Soalan
Assalamualaikum SS Datuk dan para asatizah, di sini saya ingin mengajukan kemusykilan saya terhadap permasalahan ibadat. Saya bekerja di atas kapal yang mana perjalanannya mengelilingi dunia. Bagaimanakah untuk saya menyambut hari raya. Jika kapal sedang berada di tengah lautan. Bagaimanakah saya bersama rakan-rakan yang lain ingin mengerjakan solat hari raya di tengah lautan?
Ringkasan Jawapan
Harus bagi umat Islam yang terlibat dengan kerja-kerja pelayaran di tengah laut menyambut hari raya aidilfitri dan mengerjakan ibadat-ibadat yang dituntut dengan syarat telah yakin masuk satu Syawal. Penentuan satu Syawal bagi umat Islam yang sedang berada di atas kapal dan di tengah laut adalah dengan nampak anak bulan tanpa perlu menunggu keputusan rukyah bagi negeri terdekat. Namun, sekiranya para pelayar tidak mempunyai kemahiran mencerap atau melihat anak bulan, maka boleh bertaklid kepada keputusan rukyah negeri yang berdekatan dengan kawasan pelayaran. Oleh yang demikian, harus serta dituntut bagi umat Islam yang berada di atas kapal laut ketika itu mengerjakan amalan-amalan sunat di hari raya seperti mandi sunat, bertakbir serta menghidupkan malam aidilftri, mengerjakan solat sunat aidilfitri dan seumpamanya.
Huraian Jawapan
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW, para sahabat serta mereka yang mengikut jejak langkah baginda hingga hari kiamat.
Setibanya malam aidilfitri, maka berakhir ibadat puasa Ramadan bagi umat Islam bahkan diharamkan untuk berpuasa pada tanggal satu syawal. Larangan ini sepertimana yang terdapat di dalam riwayat Abu Said, katanya:
نَهَى النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم عَنْ صَوْمِ يَوْمِ الْفِطْرِ وَالنَّحْرِ، وَعَنِ الصَّمَّاءِ، وَأَنْ يَحْتَبِيَ الرَّجُلُ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ
Maksudnya: “Nabi SAW melarang berpuasa pada hari raya Aidilfitri dan hari raya korban serta melarang al-Samma’ (berpakaian dengan membuka sebelah bahu). Baginda turut melarang seseorang sambil memeluk lutut dengan mengenakan satu pakaian (disebabkan oleh mendedah aurat).”
(Riwayat Bukhar & Muslim)
Tambahan lagi, para ulama telah bersepakat bahawa haram berpuasa pada kedua-dua hari raya ini walau apa jua keadaan puasanya sama ada puasa nazar, puasa sunat, puasa kafarah atau yang seumpama dengannya.[1] Hal ini menunjukkan bahawa syarak amat memuliakan hari raya aidilfitri dan juga hari raya aidiladha sehingga diharamkan untuk berpuasa pada hari berkenaan.
Penentuan Solat Hari Raya Bagi Pelayar Laut
Dalam permasalahan mereka yang bekerja sebagai pelayar laut yang kebanyakan masanya berada di tengah lautan, hendaklah diyakini terlebih dahulu masuknya satu syawal. Asasnya adalah berpandukan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غُمِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا الْعَدَدَ
Maksudnya: “Berpuasalah sekiranya kamu melihatnya (anak bulan) dan berbukalah Berhari raya) sekiranya kamu melihatnya (anak bulan). Sekiranya cuaca mendung, maka sempurnakanlah bilangan harinya (tiga puluh hari).”
(Riwayat Muslim)
Mafhum daripada hadis di atas dapat difahami bahawa kewajipan berpuasa adalah berdasar nampaknya hilal yang menandakan telah masuk satu Ramadan begitu juga diharamkan berpuasa setelah terlihatnya anak bulan syawal. Oleh yang demikian, bagi mereka yang berlayar di tengah laut hendaklah mengetahui terlebih dahulu waktu masuk satu syawal di tempat atau negeri yang berdekatan dengan kawasan pelayarannya. Permasalahan ini boleh dikaitkan dengan kenyataan Imam al-Nawawi berkaitan orang bermusafir ketika berpuasa yang memasuki negeri yang telah berhari raya. Beliau menyatakan:
وَإِذَا لَمْ نُوجِبْ عَلَى الْبَلَدَ الْآخَرِ فَسَافَرَ إلَيْهِ مِنْ بَلَدِ الرُّؤْيَةِ فَالْأَصَحُّ أَنَّهُ يُوَافِقُهُمْ فِي الصَّوْمِ آخِرًا، وَمَنْ سَافَرَ مِنْ الْبَلَدِ الْآخَرِ إلَى بَلَدِ الرُّؤْيَةِ عَيَّدَ مَعَهُمْ
Maksudnya: “Sekiranya kami tidak mewajibkan sesuatu negeri untuk berpuasa (kerana tidak melihat anak bulan), lalu seseorang musafir yang datang daripada negara yang melihat anak bulan (seseorang yang berpuasa) ke negara tersebut, maka menurut pendapat yang sahih, hendaklah dia mengikut penduduk negeri tersebut berpuasa pada hari terakhir. Begitu juga seseorang yang bermusafir dari negara yang lewat berpuasa ke negara yang berpuasa awal, maka dia hendaklah berhari raya bersama penduduk negara tersebut”.[2]
Berdasarkan riwayat dan pandangan yang dinyatakan, dapat difahami bahawa kewajipan berpuasa dan berhari raya bagi umat Islam yang berada dalam pelayaran atau sedang berada di tengah lautan adalah apabila anak bulan telah kelihatan. Dalam maksud yang lain, sekiranya para pelayar telah nampak serta yakin anak bulan Syawal telah kelihatan, maka hendaklah berhari raya tanpa menunggu keputusan negara terdekat. Namun begitu, jika para pelayar tidak mempunyai kemahiran untuk mencerap serta melihat anak bulan, maka boleh bertaklid kepada keputusan rukyah negeri berdekatan. Setelah diyakini masuk satu Syawal, harus serta dituntut bagi mereka yang berada di atas kapal laut mengerjakan perkara-perkara sunat yang melibatkan hari raya seperti menghidupkan malam aidilfitiri, bertakbir, menunaikan solat sunat hari raya dan seumpamanya.
Kesimpulan:
Harus bagi umat Islam yang terlibat dengan kerja-kerja pelayaran di tengah laut menyambut hari raya aidilfitri dan mengerjakan ibadat-ibadat yang dituntut dengan syarat telah yakin masuk satu Syawal. Penentuan satu Syawal bagi umat Islam yang sedang berada di atas kapal dan di tengah laut adalah dengan nampak anak bulan tanpa perlu menunggu keputusan rukyah bagi negeri terdekat. Namun, sekiranya para pelayar tidak mempunyai kemahiran mencerap atau melihat anak bulan, maka boleh bertaklid kepada keputusan rukyah negeri yang berdekatan dengan kawasan pelayaran. Oleh yang demikian, harus serta dituntut bagi umat Islam yang berada di atas kapal laut ketika itu mengerjakan amalan-amalan sunat di hari raya seperti mandi sunat, bertakbir serta menghidupkan malam aidilftri, mengerjakan solat sunat aidilfitri dan seumpamanya.
WallahuA’lam
Rujukan:
[1] Al-Nawawi, Yahya bin Sharf. Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, Ed 2, 1392H) J:8 Hlm: 15.
وَقَدْ أَجْمَعَ الْعُلَمَاءُ عَلَى تَحْرِيمِ صَوْمِ هَذَيْنِ الْيَوْمَيْنِ بِكُلِّ حَالٍ سَوَاءٌ صَامَهُمَا عَنْ نَذْرٍ أَوْ تَطَوُّعٍ أَوْ كَفَّارَةٍ أَوْ غَيْرِ ذَلِكَ
[2] Al-Nawawi, Yahya bin Sharf. Al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab. (Kaherah: Idarat al-Taba‘at al-Muniryah, 1348H). Jld: 6, Hlm:274