Soalan
Assalamualaikum saya ingin bertanya adakah jika kawan saya membuat pertaruhan seumpama: “kalau kamu menang aku akan bagi kamu hadiah tapi kalau kamu tak menang tak dapat apa-apa”. Mohon pencerahan.
Ringkasan Jawapan
Perjudian ialah setiap taruhan yang menjadikan mereka yang menyertai boleh samada mendapat keuntungan ataupun kerugian. Adapun pertaruhan yang tidak melibatkan dua pihak seperti jika yang menjanjikan hadiah hanya salah seorang dari mereka ia tidak dianggap sebagai judi dan hukumnya adalah harus.
Huraian Jawapan
Dr Sulaiman bin Ahmad dalam buku beliau bertajuk “Perjudian; hakikat dan hukum-hukum berkenaannya” menyebutkan hampir 18 pentakrifan dikalangan ulama’. Kemudian beliau menyimpulkan definisi bagi perjudian ialah: Setiap taruhan yang menjadikan orang yang menyertainya akan mendapat keuntungan ataupun kerugian[1]. – (Rujuk al-Qimar Haqiqahtuhu Wa Ahkamuhu oleh Dr Sulaiman bin Ahmad, hlm. 75)
Pengharaman judi ialah suatu yang jelas. Sekalipun terdapat manfaat dari perjudian seperti menguntungkan namun keburukannya lebih banyak. dalam al-Quran Allah SWT berfirman:
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا
Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya”
(Surah al-Baqarah: 219)
Imam Ibn Jarir al-Tabari menerangkan bahawa meskipun terdapat manfaat daripada keduanya (iaitu arak dan judi) namun dosa kedua-duanya adalah lebih besar dari manfaatnya. Ini seperti mana yang berlaku kepada orang yang meminum arak dengan merasakan kelazatan yang diteguknya namun akibat dari mabuk menyebabkan seseorang itu boleh memaki-hamun, mencederakan serta membawa kepada pertumpahan darah terhadap orang lain. Begitu juga dengan judi yang penuh dengan keseronokan dan juga menjanjikan kekayaan (yang belum pasti), namun dengan berjudi menjadi asbab seseorang itu menipu dan menzalimi orang lain. Sekalipun manfaatnya ada namun mafsadah yang timbul daripadanya lebih besar[2]”. – (Rujuk Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ayi al-Quran oleh Imam Ibn Jarir al-Tabari, jld. 2, hlm. 489)
Manakala dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr R.A, Nabi SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيَّ، أَوْ حُرِّمَ الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْكُوبَةُ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT telah mengharamkan ke atasku, atau diharamkan arak, judi dan gendang.
(Riwayat Abu Daud: 3696)
Terdapat empat jenis pertandingan di dalam Islam, antaranya:
1. Pertandingan yang berlaku antara dua orang dan lebih, manakala pemenang akan mendapat hadiah yang disediakan oleh penganjur.
2. Terdapat dua orang yang bertanding dan hanya salah seorang dari mereka yang menjanjikan hadiah kepada seorang lagi jika ia menang.
3. Setiap orang memberikan sesuatu seperti duit dan pemenang akan mendapat kesemua duit-duit tersebut.
4. Bentuk yang keempat ini ialah seperti bentuk yang ketiga, namun perbezaannya ialah bentuk yang ketiga ini terdapat seorang yang dipanggil “muhallil”. Pertandingan bentuk ini terdapat tiga keadaan:
- Jika “muhallil” memenangi pertandingan maka dia akan mengambil duit dari kedua-dua orang tadi.
- Jika kedua-dua orang tersebut memenangi secara bersama maka mereka tidak mendapat apa-apa kerana “muhallil” dari awal tidak menjanjikan apa-apa di atas kekalahannya.
- Jika muhallil memenangi bersama-sama dengan salah seorang dari dua orang tersebut maka duit yang kalah akan diberi sama rata antara mereka.
Kesemua bentuk-bentuk ini dihalalkan di dalam Islam melainkan bentuk yang ke tiga iaitu pertandingan yang terdapat padanya perjudian yang diharamkan[3]. – (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, jld. 8, hlm. 156)
(وَ) يَجُوزُ أَيْضًا شَرْطُ الْمَالِ (مِنْ أَحَدِهِمَا) فَقَطْ (فَيَقُولُ إنْ سَبَقْتَنِي فَلَكَ عَلَيَّ كَذَا، أَوْ سَبَقْتُك فَلَا شَيْءَ عَلَيْك) لِانْتِفَاءِ صُورَةِ الْقِمَارِ الْمُحَرَّمَةِ
Maksudnya: “Harus juga mensyaratkan harta dari salah seorang dari keduanya sahaja dengan mengatakan: (Jika kamu mengalahkanku maka aku akan memberikanmu sesuatu namun jika aku yang mengalahkanmu maka kamu tidak perlu memberikan apa-apa) kerana ketiadaan bentuk perjudian yang diharamkan.”
Kesimpulan
Perjudian ialah setiap taruhan yang menjadikan mereka yang menyertai boleh samada mendapat keuntungan ataupun kerugian. Adapun pertaruhan yang tidak melibatkan dua pihak seperti jika yang menjanjikan hadiah hanya salah seorang dari mereka ia tidak dianggap sebagai judi dan hukumnya adalah harus.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] كل مراهنة يكون كل داخل فيها على خطر أن يغنم أو يغرم
[2] والإثم بشرب هذه والقمار هذا, أعظم وأكبر مضرة عليهم من النفع الذي يتناولون بهما . وإنما كان ذلك كذلك, لأنهم كانوا إذا سكروا وثب بعضهم على بعض وقاتل بعضهم بعضا , وإذا ياسروا وقع بينهم فيه بسببه الشر , فأداهم ذلك إلى ما يأثمون به . ونزلت هذه الآية في الخمر قبل أن يصرح بتحريمها, فأضاف الإثم جل ثناؤه إليهما , وإنما الإثم بأسبابهما , إذ كان عن سببهما يحدث
[3] للمسابقة صور مختلفة، بعضها مشروع وبعضها محرم، ونحن نستعرض أولاً هذه الصور كلها، ثم نوضح المحرم والمشروع منها:
الصورة الأولي: أن يتسابق الطرفان، ويقرر مال معين للسابق منهما، على أن يكون الدفع من الحاكم، أو من شخص آخر، خارج عن الاشتراك في عملية السباق، بأن يقول هذا الشخص: من سبق منكما فله مني كذا .. ، ويجوز أن يقوم بالتسابق أكثر من اثنين.
الصورة الثانية: أن يلتزم أحد المتسابقين دفع المال لزميله إن هو سبقه، ولا يلتزم زميله شيئاً عن هو سبق، بأن يقول الأول: أن سبقتني فلك على كذا، أو سبقتك، فلا شيء لي عليك.
الصورة الثالثة: أن يلتزم كل منهما دفع مبلغ من المال لمن سبقه، فأيهما تخلف يلتزم بإعطاء المبلغ المتفق عليه للسابق.
الصورة الرابعة: كالصورة الثالثة، على أن يضاف إليهما محلل، وهو عنصر ثالث مسابق، فرسه كفء لفرسيهما. فإن سبقهما أخذ المالين من كل منهما، وإن سبقاه، وجاءا معاً، فلا شيء لأحد على الآخر، لأن المتراهنين وصلا معاً، ولأن المحلل لم يلتزم شيئاً عن التخلف، وإن وصل المحلل مع أحدهما أولاً، وتخلف الثاني عنهما، فمال الأول منهما مع المحلل يبقي له، ومال المتأخر منهما يوزع بالتساوي بين المحلل والذي وصل معه.
[بيان الجائز والمحرم من هذه الأنواع]
إذا تصورت هذه الأنواع من المسابقة، وأدركت الفرق بينها، فأعلم أن صورة واحدة منها هي المحرمة، لها حكم الميسر، وهو القمار، وهي الصورة الثالثة، أما الصور: الأولي والثانية والرابعة فهي مشروعة لا مانع منها.