SOALAN
Assalamualaikum, saya menjumpai bola di atas bumbung universiti, dan bola masih berada dalam keadaan baik. Nilai semasa bola baru dalam pasaran adalah sekitar RM 200. Bolehkah saya mengambil bola ini?
JAWAPAN
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Dalam menjawab persoalan ini, perlu untuk kita memahami perbahasan daripada sudut pandang syarak tentang barang yang dijumpai. Dalam hal ini, syarak meletakkan perbahasan ini di dalam bab al-Luqatah.
Takrif al-Luqatah
Dalam Kamus al-Wasit (2/834), “luqatah” diertikan sebagai “Suatu barang yang dipungut, atau suatu yang ditemui atas keadaan boleh diminta, dan seseorang itu memungut apabila dia mengambil sesuatu itu daripada bumi, seperti yang Allah SWT ceritakan perihal Musa A.S:
فَالْتَقَطَهُ آلُ فِرْعَوْنَ
Maksudnya:“Setelah itu dia dipungut oleh orang-orang Firaun”
(Surah al-Qasos: 8)
Maka luqatah itu adalah suatu barang yang ditemui oleh penemu lalu dia mengambilnya, atau sesuatu yang hilang daripada tuannya kerana jatuh, lalai dan seumpamanya.”
Ibnu Qudamah menyebut bahawa al-Luqatah bermaksud “Harta yang hilang dari tuannya dan dijumpai oleh orang lain”. Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuhu (6/4856).
Selain itu Syeikh Mustafa Bugha di dalam kitabnya menyatakan: “al-Luqatah mengikut Syarak adalah sesuatu barang atau harta yang bernilai (di sisi syarak), dijumpai di tempat yang tidak mempunyai pemilik, dan tidak mengetahui hak miliknya”. Lihat Fiqh al-Manhaji (7/69).
Dalam hal ini, terdapat nas-nas yang menyebut tentang perkara yang perlu dilakukan apabila seseorang menemui sesuatu barang. Antaranya: Allah SWT juga berfirman:
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ
Maksudnya: Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain;
(Surah al-Taubah: 71)
Hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid:
عن زَيْدَ بْنَ خَالِدٍ الْجُهَنِيَّ،صَاحِبَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنِ اللُّقَطَةِ الذَّهَبِ أَوِ الْوَرِقِ فَقَالَ " اعْرِفْ وِكَاءَهَا وَعِفَاصَهَا ثُمَّ عَرِّفْهَا سَنَةً فَإِنْ لَمْ تَعْرِفْ فَاسْتَنْفِقْهَا وَلْتَكُنْ وَدِيعَةً عِنْدَكَ فَإِنْ جَاءَ طَالِبُهَا يَوْمًا مِنَ الدَّهْرِ فَأَدِّهَا إِلَيْهِ "
Maksudnya: Daripada Zaid bin Khalid Al-Juhani, merupakan sahabat Rasullullah S.A.W telah berkata, Nabi S.A.W ditanya oleh seseorang yang tidak dikenali berkenaan harta Al-Luqatah (harta yang dijumpai) daripada emas atau perak. Sabda Nabi S.A.W “kenalilah pengikatnya dan bungkusannya kemudian umumkan ia selama satu tahun sekiranya tidak dijumpai (pemiliknya) maka bolehlah mengambil manfaat daripadanya sekiranya ia dituntut kembali maka kembalikanlah kepadanya.
(Hadis riwayat Muslim: 1722)
Daripada ‘Iyadh bin Himar, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ وَجَدَ لُقَطَةً فَلْيُشْهِدْ ذَا عَدْلٍ أَوْ ذَوَيْ عَدْلٍ ، ثُمَّ لاَ يُغَيِّرْ وَلاَ يَكْتُمْ ، فَإِنْ جَاءَ رَبُّهَا ، فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا ، وَإِلاَّ فَهُوَ مَالُ اللهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang menjumpai barang luqatah (tercicir), maka hendaklah dia minta persaksian seorang yang adil atau orang-orang yang adil, kemudian dia tidak menggantinya dan tidak menyembunyikannya. Jika pemiliknya datang, maka dia (pemilik) lebih berhak ke atasnya. Jika tidak, maka ia adalah harta Allah yang diberikan kepada siapa yang Dia kehendaki.”
Abu Daud (1711), Ibn Majah (2505) dan
al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (12448)
Riwayat al-Bukhari (2372) dan Muslim (4595)
Secara asasnya, sesiapa yang menjumpai sesuatu yang bernilai, hendaklah dia mengiklankan barang tersebut sehingga cukup tempoh setahun seperti mana yang disebutkan di dalam hadis di atas pada ibarat kemudian umumkan ia selama satu tahun.
Namun begitu, para fuqaha’ turut mengklasifikasikan kepada luqatah yang tidak mempunyai nilai iaitu pada kebiasaan iaitu tidak akan dituntut oleh pemiliknya. Seperti tamar yang terjatuh, maka boleh untuk terus memakannya seperti mana hadith daripada Anas R.A, beliau berkata: Nabi SAW pernah menjumpai sebiji kurma di jalan, lalu Baginda bersabda:
لَوْلَا أَنِّي أَخَافُ أَنْ تَكُونَ مِنْ الصَّدَقَةِ لَأَكَلْتُهَا
Maksudnya: “Sekiranya aku tidak takut bahawa ia adalah daripada zakat, nescaya akan aku memakannya.”
Riwayat al-Bukhari (2431) dan Muslim (2527)
Selain itu, disebutkan sekiranya barang yang dijumpai kurang daripada 10 Dirham, perlu dihebahkan beberapa hari sehingga satu tempoh yang dirasakan perlu untuk diiklankan sehingga tempoh di mana pemiliknya tidak akan lagi menuntut selepas tempoh tersebut. Sekiranya 10 Dirham atau lebih, hebahkanlah selama setahun. Lihat Fath al-Qadir, (6/122) dan al-Mudawwanah, (6/173), al-Mu’tamad (3/685).
Kesimpulan
Berdasarkan nas dan penghujahan di atas, kami melihat dalam permasalahan ini perlu untuk diketahui di mana secara spesifiknya ditemui bola tersebut. Sekiranya bola tersebut dijumpai di bumbung stor tempat simpan bola, atau kawasan yang sememangnya sudah diketahui bola tersebut milik pusat sukan universiti, maka tidaklah termasuk dalam luqatah, sebaiknya diserahkan terus kepada orang yang menjaga pusat sukan tersebut.
Namun begitu, sekiranya di tempat yang umum, maka termasuk di dalam perbincangan di atas. Maka dalam isu ini, perlu untuk dilihat barang atau bola yang dijumpai mengikut nilai semasa dengan melihat kepada susut nilai barang dan sebagainya. Sekiranya sudah tidak ada harga, atau pasti tidak akan lagi dituntut oleh pemiliknya, maka boleh terus memilikinya. Sekiranya mempunyai nilai yang sedikit, maka hendaklah di iklankan kepada umum sekurang-kurangnya tiga kali.
Semoga Allah memberikan kita kefahaman dalam memahami dan mempraktikkan syariat-Nya. Amin.