اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-867: SOLAT JAMAK KETIKA HENDAK BERSALIN

HUKUM_SOLAT_JAMAK_KETIKA_HENDAK_BERSALIN.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum, Datuk SS Mufti, saya mohon jawapan tentang isu tentang wanita ketika sakit hendak bersalin. Bolehkah solat jamak ketika sakit hendak bersalin sama ada secara taqdim atau ta’khir terutama jika sakit tersebut berat sehingga menyukarkan pihak pesakit  bergerak untuk bersuci dan menunaikan setiap solat fardu pada waktunya?


Ringkasan Jawapan:

1- Wanita ketika sakit hendak bersalin diharuskan solat jamak ketika sakit hendak bersalin sama ada secara taqdim atau ta’khir terutama jika sakit tersebut berat sehingga menyukarkan pesakit bergerak untuk bersuci dan menunaikan setiap solat fardu pada waktunya.

2- Wanita dalam keadaan ini tidak diharuskan mengqasarkan solat dalam keadaan sakit, melainkan ia berada dalam keadaan musafir.

 

Huraian Jawapan:

Kebanyakan wanita yang hendak bersalin menghadapi kontraksi sehingga sukar untuk bergerak dan melaksanakan ibadah. Maka timbul persoalan, bagaimanakah cara solat yang sesuai bagi wanita dalam keadaan ini dan adakah mereka mendapat keringanan (rukhsah) sama ada jamak atau qasar  dalam menunaikan solat fardu?

Jamak solat diharuskan kerana sakit?

Para ulama berbeza pendapat dalam mengharuskan solat secara jamak kepada orang yang sakit seperti berikut:

Pendapat pertama:  Ulama mazhab al-Syafi’i dan Hanafi mengatakan tidak harus jamak solat kerana sakit.

Mengikut pendapat muktamad yang masyhur dalam mazhab syafie, tidak diharuskan seseorang yang sakit menjamakkan solat iaitu menggabungkan solat secara taqdim atau ta’khir disebabkan sakit.1 Hal ini kerana, perbuatan menjamakkan solat ketika sakit ini tidak sabit daripada dari segi perbuatan, perkataan dan keizinan Rasulullah SAW.  Selain itu, perintah menunaikan setiap solat di dalam waktunya adalah perkara yang pasti. Oleh itu, perintah tersebut tidak boleh ditinggalkan dengan sesuatu yang bersifat kemungkinan dan tidak ada bukti jelas.2

Namun begitu, ulama mazhab Syafi’i membenarkan dilakukan jamak suri (الجمع الصوري) disebabkan sakit bagi yang memerlukan dengan cara melewatkan solat pertama dengan dilakukan di hujung waktu dan mengawalkan solat kedua dengan ditunaikan di awal waktunya.3

Pendapat kedua: Harus solat secara jamak apabila sakit menurut sebahagian ulama mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali. Hal ini bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‌جَمَعَ ‌رَسُولُ ‌اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بين الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ، وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ، بِالْمَدِينَةِ. فِي غَيْرِ خَوْفٍ وَلَا مَطَرٍ

Maksudnya: Rasulullah SAW pernah melakukan jamak antara Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak, bukan ketika peperangan dan bukan juga disebabkan hujan.”4

Hadis di atas menunjukkan sakit merupakan salah satu keuzuran yang membolehkannya solat jamak. Hal ini kerana sakit merupakan satu bentuk kesukaran lebih kuat daripada keuzuran hujan.5

Pandangan ini dipilih oleh ulama mazhab Maliki6 dan Hambali7 yang mengharuskan jamak solat dengan sebab sakit seperti keadaan musafir namun terdapat perbezaan di sisi ulama mazhab Maliki, keharusan jamak ketika sakit hanya pada jamak taqdim sahaja.8

Selain itu, terdapat juga beberapa ulama daripada mazhab Syafi'i yang menyokong padangan ini seperti al-Qadhi Husain yang berkata: harus jamak disebabkan sakit sama ada secara taqdim atau ta’khir. Begitu juga, menurut Ibn al-Maqriy, al-Mutawalli dan Abu Sulaiman al-Khattabi. Malah,  imam al-Nawawi secara peribadi menyatakan pandangan ini sangat kuat berdasarkan hadis Ibn ‘Abbas RA di atas.9

Perkara ini turut disokong oleh sebahagian ulama mutaakhirin dalam mazhab syafi’i10 mengharuskan solat jamak taqdim dan ta’khir tanpa qasar bagi orang yang sakit dengan meletakkan piawaian seperti sakit yang menyukarkan pesakit untuk melaksanakan setiap solat fardu pada waktunya.

Oleh yang demikian, dalam hal ini sakit bersalin diambilkira sebagai sakit yang berat mendatangkan masyaqqah atau kesukaran yang di luar daripada kebiasaan terutamanya jika wujud kesukaran untuk bersuci bagi menunaikan solat. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: “Allah menghendaki memberi kemudahan kepada kamu semua, dan Allah tidak menghendaki mendatangkan kepayahan kepada kamu.”

                         (Surah al-Baqarah :18)

 

Persiapan Solat Ketika Hendak Bersalin

Berdasarkan kepada penjelasan di atas, dapat difahami ibu yang sakit bersalin masih tetap wajib untuk melaksanakan solat seperti biasa mengikut kemampuan. Berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain RA berkata, aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W berkenaan solat. Baginda S.A.W bersabda:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya: “Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring di atas lambung kanan.”

(Riwayat al-Bukhari)

Sekiranya seseorang wanita hendak bersalin tidak mampu untuk menunaikan solat kerana sakit hendak bersalin maka:

1- Wanita hamil tersebut  solat mengikut kemampuannya iaitu sama ada solat secara duduk atau berbaring di atas lambung kanan atau berbaring menelentang atau melalui isyarat mata.

2- Jika wanita yang mengalami kontraksi yang kuat ini sehingga tak mampu bergerak dan sukar untuk mendirikan solat pada setiap waktu akibat menahan sakit bersalin, maka wanita diberikan pilihan untuk melakukan solat secara jamak sama ada secara taqdim atau ta’khir.

3- Namun sekiranya dia tetap tidak mampu untuk bersolat, maka wajib ke atasnya untuk menqada solatnya itu kelak.

Kewajipan solat ke atas wanita hendak bersalin tetap ada meskipun ini terdapat tanda-tanda awal kelahiran tetapi belum tiba saat untuk melahirkan seperti:

1-Keluar air ketuban (najis dan membatalkan wuduk), sekiranya air ketuban itu keluar secara berterusan maka hukumnya seperti keadaan wanita yang mengalami istihadah.

2-Keluar darah disebabkan sakit hendak bersalin dan tidak bersambung dengan darah haid sebelumnya (istihadah)

Untuk maklumat lanjut sila rujuk pautan artikel yang berkaitan:

Irsyad Al-Fatwa Ke-411: Hukum Solat Bagi Wanita Yang Keluar Darah Dan Air Ketuban Sebelum Bersalin

https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/4154-irsyad-al-fatwa-ke-411-hukum-solat-bagi-wanita-yang-keluar-darah-dan-air-ketuban-sebelum-bersalin

Al-Kafi #1333: Panduan Solat Ketika Mengandung

https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3598-al-kafi-1333-panduan-solat-ketika-mengandung

Oleh itu, penting bagi wanita hendak bersalin mengenalpasti cecair yang keluar ketika itu dan wajib bersuci sebaik-baiknya sebelum menunaikan solat.

Untuk maklumat lanjut sila rujuk pautan artikel yang berkaitan:

Al-Kafi # 1687: Bolehkah Wanita Istihadah Solat Secara Berjemaah?

https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4397-al-kafi-1687-boleh-kah-wanita-istihadah-solat-secara-berjemaah

Bagi suami atau pembantu wanita yang akan bersalin hendaklah memperhatikan keadaan-keadaan di atas dan membantu melakukan persiapan beribadah bagi wanita hendak bersalin seperti membantu mengambil wuduk, memakaikan telekung atau menutupkan aurat wanita tersebut serta memastikan cadar atau tempat yang diduduki tersebut  bersih daripada najis sebelum menunaikan solat.

 

Kesimpulan

i. Wanita ketika sakit hendak bersalin diharuskan solat jamak ketika sakit hendak bersalin sama ada secara taqdim atau ta’khir terutama jika sakit tersebut berat sehingga menyukarkan pesakit bergerak untuk bersuci dan menunaikan setiap solat fardu pada waktunya.

ii. Wanita dalam keadaan ini tidak diharuskan mengqasarkan solat dalam keadaan sakit. melainkan ia berada dalam keadaan musafir.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

  1. Antaranya Imam al-Qadhi Husayn, Ibn Suraij, al-Ruyaini, al-Mawardi, al-Darimi dan Mutawalli; Hassan bin Ahmad al-Kāf. (2022). Al-Taqrīrat al-Sadīdah fi al-Masāil al-Mufīdah. Yaman, Hadramawt: Dār al-Mirāth an-Nabawiyyah. Jilid 1, ms. 322.
  2. Shamsuddin Muhammad Bin Ahmad Al-Khatib Al-Sharbini Al-Shafi’i, Mughni Al-Muhtaj Ila Al-Maʿrifati Maʿani Al-Alfaz Al-Minhaj (Cairo, Egypt: Dār Al-Kutub Al-Islamiyyah,1994), 1/534 أَنَّهُ لَا ‌جَمْعَ بِغَيْرِ السَّفَرِ وَالْمَطَرِ كَمَرَضٍ وَرِيحٍ وَظُلْمَةٍ وَخَوْفٍ وَوَحَلٍ وَهُوَ الْمَشْهُورُ لِأَنَّهُ لَمْ يُنْقَلْ، وَلِخَبَرِ الْمَوَاقِيتِ فَلَا يُخَالَفُ إلَّا بِصَرِيحٍ
  3.  Abū Zakariyyā Muhyī al-Din bin Sharaf al-Nawawī, al-Majmū’ Sharh al-Muhadzdzab, (Amman, Jordan: Dar al-Fikr, 1928), 3/62‌ فَيَجُوزُ ‌تَأْخِيرُ ‌الصَّلَاةِ إلَى آخِرِ الْوَقْتِ بِلَا خِلَافٍ حَيْثُ تَقَعُ جَمِيعًا فِي الْوَقْتِ
  4.  Abū Husayn Muslim Bin Al-Hajjaj bin Muslim Al-Qushayri Al-Nisaburi, Sahih Muslim, (Matba’ah ‘Isa al-Babi al-Halabi, Beirut, Lubnan: 1955M/1374H).  Jil. 1, ms. 490.
  5.  Abu Zakariyya Muhyi al-Din Yahya bin Sharaf al-Nawawi, al-Minhāj Sharh Sahīh Muslim bin Hajjaj (Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi: Beirut, Lubnan,1972), 5/218. وَمِنْهُمْ مَنْ قَالَ هُوَ مَحْمُولٌ عَلَى الْجَمْعِ بِعُذْرِ الْمَرَضِ أَوْ نَحْوِهِ مِمَّا هُوَ فِي مَعْنَاهُ مِنَ الْأَعْذَارِ وَهَذَا قَوْلُ أَحْمَدَ بْنِ حَنْبَلٍ وَالْقَاضِي حُسَيْنٍ مِنْ أَصْحَابِنَا وَاخْتَارَهُ الْخَطَّابِيُّ وَالْمُتَوَلِّي وَالرُّويَانِيُّ مِنْ أَصْحَابِنَا وَهُوَ الْمُخْتَارُ فِي تَأْوِيلِهِ لظاهر الحديث ولفعل بن عَبَّاسٍ وَمُوَافَقَةِ أَبِي هُرَيْرَةَ وَلِأَنَّ الْمَشَقَّةَ فِيهِأَشَدُّ مِنَ الْمَطَرِ
  6.  Shams al-din Abu ‘Abdullah Muhamad bin Muhamad bin Abd Rahman, Mawahib al-Jalil fi Sharh Mukhtasar Khalil, (Beirut, Lubnan: Dar al-Fikr, 1992), 1/390. وقد ذكر ابن رشد في المقدمات في فصل الجمع عن أشهب نحوه وقال: اتفق مالك وجميع أصحابه على إباحة الجمع بين المشتركتي الوقت لعذر السفر والمرض والمطر في الجملة
  7.  Abu Muḥamad Bin Aḥmad Bin Muḥamad Bin Qudamah,  Al-Mughni (Riydh, Arab Saudi: Dār ‘Ālam al-Kutub,  1997), 6/598. ويجوز الجمع لأجل المرض، وهو قول عطاء، ومالك... والمرض المبيح للجمع هو ما يلحقه به بتأدية كل صلاة في وقتها مشقة وضعف.
  8.  Ahmad Bin Muhammad al-Sawi, Hasyiah al-Sawi ‘ala al-Sharḥ al-Saghir, (Maktabah Muṣṭafa al-Bābī al-Halabi: Mesir, 1952), 1/75. (ومن خاف إغماء أو) حمى (نافضاً أو ميداً) بفتح الميم: أي دوخة بفتح الدال المهملة (عند دخول وقت) الصلاة (الثانية) العصر أو العشاء (قدمها) أي الثانية عند الأولى جوازاً على الراجح، (فإن سلم) من الإغماء وما بعده - وقد كان قدم الثانية (أعاد الثانية بوقت) ضروري، بخلاف المسافر إذا قدم ولم يرتحل فلا يعيد على المعتمد
  9.  Al-Nawawī, al-Majmū’ Sharh al-Muhadzdzab, 4/383. وَقَالَ الْمُتَوَلِّي قَالَ الْقَاضِي حُسَيْنٌ يَجُوزُ الْجَمْعُ بِعُذْرِ الْخَوْفِ وَالْمَرَضِ كَجَمْعِ الْمُسَافِرِ يَجُوزُ تَقْدِيمًا وَتَأْخِيرًا والاولى أن يفعل اوفقهما بِهِ وَاسْتَدَلَّ لَهُ الْمُتَوَلِّي وَقَوَّاهُ وَقَالَ الرَّافِعِيُّ قال مالك واحمد يجوز الْجَمْعُ بِعُذْرِ الْمَرَضِ وَالْوَحَلِ وَبِهِ قَالَ بَعْضُ أَصْحَابِنَا مِنْهُمْ أَبُو سُلَيْمَانَ الْخَطَّابِيُّ وَالْقَاضِي حُسَيْنٌ وَاسْتَحْسَنَهُ الرُّويَانِيُّ فِي الْحِلْيَةِ قُلْتُ وَهَذَا الْوَجْهُ قَوِيٌّ جِدًّا
  10.  Abu Bakr Uthman Bin Muhammad Syaṭā al-Dimyati, I’anah al-Talibin ‘ala Hil alfaz Fath al-Mu’in (Dar al-Fikr: Beirut, 1997), 1/32. وضبط جمع متأخرون المرض هنا بأنه ما يشق معه فعل كل فرض في وقته، كمشقة المشي في المطر، بحيث تبتل ثيابه .وقال آخرون: لا بد من مشقة ظاهرة زيادة على ذلك، بحيث تبيح الجلوس في الفرض.