اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-906: ADAKAH SEBATAN HUKUMAN TAKZIR BOLEH DILAKUKAN DI DEPAN KHALAYAK SAMA SEPERTI HUKUMAN HUDUD?

ADAKAH_SEBATAN_HUKUMAN_TAKZIR_BOLEH_DILAKUKAN_DI_DEPAN_KHALAYAK_SAMA_SEPERTI_HUKUMAN_HUDUD.jpg

Soalan:

Assalamualaikum wbt, SS Mufti. Adakah dibenarkan ke atas pemerintah untuk melaksanakan hukuman sebatan terhadap pesalah bagi jenayah ta’zir di depan khalayak ramai sama seperti hukuman hudud? Bukankah hukuman takzir tidak boleh melebihi daripada hukuman hudud? Mohon pencerahan.

Ringkasan Jawapan:

Hukum bagi pemerintah untuk melaksanakan sebatan terhadap hukuman takzir di depan khalayak sama seperti sebatan hukuman hudud adalah harus dan bertepatan dengan syarak. Hal ini kerana pelaksanaan hukuman tersebut bertujuan memberikan pendidikan dan peringatan kepada masyarakat di tempat berkenaan untuk mentaati perintah Allah SWT serta menjauhi perbuatan dosa dan maksiat yang dilarang dalam Islam. Selain itu, pelaksanaan hukuman sedemikian juga tertakluk di bawah autoriti ulil amri yang lebih mengetahui maslahah di kawasan pemerintahan mereka. Walau bagaimanapun, pelaksanaan hukuman tersebut mestilah dilaksanakan dalam kerangka keadilan iaitu bertujuan menegakkan hukum Islam, tidak menzalimi, tidak mengaibkan pesalah dan kaum kerabatnya.

Huraian Jawapan:

Pelaksanaan hukuman sebatan mengikut syarak merupakan antara isu yang sering dijadikan polemik oleh segelintir pihak dalam negara. Sebatan syarak yang dimaksudkan ialah hukuman sebatan yang ditetapkan oleh pihak mahkamah syariah ke atas individu yang telah disabitkan atas kesalahan melakukan jenayah Syariah yang bercanggah dengan akta atau enakmen di sesebuah negeri. Metod sebatan pula berpandukan kepada Garis Panduan khusus (SOP) yang telah dikeluarkan oleh pihak mahkamah berdasarkan dalil-dalil syarak, hukum fiqh, muzakarah dan seumpamanya.

Walau bagaimanapun, metod pelaksanaan hukuman tersebut yang dilaksanakan secara terbuka iaitu di khalayak umum telah menimbulkan persoalan berhubung kesesuaian terhadap pelaksanaannya di Malaysia. Sebahagian pihak berpandangan bahawa kaedah sebatan sedemikian bertentangan dengan prinsip syarak yang menekankan aspek pemeliharaan maruah dan kemuliaan diri manusia walaupun terhadap penjenayah ataupun pesalah. Bahkan sewajarnya pihak berautoriti memberikan pertimbangan terhadap hukuman ta’zir. Begitu juga terdapat pihak yang berpandangan bahawa sebatan sedemikian melanggar hak asasi manusia, mengaibkan dan menjatuhkan martabat.

Walhal, pelaksanaan hukuman sebatan terhadap pesalah bagi jenayah Syariah telah dinyatakan secara jelas dalam al-Quran dan al-Sunnah. Namun begitu, sebatan tersebut dilaksanakan terhadap kesalahan di bawah hukuman hudud. Sementara sebatan terhadap hukuman ta’zir pula masih terbuka kepada perbincangan dalam kalangan fuqaha. Sehubungan dengan itu, penulisan ini bertujuan menjelaskan konsep sebatan syarak bagi kesalahan ta’zir bagi memberikan pencerahan kepada umum berkenaan isu ini.

Pengertian Ta’zir

Ta’zir menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud hukuman yg dijatuhkan atas dasar kebijaksanaan hakim kerana tidak terdapat dalam al-Quran dan hadis bertujuan untuk penga­jaran. Manakala dari sudut istilah syarak pula Imam al-Mawardi mendefinisikan ta’zir dengan katanya:

التعزير تأديب على ذنوب لم تشرع فيها الحدود

Maksudnya:Takzīr ialah hukuman sebagai pengajaran terhadap dosa-dosa yang tidak ditetapkan hukuman hudud[1].

Imam al-Qalyubi pula menjelaskan bahawa takzir adalah hukuman terhadap kesalahan yang tidak dikenakan hudud atau kafarah, sama ada dosa yang berkaitan dengan hak Allah mahupun manusia. Manakala hak yang berkaitan dengan manusia seperti dalam kes hukuman mencuri dan lain-lain, pemerintah wajib melaksanakan hukuman ta’zir sekiranya terdapat aduan terhadap kesalahan tersebut.[2].

Dalam melaksanakan hukuman takzir, pemerintah boleh menentukan jenis hukuman ta'zir berdasarkan kebijaksanaan dalam menilai situasi dan keadaan individu yang melakukan kesalahan. Hal ini kerana hukuman ini tidak ditentukan secara spesifik oleh syarak. Bahkan, hanya pemimpin sahaja yang dibenarkan untuk melaksanakan hukuman ini dan bukannya orang lain[3].

Antara bentuk hukuman takzir adalah melalui sebatan. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

لاَ يُجْلَدُ أَحَدٌ فَوْقَ عَشَرَةِ أَسْوَاطٍ إِلاَّ فِى حَدٍّ مِنْ حُدُودِ اللَّهِ

Maksudnya: “Seseorang tidak boleh disebat lebih dari sepuluh kali sebatan, kecuali pada hukuman hudud.”

(Riwayat Muslim)

Pelaksanaan sebatan di Malaysia telah mengambil kira semua aspek termasuk aspek syarak. Sebagai contoh, di Wilayah Persekutuan berdasarkan seksyen 125 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560), dinyatakan bahawa antara syarat yang mesti dipenuhi adalah;

  1. alat sebatan, tidak termasuk pemegangnya hendaklah daripada jenis yang sama dan dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.
  2. hendaklah menggunakan alat sebatan dengan kekuatan sederhana tanpa mengangkat tangan melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.
  3. hendaklah menggunakan alat sebatan dengan kekuatan sederhana tanpa mengangkat tangan melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.
  4. Sebatan boleh dibuat ke seluruh bahagian tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian-bahagian sulit[4].

Manakala SOP Pelaksanaan Hukuman Sebatan di Luar Penjara telah menetapkan bahawa kehadiran adalah sangat terhad dan tertakluk kepada perintah Mahkamah. Pelaksanaan hukuman ini hanya boleh disaksikan oleh:

  1. Pegawai Kehakiman Syariah – Seorang hakim syarie atau pegawai yang dilantik untuk memastikan hukuman dilaksanakan mengikut peraturan yang ditetapkan.
  2. Pendakwa Syarie – Seorang pendakwa yang bertanggungjawab dalam kes tersebut.
  3. Orang yang difikirkan patut hadir oleh Mahkamah – Kehadiran pihak lain bergantung kepada budi bicara dan arahan Mahkamah, yang biasanya mengambil kira sensitiviti dan keperluan menjaga maruah serta keselamatan semua pihak[5].

Berdasarkan kenyataan rasmi daripada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), SOP ini tidak bermaksud sesiapa sahaja boleh hadir semasa pelaksanaan hukuman dilaksanakan, apatah lagi dalam jumlah besar. Sebaliknya, ia menekankan aspek privasi, pengurusan tertib dan pematuhan kepada undang-undang serta etika. Hal ini bermaksud pelaksanaan hukuman bukanlah untuk dijadikan tontonan umum sehingga boleh mengaibkan pesalah dan ahli keluarganya[6].

Kehadiran Menyaksikan Pelaksanaan Sebatan Hudud

Dalam hukuman hudud ke atas pelaku zina iaitu sebatan sebanyak 100 kali, orang Islam dituntut untuk turut sama menghadiri proses pelaksanaan hukuman tersebut. Hal ini sebagaimana yang terdapat dalam firman Allah SWT:

وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: "Hendaklah sekelompok manusia dari kalangan orang beriman menyaksikan hukuman keduanya (penzina lelaki dan perempuan)."

Surah al-Nur (2)

Berdasarkan ayat di atas, Imam Khatib al-Syirbini berpandangan bahawa disunatkan agar sekumpulan lelaki Islam untuk turut sama menghadiri pelaksanaan hukum tersebut dan sekurang-kurangnya empat orang iaitu sama seperti jumlah saksi dalam kes zina[7]. Antara tujuan pelaksanaan hudud di depan khalayak adalah supaya masyarakat yang hadir dapat mengambil iktibar terhadap kesalahan yang telah dilakukan. Selain itu, kehadiran sebilangan masyarakat juga membolehkan pengajaran tersebut turut tersebar kepada pihak yang tidak hadir[8].

Pelaksanaan Sebatan Takzir di Khalayak Ramai

Kehadiran sebilangan orang beriman merupakan antara perkara yang disyariatkan dalam pelaksanaan hukuman hudud. Antaranya termasuk hukuman sebatan di atas kesalahan yang dilakukan. Hal ini kemudiannya menimbulkan persoalan berhubung pelaksanaan sebatan bagi hukuman takzir. Adakah kehadiran sebilangan orang beriman untuk menyaksikan pelaksanaan hukuman tersebut dibenarkan? Seperti yang diketahui umum bahawa hukuman takzir adalah mengikut pertimbangan hakim yang memutuskan sesuatu keputusan. Hukuman takzir boleh dilaksanakan dengan pelbagai bentuk seperti memukul, penjara, teguran, pendedahan (penyebaran kesalahan) atau lain-lain, bergantung pada tahap kesalahan orang yang melakukan dan jenis dosa yang dilakukan[9].

Oleh itu, hukuman takzir yang berbentuk mendedahkan kesalahan seseorang di hadapan khalayak ramai adalah dibenarkan jika hakim meyakini bahawa ia boleh memberikan manfaat. Antara pandangan ulama yang membenarkan ialah:

1)    Imam al-Mawardi berkata:

وإذا رأى من الصلاح في ردع السفلة أن يشهرهم وينادي عليهم بجرائمهم ساغ له ذلك،

Maksudnya: “Jika pemimpin melihat bahawa adalah lebih baik untuk mengekang perbuatan orang yang rendah, maka dibenarkan ke atas pemimpin untuk mendedah dan mengumumkan kesalahan mereka[10].”

2)    Imam Ibn farhun berkata:

وإن رأى المصلحة في قمع السفلة، بإشهارهم بجرائمهم فعل،

Maksudnya: “Jika hakim melihat ada kebaikan (maslahah) dalam mengekang perbuatan orang yang rendah kedudukannya dengan mendedahkan kesalahan mereka, maka beliau boleh melakukannya[11].”

3)    Imam al-Bahuti berkata:

Maksudnya: “Jika seseorang dikenakan hukuman takzir, maka hakim wajib untuk mendedahkan kesalahannya demi kepentingan, seperti dalam kes saksi palsu, agar orang lain dapat menghindarinya[12].”

Kenyataan di atas menunjukkan bahawa dibenarkan ke atas pemimpin untuk melaksanakan hukuman takzir sama ada dengan hanya mendedahkan kesalahan tersebut sahaja kepada umum jika dirasakan wajar ataupun menambah hukuman lain seperti memukul atau memenjarakan[13].

Dengan perkataan yang lain, syariat Islam memberikan ruang kepada para hakim dan pemimpin di setiap wilayah untuk menentukan sendiri hukuman ta’zir yang bersesuaian di wilayah mereka. Lebih-lebih lagi kesalahan seperti khalwat yang menjadi permulaan kepada zina. Bahkan individu yang telah disabitkan kesalahan tersebut secara berulang kali oleh pihak mahkamah perlu diberikan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada diri sendiri dan masyarakat di sekelilingnya. Hukuman yang dijatuhkan oleh pihak berkuasa terhadap kesalahan ini merupakan salah satu bentuk amar makruf, nahi munkar yang menjadi tanggungjawab pemimpin Islam di wilayah masing-masing.

Kesimpulan

Hukum bagi pemerintah untuk melaksanakan sebatan terhadap hukuman ta’zir di depan khalayak sama seperti sebatan hukuman hudud adalah harus dan bertepatan dengan syarak. Hal ini kerana pelaksanaan hukuman tersebut bertujuan memberikan pendidikan dan peringatan kepada masyarakat di tempat berkenaan untuk mentaati perintah Allah SWT serta menjauhi perbuatan dosa dan maksiat yang dilarang dalam Islam. Selain itu, pelaksanaan hukuman sedemikian juga tertakluk di bawah autoriti ulil amri yang lebih mengetahui maslahah di kawasan pemerintahan mereka. Walau bagaimanapun, pelaksanaan hukuman tersebut mestilah dilaksanakan dalam kerangka keadilan iaitu bertujuan menegakkan hukum Islam, tidak menzalimi, tidak mengaibkan pesalah dan kaum kerabatnya.

Wallahu a'lam 

 

Rujukan:

[1] Abu al-Hasan Ali bin Muhammad al-Mawardi, al-Ahkam al-Sultoniyyah, Qahirah: Dar al-Hadis (t.t), hlm. 344.

[2] Ahmad Salamah al-Qalyubi & Ahmad al-Barlisi Umairah, Hasyiata Qalyubi wa Umairah, Beirut: Dar al-Fikr (1995), jld. 4, hlm. 206.

تأديب على ذنب لا حد فيه، ولا كفارة غالبا وهو لله ولآدمي، ولا يستوفي ما يتعلق بالآدمي إلا بعد طلب ذلك الآدمي كما في حد السرقة وغيره ويلزم الإمام إجابته إلا لمصلحة.

[3] Ahmad bin Muhammad bin Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, Beirut: Dar al-Ihya’ al-Thurast al-Arabi (1983), jld. 9, hlm. 197.

(ويجتهد الإمام في جنسه وقدره) كما تقرر لأنه غير مقدر شرعا فوكل إلى رأيه واجتهاده لاختلافه باختلاف مراتب الناس والمعاصي، وأفهم لكلامه أنه ليس لغير الإمام استيفاؤه

[4] Lihat: https://www.peguamsyarie.com.my/akta-tatacara-jenayah-syariah-wilayah-wilayah-persekutuan-1997/

[5] Lihat Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelaksanaan Hukuman Sebatan di Luar Penjara Bagi Pesalah Syariah: https://jksns.ns.gov.my/wp-content/uploads/2024/09/11.1.-AA-NO-11-Lampiran-SOP-Sebatan-Luar-Penjara.pdf

[6] Lihat kenyataan rasmi JKSM bertarikh 29.12.2024: https://www.facebook.com/myJKSM

[7] Muhammad bin Muhammad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma'rifah Maani Minhaj, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah (1994), jld. 5, hlm. 455.

ويسن حضور جمع من الرجال المسلمين الأحرار لقوله تعالى: {وليشهد عذابهما طائفة من المؤمنين} [النور: ٢] قال الشافعي - رضي الله عنه -: وأقلهما أربعة عدد شهود الزنا،

[8] Muhammad al-Tahir Ibn Asyur, al-Tahrir wa al-Tanwir, Tunis: al-Dar al-Tunisyyah li al-Nasyr (1984), jld. 18, hlm, 151.

وفيه فائدة أخرى وهي أن من مقاصد الحدود مع عقوبة الجاني أن يرتدع غيره، وبحضور طائفة من المؤمنين يتعظ به الحاضرون ويزدجرون ويشيع الحديث فيه بنقل الحاضر إلى الغائب.

[9] al-Mausuah al-Kuwaitiyyah, Kuwait: Wizarah al-Auqaf wa al-Syu’un al-Islamiyyah (1427H), jld. 12, hlm .45.

ومعلوم أن التعزير يرجع في تحديد جنسه وقدره إلى نظر الحاكم، فقد يكون بالضرب أو الحبس أو التوبيخ أو التشهير أو غير ذلك، حسب اختلاف مراتب الناس، واختلاف المعاصي، واختلاف الأعصار والأمصار.

وعلى ذلك فالتعزير بالتشهير جائز إذا علم الحاكم أن المصلحة فيه، وهذا الحكم هو بالنسبة لكل معصية لا حد فيها ولا كفارة في الجملة.

[10] Abu al-Hasan Ali bin Muhammad al-Mawardi, al-Ahkam al-Sultoniyyah, Qahirah: Dar al-Hadis (t.t), hlm. 324.

وإذا رأى من الصلاح في ردع السفلة أن يشهرهم وينادي عليهم بجرائمهم ساغ له ذلك،

[11] Ibn Farhun, Tabsirah al-Hukkam fi Usul al-Aqdiyah wa Manahij al-Ahkam, Mesir: Maktabah al-Kulliyah al-Azhariyyah (1986), jld. 2, hlm. 150.

وإن رأى المصلحة في قمع السفلة، بإشهارهم بجرائمهم فعل،

[12] Mansur bin Yunus al-Bahuti, Kasyfu al-Qina’ an Matn al-Iqna’, Saudi: Wizarah al-Adl fi al-Mamlakah al-Saudiyyah (2008), jld. 14, hlm. 124.

(والقوَّادة - التي تُفْسِد النساء والرجال - أقلُّ ما يجب عليها الضرب البليغ، وينبغي شُهرةُ ذلك، بحيث يستفيضُ في النساء والرجال) لتُجتنَب.

[13] Ibid.