PUTRAJAYA, 24 FEBRUARI 2025 – Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) telah menganjurkan program Tausiah Syahri 2.0. Program ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan. Antara intipati tausiah oleh Mufti Wilayah Persekutuan adalh mengenai kepentingan persiapan rohani dan jasmani menjelang Ramadan serta mengingatkan warga kerja tentang pentingnya integriti dan sifat amanah dalam melaksanakan tugas.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Sahibus Samahah Tuan Haji Jamali bin Mohd Adnan, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan atas sumbangan dan usahanya dalam memperkukuhkan jaringan kerjasama strategik antara JMWP dan institusi akademik, khususnya menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaysia Sabah. Inisiatif ini dijangka membuka ruang kerjasama strategik yang lebih luas melalui penyelidikan dan pembangunan bidang falak dan syariah. Sejajar dengan lokasi cerapan anak bulan di UMS Kampus Antarabangsa Labuan dan status WP Labuan sebagai hub kewangan Islam.
Di samping itu, beliau juga merakamkan penghargaan kepada warga JMWP atas kejayaan menganjurkan pelbagai program ilmiah dan kemasyarakatan awal tahun ini. Antara inisiatif yang mendapat perhatian termasuk Bengkel Semakan Modul Pemurniaan Akidah dan Bengkel Semakan Mashaf Madani, yang bertujuan memastikan ketepatan serta keabsahan kandungan keagamaan dalam bahan rujukan Islam. Program Tausiah Syahri 2.0 diakhiri dengan sesi doa dan harapan agar warga JMWP terus komited dalam menggalas amanah dengan penuh integriti serta dedikasi.