اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD USUL FIQH SIRI KE-38: FATHU AL-ZARA’IE: MEMBUKA PINTU KE ARAH MASLAHAH

FATHU ZARAIEE.JPG

Syariat Islam diturunkan untuk merealisasikan maslahah manusia, dan ia merupakan antara tujuan (maqasid) tertinggi syarak. Bagi mencapai maqasid, pasti akan ada wasilah (jalan atau medium) yang diperlukan untuk mencapai tujuan tersebut. Dalam hal inilah para ulama membahaskan tentang jalan bagi mencapai maslahah ini, dan ia dibincangkan dalam bab sadd al-zari’ah dan fath al-zari’ah.

 

Mukadimah

Zari’ah ( ذريعة ) atau kata jamaknya zara’ie ( ذرائع ) dari sudut bahasa bermaksud suatu wasilah yang boleh menyampaikan kepada sesuatu.

Terdapat beberapa ulama yang mendefinisikan zari’ah dan menyempitkannya hanya pada perkara yang haram. Menurut Imam al-Syusyawi:

الذريعة في الاصطلاح: وهو التوصل بمباح إلى ما فيه جناح

Maksudnya: Al-Zari’ah dari sudut istilah syara’ ialah menggunakan wasilah yang halal ke arah perkara yang haram. (Rujuk Raf’u al-Niqab ‘an Tanqih al-Syihab 6/194)

Imam al-Syatibi pula menafsirkannya sebagai “suatu yang membawa kepada perkara haram yang mengandungi mafsadah. (Rujuk Al-Muwafaqat 4/198)

Namun pada hemat kami, pandangan yang lebih tepat ialah definisi zari’ah yang lebih umum yang disebut oleh Imam Ibn al-Qayyim, dimana zari’ah ialah wasilah dan jalan untuk mencapai sesuatu / menuju ke arah sesuatu. (Rujuk Usul al-Fiqh al-Islamiy 2/902)

 

Sadd al-Zara’ie

Zari’ah dari sudut bahasa ialah jalan yang boleh menyampaikannya dengannya kepada sesuatu. Manakala dari sudut istilah syarak, Imam al-Qarafi mendefinisikan sadd az-zari’ah dengan maksud menutup pintu-pintu atau jalan-jalan yang boleh membawa kepada perkara yang diharamkan. (Lihat Anwar al-Buruq fi Anwa’ al-Furuq, 2/33)

Berikut merupakan antara contoh sadd al-zara’ie:

  • Pengharaman berkhalwat dengan ajnabi untuk mengelakkan berzina.
  • Pengharaman melihat kepada wanita bukan mahram tanpa keperluan.
  • Larangan untuk seorang lelaki meminang pinangan orang lain untuk mengelakkan permusuhan dan kebencian.
  • Larangan untuk melakukan ihtikar (monopoli), kerana ia merupakan satu jalan untuk menyempitkan urusan manusia dalam makanan asasi mereka.

Sadd al-zara’ie merupakan salah satu usul (dalil) dalam mazhab Maliki. Disebut dalam satu nazham:

وسد أبواب ذرائع الفساد

فمالك له على ذه اعتماد

Maksudnya: Menutup pintu-pintu dan jalan kearah kerosakan (merupakan satu usul) yang dipegang oleh Imam Malik. (Rujuk Isol al-Salik ila Usul Mazhab al-Imam Malik, hlm. 86)

Terdapat kalangan yang berpandangan bahawa mazhab Malik sahaja yang berpegang pada usul sadd al-zara’ie ini, dan ia ditolak oleh mazhab-mazhab lain. Namun menurut Imam al-Qarafi, yang lebih sahih ialah mazhab Malik merupakan mazhab yang paling banyak menggunakan dalil sadd al-zara’ie berbanding mazhab lain. (Rujuk Syarh Tanqih al-Fusul, hlm. 448-449)

 

Fathu al-Zara’ie

Istilah fath al-zarai’e merupakan satu istilah yang disebut oleh Imam Al-Qarafi al-Hanafi:

اعْلَمْ أَنَّ الذَّرِيعَةَ كَمَا يَجِبُ سَدُّهَا يَجِبُ فَتْحُهَا وَتُكْرَهُ وَتُنْدَبُ وَتُبَاحُ

Maksudnya: Ketahuilah, sesungguhnya, zari’ah (pintu-pintu yang membawa kepada perkara yang haram) adalah wajib ditutup, sebagaimana ia juga wajib dibuka, dimakruhkan, disunatkan dan diharuskan (pada beberapa keadaan). (Rujuk Anwar al-Buruq fi Anwa’ Al-Furuq 3/46)

Beliau memberikan contoh:

قَدْ تَكُونُ وَسِيلَةُ الْمُحَرَّمِ غَيْرَ مُحَرَّمَةٍ إذَا أَفَضْت إلَى مَصْلَحَةٍ رَاجِحَةٍ كَدَفْعِ مَالٍ لِرَجُلٍ يَأْكُلُهُ حَرَامًا حَتَّى لَا يَزْنِيَ بِامْرَأَةٍ إذَا عَجَزَ عَنْ دَفْعِهِ عَنْهَا إلَّا بِذَلِكَ

Maksudnya: Kadangkala wasilah kepada perkara yang haram, ia tidak menjadi haram sekiranya ia membawa kepada maslahah yang rajih. Contohnya adalah seperti memberi duit kepada seorang lelaki supaya dia makan benda haram sehingga dia tidak berzina dengan perempuan. Itupun, sekiranya ia tidak mampu untuk mencegah lelaki itu dari berzina dengan perempuan terbabit kecuali dengan cara itu sahaja. (Rujuk Anwar al-Buruq fi Anwa’ Al-Furuq 3/47)

Imam Ibn al-Qayyim sewaktu membahaskan tentang jenis-jenis wasilah dan zari’ah telah menyebut tentang satu kategori wasilah, iaitu wasilah yang asalnya harus dan berkemungkinan membawa kepada mafsadah, namun maslahahnya lebih rajih berbanding mafsadah. Antara contoh yang beliau berikan ialah keharusan melihat kepada tunang yang ingin dinikahi, berkata yang benar di hadapan pemerintah yang zalim dan lain-lain; maka Syari’ah datang dengan mengharuskan, menggalakkan atau mewajibkan wasilah-wasilah sebegini mengikut penilaian tingkatan maslahah. (Rujuk I’lam al-Muwaqqi’in 3/109-110)

Sebenarnya, perbahasan berkenaan fath al-zara’ie ini juga didapati dalam perbahasan berkenaan maslahah dan maqasid syari’ah. Menurut Imam al-‘Izz ibn Abd al-Salam, hukum bagi setiap wasilah itu adalah mengikut kepada maqasid / tujuannya. Maka wasilah yang menuju kepada tujuan yang paling afdhal, maka ia merupakan wasilah yang paling afdhal, dan wasilah yang menuju kepada maqasid yang paling tercela, maka ia merupakan secela-cela wasilah. (Rujuk Qawa’id al-Ahkam fi Masalih al-Anam 1/53)

Majma’ al-Fiqh al-Islamiy telah menyenaraikan beberapa contoh fath al-zara’ie (atau menurut istilah yang turut digunakan ialah fath abwab al-khair / membuka pintu-pintu kebaikan):

  • Keharusan untuk pemerintah untuk menetapkan harga siling bagi suatu barang jualan. Meskipun polisi tersebut mungkin merugikan peniaga, namun terdapat maslahah yang lebih rajih, iaitu mengelakkan para pengguna daripada terpaksa membayar harga yang mahal untuk suatu barang akibat monopoli, spekulasi harga dan penipuan oleh para peniaga.
  • Keharusan membayar wang tebusan kepada musuh untuk menebus tawanan perang orang Islam yang ditangkap. Meskipun bayaran wang tebusan akan menguatkan musuh dan merupakan satu mafsadah, namun menyelamatkan tawanan orang Islam lebih jelas maslahahnya kerana ia akan menguatkan kumpulan Islam.
  • Keharusan mengorek telaga di laluan yang jarang dilalui oleh orang ramai; meskipun terdapat kemungkinan akan ada orang yang melalui jalan tersebut dan terjatuh ke dalam telaga, namun kemungkinannya adalah kecil berbanding dengan maslahah yang lebih rajih, iaitu manfaat air yang pasti diperoleh orang ramai daripada telaga tersebut. (Rujuk Majallah Majma’ al-Fiqh al-Islamiy 9/1557)

Selain itu, Imam Abu Hanifah memberi keizinan sementara waktu kepada orang Parsi yang baru sahaja memeluk Islam menunaikan solat dengan membaca bacaan solat dalam Bahasa Parsi ekoran kesukaran mereka menyebut sebutan Arab. Menurut Qadhi Abu Yusuf, bagi yang mahir membaca al-Qur’an, mereka tetap diwajibkan membaca al-Qur’an dengan bahasa Arab. Namun menurut para imam mazhab Hanafi yang terkemudian, Imam Abu Hanifah telah menarik kembali pandangan ini, dan pandangan yang mu’tamad dalam mazhab Hanafi ialah tidak dibolehkan membaca al-Quran dalam solat selain dengan bahasa Arab. (Rujuk Tabyin al-Haqa’iq Syarh Kanz al-Daqa’iq 1/110 dan al-Binayah Syarh al-Hidayah 2/179)

Almarhum Syeikh Wahbah al-Zuhaily pula menyatakan bahawa kewajipan umat Islam mempelajari pelbagai jenis ilmu dan mengasah kemahiran dalam pelbagai industri merupakan satu bentuk fath al-zara’ie, di mana dengan ilmu dan kemahiran inilah umat Islam akan mampu membina tamadun yang lebih hebat. (Rujuk Usul al-Fiqh al-Islamiy 2/906)

 

Kesimpulan

Tuntasnya, istilah fath al-zara’ie bermaksud membuka pintu dan melakukan perkara-perkara yang boleh membawa kepada maslahah, meskipun dari satu sudut ia berkemungkinan membawa kepada mafsadah.. Hal ini berdasarkan penerangan Imam al-Qarafi, Imam Ibn al-Qayyim dan Imam al-‘Izz ibn Abd al-Salam.

Contoh-contoh yang dikemukakan juga jelas menunjukkan bahawa istilah fath al-zara’ie adalah luas dan mencakupi segala usaha ke arah kebaikan, dan hukumnya bergantung kepada pertimbangan antara mafsadah dan maslahah serta tingkatan maslahah yang dibawa.

Kita juga melihat ada perkaitan yang rapat antara kedua-dua istilah sadd al-zara’ie dan fath al-zara’ie, dimana sadd al-zara’ie bersifat preventif untuk mencegah sebarang mafsadah daripada berlaku, meskipun hukum asal wasilah tersebut ialah harus. Fath al-zara’ie pula lebih kepada inisiatif untuk membuka pintu ke arah kebaikan, meskipun wasilah yang digunakan boleh membawa kepada mafsadah, namun berdasarkan pertimbangan maslahah ia boleh digunakan jika membawa kepada kebaikan.

Wallahu a’lam.