اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-944: HUKUM MENDERMA RAMBUT UNTUK PESAKIT KANSER

HUKUM_MENDERMA_RAMBUT_UNTUK_PESAKIT_KANSER.jpg

Soalan:

Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Terdapat permintaan daripada pemilik kedai gunting rambut untuk mengambil rambut pelanggan yang telah dipotong bagi tujuan pendermaan kepada pesakit kanser yang keguguran atau botak kesan daripada rawatan kemoterapi. Rambut tersebut akan dihantar ke NGO untuk dijadikan rambut palsu kemudiannya diberikan kepada pesakit kanser. Kemudian, kos bagi penghasilan rambut palsu anggaran rm800. Persoalannya, apakah hukum menderma rambut kepada orang lain? Mohon pencerahan SS Datuk

Ringkasan Jawapan 

Hukum menderma rambut manusia kepada pesakit kanser untuk dijadikan rambut palsu adalah haram. Hal ini kerana, rambut manusia yang terpisah atau terpotong tidak boleh diperdagangkan mahupun dimanfaatkan oleh orang lain dengan apa -apa cara sekalipun. Malah, perbuatan menyambungkan rambut juga diharamkan sebagaimana ancaman dan laknat yang disebutkan hadis. Walau bagaimanapun, pemakaian rambut palsu sintetik bagi pesakit kanser adalah dibenarkan dengan syarat ia tidak diperbuat daripada rambut manusia atau bulu yang bernajis.

Huraian Jawapan 

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Hukum Jual Beli Rambut

Para fuqaha keempat-empat mazhab bersepakat bahawa rambut manusia tidak boleh dijual beli mahupun dimanfaatkan oleh orang lain kerana juzuk anggota anak Adam itu dimuliakan.[1] Hal Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِيٓ ءَادَمَ

Maksudnya: Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam

(Surah Al-Isra’:70)

Al-Imam al-Nawawi menyebutkan di dalam kitabnya Al-Majmu’ berkenaan larangan menjual rambut manusia sama ada ia bersambung mahupun terpotong.[2] Malahan, rambut yang terpotong disunatkan untuk disembunyikan mahupun ditanam di dalam tanah sebagaimana telah disepakat oleh para Sahabat RA. [3]

Hukum Menyambung Rambut

Ulama bersepakat bahawa perbuatan menyambung rambut adalah haram berdasarkan hadis Rasulullah SAW berkaitan ancaman dan laknat kepada mereka yang menyambung rambut dan meminta disambung rambutnya. Pengharaman ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Asma’ binti Abu Bakar RA bahawa terdapat seorang wanita yang berjumpa dengan Rasulullah SAW lalu mengadu kepada Baginda: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai seorang anak perempuan yang baru bernikah. Dia telah terkena penyakit cacar (chickenpox) sehingga menyebabkan rambutnya keguguran. Bolehkah dia menyambung rambutnya (dengan rambut palsu)? Lalu Baginda SAW bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاصِلَةَ وَالْمُسْتَوْصِلَةَ

Maksudnya: “Allah melaknat orang yang menyambung rambut dan orang yang minta disambungkan rambutnya.”

(Riwayat Muslim)

Ibn Battal bahawa seorang wanita diharamkan menyambung rambutnya dengan sesuatu, jika tujuannya untuk mencantikkan dirinya dan supaya orang lain yang melihatnya menyangka bahawa rambut yang disambung itu adalah rambut asalnya. Perbuatan ini seolah-olah menggambarkan bahawa pelakunya tidak redha dengan ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT sehingga mengubah kejadian ciptaannya.[4]

Para ulama mazhab Syafi’i menyatakan bahawa perbuatan menyambung rambut dengan rambut manusia lain adalah haram sama ada bagi lelaki atau perempuan, atau menyambung rambut dengan rambut mahramnya, suaminya atau selain daripada mereka. Pengharaman ini jelas, bahkan para ulama telah bersepakat berkenaan hukumnya berdasarkan keumuman hadis tersebut. Hal ini kerana, mengambil manfaat daripada rambut dan seluruh anggota badan manusia adalah diharamkan kerana kemuliaan yang diberikan kepada manusia.[5]

Tambahan pula, Imam al-Ramli menjelaskan bahawa seorang wanita juga diharamkan untuk menyambung rambutnya dengan bulu yang suci (selain rambut manusia) sekiranya tidak mendapat keizinan daripada suami. Justeru, jika seorang isteri berkeinginan atau diminta oleh suaminya untuk menyambung rambut, maka hukumnya adalah harus dengan syarat dia mestilah menyambungkan rambutnya dengan sesuatu yang tidak menyerupai sifat rambut seperti benang sutera yang berwarna atau lain-lain.[6]

Institusi Fatwa

Jabatan Fatwa Jordan ada mengeluarkan beberapa kenyataan berhubung hukum pemakaian rambut palsu:

  • Pemakaian rambut palsu bagi lelaki dan wanita adalah dibenarkan dengan syarat ia tidak diperbuat daripada rambut manusia atau bulu yang bernajis, begitu juga tidak bertujuan untuk menipu dan memperdaya orang lain.[7]
  • Isteri yang menghidap penyakit kanser sehingga menyebabkan keguguran rambut diharuskan memakai rambut palsu di dalam rumah sekiranya diizinkan oleh suaminya. Namun, ia tidak boleh diperlihatkan kepada orang luar kerana ia sebahagian daripada perhiasan. Keharusan ini dengan syarat rambut palsu itu bukan diperbuat daripada rambut manusia dan bukan daripada bulu yang bernajis. [8]

Sementara itu, prosedur menanam rambut ke dalam kulit kepala adalah dibenarkan kerana ia dianggap rawatan yang bertujuan mengembalikan fitrah ciptaan-Nya. Namun, keharusan tersebut dengan syarat penanaman rambut adalah dengan menggunakan rambut sendiri, bahan-bahan suci, tiada unsur najis serta tidak mendatangkan sebarang kesan mudarat berdasarkan perbahasan pautan berikut :https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/5300-irsyad-al-fatwa-siri-ke-694-hukum-tanam-rambut-sintetik-tiruan

Kesimpulan

Hukum mendermakan rambut manusia kepada pesakit kanser untuk dijadikan rambut palsu adalah haram. Walau bagaimapun, pemakaian rambut palsu sintetik bagi pesakit kanser adalah dibenarkan dengan syarat ia tidak diperbuat daripada rambut manusia lain atau bulu yang bernajis. Namun, sekiranya pesakit ingin menggunakan kaedah alternatif lain seperti menanam rambut sendiri, maka ia mestilah mendapat nasihat dan pengesahan pakar perubatan yang mana ia terbukti tiada kesan gugur akibat rawatan kemoterapi.

Wallahu a'lam  

 

Rujukan:

[1]Al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah ( 26/102)

وَاتَّفَقَ الْفُقَهَاءُ عَلَى عَدَمِ جَوَازِ الاِنْتِفَاعِ بِشَعْرِ الآْدَمِيِّ بَيْعًا وَاسْتِعْمَالاً؛ لأَِنَّ الآْدَمِيَّ مُكَرَّمٌ لِقَوْلِهِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى: {وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ}

فَلاَ يَجُوزُ أَنْ يَكُونَ شَيْءٌ مِنْ أَجْزَائِهِ مُهَانًا مُبْتَذَلاً

[2] Al-Nawawi, Muḥyī al-Dīn Yahyā bin Sharf. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (t.t, Dar al-Fikr). 9/254.

وَاحْتَجَّ الْمَانِعُونَ بِأَنَّهُ لَا يُبَاعُ فِي الْعَادَةِ وَبِأَنَّهُ فَضْلَةُ آدَمِيٍّ فَلَمْ يَجُزْ بَيْعُهُ كَالدَّمْعِ وَالْعَرَقِ وَالْمُخَاطِ وَبِأَنَّ مَا لَا يَجُوزُ بَيْعُهُ مُتَّصِلًا لَا يَجُوزُ بَيْعُهُ مُنْفَصِلًا كَشَعْرِ الْآدَمِيِّ

[3] Al-Nawawi, Muḥyī al-Dīn Yahyā bin Sharf. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (t.t, Dar al-Fikr). 1/289.

يُسْتَحَبُّ دَفْنُ مَا أُخِذَ مِنْهَذِهِ الشُّعُورِ وَالْأَظْفَارِ وَمُوَارَاتُهُ فِي الْأَرْضِ نُقِلَ ذَلِكَ عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا وَاتَّفَقَ عَلَيْهِ أَصْحَابُنَا وَسَنَبْسُطُهُ فِي كِتَابِ الْجَنَائِزِ حَيْثُ ذَكَرَهُ الْأَصْحَابُ إنْ شَاءَ اللَّهُ تَعَالَى

[4] Ibn Battal, Ali bin Khalaf. Syarh Sahih Bukhari li Ibn Battal. (Riyad: Maktabah al-Rusyd, 2003). 9/172.

قال الطبرى وغيره: فى هذه الأحاديث من الفقه أنه لا يجوز لامرأة أن تصل شعرها بشىء يتجمل به ويظن من يراه أنه شعرها، كما لا يجوز أن تشم خلقها تتزين بذلك، وهو قول مالك وجماعة، وفاعله ذلك لم ترض بما أعطاها الله فغيرت خلقها.

[5] Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Kaherah: Dar al-Tiba’ah al-Muniriyyah, 1347H). 3/139.

قال أصحابنا إذا وصلت شعرها بشعر آدمي فهو حرام بلا خلاف سواء كان شعر رجل أو امرأة وسواء شعر المحرم والزوج وغيرهما بلا خلاف لعموم الأحاديث الصحيحة في لعن الواصلة المستوصلة ولأنه يحرم الانتفاع بشعر الآدمي وسائر أجزائه لكرامته

[6] Syihabuddin al-Ramli, Muhammad bin Abi al-Abbas. Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj. (Beirut: Dar al-Fikr, 1984). 2/24.

وَيَحْرُمُ عَلَى ‌الْمَرْأَةِ ‌وَصْلُ ‌شَعْرِهَا بِشَعْرٍ طَاهِرٍ مِنْ غَيْرِ آدَمِيٍّ، وَلَمْ يَأْذَنْهَا فِيهِ زَوْجٌ أَوْ سَيِّدٌ، وَيَجُوزُ رَبْطُ الشَّعْرِ بِخُيُوطِ الْحَرِيرِ الْمُلَوَّنَةِ وَنَحْوِهَا مِمَّا لَا يُشْبِهُ الشَّعْرَ

[7]https://www.aliftaa.jo/research-fatwas/3584

ولا حرج في لبس الباروكة للمرأة والرجل، بشرط أن لا تكون من شعر آدمي أو من شعر نجس، وبشرط أن لا يكون ذلك بقصد الغشّ والتدليس والتغرير بالناس، كإظهار الكبير في العمر صغيراً.

زراعة الشعر هي عبارة عن عملية تجميلية يتمّ فيها زرع الشعر في الجلد، وهي ليست من تغيير خلق الله تعالى، بل من المعالجة التي يُقصد بها ردّ الأمر إلى طبيعته التي خلقه الله تعالى عليها.

[8] https://aliftaa.jo/fatwa/2864