اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-868: MENGAPA PENENTUAN KADAR NAFKAH MENGIKUT KEMAMPUAN SUAMI

MENGAPAKAH_PENENTUAN_KADAR_NAFKAH_MENGIKUT_KEMAMPUAN_SUAMI.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Dalam dunia sekarang yang mana kebanyakan isteri memiliki pendapatan yang lebih tinggi dari suamì, bagaimanakah pelaksanaan pemberian nafkah yang selayaknya? Jelas maklum bahawa nafkah ialah hak isteri dan tanggungjawab suami tetapi bagaimana suatu hak si isteri perlu berdasarkan kemampuan suami? Bukankah suatu hak itu perlu memenuhi keperluan si isteri iaitu penerima nafkah itu sendiri? Persoalan ini timbul bilamana banyak kes cerai berlaku kerana isu nafkah. Makna kata, walaupun sudah dikatakan terlaksana oleh si suami, namun bagi isteri hak tersebut belum terlunas sepenuhnya maka berlakulah penceraian. Persoalan saya, sekiranya nafkah itu adalah hak isteri, mengapa pelaksanaannya mengikut kemampuan suami dan bukan mengikut kebiasaan kehendak dan keperluan isteri?

Ringkasan Jawapan

i. Nafkah mestilah dititikberatkan oleh pasangan suami isteri kerana ia merupakan kewajipan suami yang tidak akan gugur walaupun isteri seorang yang kaya selagi mana isteri tidak nusyuz.

ii. Penentuan nafkah mengambil kira juga keperluan isteri namun tetap tertakluk kepada kemampuan suami kerana ia merupakan tanggungjawab yang diwajibkan oleh syarak ke atas suami dan syarak tidak akan bebankan seseorang dengan kewajipan di luar kemampuannya.

iii. Para suami dan isteri dinasihatkan untuk bertoleransi antara pasangan tanpa mengabaikan kewajipan dan hak masing-masing di samping mendalami ilmu agama khususnya bab pengurusan rumah tangga.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Kewajipan nafkah isteri ke atas suami

Perkahwinan merupakan salah satu sebab yang mewajibkan nafkah. Nafkah kepada isteri ialah nafkah yang kedua paling utama selepas nafkah kepada diri sendiri. Ia juga lebih diutamakan daripada nafkah kepada anak dan kepada ibu bapa. Tambahan pula, nafkah isteri ialah kewajipan suami yang wajib ditunaikan oleh suami walaupun jika isteri lebih kaya. Hukum ini telah sabit berdasarkan nas-nas syarak dan juga ijmak berdasarkan firman Allah SWT:

وَعَلَى ٱلۡمَوۡلُودِ لَهُۥ رِزۡقُهُنَّ وَكِسۡوَتُهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ  

Maksudnya: “Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya”

Surah al-Baqarah (233)

Dalam hal ini, Imam al-Nawawi berkata:

أَمَّا ‌نَفَقَةُ ‌الزَّوْجَةِ، فَوَاجِبَةٌ بِالنُّصُوصِ، وَالْإِجْمَاعِ

Maksudnya: “Adapun nafkah isteri, maka hukumnya wajib berdasarkan nas-nas syarak dan juga ijmak.”

Konteks ayat di atas jelas menerangkan bahawa menyusukan anak merupakan tugas isteri, manakala kewajipan suami pula adalah untuk memberi nafkah kepada kepada isteri.

Selain itu, hak nafkah juga tidak akan gugur daripada suami walaupun telah berlalu masa yang lama, sebaliknya ia menjadi beban hutang yang perlu dilunaskan suami kepada isteri. Hal ini disebutkan oleh Imam al-Shirazi, kata beliau:

إذا وجد التمكين الموجب للنفقة ولم ينفق حتى مضت مدة صارت ‌النفقة ديناً في ذمته ولا تسقط بمضي ‌الزمان

Maksudnya: “Jika wujud tamkin yang mewajibkan nafkah tetapi si suami tidak memberi nafkah (kepada isteri) selepas berlalu satu tempoh, maka nafkah itu menjadi beban hutang kepada suami dan tidak akan gugur dengan tempoh masa yang berlalu.”

Hal ini menunjukkan betapa nafkah ini perkara penting yang mesti dititikberatkan oleh kedua-dua suami dan isteri demi menjaga kebajikan isteri dan keberlangsungan rumah tangga. Bahkan dalam keadaan tertentu, isteri dibolehkan untuk meminta fasakh jika suami tidak mampu untuk memberikan nafkah kerana nafkahlah yang menjadikan suami itu pemimpin dan pengawal isteri, namun hal ini mestilah dibawa ke mahkamah syariah dan berasaskan pertimbangan hakim terhadap keadaan suami. Firman Allah SWT:

ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعۡضَهُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٖ وَبِمَآ أَنفَقُواْ مِنۡ أَمۡوَٰلِهِمۡۚ

                                                                                                                           (Al-Nisa’:33)

Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”

Para ulama telah menyebutkan bahawa nafkah yang wajib ditunaikan oleh suami kepada isteri adalah seperi berikut:

1. Makanan.

2. Lauk-pauk.

3. Pakaian.

4. Alatan pembersihan diri.

5. Alatan penyediaan makanan.

6. Tempat tinggal yang selayaknya dengan keadaan isteri.

7. Perabot.

8. Alatan penyejuk dan pemanas badan.

9. Pembantu rumah isteri jika kebiasaan isteri mempunyai pembantu di rumah keluarganya.

Adapun kehendak-kehendak isteri yang lebih daripada itu hanya atas ihsan suami yang tidak wajib ditanggung.

Pihak yang diambil kira dalam penentuan kadar nafkah

Menurut mazhab mazhab syafi’i, pihak yang diambil kira dalam penentuan nafkah adalah berbeza-beza mengikut jenis nafkah. Bagi nafkah makanan, yang diambil kira adalah kemampuan suami sahaja sama ada susah, sederhana atau senang. Bagi pakaian pula, bilangan pakaian yang wajib diberi adalah bergantung kepada keperluan isteri manakala kualiti pakaian adalah bergantung kepada kemampuan suami. Manakala bagi nafkah tempat tinggal pula perlu disediakan mestilah yang bersesuaian dengan kelayakan isteri. Hal ini kerana isteri tiada pilihan melainkan untuk tinggal bersama suami di rumah yang disediakan, maka disebabkan itu tempat tinggal yang disediakan mestilah sesuai dengan isteri.

Oleh yang demikian, jelas bahawa keperluan isteri tetap diambil kira dalam nafkah selagi mana ia di bawah kemampuan suami kerana nafkah merupakan kewajipan suami yang diwajibkan oleh syarak, dan Allah tidak akan membebankan hamba dengan tanggungjawab dan kewajipan di luar kemampuannya. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

لَا ‌يُكَلِّفُ ‌ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَاۚ

Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”

Surah al-Baqarah (286)

Selain itu, Allah SWT juga berfirman secara khusus tentang nafkah berdasarkan kemampuan suami:

لِيُنفِقۡ ذُو سَعَةٖ مِّن سَعَتِهِۦۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيۡهِ رِزۡقُهُۥ فَلۡيُنفِقۡ مِمَّآ ءَاتَىٰهُ ٱللَّهُۚ لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا مَآ ءَاتَىٰهَاۚ سَيَجۡعَلُ ٱللَّهُ بَعۡدَ عُسۡرٖ يُسۡرٗا ٧

Maksudnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”

Surah Al-Talaq (7)

Kesimpulan

iv. Nafkah mestilah dititikberatkan oleh pasangan suami isteri kerana ia merupakan kewajipan suami yang tidak akan gugur walaupun isteri seorang yang kaya selagi mana isteri tidak nusyuz.

v. Penentuan nafkah mengambil kira juga keperluan isteri namun tetap tertakluk kepada kemampuan suami kerana ia merupakan tanggungjawab yang diwajibkan oleh syarak ke atas suami dan syarak tidak akan bebankan seseorang dengan kewajipan di luar kemampuannya.

vi. Para suami dan isteri dinasihatkan untuk bertoleransi antara pasangan tanpa mengabaikan kewajipan dan hak masing-masing di samping mendalami ilmu agama khususnya bab pengurusan rumah tangga.

WaAllahua’lam

Rujukan:

1. Yahya bin Sharaf al-Nawawi, Raudhat al-Talibin wa Umdat al-Muftin, (Beirut: al-Maktab al-Islami, 1991), 9:40.

لِوُجُوبِ النَّفَقَةِ ثَلَاثَةُ أَسْبَابٍ: مِلْكُ النِّكَاحِ...

2. Muhammad al-Zuhaili, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Shafi’I, (Damsyik: Dal al-Qalam, 2011), 4:276.

تجب نفقة الزوجة على زوجها ، وهى في الدرجة الثانية بعد النفقة على النفس، ولا تسقط بمضي الزمان ، فهي أقوى من غيرها.

3. Yahya bin Sharaf al-Nawawi, Raudhat al-Talibin wa Umdat al-Muftin, 9:40.

4. Muhammad al-Zuhaili, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Shafi’I, 4:276.

وقال تعالى: (وَٱلۡوَٰلِدَٰتُ يُرۡضِعۡنَ أَوۡلَٰدَهُنَّ حَوۡلَيۡنِ كَامِلَيۡنِۖ لِمَنۡ أَرَادَ أَن يُتِمَّ ٱلرَّضَاعَةَۚ وَعَلَى ٱلۡمَوۡلُودِ لَهُۥ رِزۡقُهُنَّ وَكِسۡوَتُهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ) ، فكلف الله تعالى الوالدات بالرضاعة، وكلف الزوج، وهو المولود له في الآية، ويثبت  النسب له ، بالوزن، وقوله : (رِزۡقُهُنَّ)  عائد على الوالدات، وهن أمهات  الأولاد، فتجب نفقة الزوجات على الأزواج.

5. Ibrahim bin Ali bin Yusuf al-Shirazi, al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Shafi’i, (T.tp: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, t.t), 3:155.

6. Tamkin ialah salah satu syarat wajib nafkah yang bermaksud keadaan yang membolehkan suami untuk berseronok dengan isterinya dengan cara-cara yang dihalalkan syarak. Rujuk Muhammad al-Zuhaili, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Shafi’I, 4:276.

وهو تمكين الزوجة نفسها من الزوج ، بأن لا تمنعه من وجوه الاستمتاع المشروع بها

7. Muhammad bin Ahmad al-Ansari al-Qurtubi, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, (Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah, 1964), 5:169.

فهم العلماء من قَوْلُهُ تَعَالَى: (وَبِما أَنْفَقُوا مِنْ أَمْوالِهِمْ) أَنَّهُ مَتَى عَجَزَ عَنْ نَفَقَتِهَا لَمْ يَكُنْ قَوَّامًا عَلَيْهَا، وَإِذَا لَمْ يَكُنْ قَوَّامًا عَلَيْهَا كَانَ لَهَا فَسْخُ الْعَقْدِ، لِزَوَالِ الْمَقْصُودِ الَّذِي شُرِعَ لِأَجْلِهِ النِّكَاحُ. وَفِيهِ دَلَالَةٌ وَاضِحَةٌ مِنْ هَذَا الْوَجْهِ عَلَى ثُبُوتِ فَسْخِ النِّكَاحِ عِنْدَ الْإِعْسَارِ بِالنَّفَقَةِ وَالْكُسْوَةِ، وَهُوَ مَذْهَبُ مَالِكٍ وَالشَّافِعِيِّ

8. Muhammad al-Zuhaili, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Shafi’i, 4:281-283.

9. Jalaluddin Muhammad bin Ahmad bin Muhammad al Mahalli, Kanz al-Raghibin Sharh Minhaj al-Talibin, (Jeddah: Dar al-Minhaj, 2013) 4:422

على موسر لزوجته كل يوم مدا طعام ، ومعسر مد ، ومتوسط مد ونصف ) … ولا يعتبر حال المرأة في شرنها وغيره ، ولا تعتبر كفايتها كنفقة القريب

10. Ibid, 4: 425

)وكسوة( أي: وعلى الزوج كسوة الزوجة... (تكفيها)، أي : على قدر كفايتها ، ويختلف ذلك بطولها وقصرها، وهزالها وسمنها، وباختلاف البلاد في الحر والبرد ، ولا يخلف عدد الكسوة بيسار الزوج وإعساره ، ولكنهما يؤثران في الجودة والرداءة

11. Ibid, 4:427

(ومسكن) أي : ولها عليه تهيئة سكن (يليق بها)، عادة من دار أو حجرة أو غيرهما ، ولا يشترط كونه ملكا له بل يجوز كونه مستأجرا ومستعارا.

12. Muhammad al-Zuhaili, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Shafi’i, 4:283.

يجب على الزوج تهيئة المسكن الذي يليق بها عادة، مهما كانت حالته ؛ لأن الزوجة لا تملك الانتقال من مسكن الزوجية، فروعي فيه جانبها ، بخلاف النفقة والكسوة وغيرها فيراعى فيها حال الزوج، فإنها تملك ابدالها.