اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-945: SOLAT QADA BAGI WANITA YANG MENGALAMI ISTIHADAH BERTERUSAN

SOLAT_QADA_BAGI_WANITA_YANG_MENGALAMI_ISTIHADAH_BERTERUSAN.jpg

Soalan:

Assalamualaikum, saya ingin bertanya soalan, setakat pengetahuan saya wanita yang sentiasa berhadas seperti istihadah dan keputihan berterusan wuduknya hanya sah untuk menunaikan 1 solat fardu sahaja dan boleh digunakan untuk beberapa solat sunat. Persoalan saya, saya mempunyai masalah istihadah yang berpanjangan dalam beberapa tahun dan mempunyai banyak baki solat yang ditinggalkan sebelum ini. Adakah saya perlu berwuduk dan bersuci bagi setiap satu solat qada yang hendak dilakukan?

Ringkasan Jawapan

i. Setiap Muslim yang meninggalkan solat sama ada dengan sengaja ataupun dengan keuzuran mereka wajib menggantikannya.

ii. Dalam hal ini, tiada perbezaan antara orang yang sentiasa berhadas dengan orang yang sihat iaitu jika seseorang memiliki banyak solat yang ditinggalkan maka dia hendaklah sedaya upaya menggantikan solat yang ditinggalkan tersebut mengikut kemampuannya.

iii. Namun begitu, para ulama berbeza pandangan tentang bersuci bagi wanita yang sentiasa berhadas (daim al-hadath) termasuk wanita yang mengalami istihadah yang berterusan. Menurut pandangan muktamad mazhab Syafi‘i, wuduk orang yang sentiasa dalam keadaan berhadas hanya sah untuk satu solat sahaja sama ada fardu atau qada atau nazar dan berapa-beberapa banyak solat sunat.

iv. Walau bagaimanapun, jika seseorang wanita yang sentiasa berhadas mempunyai banyak hutang solat sehingga sukar untuk dirinya bersuci berulang kali dalam melaksanakan solat-solat qada ini, maka keadaan ini membolehkan mereka untuk mengambil pandangan yang lebih meringankan iaitu seseorang hendaklah bersuci selepas masuk waktu dan satu wuduk boleh digunakan untuk menunaikan apa saja jenis solat fardu, qada, nazar dan solat sunat selagi masih dalam waktu solat tersebut dan tidak berlaku perkara yang membatalkan wuduk selain masalah hadas yang dialami berdasarkan pandangan mazhab Hanafi.

 

Huraian Jawapan:

Selawat dan salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Istihadah termasuk dalam golongan Daim al-Hadath (sentiasa dalam keadaan berhadas)

Dari segi Bahasa Arab terdapat beberapa perkataan yang digunakan antaranya salas (سلس) bermaksud mudah, lembut dan ia juga merujuk kepada makna seseorang yang tidak mampu menahan air kencing.[1]

Dari segi istilah daim al-Hadath ialah golongan yang sentiasa dalam keadaan hadas contohnya seperti orang yang menghidap kencing tidak lawas, orang yang sentiasa keluar mazi,mani, wadi, tahi, sentiasa terkentut,[2] wanita yang mengalami istihadah, keputihan, buasir yang keluar dari dalam dubur dan keluar darah berterusan, darah yang keluar dari hidung berterusan dan sebagainya.

Menurut mazhab Hanafi[3], Syafi’i[4], dan Hanbali[5] (mengikut pendapat yang sahih) mensyaratkan bahawa keadaan hadas itu mestilah berterusan sepanjang waktu solat fardu, sehingga orang yang berhadas tersebut tidak menemukan waktu sepanjang tempoh solat tersebut yang cukup untuk berwuduk dan menunaikan solat tanpa adanya uzur. Begitu juga, menurut mazhab Maliki mensyaratkan paling kurang separuh waktu solat ke atas untuk mengambil hukum wuduk orang yang sentiasa berhadas [6]

Manakala, Imam Ahmad dalam satu riwayat yang dipilih oleh sebahagian ulama Hanbali, berpendapat bahawa seseorang boleh dianggap sebagai orang yang mempunyai uzur meskipun hadas itu tidak berterusan sepanjang waktu solat fardu[7].

Dalam hal ini, wanita istihadah termasuk daripada golongan yang sentiasa dalam keadaan berhadas dan hukumnya sama seperti wanita suci daripada haid dan nifas. Mereka tidak terhalang daripada melaksanakan ibadah solat dan puasa[8]. Begitu juga, syariat memberi keringanan kepada golongan ini iaitu ibadahnya tetap sah meskipun keluar hadasnya secara berterusan dengan syarat mereka hendaklah bersegera bersuci setelah masuk waktu solat dan berniat untuk membolehkan solat bukan mengangkat hadas dan segera menunaikan solat.[9]

Cara bersuci untuk golongan Daim al-Hadath untuk solat qada

Secara asasnya, setiap Muslim yang meninggalkan solat sama ada dengan sengaja ataupun dengan keuzuran mereka wajib menggantikannya. Dalam hal ini, tiada perbezaan antara orang yang sentiasa berhadas dengan orang yang sihat iaitu jika seseorang memiliki banyak solat yang ditinggalkan maka dia hendaklah sedaya upaya menggantikan solat yang ditinggalkan tersebut mengikut kemampuannya.

Dalam melaksanakan hal ini, seseorang yang hendak mendirikan solat hendaklah memastikan dirinya suci daripada hadas, pakaiannya serta tempat solatnya suci daripada najis kerana ia merupakan syarat sah untuk mendirikan solat[10]. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar RA, Rasulullah SAW bersabda[11]:

لا تُقْبَلُ صَلاةٌ بغيرِ طُهُورٍ

Maksudnya: solat tidak diterima tanpa bersuci

(Riwayat Muslim)

Namun, para ulama berbeza pandangan dalam perbahasan orang yang sentiasa berhadas mengqada lebih daripada satu solat fardu atau qada dengan satu wuduk:

Menurut mazhab Hanafi[12] dan Hanbali[13] orang yang sentiasa dalam keadaan hadas boleh menunaikan lebih daripada satu solat fardu dan beberapa solat sunat dengan satu wuduk termasuk juga boleh mengqada beberapa solat yang tertinggal selagi masih dalam waktu solat tersebut dan tidak berlaku perkara yang membatalkan wuduk selain masalah hadas yang dialami tersebut.

Hal ini berdasarkan hadis daripada Aisyah RA ketika Fatimah Binti Abi Hubaisy datang berjumpa Rasulullah SAW dan dia berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ، ‌إِنِّي ‌امْرَأَةٌ ‌أُسْتَحَاضُ ‌فَلَا ‌أَطْهُرُ، أَفَأَدَعُ الصَّلَاةَ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: (لَا، إِنَّمَا ذَلِكِ عِرْقٌ، وَلَيْسَ بِحَيْضٍ، فَإِذَا أَقْبَلَتْ حَيْضَتُكِ فَدَعِي الصَّلَاةَ، وَإِذَا أَدْبَرَتْ فَاغْسِلِي عَنْكِ الدَّمَ ثُمَّ صَلِّي). قَالَ: وقال أبي: (ثم تؤضي لكل صلاة، حتى يجيء ذلك الوقت)

Maksudnya: Fatimah bin Abi Hubais datang menemui Nabi SAW dan berkata: Wahai Rasulullah SAW, aku seorang wanita yang sering keluar darah (istihadhah). Adakah aku perlu meninggalkan solat?” Jawab Rasulullah SAW: Jangan kamu tinggalkan solat, darah tersebut hanyalah darah penyakit dan bukan darah haid. Kamu tinggalkan solat ketika didatangi darah haid. Apabila darah haidmu tiada lagi, maka kamu hendaklah mandi wajib (apabila keringnya haid) dan tunaikan solat. Dalam sebahagian lafaz hadis lain dinyatakan: Kemudian kamu berwuduk bagi setiap solat sehingga datang semula waktu (haid)

Menurut pandangan mereka, wanita istihadah seperti hukum orang yang bertayamum[14] iaitu dari segi ibadahnya terikat dengan waktu maka orang yang sentiasa berhadas boleh melakukan apa sahaja jenis ibadah termasuk solat fardu, qada atau sunat selagi masih dalam waktu solat tersebut dan tidak terbatal wuduknya.

Menurut mazhab Syafi’i, orang yang sentiasa berhadas tidak boleh menunaikan lebih daripada satu solat fardu dengan satu wuduk, sama ada solat qada atau solat yang dilaksanakan pada waktunya.[15] Dalam hal ini, dapat difahami wuduk orang yang sentiasa berhadas ini hanya sah untuk satu solat fardu atau qada atau nazar dan boleh melakukan beberapa banyak solat sunat.

Oleh itu, wanita istihadah pada setiap kali hendak melaksanakan solat fardu atau qada hendaklah bersuci terlebih dahulu iaitu menyumbat kemaluannya dengan kapas dan membalutnya seperti orang yang sentiasa berhadas dan berwuduk setelah masuk waktu solat seperti orang yang bertayammum[16] kemudian bersegera menunaikan solat.

Selain itu menurut mazhab Maliki, disunatkan bagi golongan ini untuk berwuduk apabila hadas berlaku sekurang-kurangnya lebih daripada separuh waktu atau kebanyakan waktu. Namun, jika hadas berlaku pada keseluruhan waktu maka wuduk tidak lagi disunatkan. Hal ini kerana, wuduk hanya disunatkan apabila kebiasaan hadas berterusan ini tidak menyebabkan kesukaran seperti dalam keadaan cuaca sejuk atau faktor lain yang menyukarkan. Apabila wuduk tersebut menyebabkan kesulitan maka ia tidak lagi disunatkan.[17]

Walau bagaimanapun, jika seseorang wanita yang sentiasa berhadas mempunyai banyak hutang solat sehingga sukar untuk dirinya bersuci berulang kali dalam melaksanakan solat-solat qada ini, maka keadaan ini membolehkan mereka untuk mengambil pandangan memberi memudahkan[18].

من ابتلي بشيء من هذا أن يقلد مَنْ أجاز ذلك مِن العلماء

Maksudnya: Sesiapa yang ditimpa masalah daripada hal ini (hukum asal) hendaklah dia bertaklid dengan pendapat lain yang mengharuskan daripada kalangan ulamak

Maka keadaan ini, membolehkan golongan ini untuk mengambil pandangan memberi memudahkan iaitu seseorang hendaklah bersuci selepas masuk waktu dan satu wuduk boleh digunakan untuk menunaikan apa saja jenis solat fardu, qada, nazar dan solat sunat berdasarkan pandangan mazhab Hanafi yang bersandarkan kepada dalil yang sahih.

Kesimpulan

i.Setiap Muslim yang meninggalkan solat sama ada dengan sengaja ataupun dengan keuzuran mereka wajib menggantikannya.

ii.Dalam hal ini, tiada perbezaan antara orang yang sentiasa berhadas dengan orang yang sihat iaitu jika seseorang memiliki banyak solat yang ditinggalkan maka dia hendaklah sedaya upaya menggantikan solat yang ditinggalkan tersebut mengikut kemampuannya.

iii. Namun begitu, para ulama berbeza pandangan tentang bersuci bagi wanita yang sentiasa berhadas (daim al-hadath) termasuk wanita yang mengalami istihadah yang berterusan. Menurut pandangan muktamad mazhab Syafi‘i, wuduk orang yang sentiasa dalam keadaan berhadas hanya sah untuk satu solat solat sama ada solat fardu atau qada atau nazar dan berapa-beberapa banyak solat sunat.

iv. Walau bagaimanapun, jika seseorang wanita yang sentiasa berhadas mempunyai banyak hutang solat sehingga sukar untuk dirinya bersuci berulang kali dalam melaksanakan solat-solat qada ini, maka keadaan ini membolehkan mereka untuk mengambil pandangan yang lebih meringankan iaitu seseorang hendaklah bersuci selepas masuk waktu dan satu wuduk boleh digunakan untuk menunaikan apa saja jenis solat fardu, qada, nazar dan solat sunat selagi masih dalam waktu solat tersebut dan tidak berlaku perkara yang membatalkan wuduk selain masalah hadas yang dialami berdasarkan pandangan mazhab Hanafi.

Wallahu a'lam 

 

Rujukan:

[1] Ahmad Bin Muhammad Bin ‘Ali al-Fayumi, Al-Misbah al-Munir fi Gharib al-Sharh al- Kabir, (Beirut, Lubnan: Maktabah al-‘ilmiyyah, t.t),

(س ل س) : ‌سَلِسَ سَلَسًا مِنْ بَابِ تَعِبَ سَهُلَ وَلَانَ فَهُوَ ‌سَلِسٌ وَرَجُلٌ ‌سَلِسٌ بِالْكَسْرِ بَيِّنُ السَّلَسِ بِالْفَتْحِ وَالسَّلَاسَةِ أَيْضًا سَهْلُ الْخُلُقِ.)

وَسَلَسُ الْبَوْلِ اسْتِرْسَالُهُ وَعَدَمُ اسْتِمْسَاكِهِ لِحُدُوثِ مَرَضٍ بِصَاحِبِهِ

[2] Wizarah al-Awqaf wa- al-Shu’un al-Islamiyyah. (t.t). Al-Mawsu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah. Dār al-Salasih: Kuwait. Jil. 25, ms. 187.

اسْتِرْسَال الْخَارِجِ بِدُونِ اخْتِيَارٍ مِنْ بَوْلٍ أَوْ مَذْيٍ أَوْ مَنِيٍّ أَوْ وَدْيٍ أَوْ غَائِطٍ أَوْ رِيحٍ (1) ، وَقَدْ يُطْلَقُ السَّلَسُ عَلَى الْخَارِجِ نَفْسِهِ

[3] Muhamad Bin ‘Alī Bin Muhammad Bin ‘Alī Bin ‘Abd al-Rahman al-Haskafiy, Al-Dar al-Mukhtar Sharh Tanwir al- Absar wa Jami’ al-Bahr, (Beirut: Dār Al-Kutub Al-Islamiyyah, 2002), hal. 45.

(إن استوعب عذره تمام وقت صلاة مفروضة) بأن لا يجد في جميع وقتها زمنا يتوضأ ويصلي فيه خاليًا عن الحدث (ولو حكمًا)؛ لأن الانقطاع اليسير ملحق بالعدم، (وهذا شرط) العذر

[4] Abu Zakariya Muhyiddiin bin Sharaf al-Nawawi. Minhāj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin fī al-Fiqh.(Amman, Jordan: Dār al-Fikr, 2005), hal. 45

ولو انقطع دمها بعد الوضوء ولم تعتد انقطاعه وعوده أو اعتادت ووسع زمن الانقطاع وضوء والصلاة وجب الوضوء

[5] ‘Alauddin Abu al-Hasan ‘Ali Bin Sulayman Bin Ahmad al-Mardawi, al-Insaf fi ma’rifati al-Rajih min al-Khilaf, (Kaherah: Hajr al-Tiba’ah,1995), Jil. 2, hal. 462.

[لو كان لها عادة بانقطاعه في وقت يتسع لفعل الصلاة. فبذا تعين فعل الصلاة فيه على الصحيح من المذهب، وعليه أكثر الأصحاب. وعنه: لا عبرة بانقطاعه، اختاره جماعة، منهم: المجد، وصاحب "الفائق"

[6] Muhammad Bin Ahmad Bin ‘Arafah al-Dusuqi, Hashiyah al-Dusuqi ‘ala al-Sharh al-Kabir, (Dār al-Fikr, Amman, Jordan, t.t ), Jil. 1, hal. 71.

إن ‌لازم ‌كل ‌الزمن ‌أو ‌جله أو نصفه فلا ينقض وإن لازم أقل الزمن نقض مع العفو عما أصاب منه وإنما عفي عما أصاب من الحدث اللازم مطلقا وفصل في نقضه الوضوء

[7]Al-Mardawi, al-Insaf fi ma’rifati al-Rajih min al-Khilaf, Jil. 2, hal. 462.

[لو كان لها عادة بانقطاعه في وقت يتسع لفعل الصلاة. فبذا تعين فعل الصلاة فيه على الصحيح من المذهب، وعليه أكثر الأصحاب. وعنه: لا عبرة بانقطاعه، اختاره جماعة، منهم: المجد، وصاحب "الفائق"

[8] ‘Abd al-Rahman Bin Muhammad ‘Iwad al-Jaziri, Al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah, (Beirut, Lubnan: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 2003), Jil. 1 , Hal. 120.

والمستحاضة من أصحاب الأعذار، فحكمها حكم من به سلس بول، أو إسهال مستمر، أو نحو ذلك من الأعذار المتقدمة في "مباحث المعذور" وحكم الاستحاضة أنها لا تمنع شيئاً من الأشياء التي يمنعها الحيض والنفاس

[9] Abu Zakariyya Muhyi al-Din bin Sharaf al-Nawawi, Minhaj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin fi al-Fiqh.(Amman, Jordan: Dar al-Fikr, 2005). Hal. 12.

فروضه ستة أحدها: نية رفع حدث أو استباحة مفتقر إلى طهر أو أداء فرض الوضوء ومن دام حدثه كمستحاضة كفاه نية الاستباحة دون الرفع على الصحيح فيهما

[10] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha dan Ali Syibarji. Al-Fiqh al-Manhaji a’la Mazhab al-Imām al-Shafi’i.(Damsyik: Dar al-Qalam, 1992). Jil. 1, ms. 121.

لابدَّ من توفر كل واحد منها لصحة الصلاة، وهي:

(أ) طهارة الجسم من الحدث: فالمُحدث لا تصح صلاته، سواءً كان الحدث أصغر - وهو فقد الوضوء- أو أكبر كالجنابة…

(ب) طهارة البدن من النجاسة

[11] Abu Husayn Muslim Bin Al-Hajjaj bin Muslim Al-Qushayri Al-Nisaburi, Sahih Muslim, (Matba’ah ‘Isa al-Babi al-Halabi, Beirut, Lubnan: 1955). Jil. 1, ms. 204.

[12] al-Kasani, Abu Bakar bin Mas’ud. Badai’ al-Sanai’ fi Tartib al-Syarai’ (Mesir: Syarkat al-Matbu‘at al-‘Ilmiyyah, 1327), Jil. 1, hal. 27.

(وأما) أصحاب الأعذار كالمستحاضة، وصاحب الجرح السائل، والمبطون ومن به سلس البول، ومن به رعاف دائم أو ريح، ونحو ذلك ممن لا يمضي عليه وقت صلاة إلا ويوجد ما ابتلي به من الحدث فيه فخروج النجس من هؤلاء لا يكون حدثا في الحال ما دام وقت الصلاة قائما، حتى أن المستحاضة لو توضأت في أول الوقت فلها أن تصلي ما شاءت من الفرائض، والنوافل ما لم يخرج الوقت، وإن دام السيلان،

[13] Abu Muhamad Bin Ahmad Bin Muḥamad Bin Qudamah, Al-Mughni (Riyadh, Arab Saudi: Dar ‘Alam al-Kutub, 1997), Jil. 1, hal.424.

إنما أمرها أن تتوضأ لكل صلاة، فتصلي بذلك الوضوء النافلة والصلاة الفائتة، حتى يدخل وقت الصلاة الأخرى، فتتوضأ أيضاً وهذا يقتضي إلحاقها بالتيمم، في أنها باقية ببقاء الوقت، يجوز لها أن تتطوع بها، وتقضي بها الفوائت، وتجمع بين الصلاتين، ما لم تحدث حدثاً آخر، أو يخرج الوقت. انتهى

[14] Ibn Qudamah, Al-Mughni, Jil. 1, hal. 424.

[15] Abu Zakariyya Muhyiddin bin Sharaf al-Nawawi, al-Majmu’ Sharh al-Muhadzdzab, (Amman, Jordan: Dar al-Fikr, 1928), Jil. 2, hal. 535.

مذهبنا أنها لا تصلي بطهارة واحدة أكثر من فريضة مؤداة كانت أو مقضية.. إلى أن قال: وممن قال إنه لا يصح بوضوئها أكثر من فريضة عروة بن الزبير وسفيان الثوري وأبو ثور

[16] Sulaiman bin Umar al-Jamal Hasyiyah al-Jamal ‘ala Syarh al-Minhaj. (Beirut: Dar al-Fikr, t.t.) Jil. 1, hal. 244.

أَنَّ الْمُسْتَحَاضَةَ قِيسَتْ عَلَى الْمُتَيَمِّمِ فِي أَنَّ طُهْرَهَا لَا بُدَّ أَنْ يَكُونَ لِكُلِّ فَرْضٍ وَفِي الْوَقْتِ فَلَا يَصِحُّ قَبْلَهُ وَقِيسَتْ عَلَى مَنْ بِهِ حَدَثٌ دَائِمٌ فِي الْغَسْلِ وَالْعَصْبِ وَالْحَشْوِ وَالْمُبَادَرَةِ بِالْفَرْضِ، وَالْجَامِعُ بَيْنَهُمَا أَنَّ كُلًّا مِنْ الْمُتَيَمِّمِ وَدَائِمِ الْحَدَثِ طُهْرُهُ مُبِيحٌ لَا رَافِعٌ انْتَهَتْ.

[17]Al-Dusuqi, Hashiyah al-Dusuqi ‘ala al-Sharh al-Kabir, Jil. 1, hal. 117.

(وندب) الوضوء (إن لازم) السلس (أكثر) الزمن وأولى نصفه لا إن عمه ومحل الندب في ملازمة الأكثر إن لم يشق (لا إن شق) الوضوء ببرد ونحوه فلا يندب فقوله وندب إلخ تفصيل في مفهوم قوله فارق أكثر (وفي اعتبار الملازمة) من دوام وكثرة ومساواة وقلة (في وقت الصلاة) خاصة وهو من الزوال إلى طلوع الشمس من اليوم الثاني (أو) اعتبارها (مطلقا) لا بقيد وقت الصلاة فيعتبر حتى من الطلوع إلى الزوال (تردد) للمتأخرين (من مخرجيه) متعلق بالخارج والضمير

[18]Tarakhus ‘inda ibtila’ (الترخص عند الابتلاء), diakses daripada https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatawaConcept/180/%D8%A7%D9%84%D8%AA%D8%B1%D8%AE%D8%B5-%D8%B9%D9%86%D8%AF-%D8%A7%D9%84%D8%A7%D8%A8%D8%AA%D9%84%D8%A7%D8%A1

الابتلاء الخاص، وهو اشتداد حاجة المكلف للتيسير في أمر متكرر يتعسر عليه -بصورة خاصة- ترْكُه أو الاحتراز عنه، بحيث لو كُلِّف اجتنابه لوجد في ذلك مشقة غير معتادة، وذلك نحو أن يبتلى شخص بمرض كسلس البول مثلًا، فإنه يشق عليه تجديد الوضوء لأداء الصلاة كلما نزلت منه قطرة بول، لصعوبة الاحتراز والعجز عن التحكم مع كثرة خروج الحدث