اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-916: PERKAHWINAN BERBEZA USIA: ORANG TUA DAN ORANG MUDA

PP_poster_7.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum. SS Mufti, saya ingin bertanya, apakah pandangan Islam mengenai perkahwinan antara lelaki yang lebih muda dengan wanita lebih berusia?

Ringkasan Jawapan:

Perkahwinan secara asalnya adalah sunat kepada sesiapa sahaja yang cukup syarat untuk berkahwin dalam Islam termasuk bagi golongan warga emas jika masih ada keperluan dan kemampuan. Namun, sekiranya perkahwinan dilakukan tanpa keperluan yang jelas atau melibatkan ketidakmampuan dari segi fizikal atau kewangan, maka ia boleh menjadi makruh kerana dikhuatiri menzalimi pasangan atau memikul beban yang tidak mampu ditanggung.Oleh itu, setiap keputusan sama ada melibatkan pasangan muda, tua atau berbeza usia perlulah dibuat dengan pertimbangan dengan sewajarnya agar hak-hak antara kedua-dua pasangan dan tujuan perkahwinan dapat dipelihara.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Perkahwinan merupakan satu ikatan suci yang menghalalkan pergaulan antara lelaki dan wanita selaras dengan fitrah manusia yang cenderung untuk berpasang-pasangan. Tujuan perkahwinan adalah untuk membina sebuah kehidupan yang harmoni berasaskan kasih sayang dan persefahaman bersama antara suami dan isteri. Firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

Surah al-Rum (21)

Perkahwinan antara Usia Muda atau Tua

Secara asasnya hukum asal perkahwinan menurut jumhur ulama adalah sunat[1] bagi sesiapa yang memiliki keinginan yang kuat untuk berkahwin walaupun seseorang itu mandul dengan syarat dia mampu menyediakan nafkah kepada pasangannya.[2] Hal ini berdasarkan kepada keumuman firman Allah SWT:

فَانكِحُوا مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَلَّا تَعُولُوا

Maksudnya: Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.

Surah al-Nisa (3)

Selain itu, terdapat firman Allah SWT:

وَأَنكِحُوا الْأَيَامَىٰ مِنكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ ۚ إِن يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِن فَضْلِهِ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.”

Surah al-Nur (32)

Menurut Imam ibn katsir ayat ini menunjukkan bahawa Islam menggalakkan perkahwinan bagi sesiapa dalam kalangan lelaki dan perempuan yang mencukupi syarat, tanpa mengira usia, sama ada seseorang yang belum pernah berkahwin, sudah berkahwin atau sudah bercerai .[3]

Meskipun terdapat galakan berkahwin kepada sesiapa sahaja yang memenuhi syarat, dalam perkahwinan aspek umur juga turut menjadi faktor yang wajar diberi perhatian. Perbezaan umur sama ada lelaki atau perempuan memberi kesan kepada terhadap dinamika hubungan suami isteri, terutama dari sudut gaya hidup, cara berfikir, tahap kematangan emosi, komunikasi, kesihatan dan keupayaan menjalankan tanggungjawab dalam perkahwinan.[4]

Dalam hal ini, para ulama berbeza pandangan berkaitan perkahwinan pasangan lelaki atau wanita yang sudah lanjut usia berdasarkan keadaan peribadi dan keperluan individu tersebut.

Perkahwinan antara kedua-dua pasangan yang berbeza umur ini sah jika memenuhi rukun dan syaratnya.Namun begitu, sebahagian ulama seperti dalam mazhab Syafi‘i berpandangan hukumnya makruh kerana perkahwinan tersebut melibatkan hak zahir dan batin yang dikhuatiri tidak mampu ditunaikan oleh individu lanjut usia lalu boleh membawa kepada kezaliman kepada pihak pasangan. Menurut Imam al-Nawawi:

إن لم يجد الأهبة أو كان به مرض أو عجز يجب أو تعنين ، أو كبير ، كره له النكاح لما فيه من الالتزام على ما لا يقدر على القيام به

Maksudnya: Jika seseorang itu tidak mempunyai kemampuan atau menghidap penyakit atau mempunyai kelemahan yang menyebabkan dia tidak mampu bersetubuh atau sudah lanjut usia, maka hukum berkahwin baginya adalah makruh kerana ia akan memikul tanggungjawab yang dia tidak mampu tunaikan[5]

Dalam masa yang sama, imam al-Syirbini juga menjelaskan bahawa hukum makruh bagi orang yang tidak berkeinginan berkahwin hanya terpakai apabila individu tersebut sah untuk berkahwin tetapi tidak mempunyai keperluan untuknya. Namun, jika seseorang itu tetap mempunyai keperluan seperti ingin mendapatkan kasih sayang, perlindungan emosi, penjagaan, atau teman hidup, maka keinginan itu termasuk dalam kategori keperluan[6] yang menepati salah satu tujuan perkahwinan.

Tambahan pula, Imam al-Ghazali turut menyatakan bahawa kebahagiaan rumah tangga bukan terletak pada rupa atau usia, tetapi pada akhlak dan agama pasangan.[7]

Hal ini juga dapat dibuktikan melalui sirah baginda Rasulullah SAW sendiri telah berkahwin dengan Saidatina Khadijah RA, seorang wanita yang lebih tua daripada Baginda. Namun begitu, perlu diketahui perkahwinan tersebut merupakan salah satu bentuk Khusussiyyat an-Nabi (keistimewaan khusus untuk Nabi Muhammad SAW) yang tidak semestinya menjadi Sunah yang dituntut untuk diteladani secara literal oleh umat Islam namun ia tidak dilarang.[8] Ini kerana konteks, latar belakang, hikmah di sebalik perkahwinan Baginda tidak sama dengan realiti umat Islam pada hari ini. Sepertimana firman Allah SWT:

إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَىٰ ‎

Maksudnya: “Segala yang diperkatakannya itu (sama ada al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.”

Al-Najm (4)

Manakala, dari sudut perundangan keluarga Islam, penekanan dalam undang-undang Islam di Malaysia adalah kepada had umur minimum untuk pasangan yang ingin berkahwin.[9] Hal ini menunjukkan bahawa perkahwinan pada usia lanjut tidak dikenakan sekatan undang-undang berdasarkan umur, fizikal atau keupayaan seseorang untuk berkahwin. Ini menjelaskan bahawa perkahwinan dalam usia lanjut bukan suatu halangan di sisi undang-undang Islam. Namun, apa yang lebih penting ialah niat yang ikhlas, kemampuan melaksanakan tanggungjawab serta memenuhi tuntutan agama.

Justeru, syariat Islam tidak memandang usia lanjut atau ketidaksuburan sebagai halangan mutlak untuk berkahwin, sebaliknya menilai perkahwinan berdasarkan pencapaian maqasid yang lebih menyeluruh seperti memelihara kehormatan diri, maruah, dan memenuhi keperluan emosi dan sosial. Hukum berkahwin bagi seseorang dinilai berdasarkan konteks keperluan individu, kemampuan menunaikan tanggungjawab, dan potensi maslahat atau mudarat yang timbul apabila salah seorang atau kedua-dua pasangan sudah lanjut usia.Oleh itu, setiap keputusan sama ada melibatkan pasangan muda, tua, atau berbeza usia perlulah dibuat pertimbangan sewajarnya agar hak-hak antara kedua-dua pasangan dan tujuan perkahwinan dapat dipelihara.

Kesimpulan

Perkahwinan secara asalnya adalah sunat kepada sesiapa sahaja yang cukup syarat untuk berkahwin dalam Islam termasuk bagi golongan warga emas jika masih ada keperluan dan kemampuan. Namun, sekiranya perkahwinan dilakukan tanpa keperluan yang jelas atau melibatkan ketidakmampuan dari segi fizikal atau kewangan, maka ia boleh menjadi makruh kerana dikhuatiri menzalimi pasangan atau memikul beban yang tidak mampu ditanggung. Oleh itu, setiap keputusan sama ada melibatkan pasangan muda, tua, atau berbeza usia perlulah dibuat pertimbangan sewajarnya agar hak-hak antara kedua-dua pasangan dan tujuan perkahwinan dapat dipelihara.

 Wallahu a'lam.

 

 

Rujukan:

[1] Sa’duddin Mas’ad al-Hilali, Qadiyah al-Musinin al-Kibar al-Mua’sirah, (Kuwait: Majlis al-Nasyr al-Ilmi, 2002), hal. 611.

يرى أن الأصل في النكاح الاستحباب وإليه ذهب جمهور الفقهاء

[2] Al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994), Jil.4 , hal, 203

وَلَمَّا كَانَ النِّكَاحُ مِنْ سُنَّتِهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - قَالَ الْمُصَنِّفُ - رَحِمَهُ اللَّهُ تَعَالَى -: (هُوَ مُسْتَحَبُّ لِمُحْتَاجٍ إلَيْهِ) بِأَنْ تَتُوقَ نَفْسُهُ إلَى الْوَطْءِ، وَلَوْ خَصِيًّا كَمَا اقْتَضَاهُ كَلَامُ الْإِحْيَاءِ (يَجِدُ أُهْبَتَهُ) وَهِيَ مُؤَنُهُ مِنْ مَهْرٍ وَكِسْوَةِ فَصْلِ التَّمْكِينِ، وَنَفَقَةِ يَوْمِهِ وَإِنْ كَانَ مُتَعَبِّدًا تَحْصِينًا لِدِينِهِ، وَلِمَا فِيهِ مِنْ بَقَاءِ النَّسْلِ وَحِفْظِ النَّسَبِ وَلِلِاسْتِعَانَةِ عَلَى الْمَصَالِحِ، وَ

[3] Ibn Katsir, Tafsir Quran al-Azim, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, t.t ), Jil.6 , hlm. 47

وَيُقَالُ ذَلِكَ لِلْمَرْأَةِ الَّتِي لَا زَوْجَ لها وللرجل الذي لا زوجة له، سواء كَانَ قَدْ تَزَوَّجَ ثُمَّ فَارَقَ أَوْ لَمْ يَتَزَوَّجْ وَاحِدٌ مِنْهُمَا

[4] Siti Marziah Zakaria, Salina Nen, Abdul Rahman & et. Al. (2019) Kualiti Perkahwinan pada Fasa Pertama Perkahwinan (1-10 tahun): Pengaruh Gaya Komunikasi dan penyesuaian Hidup. Vol. 16. No. 7. Journal of Social Scienes and Humanities, Universiti Kebangsaan Malaysia.

[5] Al-Nawawi, Raudah al-Talibin, Jil. 7, hal. 18

[6] Al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994), Jil.4 , hal, 203.

وحكم الاحتياج للتزويج لغرض النكاح كخدمة وتأنس كالاحتياج للنكاح كما بحثه الأذرعي ومحل الكراهية فيمن يصح نكاحه مع عدم الحاجة أما من لا يصح مع عدم الحاجة كالسفيه فإنه يحرم عليه النكاح ، قاله البلقيني

[7]Al-Ghazali, Abu Hamid Muhammad bin Muhammad. Ihya’ ‘Ulumuddin. (1431) Beirut: Darul Makrifah

[8]Abu syuhbah, Muhammad bin Muhammad, Al-Sirah an-Nabawiyah ‘ala Dau’i al-Quran wa al-Sunnah. Damsyik: Dar Kalam.

[9]Seksyen 8, Akta undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303):“Tiada suatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah Akta ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.