اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-920: HUKUM MELAMAR WANITA DALAM TEMPOH IDAH

HUKUM_MELAMAR_WANITA_DALAM_TEMPOH_IDAH.jpg

Soalan

Assalammualaikum. Kebelakangan ini, apabila artis terkenal diceraikan oleh suaminya, terdapat suara-suara netizen yang memuji kecantikannya dan ada yang bagi “hint” atau “lock” untuk melamarnya. Persoalannya, adakah wanita tersebut tidak lagi terikat dengan suaminya ketika tempoh idah sehingga membolehkan mana-mana lelaki bagi “hint”? Bolehkah seseorang wanita menerima lamaran lelaki lain tanpa menunggu idahnya habis.? Mohon pencerahan SS Datuk Mufti.

Ringkasan Jawapan

Hukum melamar wanita dalam tempoh idah dengan lafaz yang jelas adalah haram. Manakala, melamar wanita dalam tempoh idah dengan lafaz kiasan memberi implikasi hukum yang berbeza tertakluk kepada jenis idah wanita tersebut:

  1. Hukum lelaki menyuarakan hasrat untuk melamar wanita yang menjalani tempoh idah talak raj’i   dengan lafaz kiasan adalah haram
  2. Hukum lelaki menyuarakan hasrat untuk melamar wanita yang sedang menjalani tempoh idah kematian suami dan idah talak ba’in secara kiasan adalah harus.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga, sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian.

Apabila seorang lelaki ingin melamar wanita untuk dijadikan isteri, perkara yang perlu dititikberatkan adalah mengenalpasti status wanita tersebut, sama ada bebas dari ikatan perkahwinan atau masih berada dalam tempoh idah. Dalam situasi melamar wanita yang masih menjalani tempoh idah, ungkapan secara kiasan boleh membawa implikasi hukum yang berbeza berdasarkan jenis idah wanita tersebut.

Secara asasnya, melamar wanita dalam tempoh idah dengan lafaz yang jelas (tasrih) adalah haram secara mutlak menurut mazhab Syafi’i.[1] Antara contoh lamaran secara jelas (tasrih) adalah mengungkapkan keinginan untuk bernikah seperti “Aku ingin bernikah dengan kamu” atau “Jika masa idahmu habis, aku akan menikahimu”.

Manakala, melamar wanita dalam tempoh idah dengan lafaz kiasan memberi implikasi hukum yang berbeza tertakluk kepada jenis idah wanita tersebut:

                           I.          Wanita dalam tempoh idah talak raj’i

                         II.          Wanita dalam tempoh idah kematian suami dan idah talak ba’in

  1. Melamar Wanita dalam Tempoh Idah Talak Raj’i

Suami yang menceraikan isterinya dengan talak satu atau talak dua adalah masih berstatus seorang suami berdasarkan firman-Nya:

وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَٰلِكَ إِنْ أَرَادُوا إِصْلَاحًا

Maksudnya: “. Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa idah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai”.

Surah al-Baqarah (228)

Al-Tabari dalam tafsirnya menjelaskan bahawa suami yang melafazkan talak satu atau talak dua masih memiliki hak untuk merujuk kembali isteri yang diceraikannya selagi   masih berada dalam tempoh idah. Hal ini kerana lelaki itu masih dianggap sebagai suami. [2]

Seterusnya, fuqaha Syafi’i menyatakan bahawa wanita yang menjalani tempoh idah talak raj’i juga berstatus seorang isteri. Perkara dinyatakan oleh al-Khatib al-Syirbini

وَلَا يجوز تَعْرِيض لرجعية لِأَنَّهَا زَوْجَة أَو فِي معنى الزَّوْجَة

Maksudnya: “haram melamar wanita yang   beridah talak raj’i secara kiasan kerana wanita tersebut masih dianggap sebagai seorang isteri atau kedudukan masih serupa dengan status isteri”.[3]

Imam al-Nawawi menetapkan bahawa hukum melamar wanita dalam tempoh idah talak raj’i secara kiasan adalah haram:

. وَأَمَّا التَّعْرِيضُ، فَيَحْرُمُ فِي عِدَّةِ الرَّجْعِيَّةِ

Maksudnya: “Adapun, haram menggunakan ungkapan kiasan untuk melamar wanita dalam tempoh idah talak raj’i.” [4]

Antara contoh bagi ungkapan kiasan adalah: “Kamu cantik” atau “siapa yang mencari seseorang seperti dirimu”.[5]

  1. Hukum Melamar Wanita yang Beridah Kematian Suami dan Talak Bain.

Fuqaha mazhab Syafi’i menetapkan hukum melamar wanita ketika tempoh idah kematian suami dan idah talak tiga (talak bai’n) secara kiasan adalah harus berdasarkan firman Allah SWT:[6]

وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا عَرَّضْتُم بِهِ مِنْ خِطْبَةِ النِّسَاءِ

Maksudnya: “Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam ‘iddah).”

Surah al-Baqarah: (235)

Abu Jaafar al-Tabari mentafsirkan ayat tersebut bahawa para lelaki dibenarkan menyuarakan hasrat melamar wanita yang menjalani tempoh idah kematian suami secara kiasan. [7] Sebagai contoh ungkapan kiasan seperti   "kamu cantik” [8]

Oleh yang demikian, hukum lelaki untuk melamar wanita dalam tempoh idah kematian suami atau idah talak ba’in secara kiasan adalah harus kerana telah terputusnya kekuasaan suami atas dirinya menurut pendapat al-Azhar.[9]

Justeru itu, ciri - ciri wanita yang boleh dilamar secara terus terang adalah mereka yang bebas daripada ikatan perkahwinan, tidak berada dalam tempoh idah dan wanita yang tidak dipinang oleh lelaki lain.[10]

PENUTUP

Hukum menyuarakan hasrat secara terus terang terhadap wanita yang sedang menjalani tempoh idah adalah haram. Sementara, hukum lelaki melamar wanita ketika idah secara kiasan tertakluk kepada jenis idah tersebut:

  • Hukum lelaki menyuarakan hasrat untuk melamar wanita yang menjalani tempoh idah talak raj’i   secara kiasan adalah haram
  • Hukum lelaki menyuarakan hasrat untuk melamar wanita yang sedang menjalani idah kematian suami dan idah talak tiga (talak ba’in) secara kiasan adalah harus.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1]Al-Nawawi, Abu Zakariyya Muhyi Ad-Din bin Syarah, Raudah at-Talibin   wa Umdatun Muftin (Bayrut, al-Maktab al-Islami, 1991) 7: 30

وَإِنْ كَانَ مُعْتَدَّةً، حَرُمَ التَّصْرِيحُ بِخِطْبَتِهَا مُطْلَقًا

[2] Abu Jaafar al-Tabari, Jami’ Al-Bayan Fi Ta’wil Al-Quran ( T.t : Muasasah al-Risalah, 2000) Jld 4: 115 & 4 : 521

وَالْبُعُولَةُ جَمْعُ بَعْلٍ: وَهُوَ الزَّوْجُ لِلْمَرْأَةِ،

Ibid (4/ 521)

وبعولتهن أحقُّ بردهنَّ"، هي التي طلقت واحدة أو ثنتين

[3] Al-Khatib As-Syirbini, Al-Iqna' Fi Hal Alfaz Abi Syuja, (Bayrut : Dar al-Fikr, t.t ) 2: 414

[4] Al-Nawawi, Abu Zakariyya Muhyi Ad-Din bin Syarah, Raudah at-Talibin   wa Umdatun Muftin (Bayrut, al-Maktab al-Islami, 1991) 7: 30

وَإِنْ كَانَ مُعْتَدَّةً، حَرُمَ التَّصْرِيحُ بِخِطْبَتِهَا مُطْلَقًا. وَأَمَّا التَّعْرِيضُ، فَيَحْرُمُ فِي عِدَّةِ الرَّجْعِيَّةِ، وَلَا يَحْرُمُ فِي عِدَّةِ الْوَفَاةِ.

[5] Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mugni Muhtaj ila Ma’rifah Alfaz al-Minhaj, (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah 1994)   4: 219

وَالتَّعْرِيضُ مَا يَحْتَمِلُ الرَّغْبَةُ فِي النِّكَاحِ وَعَدَمَهَا، كَقَوْلِهِ: أَنْتِ جَمِيلَةٌ، وَرُبَّ رَاغِبٍ فِيكِ، وَمَنْ يَجِدُ مِثْلَكِ، وَلَسْتِ بِمَرْغُوبٍ عَنْكِ

[6] Al-Nawawi, Abu Zakariyya Muhyi Ad-Din bin Syarah, Majmu’ Syarh al-Muhadzzab.(t.t Dar al-Fikr, t.th) : 16:256

ويجوز التعريض بخطبة المعتدة عن الوفاة والطلاق الثلاث لقوله تعالى (وَلا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا عَرَّضْتُمْ بِهِ مِنْ خطبة النساء)

[7] Abu Jaafar al-Tabari, Jami’ Al-Bayan Fi Ta’wil Al-Quran ( T.t : Muasasah al-Risalah, 2000)   5: 95

قال أبو جعفر: يعني تعالى ذكره بذلك: ولا جناح عليكم، أيها الرجال، فيما عرضتم به من خطبة النساء، للنساء المعتدات من وفاة أزواجهن في عددهن، ولم تصرحوا بعقد نكاح.

[8] Jalaluddin Muhammad, Tafsir al-Jalalain ( Al-Qaerah : Dar al-Hadis, t.t) 51

الْمُتَوَفَّى عَنْهُنَّ أَزْوَاجهنَّ فِي الْعِدَّة كَقَوْلِ الْإِنْسَان مَثَلًا إنَّك لَجَمِيلَة وَمَنْ يَجِد مِثْلك وَرُبّ رَاغِب فِيك

[9] Al-Nawawi, Abu Zakariyya Muhyi Ad-Din bin Syarh, Minhaj al-Thalibin wa Umdatun Muftin fi al-Fiqh ( t.t Dar al-Fikr, 2005) 205

تحل خطبة خلية عن نكاح وعدة لا تصريح لمعتدة ولا تعريض لرجعية ويحل تعريض في عدة وفاة وكذا البائن في الأظهر

Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mugni Muhtaj ila Ma’rifah Alfaz al-Minhaj, (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah 1994) 4: 219

(وَكَذَا) يَحِلُّ تَعْرِيضٌ (لِبَائِنٍ) بِفَسْخٍ أَوْ رِدَّةٍ أَوْ طَلَاقٍ (فِي الْأَظْهَرِ) لِعُمُومِ الْآيَةِ، وَلِانْقِطَاعِ مغني المحتاج إلى معرفة معاني ألفاظ

سَلْطَنَةِ الزَّوْجِ عَنْهَا.

[10] Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mugni Muhtaj ila Ma’rifah Alfaz al-Minhaj, (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah 1994) 4: 219    

(تَحِلُّ خِطْبَةُ خَلِيَّةٍ عَنْ نِكَاحٍ، وَ) عَنْ (عِدَّةٍ) وَكُلِّ مَانِعٍ مِنْ مَوَانِعِ النِّكَاحِ وَأَنْ لَا يَسْبِقَهُ غَيْرُهُ بِالْخِطْبَةِ، وَيُجَابُ تَعْرِيضًا وَتَصْرِيحًا كَمَا تَحْرُمُ خِطْبَةُ مَنْكُوحَةٍ كَذَلِكَ إجْمَاعًا فِيهِمَا.