اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

TAHQIQ AL-MASAIL SIRI KE-10: HUKUM PUASA BAGI PESAKIT KRONIK DIABETES

HUKUM_PUASA_BAGI_PESAKIT_KRONIK_DIABETES.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum, Saya merupakan pesakit kronik diabetes. Setiap kali tiba bulan Ramadan, saya akan berusaha untuk puasa namun pada masa yang sama saya perlu suntikan insulin secara berkala. Persoalannya, adakah suntikan itu membatalkan puasa? Dan sekiranya saya tidak disuntik insulin sekalipun, Doktor tetap akan menasihati saya supaya tidak berpuasa agar kadar gula dalam darah berada pada paras normal. Mohon pencerahan SS Datuk Mufti berkaitan isu tersebut.

Ringkasan Jawapan :

Pesakit kronik diabetes yang ingin berpuasa perlu melihat beberapa situasi berikut :

  1. Pesakit diabetes yang berisiko tinggi apabila berpuasa memberi implikasi yang semakin teruk atau mungkin boleh membahayakan nyawa, maka mereka diberikan rukhsah untuk berbuka puasa di samping perlunya penilaian oleh pakar perubatan dan pengesahan terhadap risiko berpuasa.
  2. Suntikan insulin yang dijalankan tidak membatalkan puasa kerana cecair suntikan adalah bersifat ubatan dan bukan sesuatu yang mengenyangkan. Selain itu, suntikan juga dilakukan pada bahagian tisu lemak di antara kulit dan otot-otot badan bukan pada bahagian rongga badan yang terbuka.

Huraian Jawapan :

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Risiko Puasa Bagi Pesakit Diabetis[1]

Diabetes Mellitus (Kencing Manis) merupakan penyakit yang melibatkan tindak balas antara glukosa dan insulin di dalam badan. Ia berlaku apabila insulin yang dihasilkan oleh badan sudah tidak berkesan atau pankreas tidak menghasilkan insulin yang mencukupi. Risiko kesihatan bagi pesakit diabetes ketika berpuasa adalah hipoglisemia, hiperglisemia ,dehidrasi, kepekatan darah dan diabetic ketoacidosis (DKA).   

Berdasarkan kajian, para pengamal perubatan membahagikan risiko berpuasa bagi pesakit diabetes kepada tiga kategori:

  • Pesakit berisiko rendah adalah selamat untuk berpuasa.
  • Pesakit berisiko sederhana boleh berpuasa sekiranya mereka membuat penilaian perubatan beberapa bulan sebelum berpuasa untuk mengubahsuai jadual rawatan pengambilan ubat oral dan suntikan. Pesakit juga memerlukan pemantauan yang ketat bagi memastikan tahap glukosa berada pada paras normal.
  • Pesakit berisiko tinggi adalah dinasihatkan supaya tidak berpuasa.

 

Penghujahan Had Sakit Diabetes

Berdasarkan fakta berkaitan risiko puasa bagi pesakit diabetes, ini jelas menunjukkan bahawa ia termasuk dalam kategori pesakit yang diharuskan berbuka puasa berdasarkan penghujahan dalil berikut, firman Allah SWT :

مَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang berbuka) itu pada hari-hari lain

Surah al-Baqarah (184)

Berdasarkan firman di atas, al-Qurtubi menjelaskan bahawa sakit yang diharuskan berbuka puasa boleh terjadi dalam dua keadaan. Pertama, pesakit yang memang tidak mampu berpuasa walau apa jua keadaan, justeru dalam hal ini wajib baginya untuk berbuka puasa. Kedua, pesakit yang mampu berpuasa akan tetapi ia akan menambahkan mudarat dan risiko pada dirinya, maka golongan tersebut diberikan rukhsah untuk berbuka puasa.[2] Perbahasan lanjut berkaitan had sakit untuk berbuka puasa, rujuk pautan berikut:

https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/edisi-ramadhan/5584-irsyad-fatwa-edisi-khas-ramadhan-siri-ke-224-had-sakit-yang-diharuskan-berbuka-puasa

Suntikan Insulin

Suntikan insulin berperanan mengawal paras gula dalam darah dan menyimpan lebihan glukosa sebagai sumber tenaga[3]. Insulin juga adalah sejenis hormon yang dihasilkan oleh pankreas untuk membolehkan sel badan menggunakan glukosa dalam darah sebagai tenaga. Menurut Pakar Perunding Perubatan & Endokrinologi dan Pakar Perubatan Keluarga, suntikan ini jelas tidak memberikan nutrisi kepada pesakit. Oleh itu, pesakit diabetes yang mungkin sudah tidak berkemampuan untuk menghasilkan insulinnya kesan diabetes yang dialami memerlukan suntikan insulin.

Dari segi penggunaan ubat, penyakit Diabetes Mellitus boleh dibahagikan kepada dua jenis:

  1. Diabetes Mellitus Jenis I :  pesakit bergantung sepenuhnya kepada suntikan atau pam insulin untuk mengawal paras gula dalam darah sepanjang masa.
  2. Diabetes Mellitus Jenis II :pesakit perlu mengambil ubat telab atau suntikan insulin berdasarkan keperluan.

Kaedah pengambilan insulin adalah melalui suntikan ke bawah kulit yang terdiri daripada lapisan lemak, saluran kapilari darah yang halus dan saraf. Di bawah lemak tersebut adalah otot. Insulin akan menyerap ke saluran kapilari darah untuk bergerak ke seluruh badan.  Terdapat empat bahagian untuk suntikan insulin iaitu perut, lengan, paha dan punggung. Bagi memastikan kadar penyerapan insulin yang sekata, pesakit perlu menyuntik insulin pada lapisan lemak bahagian tersebut. Penyerapan insulin laju dan sekata pada bahagian perut, sederhana pada bahagian lengan dan paha manakala lambat pada bahagian punggung. Jenis insulin juga mempengaruhi kadar penyerapan.  [4].

Hukum Suntikan Ketika Puasa

Salah satu antara perkara yang membatalkan puasa adalah masuknya sesuatu “ain” jirim ke dalam rongga melalui ruang yang sedia terbuka. “Ain” bermaksud sesuatu yang dapat dilihat, manakala rongga bermaksud ruang selepas halkum hingga usus dan tali perut. Sementara, al-manfaz al-maftuh (ruang yang sedia terbuka) ialah mulut, telinga, kemaluan dan dubur bagi lelaki dan perempuan[5].

Para ulama telah membincangkan berkenaan hukum mendapatkan suntikan perubatan pada siang hari di bulan Ramadan. Ia perlu diteliti berdasarkan pada tempat suntikan dijalankan dan kandungannya :

  1. Suntikan Pada Kulit

i) Suntikan kulit yang sampai ke rongga.

Suntikan yang dilakukan pada urat yang bersambung dengan rongga akan membatalkan puasa. Hal ini disebabkan cairan itu sendiri akan sampai kepada rongga[6]. Imam al-Nawawi menyebutkan[7]:

لَوْ دَاوَى جُرْحَهُ فَوَصَلَ الدَّوَاءُ إلَى جَوْفِهِ أَوْ دِمَاغِهِ أَفْطَرَ عِنْدَنَا

Maksudnya: “Jika ia mengubati atau merawat lukanya lalu ubat tersebut sampai kepada rongganya atau otaknya, maka ia membatalkan puasa menurut pandangan mazhab kami.”

Imam al-Nawawi juga menyebutkan dalam kitabnya Raudhah al-Thalibin bahawa suntikan itu tidak disyaratkan mesti sampai pada bahagian batin isi perut(usus) dan batin otak. Bahkan memadai sekiranya cairan itu sampai pada had zahirnya lalu menyebabkan puasa seseorang itu terbatal[8]. Tambahan lagi, al-Muzani menyatakan batal puasa walaupun yang sampai ke rongga perut dan rongga kepala itu bukan makanan seperti suntikan atau ubat luka yang dia sedar sedang berpuasa. [9]

ii) Suntikan kulit yang tidak sampai ke rongga

Suntikan yang dilakukan pada kulit tetapi tidak melalui bahagian rongga tidak membatalkan puasa. Sepertimana disebutkan oleh Dr. Muhammad al-Zuhaili dalam kitabnya[10]:

وكذا الحقنة تحت الجلد, والحقنة الوريدية لا تفطران, لأن الجلد والوريد منفذ غير مفتوح

Maksudnya: “Begitu juga suntikan ke bawah kulit dan suntikan ke dalam salur darah tidak membatalkan puasa kerana kulit dan salur darah merupakan rongga tidak terbuka.”

Habib Hassan al-Kaff juga menyatakan bahawa suntikan yang dilakukan pada otot-otot badan atau anggota badan yang lain seperti peha atau lengan adalah tidak membatalkan puasa. Ini merupakan pandangan yang muktamad dan dipegang oleh kebanyakan ulama kontemporari[11].

2. Suntikan Pada Ruang Yang Sedia Terbuka (al-manfaz al-maftuh)

Suntikan sesuatu ke dalam ruang yang sedia terbuka secara terus contohnya lubang yang terbuka disebabkan luka akan membatalkan puasa kerana ia menyebabkan benda itu sampai ke dalam rongga. Sebagaimana dinyatakan Dr. Muhammad al-Zuhaili [12]:

والحقنة في الدبر تفطر, سواء كانت قليلة أو كثيرة, وسواء وصلت إلى المعدة أم لا, فهي مفطرة بكل حال لأنها وصلت قصدا إلى الجوف وهو الأمعاء

Maksudnya: “Suntikan melalui dubur membatalkan puasa sama ada sedikit atau banyak dan sama ada ia sampai ke perut atau tidak, maka ia membatalkan puasa dalam apa jua keadaan. Hal ini kerana, ia sampainya ia ke dalam rongga secara sengaja iaitu usus.”

3. Kandungan Suntikan

Seperkara lain yang perlu diberi perhatian adalah kandungan yang terdapat dalam suntikan. Sekiranya suntikan itu mengandungi nutrisi yang bersifat mengenyangkan dan boleh memberi tenaga, maka ia akan membatalkan puasa. Ini ada dinyatakan dalam kitab al-Taqrirat al-Sadidah sebagaimana berikut[13]:

وقول فيه تفصيل وهو الأصح : إذا كانت مغذية فتبطل الصوم

Maksudnya: “Menurut pandangan yang paling kuat, sekiranya suntikan itu memberikan nutrisi maka ia membatalkan puasa”

Akademi Fiqh Islam Antarabangsa

Berdasarkan resolusi yang dikeluarkan oleh Majma’ al-Fiqh al-Islami 93 (1/10) pada 28 Jun sehingga 3 julai 1997 juga memutuskan bahawa suntikan yang bersifat perubatan tidak akan membatalkan puasa sekiranya dilakukan secara suntikan ke bawah kulit , suntikan ke dalam otot atau suntikan ke dalam salur darah [14].

Jabatan Mufti Mesir

Jabatan Mufti Mesir telah menjelaskan hukum suntikan insulin di bawah kulit pada siang hari bulan Ramadan adalah tidak membatalkan puasa walaupun sampai ke rongga perut. Hal ini kerana, suntikan cairan tersebut tidak melalui rongga terbuka dengan cara kebiasaan.[15]

Kesimpulan

Hukum puasa bagi pesakit diabetes kronik adalah tidak diwajibkan dan ia juga perlu diteliti daripada dua aspek:

  1. Keadaan kesihatan pesakit itu sendiri yang berisiko apabila berpuasa setelah mendapat pengesahan pakar perubatan. Hal ini kerana, puasa tersebut boleh menyebabkan penyakit yang dialami semakin teruk atau mungkin boleh membahayakan nyawa. Maka dalam hal ini mereka diberikan keringanan untuk tidak berpuasa.
  2. Suntikan insulin yang dijalankan tidak membatalkan puasa kerana cecair suntikan adalah bersifat ubatan dan bukan sesuatu yang mengenyangkan. Selain itu, suntikan juga dilakukan pada bahagian tisu lemak di antara kulit dan otot-otot badan bukan pada bahagian rongga badan yang terbuka.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Temubual bersama Pakar Perunding Perubatan & Endokrinologi (YBhg. Datuk Dr. Zanariah binti Hussein) dan Pakar Perubatan Keluarga (Dr. Mohamed Ariff bin Ahmad), Kementerian Kesihatan Malaysia.

[2] al-Qurtubi, Abu Abdullah Muhammad, Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, Tafsir al-Qurtubi. (Qaherah : Dar al-Kutub Misriyah, 1964). Jld 2. Hlm 276.

الأولى : للمريض حالتان : إحداهما : ألا يطيق الصوم بحال ، فعليه الفطر واجبا . الثانية : أن يقدر على الصوم بضرر ومشقة ، فهذا يستحب له الفطر ولا يصوم إلا جاهل

[3] https://hellodoktor.com/kencing-manis/apa-itu-insulin-diabetes/

[4] Temubual bersama Pakar Perunding Perubatan & Endokrinologi (YBhg. Datuk Dr. Zanariah binti Hussein),Pakar Perubatan Keluarga (Dr Mohamad ‘Ariff Fahmi bin Ahmad Zawawi) & Dr. Mohamed Ariff bin Ahmad. Kementerian Kesihatan Malaysia.

[5] Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha & ‘Ali al-Syirbiji. al-Fiqh al-Manhaji. (Damsyiq: Dar al-Qalam, 1992). Jld 2. Hlm 451.

وصول عين إلى الجوف من منفذ مفتوح: والمقصود بالعين: أي شيء تراه العين. والجوف: هو الدماغ أو ما وراء الحلق إلى المعدة والأمعاء. والمنفذ المفتوح: هو الفم والأذن والقبل والدبر من الذكر والأنثى.

[6] Ibid. Jld 2. Hlm 452.

إذا كان في العروق المجوفة وهي الأوردة فتبطل

[7] al-Nawawi, Yahya bin Syarf. al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Qaherah: Idarah al-Tiba’ah al-Muniriyyah, 1347H). jld 6. Hlm 320.

[8] al-Nawawi, Yahya bin Syarf. Raudhah al-Talibin wa Umdah al-Muftin. (Beirut: al-Maktab al-Islamiy, 1991). Jld 2. Hlm 357. فَوَضَعَ عَلَيْهَا دَوَاءً فَوَصَلَ جَوْفَهُ أَوْ خَرِيطَةَ دِمَاغِهِ، أَفْطَرَ وَإِنْ لَمْ يَصِلْ بَاطِنَ الْأَمْعَاءِ أَوْ بَاطِنَ الْخَرِيطَةِ،

[9] Al-Muzani. Ismail Yahya, Mukhtasar al-Muzani (Beirut : Dar al-Ma’rifah, 1990). Jld 8. Hlm 154.

وَإِنْ بَلَعَ حَصَاةً، أَوْ مَا لَيْسَ بِطَعَامٍ، أَوْ احْتَقَنَ، أَوْ دَاوَى جُرْحَهُ حَتَّى يَصِلَ إلَى جَوْفِهِ أَوْ اسْتَعَطَ حَتَّى يَصِلَ إلَى جَوْفِ رَأْسِهِ فَقَدْ أَفْطَرَ إذَا كَانَ ذَاكِرًا

[10] Dr. Muhammad al-Zuhaili. al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i. (Damsyiq: Dar al-Qalam, 2018). Jld 2. Hlm 182.

[11] Hassan bin Ahmad al-Kaff. Al-Taqrirat Al-Sadidah Qism Al-‘Ibadah. (Tarim: Dar al-Mirath al-Nabawi, 2003). hlm 452.

وإذا كان في العضل - وهي العروق غير المجوفة - فلا تبطل

[12] Dr. Muhammad al-Zuhaili. al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i. (Damsyiq: Dar al-Qalam, 2018). Jld 2. Hlm 182.

[13] Hassan bin Ahmad al-Kaff. Al-Taqrirat Al-Sadidah Qism Al-‘Ibadah. (Tarim: Dar al-Mirath al-Nabawi, 2003). hlm 452.

[14] https://iifa-aifi.org/ar/2009.html

[15] https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/11317/%D8%AD%D9%82%D9%86-%D8%A7%D9%84%D8%A7%D9%86%D8%B3%D9%88%D9%84%D9%8A%D9%86-%D9%81%D9%8A-%D8%A7%D9%84%D8%B5%D9%8A%D8%A7%D9%85

لا مانع شرعًا من أخذ حقن الأنسولين تحت الجلد أثناء الصيام ويكون الصيام معها صحيحًا لأنها وإن وصلت إلى الجوف فإنها تصل إليه من غير المنفذ المعتاد ومن ثَمَّ يكون الصوم معها صحيحًا.