اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HUKUM SIRI KE-957: WANITA YANG SEDANG MENJALANI IDDAH KEMUDIAN DISAHKAN MENOPAUS

WANITA_YANG_SEDANG_MENJALANI_IDDAH_KEMUDIAN_DISAHKAN_MENOPAUS.jpg

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t, saya ingin bertanya, saya berumur 40 tahun dan saya telah bercerai. Mahkamah telah memutuskan saya iddah sebanyak 3 kali suci, dalam perkiraan kitaran haid normal saya sepatutnya haid setiap bulan. Namun sejak saya mengalami masalah kesihatan sehingga saya memerlukan pembedahan untuk membuang rahim dan ovari selepas itu saya mendapati kitaran haid tidak datang sehingga doktor mengesahkan saya sudah menopaus. Bagaimanakah iddah wanita dalam keadaan seperti ini?

Ringkasan Jawapan:

Seseorang wanita yang pada asalnya mempunyai kitaran haid kemudian dalam menjalani iddah tersebut disahkan menopaus disebabkan penyakit atau mendapat rawatan tertentu seperti pembedahan pembuangan rahim dan ovari akan bertukar iddahnya daripada 3 kali suci kepada 3 bulan (iddah menopaus) tanpa perlu menunggu. Namun pengiraan iddah 3 bulan tersebut hendaklah bersambung dan bermula semula selepas pengesahan tersebut dibuat oleh doktor pakar perubatan bagi menyempurnakan tempoh iddah.

 

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat

Definisi Menopause

Menopause dari sudut istilah perubatan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bermaksud keadaan wanita yang terhenti kitaran haid secara kekal akibat daripada kehilangan aktiviti folikel ovari. Seorang wanita dikatakan dalam tempoh putus haid, apabila ia tidak mengalami sebarang bentuk pendarahan faraj selama 12 bulan selepas haid terakhirnya[1]. Sebahagian ada menyatakan menopause berlaku setelah enam bulan ketiadaan kitaran haid.

Sebelum wanita mencapai usia menopaus mereka akan melalui pramenopaus iaitu fasa transisi perubahan wanita dari segi hormon dan fizikal sehingga menyebabkan muncul gejala seperti haid tidak teratur, panas badan dan berpeluh pada sebelah malam, perubahan mood, kesukaran tidur dan sebagainya.Di Malaysia, purata umur wanita putus haid adalah pada umur 50.7 tahun[2].

Umur Menopause atau putus haid

Secara asasnya, wanita menopause ini dipanggil ayisah (أيسة) dalam Bahasa Arab. Menopause atau putus haid dalam perbahasan fiqh dikaitkan dengan satu fasa atau umur haid seseorang wanita itu berhenti.

Dalam hal ini, syarak tidak menentukan umur putus haid (سن اليأس) secara khusus kerana ketiadaan nas yang menyebut tentangnya. Oleh itu, penentuan umur putus haid berdasarkan istiqra’(pemerhatian). Umur putus haid berbeza daripada seorang wanita ke wanita yang lain. ulama berselisih pendapat tentang umur putus haid kepada beberapa pandangan:

Menurut mazhab Hanafi, terdapat dua pendapat tentang had umur wanita putus haid iaitu pertama; pada umur 50, kedua; pada umur 55 tahun[3], pendapat ini berdasarkan riwayat Hasan daripada Abu Hanifah. Oleh itu, apabila seseorang melihat darah selepas umur ini tidak dihukumkan sebagai haid.

Menurut mazhab Maliki, had umur wanita putus haid adalah antara umur 50 sehingga umur 70 tahun[4]. Sekiranya, wanita mendapati keluar darah selepas umur ini, maka darah tersebut dihukum istihadah.

Menurut mazhab Syafi’i, tiada had umur untuk keluar darah haid. Dalam erti kata lain, darah haid boleh keluar selagi mana wanita itu hidup[5]. Adapun umur kebiasaan wanita mengalami putus haid ialah 62 tahun[6].

Menurut mazhab Hanbali had umur putus haid secara yakin adalah pada umur 60 tahun[7]. Adapun darah yang keluar dalam tempoh antara 50 sehingga 60, para ulama mazhab Hanbali berbeza pandangan. Riwayat daripada Ahmad mengatakan, darah yang keluar tersebut مشكوك فيه (darah diragui hukumnya). Manakala, riwayat daripada Ishak bin Rahuwaih, darah yang keluar bermula umur 50 tahun ke atas ialah darah istihadah.

Jenis iddah Wanita dalam Menopaus

Terdapat dua jenis keadaan iddah wanita menopaus iaitu:

Pertama: Iddah Wanita Menopaus yang Kematian Suami.

Tempoh iddah bagi seorang wanita yang telah kematian suami sama ada masih haid mahupun menopaus adalah selama 4 bulan 10 hari. Hal ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: Dan sesiapa yang telah meninggal dunia dari kalangan kamu dan mereka meninggalkan isteri-isteri, hendaklah mereka itu (para isteri) beriddah selama empat bulan sepuluh hari.

Surah al-Baqarah (234)

Kedua: Iddah Wanita Menopaus yang diceraikan Suami

Sekiranya seorang wanita diceraikan oleh suaminya dalam keadaan sudah menopaus dan bukan disebabkan kematian suami, maka iddah bagi wanita tersebut adalah selama tiga bulan. Berdasarkan firman Allah SWT:

وَاللَّائِي يَئِسْنَ مِنَ الْمَحِيضِ مِن نِّسَائِكُمْ إِنِ ارْتَبْتُمْ فَعِدَّتُهُنَّ ثَلَاثَةُ أَشْهُرٍ وَاللَّائِي لَمْ يَحِضْنَ

Maksudnya: Dan perempuan-perempuan yang sudah terputus haidnya (menopaus) dari kalangan isteri-isteri kamu sekiranya kamu ragu—ragu (berkenaan iddahnya) maka iddah mereka adalah tiga bulan dan begitu juga perempuan yang tidak ada haidnya (belum sampai tempoh haid).

Surah Al-Talaq (4)

Berdasarkan ayat ini, dapat difahami bahawa wanita yang sudah lanjut usia, jika memulakan tempoh iddahnya dengan mengira berdasarkan kitaran darah haid kemudian darah tersebut berhenti, maka pengiraan iddahnya akan berdasarkan bulan. Ketetapan ini adalah sesuatu yang telah disepakati oleh para ulama.[8]

Pembahagian ini juga termasuk bagi wanita yang pada awalnya masih mempunyai haid apabila diceraikan namun atas faktor tertentu darah haid wanita tersebut tidak datang kembali atau suci dalam suatu tempoh sebelum usia menopaus. Wanita ini dipanggil wanita murtabah (المرتابة) atau mumtad tuhruha ( الممتد طهرها )[9]

Perkara ini boleh berlaku atas faktor umur dan biologi, contohnya darah haid wanita terganggu dan terputus semasa fasa pramenopaus. Selain itu juga, terdapat wanita yang mengalami masalah kesihatan seperti terpaksa menjalani pembedahan Histerektomi (pembuangan rahim dan ovari) yang akan menyebabkan wanita tidak akan mengalami haid selepas itu.

Menurut Imam al-Nawawi dalam menetapkan hukum bagi wanita yang sedang beriddah kemudian dalam tempoh tersebut tidak keluar haid bagi menyempurnakan tempoh iddah situasinya seperti berikut[10]:

ومن انقطع دمها لعلة، كرضاع ومرض، تصبر حتى تحيض أو تيأس فبالأشهر، أو لا لعلة. فكذا في الجديد، وفي القديم تتربص تسعة أشهر، وفي قول، أربع سنين ثم تعتد بالأشهر.

Maksudnya: "Wanita yang terputus haid kerana sesuatu sebab yang diketahui seperti menyusu dan sakit, maka mereka perlu bersabar menunggu sehingga haidnya datang semula atau bila sampai umur menopaus, mereka beriddah dengan kiraan bulan (tiga bulan), la sama juga jika mereka terputus haid tanpa sebab yang diketahui. Begitu juga menurut qaul jadid. Adapun menurut qaul qadim, mereka menunggu selama sembilan bulan. Menurut satu pandangan, mereka menunggu selama empat tahun, kemudian mereka beriddah dengan kiraan bulan (tiga bulan).

Berdasarkan pernyataan di atas, menurut pandangan mazhab Syafi’i yang muktamad penentuan tempoh iddah wanita yang haidnya datang lambat atau terputus haidnya kerana sebab yang diketahui mahupun sebab yang tidak diketahui ialah dengan cara menunggu sehingga haid tersebut datang semula meskipun dalam tempoh yang lama untuk menyempurnakan iddah tiga kali suci atau sekiranya wanita tersebut tidak datang haid sehingga mencapai usia menopaus, maka dia beriddah dengan kiraan tiga bulan.

Walau bagaimanapun,menurut fatwa lama imam al-Syafi’i wanita murtabah ini perlu menunggu selama sembilan bulan. Menurut pandangan lain pula, wanita dalam keadaan ini perlu menunggu selama enam bulan atau empat tahun kemudian beriddah selepas (tempoh menunggu tersebut) dengan kiraan tiga bulan.

Berdasarkan pandangan di atas, tempoh menunggu 9 bulan dan iddah 3 bulan tersebut merupakan satu langkah berjaga-jaga (احتياط) bagi memastikan rahim wanita tersebut suci dan ia juga merupakan langkah menghilangkan keraguan kerana umumnya kehamilan tidak berlangsung lebih dari itu [11]

Pandangan ini juga merupakan pandangan imam al-Syafi’i yang berhujahkan satu riwayat bahawa Umar RA menetapkan keputusan dan para sahabat Muhajirin dan Ansar tidak mengingkarinya. Umar RA berkata[12]:

أَيُّمَا ‌امْرَأَةٍ ‌طُلِّقَتْ ‌فَحَاضَتْ ‌حَيْضَةً ‌أَوْ ‌حَيْضَتَيْنِ، ثُمَّ رَفَعَتْهَا حَيْضَتُهَا، فَإِنَّهَا تَنْتَظِرُ تِسْعَةَ أَشْهُرٍ، فَإِنْ بَانَ بِهَا حَمْلٌ فَذَلِكَ، وَإِلَّا اعْتَدَّتْ بَعْدَ التِّسْعَةِ أَشْهُرٍ ثَلَاثَةَ أَشْهُرٍ ثُمَّ حَلَّتْ

Maksudnya: Mana-mana isteri yang diceraikan, kemudian mengalami satu atau dua haid, kemudian haidnya terputus, dia hendaklah menunggu selama sembilan bulan. Sekiranya dia hamil maka ikutlah hukum idah bagi wanita hamil (iaitu sehingga melahirkan). Jika dia tidak hamil, maka selepas habis tempoh sembilan bulan itu dia hendaklah beridah selama tiga bulan, barulah dia halal untuk bernikah.

Hal ini berbeza bagi wanita yang sudah menjalani pembedahan Histerektomi (pembuangan rahim dan ovari). Apabila seseorang ini meyakini dirinya telah pun sampai ke fasa menopaus dan wanita tersebut telah mendapatkan pengesahan doktor pakar bahawa ia sudah menjadi wanita menopaus maka tempoh iddahnya bertukar daripada 3 kali suci kepada 3 bulan tanpa perlu menunggu.

Kesimpulan

Seseorang wanita yang pada asalnya mempunyai kitaran haid kemudian dalam menjalani iddah tersebut disahkan menopaus disebabkan penyakit atau mendapat rawatan tertentu seperti pembedahan pembuangan rahim dan ovari akan bertukar iddahnya daripada 3 kali suci kepada 3 bulan (iddah menopaus). Namun pengiraan iddah 3 bulan tersebut hendaklah bersambung dan bermula semula selepas pengesahan tersebut dibuat oleh doktor pakar perubatan bagi menyempurnakan tempoh iddah.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Clinical Practice Guidelines Management of Menopause in Malaysia, hlm 2. Akses daripada: https://www.moh.gov.my/moh/resources/Penerbitan/CPG/Women%20Health/CPG_Management_of_Menopause_2022_e-version-1.pdf

[2] Ibid.

[3] Muhamad Amin Bin Umar Bin Abd Aziz ‘Abidīn al-Dimasyqi Ibn ‘Abidin al-Hanafiyy, (m. 1252H), Rad al-Muhtār ‘ala al-Dār al-Mukhtār, (Beirut, Lubnān: Dār al-Fikr, 1966), 3/516.

وَعِنْدَنَا مَا لَمْ تَبْلُغْ حَدَّ الْإِيَاسِ لَا تَعْتَدُّ بِالْأَشْهُرِ، وَحَدُّهُ خَمْسٌ وَخَمْسُونَ سَنَةً هُوَ الْمُخْتَارُ

[4] Mohamad Bin Ahmad Bin ‘Arafah al-Dusuqi al-Maliki, Hāshiyah al-Dusuqi ‘ala al-Sharh al-Kabir,(Dar al-Fikr, Amman: t.t). Jil. 1/168.

احترز به عن الخارج من الدبر أو من ثقبة والخارج بنفسه من صغيرة وهي ما دون التسع أو آيسة كبنت ‌سبعين، وسئل النساء في بنت الخمسين إلى السبعين فإن قلن حيض أو شككن فحيض

[5] Abd al-Rahman, Al-Ibanah al-Ifadah fi Ahkam al-Hayd wa al-Nifas wa al-Istihadah, hlm. 21.

لا آخِرَ لِسن الخَيْضِ ، فهو مُمكن ما دامَتِ المَرْأَةُ حَيَّةٌ وأما غالِبُ سِنُ اليَأْسِ مِن الحَيْض فهو اثْتَانِ وستون سنة

[6] Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajr al-Haitami. 1983.Tuhfah al-Muhtaj fi Sharh al-Minhaj wa al-Hawashi al-Sharwani al-Ibadi. (Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra: Mesir, 1983). Jilid. 1, ms, 384;

لا حد لآخر سنِّه -يعني الحيض- ولا ينافيه تحديد سن اليأس باثنين وستين سنة؛ لأنه باعتبار الغالب انتهى.

[7] Abu Muḥamad Bin Aḥmad Bin Muḥamad Bin Qudamah, Al-Mughni, (Riyadh, Arab Saudi: Dār ‘Ālam al-Kutub, 1997), 1/445-447. فأمَّا بعدَ السِّتِّينَ فقد زالَ الإِشْكَالُ، وتُيُقِّنَ أنَّه ليس بِحَيْضٍ

[8] Abu Abdullah Bin al-Anṣari al-Qurtubi, al-Jami’ li Ahkam al-Quran, (Dar al-Kutub al-Miṣriyyah,: Kaherah, Mesir, 1964), Jil. 18, ms. 165.

فَإِذَا رَأَتِ الدَّمَ فِي زَمَنِ احْتِمَالِهِ عِنْدَ النِّسَاءِ انْتَقَلَتْ إِلَى الدَّمِ لِوُجُودِ الْأَصْلِ، وَإِذَا وُجِدَ الْأَصْلُ لَمْ يَبْقَ لِلْبَدَلِ حُكْمٌ، كَمَا أَنَّ ‌الْمُسِنَّةَ ‌إِذَا ‌اعْتَدَّتْ ‌بِالدَّمِ ثُمَّ ارْتَفَعَ عَادَتْ إِلَى الْأَشْهُرِ. وَهَذَا إِجْمَاعٌ

[9] Wizārah al-Awqaf wa- al-Shu’un al-Islamiyyah, Al-Mawsū’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah. (Dar al-Salāsih: Kuwait, t.t) Jil. 29, ms. 329. ذَهَبَ الْفُقَهَاءُ إِلَى أَنَّ الْمُرْتَابَةَ أَوِ ‌الْمُمْتَدَّ ‌طُهْرُهَا هِيَ: الْمَرْأَةُ الَّتِي كَانَتْ تَحِيضُ ثُمَّ ارْتَفَعَ حَيْضُهَا دُونَ حَمْلٍ وَلَا يَأْسٍ

[10] Abu Zakariyya Muhyi al-Din bin Sharaf al-Nawawi. Minhaj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin fi al-Fiqh.(Amman, Jordan: Dar al-Fikr, 2005), hlm. .253.

[11]Ahmad bin Muhammad bin Alī bin Hajr al-Haitami,Tuhfah al-Muhtaj fi Sharh al-Minhaj wa al-Hawashī al-Sharwani al-Ibadi. (Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra: Mesir, 1983). Jilid. 8, ms, 237. (وَفِي الْقَدِيمِ) وَهُوَ مَذْهَبُ مَالِكٍ وَأَحْمَدَ (تَتَرَبَّصُ تِسْعَةَ أَشْهُرٍ) ، ثُمَّ تَعْتَدُّ بِثَلَاثَةِ أَشْهُرٍ ‌لِيُعْرَفَ ‌فَرَاغُ ‌الرَّحِمِ إذْ هِيَ غَالِبُ مُدَّةِ الْحَمْلِ وَانْتَصَرَ لَهُ الشَّافِعِيُّ بِأَنَّ عُمَرَ قَضَى بِهِ بَيْنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنْصَارِ - رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ - وَلَمْ يُنْكَرْ عَلَيْهِ وَمِنْ ثَمَّ اخْتَارَهُ الْبُلْقِينِيُّ وَقِيلَ ثَلَاثَةٌ مِنْ التِّسْعَةِ عِدَّتُهَا وَبِهِ أَفْتَى الْبَارِزِيُّ (وَفِي قَوْلٍ) قَدِيمٍ أَيْضًا تَتَرَبَّصُ (أَرْبَعَ سِنِينَ) ؛ لِأَنَّهَا أَكْثَرُ مُدَّةِ الْحَمْلِ فَتَتَيَقَّنُ بَرَاءَةَ الرَّحِمِ (ثُمَّ) إنْ لَمْ يَظْهَرْ حَمْلٌ (تَعْتَدُّ بِالْأَشْهُرِ) كَمَا تَعْتَدُّ بِالْأَقْرَاءِ الْمُعَلَّقُ طَلَاقُهَا بِالْوِلَادَةِ مَعَ تَيَقُّنِ بَرَاءَةِ رَحِمِهَا

[12] Malik Bin Anas, al-Muwatta’, (Beirut, Lubnan: Dar ihya al-turath al-‘Arabi, 1985), Jil.2, ms 582.