اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-856: HUKUM MELANGKAH KUBUR

APAKAH_HUKUM_MELANGKAH_KUBUR.jpg

SOALAN

Assalamualaikum SS Datuk. Saya ingin bertanya, apakah hukumnya jika kita melangkah atas kubur muslim yang lain sewaktu menziarahi tanah perkuburan? Adakah perbuatan ini dikira sebagai berdosa ataupun tidak? Mohon pencerahan SS Datuk.

RINGKASAN JAWAPAN

Hukum melangkah ke atas kubur seseorang muslim yang lain dengan sengaja adalah haram kerana ia juga termasuk dalam perbuatan-perbuatan tidak beradab yang dilarang sewaktu menziarahi kubur. Setiap muslim seharusnya menjaga adab dan tingkah laku ketika berada di tanah perkuburan kerana ia menjadi simbol bagi memperingati soal kematian dan mendorong manusia ke arah keinsafan kepada Allah SWT. Bahkan muslim juga perlu menghormati kubur muslim yang lain kerana mereka juga merupakan golongan yang mulia di sisi Allah SWT disebabkan banyak melakukan kebaikan sewaktu hidup di dunia. Sementara perbuatan melangkah kubur menunjukkan sifat kurang beradab yang dipenuhi dengan unsur kelalaian malah turut bertentangan dengan perintah Allah SWT sewaktu berada di tanah perkuburan.

HURAIAN JAWAPAN

Menziarahi tanah perkuburan merupakan salah satu daripada amalan yang dianjurkan dalam Islam. Secara lazimnya, pelaksanaan amalan ini bertujuan mengunjungi pusara ahli keluarga, kaum kerabat, sahabat handai atau sesiapa sahaja yang telah meninggal dunia bertujuan mendoakan keampunan dan kesejahteraan buat mereka. .

Tanah perkuburan adalah salah satu kawasan yang perlu dihormati dan suasana ketika menziarahinya pula mestilah berlangsung dalam keadaan yang tawaduk dan penuh keinsafan. Perkara ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

أَلۡهَىٰكُمُ ٱلتَّكَاثُرُ حَتَّىٰ زُرۡتُمُ ٱلۡمَقَابِرَ كَلَّا سَوۡفَ تَعۡلَمُونَ

Maksudnya: “Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), Sehingga kamu masuk kubur Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)!”.

(Surah al-Takathur: 1-3)

Dalam menghuraikan maksud ayat di atas, Imam al-Qurtubi turut menggariskan beberapa adab menziarahi kubur antaranya seperti[1]:

  1. Berniat dalam hati untuk menziarahi kubur agar tidak sekadar merayau-rayau di sekitar tanah perkuburan.
  2. Berniat untuk menziarahi kubur demi memperoleh keredaan Allah SWT, memperbaiki semula rohani, memberi manfaat kepada orang mati dengan membaca al-Quran dan doa di sisi kuburnya.
  3. Dilarang berjalan dan duduk di atas kubur.
  4. Mengucapkan salam sebaik sahaja melangkahkan kaki memasuki ke tanah perkuburan dan memberikan salam juga kepada kubur yang dikenali.
  5. Menghadap ke arah si mati kerana menziarahinya seumpama bercakap dengannya.
  6. Membayangkan diri sebagai seseorang yang akan terkubur dalam tanah, terputus hubungan daripada ahli keluarga dan orang yang dikasihi.
  7. Merenungi keadaan saudara-saudaranya yang telah pergi.

Di samping itu, terdapat juga beberapa hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan adab-adab ketika menziarahi kubur dan sewaktu berada di tanah perkuburan. Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Baginda SAW bersabda:

لأَنْ يَجْلِسَ أَحَدُكُمْ عَلَى جَمْرَةٍ فَتُحْرِقَ ثِيَابَهُ فَتَخْلُصَ إِلَى جِلْدِهِ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَجْلِسَ عَلَى قَبْرٍ

Maksudnya:” Jika salah seorang kalian duduk di atas bara dan membakar pakaiannya sehingga membakar kulitnya lebih baik dari dia duduk di atas kubur.”

(Riwayat Muslim)

Sheikh Muhammad al-Son’ani ketika menjelaskan maksud dari hadis ini menyebut bahawa larangan daripada hadis ini jelas menegaskan perbuatan duduk di atas kubur adalah haram[2]. Terdapat juga riwayat yang lain menyebut daripada Abu Marsad al-Ghanawi:

لاَ تَجْلِسُوا عَلَى الْقُبُورِ وَلاَ تُصَلُّوا إِلَيْهَا

Maksudnya:” Jangan kalian duduk di atas kubur dan jangan solat menghadap ke arahnya.”

(Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis di atas juga, Imam al-Nawawi dalam kitabnya Minhaj al-Talibin menyatakan bahawa perbuatan duduk di atas kubur dan menginjak-injak di atasnya termasuk dalam perkara yang dilarang[3]. Para fuqaha juga tidak menghadkan larangan hanya pada duduk dan injak atas kubur malah perkara-perkara yang seumpama dengannya termasuklah bersandar di kubur[4].

Rasulullah SAW juga menunjukkan sikap tegas Baginda dalam mengajarkan para sahabat mengenai adab-adab ketika berada di tanah perkuburan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Basyir, beliau menceritakan kisah sewaktu berada dalam perjalanan bersama Rasulullah SAW di sebuah tanah perkuburan umat Islam. Pada ketika itu, muncul seorang lelaki yang melintasi tanah perkuburan dengan memakai kasut. Baginda SAW kemudian menyeru dan menyuruh lelaki berkenaan supaya membuka kasut. Lelaki tersebut kemudian menoleh lalu mengenali bahawa suara itu ialah suara Rasulullah SAW, lantas terus membuka dan mencampakkan kasutnya[5].

Kesimpulan

Berdasarkan dalil dan pandangan fuqaha seperti di atas, dapat disimpulkan bahawa hukum melangkah ke atas kubur seseorang muslim yang lain dengan sengaja adalah haram kerana ia juga termasuk dalam perbuatan-perbuatan tidak beradab yang dilarang sewaktu menziarahi kubur.

Setiap muslim seharusnya menjaga adab dan tingkah laku ketika berada di tanah perkuburan kerana ia menjadi simbol bagi memperingati soal kematian dan mendorong manusia ke arah keinsafan kepada Allah SWT.

Muslim juga perlu menghormati kubur muslim yang lain kerana mereka juga merupakan golongan yang mulia di sisi Allah SWT disebabkan banyak melakukan kebaikan sewaktu hidup di dunia. Sementara perbuatan melangkah kubur menunjukkan sifat kurang beradab yang dipenuhi dengan unsur kelalaian malah turut bertentangan dengan perintah Allah SWT sewaktu berada di tanah perkuburan.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Ansari al-Qurtubi, al-Jami' li Ahkam al-Quran (Kaherah:Dar al-Kutub al-Misriyyah,1964), 20:171.

وَأَمَّا زِيَارَةُ الْقُبُورِ فَوُجُودُهَا أَسْرَعُ، وَالِانْتِفَاعُ بِهَا أَلْيَقُ وَأَجْدَرُ. فَيَنْبَغِي لِمَنْ عَزَمَ عَلَى الزِّيَارَةِ، أَنْ يَتَأَدَّبَ بِآدَابِهَا، وَيُحْضِرَ قَلْبَهُ فِي إِتْيَانِهَا، وَلَا يَكُونَ حَظُّهُ مِنْهَا التَّطْوَافُ عَلَى الْأَجْدَاثِ فَقَطْ، فَإِنَّ هَذِهِ حَالَةٌ تُشَارِكُهُ فِيهَا بَهِيمَةٌ. وَنَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ ذَلِكَ. بَلْ يَقْصِدُ بِزِيَارَتِهِ وَجْهَ اللَّهِ تَعَالَى، وَإِصْلَاحِ فَسَادِ قَلْبِهِ، أَوْ نَفْعِ الْمَيِّتِ بِمَا يَتْلُو عِنْدَهُ مِنَ الْقُرْآنِ وَالدُّعَاءِ، وَيَتَجَنَّبُ الْمَشْيَ عَلَى الْمَقَابِرِ، وَالْجُلُوسَ عَلَيْهَا وَيُسَلِّمُ إِذَا دَخَلَ الْمَقَابِرَ وَإِذَا وَصَلَ إِلَى قَبْرِ مَيِّتِهِ الَّذِي يَعْرِفُهُ سَلَّمَ عَلَيْهِ أَيْضًا، وَأَتَاهُ مِنْ تِلْقَاءِ وَجْهِهِ، لِأَنَّهُ فِي زِيَارَتِهِ كَمُخَاطَبَتِهِ حَيًّا، وَلَوْ خَاطَبَهُ حَيًّا لَكَانَ الْأَدَبُ استقباله بوجهه، فكذلك ها هنا. ثُمَّ يَعْتَبِرُ بِمَنْ صَارَ تَحْتَ التُّرَابِ، وَانْقَطَعَ عَنِ الْأَهْلِ وَالْأَحْبَابِ، بَعْدَ أَنْ قَادَ الْجُيُوشَ وَالْعَسَاكِرَ، وَنَافَسَ الْأَصْحَابَ وَالْعَشَائِرَ، وَجَمَعَ الْأَمْوَالَ وَالذَّخَائِرَ، فَجَاءَهُ الْمَوْتُ فِي وَقْتٍ لَمْ يَحْتَسِبْهُ، وَهَوْلٍ لَمْ يَرْتَقِبْهُ. فَلْيَتَأَمَّلِ الزَّائِرُ حَالَ مَنْ مَضَى من إخوانه

[2]

Muhammad bin Isma'il al-Amir al-San'ani, Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram (Saudi:Dar Ibn al-Jauzi,1433H), 3:341.

والنهي ظاهر في التحريم وقال المصنف في فتح الباري نقلا عن النووي: إن الجمهور يقولون: بكراهة القعود عليه

[3] Abu Zakariyya Yahya bin Syarf al-Nawawi, Minhaj al-Talibin (t.tp:Dar al-Fikr,2005), 61.

ولا يجلس على القبر ولا يوطأ

[4] Sulaiman bin Muhammad al-Bujairimi, Tuhfah al-Habib 'ala Syarh al-Khatib (t.tp:Dar al-Fikr,1995), 2:292.

(وَكُرِهَ ‌جُلُوسٌ وَوَطْءٌ عَلَيْهِ) لِلنَّهْيِ عَنْهُمَا رَوَاهُ فِي الْأَوَّلِ مُسْلِمٌ وَفِي الثَّانِي التِّرْمِذِيُّ، وَقَالَ حَسَنٌ صَحِيحٌ وَفِي مَعْنَاهُمَا الِاتِّكَاءُ عَلَيْهِ وَالِاسْتِنَادُ إلَيْهِ وَبِهِمَا صَرَّحَ فِي الرَّوْضَةِ (بِلَا حَاجَةٍ)

[5] Sunan Abi Daud, no. hadis 3230.

فهاجر إلى رسول اللهِ صلى الله عليه وسلم فقال ما اسمك قال زحم قال بل أنت بشير قال بينما أنا أماشي رسول اللهِ صلى الله عليه وسلممر بقبور المشركين فقال لقد سبق هؤلاء خيرا كثيرا ثلاثا ثم مر بقبور المسلمين فقال لقد أدرك هؤلاء خيرا كثيرا وحانت من رسول اللهِ صلىالله عليه وسلم نظرة فإذا رجل يمشي في القبور عليه نعلان فقال يا صاحب السبتيتين ويحك ألق سبتيتيك فنظر الرجل فلما عرف رسول اللهِ صلىالله عليه وسلم خلعهما فرمى بهما