اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-935: TREND BODY TEA

TREND_BODY_TEA.jpg

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Baru-baru ini tular satu trend "body tea" di media sosial yang melibatkan wanita-wanita termasuklah mereka yang beragama Islam. Trend tersebut bertujuan mempamerkan bentuk badan wanita sehingga mendapat kritikan oleh masyarakat. Mohon ulasan SS Mufti

Ringkasan Jawapan:

Trend body tea yang mempamerkan tubuh wanita jelas bertentangan dengan ajaran agama Islam kerana ia melibatkan pendedahan aurat kepada umum, mengundang fitnah, membuka ruang kepada pandangan haram, gangguan seksual serta merendahkan martabat wanita Islam. Agama Islam sangat memuliakan kedudukan wanita dengan menekankan penjagaan maruah, akhlak dan adab sebagai wanita muslimah. Kewujudan trend-trend baharu yang tidak bermoral ini bukan sahaja menggadai kesucian maruah malah pencetus kepada kepada keruntuhan akhlak dan keharmonian sosial jika tidak dibendung dengan panduan syariat. Oleh itu, wanita muslimah hendaklah menyedari bahawa nilai sebenar diri terletak pada keimanan, ketaqwaan, keilmuan akhlak bukannya pada rupa paras semata-mata. Peranan wanita lebih besar daripada itu jika mereka mampu menyumbang kepada agama, keluarga dan pembangunan ummah.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Maruah dan Kemuliaan Wanita

Agama Islam sangat memuliakan dan meninggikan kedudukan wanita sehinggakan mereka bukan sahaja dianggap sebagai manusia yang setaraf dengan lelaki dari sudut perhambaan kepada Allah SWT bahkan turut diberikan penghormatan yang tinggi dalam aspek hak, maruah dan tanggungjawab. Begitu banyak kelebihan wanita yang disebutkan dalam nas-nas yang sahih seperti kelebihan bagi wanita yang menjaga kehormatan. Berdasarkan sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الدُّنْيا مَتاعٌ وَخَيْرُ مَتاعِ الدُّنْيا المَرْأَةُ الصّالِحَةُ

Maksudnya: “Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah”.

(Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis ini, Imam al-Qurtubi menjelaskan ciri-ciri wanita solehah iaitu wanita yang apabila dipandang oleh suaminya maka dia menyejukkan hati dan menyenangkan jiwa, wanita yang mentaati segala perintah suami serta wanita menjaga kehormatan diri dan harta ketika ketiadaan suaminya.[1]

Tafsiran ini adalah berdasarkan kepada hadis lain di mana Abdullah bin ‘Abbas meriwayatkan daripada Nabi SAW:

أَلاَ أُخْبِرُكَ بِخَيْرِ مَا يَكْنِزُ الْمَرْءُ الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ إِذَا نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ وَإِذَا أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ وَإِذَا غَابَ عَنْهَا حَفِظَتْهُ

Maksudnya: “Hendakkah kamu aku beritahukan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.”

(Riwayat Abu Daud)

Tambahan pula, al-Tibiy menyatakan bahawa Syarak secara khusus membicarakan perihal wanita serta membataskannya dengan sifat solehah untuk menunjukkan bahawa wanita itu akan menjadi seburuk-buruk perhiasan dunia sekiranya mereka tidak memiliki ciri-ciri tersebut.[2] Justeru, apabila wanita tidak bersifat dengan sifat-sifat wanita solehah yang bertujuan mencegahnya daripada melalukan keburukan, maka dikhuatiri mereka akan menjadi punca kepada kerosakan.[3]

Fitnah dan Kemudaratan Sosial dalam Trend Body Tea

Menjaga pandangan dan kehormatan diri adalah perkara wajib sebagaimana yang telah diperintahkan dalam firman Allah SWT berikut:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ ‎﴿٣٠﴾‏ وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (30) Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.

Surah al-Nur (30-31)

Perbuatan mempamerkan bentuk tubuh secara terbuka bukan sahaja boleh mendorong kepada pandangan yang haram dan penuh nafsu, bahkan perbuatan trend yang menyimpang ini boleh menimbulkan fitnah kepada diri sendiri serta menjejaskan maruah seorang wanita. Hal ini berpunca daripada tindakan yang sengaja membuka ruang kepada orang lain untuk memandang dengan niat yang salah. Lebih dahsyat lagi, jika video atau gambar yang dimuat naik mengundang kepada gangguan seksual dalam talian melalui komen-komen atau ejekan tidak senonoh.

Islam mengajak untuk menutup pintu fitnah dengan memerintahkan penjagaan aurat, adab berpakaian dan larangan membuka ruang kepada perbuatan yang boleh merosakkan keharmonian sosial, justeru trend tidak bermoral sebegini perlu dielakkan agar tidak menjadi satu fenomena negatif.

Wanita muslimah perlu sedar bahawa nilai sebenar diri tidak terletak pada rupa paras atau bentuk tubuh, tetapi pada iman, akhlak dan ilmu. Sebagai wanita, peranannya amat besar kepada agama dan negara. Wanita sepatutnya menyumbangkan tenaga, ilmu serta kepakaran dalam perkara yang membawa kemajuan dan kesejahteraan masyarakat, bukannya terlibat dengan hal yang meruntuhkan akhlak dan merosakkan nilai kemanusiaan. Seorang wanita solehah merupakan aset berharga bagi negara, sumber kekuatan keluarga serta penjana pembangunan ummah dan sama sekali bukan beban kepada masyarakat.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Al-Qurtubi, Muhammad bin Ahmad. Al-Jami’ li Ahkam al-Quran. (Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah, 1968). Jld 5 hlm 170.

إِذا نظر إِلَيْهَا سرته وَإِذا أمرهَا أَطَاعَته وَإِذا غَابَ عَنْهَا حفظته فِي نَفسهَا وَمَاله

[2] Al-Tibiy, Syarifuddin al-Hussin bin ‘Abdullah. Syarh al-Tibiy ‘ala Misykah al-Masabih. (Riyadh: Maktabah Nizar Mustafa al-Baz). Jld 7 hlm 2259.

وخص منها المرأة وقيدها بالصالحة؛ ليؤذن بأنها شرها لو لم تكن علي هذه الصفة، ومن ثمة قدمها في الآية علي سائرها.

[3] https://dorar.net/hadith/sharh/74212

وخصَّ هنا منها المرأةَ وقيَّدَها بالصَّلاحِ ليؤْذِنَ بأنَّها شرُّ مَتاعِ الدُّنيا إذا لم تكُنْ بتلك الصِّفةِ؛ لأنَّها إذا لم يَمنَعْها الصَّلاحُ عنِ الشَّرِّ كانت عَينَ المَفسَدةِ،