اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD USUL FIQH SIRI KE-75: PENGERTIAN FIQH AL-MAALAT DAN PRAKTIKNYA DALAM KONTEKS DI MALAYSIA

PENGERTIAN_FIQH_AL-MAALAT_DAN_PRAKTIKNYA_DALAM_KONTEKS_MALAYSIA.jpg

 

Soalan

Saya pernah terbaca mengenai istilah Fiqh al-Maalat beberapa kali dari artikel Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Apakah yang dimaksudkan dengan Fiqh al-Maalat dan bagaimana penggunaannya dalam konteks di Malaysia?

Ringkasan Jawapan

Fiqh al-Maalat merupakan istilah yang sering digunakan kebelakangan ini. Ia merujuk kepada konsep melihat kepada kesan dari sesuatu hukum dan fatwa. Fiqh al-Maalat merupakan konsep yang penting dalam mengeluarkan fatwa dan pandangan hukum. Fatwa yang tidak melihat kepada implikasi dan kesan akan menghasilkan fatwa yang tidak komprehensif dan sempurna.

Antara contoh praktik Fiqh al-Maalat di Malaysia ialah permohonan poligami perlu dibuat di mahkamah dengan syarat-syarat tertentu. Ketetapan ini adalah untuk memastikan bahawa isteri yang dipoligami tidak dizalimi pada masa akan datang. Selain itu Fiqh al-Maalat juga boleh dilihat pada Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 yang menetapkan bahawa mufti perlu menggunakan pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi’i melainkan jika ada keperluan untuk berpindah kepada mazhab yang lain. Ini bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat dan bermudah-mudah(Tatabu’ al-Rukhas) dalam melaksanakan perintah Allah SWT.

Huraian Jawapan

Perkataan al-maal bermaksud pengakhiran atau kesudahan. Manakala Fiqh al-Maalat pula membincangkan berkenaan kepentingan melihat kepada kesan dan implikasi dari sesuatu hukum. Fiqh al-Maalat didefinisikan sebagai:

مَآلَاتُ الأَفْعَالِ أَصْلٌ شَرْعِيٌّ يَرْبِطُ مَشْرُوعِيَّةَ الفِعْلِ وُجُوْدًا وَعَدَمًا بِنَتَائِجِهِ وِفْقَ مَقَاصِدِ الشَارِعِ لَا مَقَاصِدِ الـمُكَلَّفِ

Maksudnya: “Implikasi mendatang bagi sesuatu perbuatan merupakan suatu asas syar’ie yang menghubungkan sesuatu perbuatan dengan kesannya sama ada wujud atau tidak, selari dengan tujuan syarak(maqasid syarak) dan bukannya tujuan manusia (mukalaf)[1].”

Para ulama usul sangat menitikberatkan implikasi dari sesuatu hukum yang dikeluarkan, sama ada implikasi yang baik mahupun buruk. Setiap ulama yang ingin mengeluarkan apa-apa fatwa atau pandangan hukum perlulah melihat kepada kesan dari fatwa yang ingin dikeluarkan. Jika fatwa dikeluarkan tanpa melihat kepada kesannya maka fatwa tersebut akan menyebabkan kesan buruk pada jangka masa panjang.

Dalam menerangkan berkenaan perkara ini Imam al-Syatibi berkata bahawa

النظر في مآلات الأفعال معتبر مقصود شرعًا كانت الأفعال موافقة أو مخالفة، وذلك أن المجتهد لا يحكم على فعل من الأفعال الصادرة عن المكلفين بالإقدام أو بالإحجام إلا بعد نظره إلى ما يؤول إليه ذلك الفعل، مشروعًا لمصلحة فيه تستجلب، أو لمفسدة تدرأ، ولكن له مآل على خلاف ما قصد فيه،

Maksudnya: “melihat kepada implikasi dari sesuatu perbuatan merupakan suatu yang diambil kira oleh syarak dan sesuai dengan tujuannya. Ini kerana seorang mujtahid tidak boleh mengeluarkan sesuatu hukum sama ada membenar atau melarang kecuali setelah melihat kepada kesan dari perbuatan tersebut. Kemungkinan sesuatu perbuatan pada asalnya boleh membawa kepada kebaikan atau menolak keburukan namun kesannya boleh membawa kepada yang sebaliknya[2].

Dalam al-Quran Allah SWT melarang umat Islam dari menghina tuhan agama lain kerana melihat kepada kesan buruk dari perbuatan tersebut iaitu orang bukan Islam akan menghina pula Allah SWT. Firman Allah SWT:

وَلَا تَسُبُّواْ ٱلَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ فَيَسُبُّواْ ٱللَّهَ عَدْوًۢا بِغَيْرِ عِلْمٍۢ ۗ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah selain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.”

(Surah al-An’am: 108)

Manakala dalam sebuah hadis, Saidatina Aisyah R.anha bertanya kepada Nabi SAW mengenai hijr adakah ia sebahagian dari kaabah. Lalu Nabi SAW mengatakan “benar” dan kemudian Nabi SAW bersabda:

لَوْلَا أَنَّ قَوْمَكِ حَدِيْثٌ عَهْدُهُمْ بِالجَاهِلِيَّةِ فَأَخَافُ أَنْ تُنْكِرَ قُلُوْبُهُمْ أَنْ أُدْخِلَ الجَدْرَ فِي البَيْتِ وَأَنْ أُلْصِقَ بَابَهُ فِي الأَرْضِ

Maksudnya: “Jika bukan kerana kaum mu masih lagi baru dengan zaman jahiliah dan aku takut hati-hati mereka akan mengingkari nescaya akan aku masukkan dinding tersebut (hijr) ke dalam kaabah dan akan ku jadikan pintunya berada di atas tanah.”

(Riwayat Muslim)

Imam Qadi Iyadh menjelaskan bahawa hadis ini menunjukkan kepada keharusan meninggalkan sebahagian perkara yang dianggap baik jika dikhuatiri akan menyebabkan sesuatu yang lebih mudarat berbanding melakukannya[3]. Daripada hadis ini juga Imam Ibn Hajar al-Asqalani mengeluarkan satu kaedah umum iaitu:

تَرْكُ الـمَصْلَحَةِ لِأَمْرِ الوُقُوْعِ فِي الـمَفْسَدَةِ

Maksudnya: “Meninggalkan perkara yang baik kerana boleh menyebabkan jatuh kepada kerosakan[4].”

Dengan ini dapat difahami bahawa agama mengambil kira terhadap kesan dari sesuatu perbuatan dan inilah yang dimaksudkan dengan Fiqh al-Maalat. Imam al-Syafi’i dalam kitab al-Umm meletakkan sebuah kaedah mengenai perkara ini dengan katanya:

مَا كَانَ ذَرِيْعَةً إِلَى مَنْعِ مَا أَحَلَّ اللهُ لَمْ يَحِلَّ، وَكَذَلِكَ مَا كَانَ ذَرِيْعَةً إِلَى إحْلَالِ مَا حَرَّمَ اللهُ تَعَالَى

Maksudnya: “Apa-apa yang boleh membawa kepada menghalang perkara yang Allah halalkan maka tidak dibenarkan. Begitu Jugalah dengan apa-apa perkara yang boleh membawa kepada menghalalkan apa yang Allah SWT haramkan[5].”

Walaupun mungkin perkara tersebut pada asalnya adalah harus namun jika ada sebab-sebab lain ia boleh mengubah keharusan tersebut kepada wajib ataupun haram.

Imam al-Zarkasyi dalam kitabnya al-Bahr al-Muhit menyatakan:

الحَاصِلُ أَنَّ حُكْمَ الـمُبَاحِ يَتَغَيَّرُ بِمُرَاعَاتِ غَيْرِهِ فَيَصِيْرُ وَاجِبًا إِذَا كَانَ فِي تَرْكِهِ الهَلاَكُ وَيَصِيْرُ مُحَرَّمًا إِذَا كَانَ فِي فِعْلِهِ فَوَاتُ فَرِيْضَةٍ أَوْ حُصُوْلِ الـمَفْسَدَةِ كَالبَيْعِ وَقْتَ النِّدَاءِ

Maksudnya: “Kesimpulannya keharusan sesuatu hukum boleh berubah dengan mengambil kira perkara-perkara yang lain. Oleh itu, ia boleh menjadi wajib jika meninggalkannya boleh menyebabkan kebinasaan. Ia juga boleh menjadi haram jika dengan melakukannya akan menyebabkan luput perkara fardhu atau terhasil kemudaratan seperti berjual beli ketika azan (solat Jumaat)[6].”

Di Malaysia juga tidak terkecuali daripada menggunakan kaedah Fiqh al-Maalat dalam mengeluarkan sesuatu hukum. Contohnya dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, Seksyen 23:

(1) Tiada seorang pun lelaki, semasa wujudnya sesuatu perkahwinan, boleh, kecuali dengan mendapat kebenaran terlebih dahulu secara bertulis daripada Mahkamah, membuat kontrak perkahwinan yang lain dengan perempuan lain atau perkahwinan yang dikontrakkan tanpa kebenaran sedemikian boleh didaftarkan di bawah Akta ini.

Mengikut undang-undang keluarga Islam di Malaysia seorang lelaki yang ingin berpoligami dia perlu terlebih dahulu membuat permohonan kepada Mahkamah. Pihak mahkamah akan meneliti kemampuan lelaki tersebut sama ada dia layak untuk melakukan poligami atau tidak. Antara asas utama kepada undang-undang ini ialah melihat kepada akibat jika perkahwinan poligami dibenarkan sesuka hati. Tidak diragui bahawa poligami ialah suatu yang dibenarkan dalam Islam. Firman Allah SWT:

وَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُواْ فِى ٱلْيَتَٰمَىٰ فَٱنكِحُواْ مَا طَابَ لَكُم مِّنَ ٱلنِّسَآءِ مَثْنَىٰ وَثُلَٰثَ وَرُبَٰعَ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُواْ فَوَٰحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَٰنُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰٓ أَلَّا تَعُولُواْ

Maksudnya: Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”

(Surah al-Nisa: 3)

Dalam ayat berkenaan poligami Allah SWT mengingatkan bahawa jika seseorang takut tidak boleh berlaku adil maka memadailah baginya seorang Isteri. Ini tidak lain bagi mengelakkan dari berlaku kezaliman kepada hak wanita. Dalam Hadis yang masyhur disebutkan:

لا ضَرَرَ ولا ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak boleh melakukan sesuatu yang memudaratkan dan tidak boleh memberikan mudarat kepada orang lain”

(Riwayat Ibn Majah)

Walaupun pada asalnya hukum poligami adalah harus namun jika ia boleh membawa kepada kemudharatan kepada wanita maka ia boleh menjadi haram. Hal ini adalah mengambil daripada konsep melihat kepada kesan sesuatu perbuatan atau disebut dengan Fiqh al-Maalat.

Antara praktik Fiqh al-Maalat di Malaysia juga ialah ketetapan yang mewajibkan bagi seorang mufti untuk berfatwa dengan berpandukan kepada satu mazhab jika tiada keperluan untuk mengambil pandangan mazhab yang lain. Dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993, Seksyen 39:

(1) Dalam mengeluarkan apa-apa fatwa di bawah seksyen 34, atau memperakukan apa-apa pendapat di bawah seksyen 38, Mufti hendaklah pada lazimnya mengikut pandangan-pandangan diterima (qaul muktamad) Mazhab Syafie.

Syeikh Tahir Ibn Asyur seorang ulama mazhab Maliki menyebut dalam fatwanya bahawa mengikut pandangan ramai dari kalangan ulama yang muhaqiq, orang awam mestilah bermazhab dengan mazhab yang tertentu. Ini bagi memastikan bahawa dia tidak berada dalam keadaan kekeliruan. Selain itu, ia juga dapat mengelakkan dari seseorang itu mengambil fatwa semata-mata mengikut hawa nafsunya sedangkan agama Islam datang untuk menolak hawa nafsu[7].

Kenyataan Syeikh Tahir Ibn Asyur ini jelas menunjukkan keperluan sesebuah negara untuk bermazhab dengan mazhab yang tertentu selagi mana tidak ada keperluan untuk berpindah kepada mazhab yang lain. Pandangan ini tidak lain adalah melihat kepada al-Maal (kesan mendatang) kerana apabila tidak ditetapkan mazhab tertentu ia akan menyebabkan kekucar kaciran dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat awam. Oleh itu Wilayah Persekutuan contohnya telah menetapkan bahawa muft mestilah mengikut pandangan-pandangan yang muktamad dalam mazhab Syafi’i selagi tidak ada keperluan untuk mengambil pandangan dari mazhab yang lain.

Dalam kitab Syarh al-Mahalli ala Jamu al-Jawami’ disebutkan bahawa:

(وَ) الْأَصَحُّ ( أَنَّهُ يَجِبُ) عَلَى الْعَامِّيِّ وَغَيْرِهِ مِمَّنْ لَمْ يَبْلُغْ رُتْبَةَ الِاجْتِهَادِ (الْتِزَامُ مَذْهَبٍ مُعَيَّنٍ) مِنْ مَذَاهِبِ الْمُجْتَهِدِينَ

Maksudnya: “Pendapat yang kuat mengatakan bahawa wajib bagi orang awam atau selainnya yang tidak sampai ke tingkatan mujtahid untuk berpegang dengan mazhab yang tertentu dari mazhab-mazhab para mujtahid[8].”

Apabila seseorang mufti dilantik oleh pemerintah supaya hanya berfatwa dengan satu mazhab maka dia mestilah tidak mengeluarkan fatwa melainkan mengikut mazhab yang telah ditetapkan. Hal ini kerana perlantikannya mewajibkan dia untuk tidak menggunakan mazhab yang lain tanpa keperluan[9]. Pemerintah boleh menetapkan sesuatu ketetapan yang dilihat memberi kebaikan (maslahah) kepada orang ramai. Apabila arahan dibuat oleh pemerintah maka rakyat wajib mentaati selagi mana tidak melanggar hukum Allah SWT. Dalam sebuah kaedah fiqh disebutkan:

تَصَرُّفُ الإِمَامِ عَلَى الرَعِيَّةِ مَنُوْطٌ بِالـمَصْلَحَةِ

Maksudnya:Tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahah terhadap rakyat[10].”

 

Kesimpulannya, Fiqh al-Maalat merupakan istilah yang sering digunakan kebelakangan ini. Ia merujuk kepada konsep melihat kepada kesan dari sesuatu hukum dan fatwa. Fiqh al-Maalat merupakan konsep yang penting dalam mengeluarkan fatwa dan pandangan hukum. Fatwa yang tidak melihat kepada implikasi dan kesan akan menghasilkan fatwa yang tidak komprehensif dan sempurna.

Antara contoh praktik Fiqh al-Maalat di Malaysia ialah permohonan poligami perlu dibuat di mahkamah dengan syarat-syarat tertentu. Ketetapan ini adalah untuk memastikan bahawa isteri yang dipoligami tidak dizalimi pada masa akan datang. Selain itu Fiqh al-Maalat juga boleh dilihat pada Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 yang menetapkan bahawa mufti perlu menggunakan pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi’i melainkan jika ada keperluan untuk berpindah kepada mazhab yang lain. Ini bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat dan bermudah-mudah(Tatabu’ al-Rukhas) dalam melaksanakan perintah Allah SWT.

Wallahu a'lam

 

Rujukan:

[1] Muhammad Kamal al-Din, Maalat al-Afaal fi Mustalah al-Maqasidi, London: Muasasah al-Furqan li al-Turath al-Islamiyah (2012), hlm. 19.

[2] Imam al-Syatibi, al-Muwafaqat, Qaherah: Dar Ibn Affan (1997), jld. 5, hlm. 177.

[3] Qadi Iyadh, Ikmal al-Mualim bi Fawaid Muslim, Mesir: Dar al-Wafa’ li Tibaah wa al-Nasyr (1998), jld. 4, hlm. 428.

ترك بعض الأمور التي يستصوب عملها إذا خيف تولّد ما هو أضر من تركه. وفيه استئلاف الناس على الإيمان وتسهيل الأمور عليهم حتى لا ينفروا، شريطة عدم تعطيل ركن من أركان الشرع.

[4] Imam Ibn Hajar al-Asqallani, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, Beirut: Dar al-Makrifah (t.t), jld. 1, hlm. 422.

[5] Imam al-Syafi’i, al-Umm, Beirut: Dar al-Makrifah (1990), jld. 5, hlm. 100.

[6] Imam al-Zarkashi, al-Bahr al-Muhit fi Usul al-Fiqh, Aman: Dar al-Kutbi (1994), hlm. 221.

[7] Fatawa al-Imam Muhammad Tahir Ibn Asyur, dihimpunkan oleh Dr. Muhammad bin Ibrahim, Dubai: Markaz Jumaah al-Majid li al-Thaqafah wa al-Turath (2004), hlm. 215.

قال كثير من المحققين من الأصوليين والفقهاء إنه يجب على العامي التزام تقليد مذهب معين لئلا يكون في عماية وحيرة ليجري أعماله على طريق واحدة فلا يكون متابعا لشهوته لأن الدين جاء بإبطال التشهي والهوى

[8] Al-Attar, Hasyiah al-Attar ala Syrah Jamu al-Jawami’, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah (t.t), Jld. 6, hlm. 40.

[9] Ali bin Abdullah al-Samhudi al-Syafi’i, al-Iqdu al-Farid fi Ahkam al-Taqlid, Beirut: Dar al-Minhaj (1432H),

والذي يقول له السلطان: "وليتك القضاء على مذهب فلان" ليس له أن يتجاوز مشهور ذلك المذهب... لأن توليته حصرته في ذلك

[10] Op.cit, Bahr al-Muhit fi Usul a-Fiqh, jld. 1, hlm. 309.