اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD USUL AL-FIQH SIRI KE-30: MAKSUD DAN MAKNA ISTIQRA’

istiqra'.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Saya ada dengar salah satu daripada asas mazhab Syafi’e dari sudut dalil adalah istiqra’. Boleh jelaskannya?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Istiqra’ berasal daripada perkataan (إستقرء) yang merupakan kata terbitan daripada kata (قرأ) yang bermakna mengumpulkan atau menggabungkan antara satu sama lain. Imbuhan huruf sin berfungsi sebagai isyarat dari permintaan. (Lihat Ikhtilaf al-Ijtihad wa Taghayyurihi wa Atharu Zalika fi al-Futya oleh Muhammad Abd al-Rahman al-Mar’asyli, hlm. 340) Manakala dalam al-Mishbah al-Munir, (إستقراء الأشياء) adalah mempelajari bahagian-bahagiannya untuk mengetahui keadaan serta keistimewaannya. (Lihat al-Misbah al-Munir oleh al-Fayumi, hlm. 520)

Istiqra’ dalam istilah ilmu hukum Islam, merupakan sebuah kaedah pengambilan kesimpulan umum yang dihasilkan oleh fakta-fakta khusus yang digunakan oleh Fuqaha’ untuk menetapkan sesuatu hukum. Kaedah ini diterapkan dalam Usul Fiqh dan Qawa’id al-Fiqhiyah.

Menurut Imam al-Syatibi, istiqra’ ialah penelitian terhadap makna-makna juz’i (khusus) untuk menetapkan kesimpulan hukum yang umum yang bersifat qat’ie atau zanni. Kesimpulan hukum dari Istiqra’ dapat mengakibatkan hukum secara mutlak atau qat’ie apabila cara penentuan hukum yang di dalamnya tercakup keseluruhan juz’iyyatnya. Sementara itu, kesimpulan hukum itu akan bersifat zanni apabila cara penentuan kesimpulan hukum diambil dari kebanyakan juz’iyyatnya sahaja.

Al-Jurjani pula dalam kitabnya al-Ta‘rifat menyebut Istiqra’ sebagai hukum universal yang berasal daripada kesimpulan-kesimpulan hukum kebanyakan juz’iyyatnya. Dinamakan Istiqra’ kerana langkah awal yang harus dilalui dalam kaedah ini adalah dengan mempelajari dan meneliti permasalahan-permasalahan yang kecil satu persatu atau cabang-cabang yang juz’iyyat terlebih dahulu. Setelah itu daripada data-data tersebut, barulah mengambil kesimpulan umum. (Lihat Kitab al-Ta‘rifat, hlm. 32)

Sebagai contoh mereka berdalilkan solat witir hukumnya sunat dan bukan wajib.[1] Ini kerana witir ditunaikan di atas kenderaan ketika musafir. Telah thabit dengan melihat secara istiqra’ perbuatan dan hal nabi SAW bahawa Baginda tidak pernah solat fardhu di atas kenderaan tetapi Baginda solat sunat sahaja di atas kenderaan. Justeru, apa yang dizahirkan dengan wajib witir memberi makna sunat Muakkad. (Lihat al-Madkhal ila Dirasah al-Mazahib al-Fiqhiyyah oleh Dr Ali Jumu’ah, hlm. 34)

Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita dalam ilmu usul fiqh dan juga ilmu Islam untuk mendalami permasalahan hukum dan agama dengan sebenarnya. Amin.

 

Nota Hujung:

[1] Solat witir hukumnya ialah sunat muakkad sepertimana pendapat jumhur iaitu Malik, al-Thauri, al-Laith, al-Auza’i, Abu Yusuf, mazhab Syafi’e, dan kebanyakan ahli ilmu. Mengikut mazhab Hanafi, hukumnya adalah wajib. Walaupun begitu, pendapat jumhur ulama’ yang mengatakan sunat muakkad, adalah lebih kuat berdasarkan hadith Saidina Ali RA, katanya:

الْوِتْرُ لَيْسَ بِحَتْمٍ كَصَلاَتِكُمُ الْمَكْتُوبَةِ وَلَكِنْ سَنَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Solat witir tidaklah wajib seperti solat yang difardhukan atas kamu, tetapi Rasulullah SAW melakukannya.”

Riwayat al-Tirmizi (453) dan yang lainnya

Dalam hadith juga daripada Saidina Ali R.A, Rasulullah SAW bersabda:

يَا أَهْلَ الْقُرْآنِ أَوْتِرُوا فَإِنَّ اللَّهَ وِتْرٌ يُحِبُّ الْوِتْرَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beramal dengan al-Quran! Hendaklah kamu melakukan solat Witir, sesungguhnya Allah itu bersifat witir dan dia menyukainya.”

Riwayat Abu Daud (1416), Ibn Majah (1169),
Ahmad (1262) dan al-Baihaqi (2/468)

Dalam hadis daripada Talhah bin Ubaidillah R.A, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَأَلَهُ أَعْرَبِي عَمَّا فَرَضَ اللهُ عَلَيْهِ فِيْ الْيَوْمِ وَالْلَيْلَةِ فَقَالَ: خَمْسٌ صَلَوَات، فَقَالَ: هَلْ عَلَيَّ غَيْرُهَا؟ قَالَ: لاَ ﺇِلاَّ أَنْ تَطَوَّعَ

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW ditanya oleh seorang Arab Badwi berkenaan dengan fardu solat sehari semalam, lalu Baginda menjawab: “Lima solat fardu.” Lantas beliau bertanya: “Adakah ke atasku yang lain?” Jawab Rasulullah SAW: “Tidak kecuali solat sunat.”

Riwayat al-Bukhari (2678) dan Muslim (11)