkiaskan azan pada waktu solat fardu yang lain. Dalam masa yang sama, beliau mengekalkan azan seperti yang dilakukan oleh Baginda Nabi SAW iaitu azan ketika khatib berada di atas mimbar. Selain itu, terdapat sesetengah tempat melakukan zikir dan selawat sebelum masuknya waktu Jumaat, pun begitu Imam Ibn Hajar berpendapat mengikut para salaf al-Saleh adalah lebih utama.[5]

Menurut Dr. Musa Syahin Lasyin, kebanyakan negara Islam pada hari ini mengumandangkan azan pada hari Jumaat apabila masuknya waktu secara nyaring dan kuat dengan menggunakan pembesar suara, seterusnya mengumandangkan azan ketika khatib berada di atas mimbar. Terdapat juga di sebahagian tempat yang mengumandangkan azan secara nyaring dan kuat sejam atau setengah jam sebelum masuknya waktu Jumaat, kemudian mengumandangkan azan ketika khatib di atas mimbar. Manakala terdapat juga sebilangan kecil yang melakukan sekali azan sahaja iaitu ketika khatib di atas mimbar sepertimana yang dilakukan ketika zaman Nabi SAW. Ini menunjukkan bahawa terdapat perbezaan pendapat dalam hal ini, dan setiap pandangan itu merupakan ijtihad dan terdapat pendalilannya yang tersendiri. Oleh itu tidak seharusnya untuk memaksa dengan berpegang pada mana-mana pandangan yang tertentu, apatah lagi mencela mereka yang berbeza pendapat.[6]

Tuntasnya, azan solat Jumaat dilakukan sebanyak dua kali, pertama ketika masuk waktu dengan mengikut apa yang dilakukan oleh Saidina Usman bertujuan untuk memberitahu umat Islam tentang masuknya waktu solat. Manakala azan kedua dikumandangkan ketika khatib duduk di atas mimbar seperti yang dilakukan ketika zaman Nabi SAW, khalifah Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar.[7] Hal ini sepertimana yang telah diamalkan di Malaysia dan ia tidak bercanggah dengan kehendak syarak.

Kesimpulan

  1. Terdapat juga pengamalan di sesetengah tempat yang mengumandangkan azan sebelum masuk waktu Jumaat dan terdapat juga yang hanya mengumandangkan azan sekali ketika khatib berada di atas mimbar dan ini merupakan ijtihad dan pandangan para ulama berlandaskan dalil syarak.
  2. Ini menunjukkan perbezaan pandangan dalam Islam merupakan Rahmat daripada Allah SWT.[8] Bahkan para Imam tidak mempertikaikan amalan masyarakat setempat walaupun dalil amalan tersebut lemah di sisi mereka.[9]

Wallahu’alam

 

Rujukan: 

[1] Al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj. (t.tp, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1415). Jld. 1 Hlm. 317

وَشَرْعًا قَوْلٌ مَخْصُوصٌ يُعْلَمُ بِهِ وَقْتُ الصَّلَاةِ الْمَفْرُوضَةِ.

[2] Dr. Wahbah bin Mustafa al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh. (Damsyik: Dar al-Fikr, t.t) Jld. 1 Hlm. 691

دل القرآن والسنة والإجماع على شرعية الأذان

[3] Zainuddin Abd al-Rahman bin Rajab al-Baghdadi, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari li Ibn Rajab. (Madinah: Maktabah al-Ghuraba’ al-Athariyyah, 1417) Jld.8 Hlm. 215

وقد دل الحديث على أن الأذان الذي كان على عهد رسول الله - صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - وأبي بكر وعمر هو النداء الذي بين يدي الإمام عند جلوسه على المنبر، وهذا لا اختلاف فيه بين العلماء

[4] Badruddin al-‘Aini, ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari. (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy, t.t) Jld. 6 Hlm. 211

(زَاد النداء الثَّالِث) إِنَّمَا سمي ثَالِثا بِاعْتِبَار كَونه مزيدا، لِأَن الأول هُوَ الْأَذَان عِنْد جُلُوس الإِمَام على الْمِنْبَر، وَالثَّانِي هُوَ الْإِقَامَة للصَّلَاة عِنْد نُزُوله، وَالثَّالِث عِنْد دُخُول وَقت الظّهْر فَإِن قلت: هُوَ الأول لِأَنَّهُ مقدم عَلَيْهِمَا قلت: نعم هُوَ أول فِي الْوُجُود، وَلكنه ثَالِث بِاعْتِبَار شرعيته بِاجْتِهَاد عُثْمَان وموافقة سَائِر الصَّحَابَة بِهِ بِالسُّكُوتِ وَعدم الْإِنْكَار، فَصَارَ إِجْمَاعًا سكوتيا وَإِنَّمَا أطلق الْأَذَان على الْإِقَامَة لِأَنَّهَا إِعْلَام كالأذان

[5] Ahmad bin Ali bin Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari. (Bairut: Dar al-Ma’rifah, 1379). Hlm. 2 Jld. 394

أن عثمان أحدثه لإعلام الناس بدخول وقت الصلاة قياسا على بقية الصلوات فألحق الجمعة بها وأبقى خصوصيتها بالأذان بين يدي الخطيب وفيه استنباط معنى من الأصل لا يبطله وأما ما أحدث الناس قبل وقت الجمعة من الدعاء إليها بالذكر والصلاة على النبي صلى الله عليه وسلم فهو في بعض البلاد دون بعض واتباع السلف الصالح أولى

[6] Dr. Musa Syahin Lasyin, Fath al-Mun’im Syarh Sahih Muslim. (t.tp, Dar al-Syuruk, 1423) Jld. 4 Hlm. 90

وأكثر البلاد الإسلامية اليوم يؤذنون عند دخول وقت الجمعة أذاناً عالياً على مرتفع أو في بوق يرفع الصوت "ميكرفون" ثم يؤذنون بين يدي الخطيب؛ وقد يقدمون للأذان الأول ببعض الذكر والتسابيح. وبعضها يؤذن الأذان العالي قبل دخول وقت الجمعة بنحو ساعة من الزمن، ثم يؤذنون بين يدي الخطيب، وقلة منهم لا يؤذن الأذان العالي أصلاً ويكتفي بالأذان بين يدي الخطيب، كما كان الوضع على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم. وأعتقد أن المخالفة هينة، ولكل من المختلفين اجتهاده ووجهة نظره، ولا ينبغي إلزام فريق بما عليه الآخر، ولا الطعن على الفريق المخالف بالخروج عن الدين، ولا إيقاع الفرقة والحقد والبغضاء بسببه، فنكون كالدبة التي دفعت الذبابة عن صاحبها بحجر فقتلته.

[7] Wizarah al-Auqaf wa al-Syu’un al-Islamiyyah, al-Mausu’ah al-fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah. (Kuwait: Dar al-Salasul, 1404) Jdl.2 Hlm. 363

وَأَمَّا الْجُمُعَةُ فَمِثْل بَاقِي الصَّلَوَاتِ لاَ يَجُوزُ الأَْذَانُ لَهَا قَبْل دُخُول الْوَقْتِ، وَلِلْجُمُعَةِ أَذَانَانِ، أَوَّلُهُمَا عِنْدَ دُخُول الْوَقْتِ، وَهُوَ الَّذِي يُؤْتَى بِهِ مِنْ خَارِجِ الْمَسْجِدِ - عَلَى الْمِئْذَنَةِ وَنَحْوِهَا - وَقَدْ أَمَرَ بِهِ سَيِّدُنَا عُثْمَانُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ حِينَ كَثُرَ النَّاسُ .وَالثَّانِي وَهُوَ الَّذِي يُؤْتَى بِهِ إِذَا صَعِدَ الإِْمَامُ عَلَى الْمِنْبَرِ، وَيَكُونُ دَاخِل الْمَسْجِدِ بَيْنَ يَدَيِ الْخَطِيبِ، وَهَذَا هُوَ الَّذِي كَانَ فِي عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَهْدِ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ حَتَّى أَحْدَثَ عُثْمَانُ الأَْذَانَ الثَّانِيَ

[8] Muhammad ‘Awwamah, Adab al-Ikhtilaf fi Masail al-‘Ilm wa al-Din. (Jeddah: Dar al-Minhaj,1424) Hlm. 44

اختلاف العلماء رحمة من الله على هذه الأمة

[9] Ibid. hlm 45

مخالفة الجماعة فيما قد أبيح لنا: ليست من شيم الأئمة